"Janganlah kamu merasa takbur dengan banyaknya kitab yang kamu baca. Sesungguhnya jari mujahideen yang memetik Kalashnikov lebih mulia di sisi ALLAH daripada mereka yang tidak turun berjihad. Aqidah mereka lebih shahih daripada aqidah sekalian kamu, kerana mereka menyakini bahawa rezeki dan ajal adalah urusan ALLAH SWT manakala kamu menyakini bahawa rezeki kamu adalah datangnya daripada pemimpin-pemimpin Negara kamu."
Dalam hal ini, apabila dianalisa, teguran da'i yang salafi kononnya tersebut kepada mujahidin Afghanistan, jika dilihat secara juz'i bukanlah tidak betul. Ia mungkin betul. Namun, nasihat tersebut apabila dilihat di dalam ruang lingkup yang lebih besar, ia diberikan tidak kena dengan masanya, tidak mengikut aulawiyyat apa yang harus diberi kefahaman terlebih dahulu dan boleh melemahkan semangat mujahidin dan melemahkan pakatan mereka. Dan ini sudah tentu jauh lebih merbahaya daripada apa yang disebutkan oleh da'i salafi tersebut.
Sementara itu, ada juga yang mengajarkan bahawa nas-nas tentang mentaati kepimpinan Negara adalah merujuk kepada ketaatan kepada setiap perkataan yang keluar dari kepimpinan Negara tersebut tanpa melihat dari segi makro dan mikronya. Sedangkan apa yang dimaksudkan oleh nas tersebut jika dirujuk dalam keadaan masa sekarang adalah mentaati undang-undang Negara tersebut. Sekiranya undang-undang Negara tersebut membenarkan, maka ia termasuk dalam hal mentaati kepimpinan dan Negara. Sebab itulah, kita merasa hairan masih ada lagi yang menafsirkan bahawa haram ada pembangkang di dalam sesebuah Negara umat Islam yang berpilihanraya dan ia disamakan dengan perbuatan bughah sedangkan parti-parti politik sendiri adalah sesuatu yang dibenarkan oleh undang-undang Negara.
Menubuhkan parti politik yang jujur dan ikhlas dengan niat untuk mendaulatkan agama adalah sebahagian daripada ciri-ciri mentaati pemerintah kalau ia dilihat di dalam situasi sekarang ini. Dan menegur pemerintah melalui parlimen mahupun melalui badan politik dibenarkan di dalam undang-undang Negara. Secara otomatik ia termasuk di dalam mentaati pemerintah dan menunaikan tanggungjawab agama bagi menegur pimpinan yang berbuat salah. Sebaliknya mereka yang rasuah, salahguna kuasa dan menentang Islamlah orang yang layak dikatakan sebagai menderhakai pemerintah kerana mereka tidak patuh kepada undang-undang negara.
Kerana itu, di sebalik slogan mentaati pemimpin, puak-puak ini berinteraksi dan melayan PAS seolah-olah PAS ini adalah satu pertubuhan haram, digambarkan PAS ini satu kelompok bughah samalah seperti Al-Qaeda. Sedangkan PAS adalah satu parti politik yang sah dan berdaftar. Kerana itu, saya katakan di sini, seolah-olah wujud kecacatan cara fikir di kalangan puak-puak ini sehinggakan gagal melihat sesuatu perkara itu dengan adil dan waras.
Di satu ketika lagi, puak-puak ini membawa slogan, "kami hanya takutkan ALLAH SWT, kami tidak berpihak kepada mana-mana kelompok, sekiranya kerajaan membuat salah, kami akan tegur, dan sekiranya pembangkang membuat salah pun kami akan kritik". Namun, realitinya, kritikan bahkan mungkin juga fitnah mereka hanya terkena kepada parti pembangkang sahaja sedangkan pihak kerajaan hampir tidak terusik. Jelaslah bahawa slogan "atas pagar" mereka hanya tinggal slogan semata-mata untuk mengaburi mata pengikutnya dan seterusnya menghalalkan setiap apa yang puak ini lakukan. Lebih teruk dari itu, setiap apa yang dilakukan oleh kerajaan, walaupun jelas kesilapan dan kesalahannya, akan cuba dijustifikasikan untuk membenarkannya. Mereka berusaha sampai ke hujung dunia untuk mencari dalil agar perkara yang silap tersebut akan kelihatan "baik" dari sisi agama. Perilaku mereka amat ganjil seolah-olah cuba berusaha sedaya upaya untuk memasukkan plug 3 pin ke dalam soket 2 pin.
Kemudian, di antara slogan yang biasa beliau utarakan iaitu hendaklah sentiasa melakukan kritikan yang benar tidak kira kepada sesiapa sahaja. Malangnya, apabila pembangkang melakukan kritikan yang benar terhadap kerajaan, maka pelbagai tuduhan dikenakan kepada pembangkang seperti bughah, berpemikiran Khawarij, bersifat Syiah, mengambil kesempatan, dan mencari kesalahan. Seolah-olah Dr Asri seorang yang khasyaf yang telus terhadap niat PAS yang membuat kritikan. Sedangkan, apabila dilihat, hampir kesemua kritikan yang dibuat oleh PAS adalah betul dan disokong dengan fakta dan bukti. Akhlak ini sangat jauh dengan sifat Dr Asri yang menuduh pemimpin PAS adalah Syiah tanpa mengutarakan sebarang bukti. Hanya andaian dan mungkin juga boleh dikatakan fitnah semata-mata. Sumber rujukan beliau tidak ketahuan di mana-mana. Sedangkan, semangat demokrasi yang dilaksanakan di Negara ini menggalakkan rakyatnya membuat kritikan pada kerajaan sekiranya kerajaan dilihat melakukan kesilapan. Dan ia harus dilakukan dengan bukti. Ia perlu dilakukan untuk memperkuatkan negara. Dan inilah yang dilakukan oleh PAS. Sebahagian manusia sangat berfikiran ganjil terhadap PAS. Apabila PAS melakukan kritikan, walaupun telah dikemukakan bukti-buktinya, maka tanpa berfikir panjang, terus dituduh PAS sebagai pemfitnah. Sedangkan, harus diingat, di Negara ini undang-undang berkenaan dengan khabar angin, fitnah dan seumpamanya sangat ketat seperti adanya Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan seumpamanya. Namun, apabila disorot daripada dahulu sehingga sekarang, amat sedikit pimpinan PAS yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana kesalahan memfitnah. Ini bermakna bahawa kritikan yang dilakukan oleh PAS adalah betul. Oleh itu, setiap tuduhan puak-puak ini berbalik ke atas batang hidumg mereka sendiri.
