Thursday, October 27, 2005

"How to Win Friends & Influence People?"

Tatkala jemari ini sudah lama tidak menulis 'blog', hati ini teruja untuk mencoretkan kegalauan perasaan yang dirasai ketika ini. Namun, saya bukanlah seorang penulis yang mampu mengatur ayat-ayat pujangga yang puitis lagi dramatis. Saya bukanlah seorang pemidato mahupun penceramah yang mampu mengegarkan sidang hadirin yang mendengar. Saya hanyalah seorang insan kerdil yang penuh dengan kelemahan, tetapi mempunyai impian... Impian untuk mengapai sebuah kejayaan.

Kebetulan saya baru menghabiskan pembacaan sebuah buku bertajuk "How to Win Friends and Influence People", karangan Dale Carnegie, seorang pakar dalam Human Relation. Alhamdulillah, buku tersebut banyak mengajar saya tentang kelemahan dan kesilapan saya. Apa yang ditulis dalam buku tersebut adalah perkara yang kita sendiri mudah terfikir, tapi jarang pula kita hendak mengaplikasi. Cukuplah sekadar saya mengambil salah satu ayat daripada buku tersebut,yang lebih kurang bunyinya; Layanlah seseorang itu dengan cara kita mengharapkan kita dilayan.

Kita sukakan pujian, penghargaan. Oleh itu, berikanlah penghargaan kepada mereka yang berhak. Ringankan mulut untuk memberi pujian, yang ikhlas dari hati. Mendambakan pujian dan penghargaan tidak bermaksud kita tidak ikhlas, tetapi akuilah bahawa itu adalah fitrah insani. Tipulah sekiranya anda tidak pernah mengharapkan jasa anda dihargai. Hargailah apa yang orang lakukan untuk anda...

Setiap manusia juga mempunyai ego yang tersendiri. Manusia yang tidak mempunyai ego adalah manusia yang dayus. Sebagai seorang manusia, hormatilah pandangan dan idea orang lain. Walaupun salah, dalam kesalahan itu ada juga betulnya. Cuba fikirkan, mengapa si dia berfikiran begitu? Letakkan diri anda dalam diri si dia, dan jadilah orang yang memahami. Usah mengharapkan orang memahami anda, kitalah yang sepatutnya memahami orang lain. Kerana mengubah diri sendiri lebih mudah daripada mengubah orang lain.

Banyak lagi ilmu yang dikongsi oleh Dale Carnegie dalam buku tersebut. Luangkan masa anda untuk membaca dan memperbaiki diri... Membaca sahaja tidak cukup, tetapi aplikasikan dalam kehidupan seharian sebagai seorang pelajar, pemimpin, mahupun dae'i.

1 comment:

Anonymous said...

hmmm...betui2. Kalu rajin baca buku2 Dale Carnegie....try baca : Ask for the Moon, and Get it. Best...