Kerana itulah, saya merasa hairan dengan Dr Asri Zainul Abidin. Di sebalik slogan beliau agar sentiasa menyemak berita, mencari bukti, namun beliau sendiri membuktikan bahawa beliau tidak mempraktikkan apa yang beliau utarakan. Bliau sering mempersoalkan niat PAS apabila melakukan sesuatu perkara yang baik. Sikap buruk sangka sesama mukmin seperti ini sangat keji dan biasanya lahir di atas perasaan dengki dan hasad yang lama terhadap sesuatu pihak. Sedangkan, kita sebagai manusia ini memadailah berhukum dengan perkara yang zahir, dan serahkan kepada ALLAH SWT di atas perkara yang tidak kita nampak.
MERUNTUHKAN SEMENTARA TIDAK MEMBINA
Cara berfikir beliau ini melahirkan generasi yang ganjil. Mereka ini gemar meruntuhkan sesuatu asas yang telah lama dibina tetapi tidak pula membangunkannya. Mereka gemar menjatuhkan maruah gerakan-gerakan Islam, menjatuhkan maruah gerakan-gerakan jihad, namun mereka sendiri tidak pergi berjihad, dan tidak pula terlibat dalam usaha mengislahkan masyarakat. Mereka leka dibuai dengan perbahasan benda yang remeh temeh seperti talaffuz niat, zikir kuat dan perlahan dan meninggalkan perkara yang lebih besar dan mustahak.
Apabila mereka berinteraksi dengan setiap gerakan Islam, mereka akan mencari pelbagai kesalahan gerakan tersebut, kemudian mereka mula mengkritik dan menghina gerakan tersebut dengan penuh penghinaan. Dan meminta orang ramai agar menjauhinya. Sungguhpun gerakan tersebut telah sekian lama menabur jasa di dalam masyarakat dan masyarakat pula banyak mengambil manfaat daripadanya.
Mereka terus berfalsafah dan berteori. Namun, jika disemak, apakah sumbangan kelompok ini kepada masyakarat. Jawapannya tidak ada. Kalau ada, hanyalah perbahasan dari segi talaffuz niat dan kaedah berzikir. Apabila ditanya kepada mereka, apakah jawapan terhadap penjajahan Aqsa? Mereka menjawab, hendaklah kita berdakwah salafiyah. Jika ditanya, apakah jawapan terhadap kelompok Islam Liberal yang cuba menggunakan undang-undang untuk menyudutkan Islam. Maka mereka menjawab, taatilah pemerintah dan dakwah salafiyah. Jika ditanya, bagaimanakah cara untuk menegakkan hukum-hukum Islam di Negara ini, Mereka menjawab, dakwah salafiyah. Hakikatnya, kelompok ini tidak ada sebarang idea pun untuk membangunkan ummah. Slogan-slogan mereka hanyalah retorik dan langsung tidak membantu di dalam pembangunan ummah.
Kalaulah, kelompok Islam Liberal mempraktikkan teori dekonstruktivisme, iaitu mereka meruntuhkan setiap sendi yang telahpun establish di dalam agama, tanpa ada perancangan membinanya. Golongan ini pula meruntuhkan setiap sendi yang telahpun berjasa besar di dalam masyarakat tanpa ada perancangan untuk membinanya juga. Tanyalah kepada mereka, apakah jalannya ke arah menyatukan sempadan Negara-negara Islam, agar Negara Islam menjadi kuat dan tidak diperkotak-katikkan lagi oleh kuasa Barat dan seterusnya membebaskan BaitulMaqdis. Tentunya mereka akan menjawab, jangan berpolitik, jangan ikut mana-mana gerakan, jangan tegur pemerintah, hanya dengan dakwah salafiyah. Hakikatnya, kelompok ini tidak ada jawapan pun terhadap sebarang permasalahan yang berlaku di dalam masyarakat sekarang. Kelompok seperti ini sangat disenangi oleh Barat kerana ia akan memandulkan umat Islam, melemahkan mereka dan membuka laluan terhadap penjajahan barat terhadap umat Islam. Kehadiran kelompok seperti ini mempercepatkan lagi penguasaan musuh-musuh Islam terhadap umat Islam.
Kelompok seperti ini bersikap amat ganjil. Di satu masa, mereka mengatakan arak itu haram, hudud wajib ditegakkan. Dalam masa yang sama, mulut ini juga tidak memberikan sokongan kepada PAS dalam usaha menegakkan hudud. Apabila diberikan pilihan di antara BN yang terang-terang tidak mahu melaksanakan hudud dan PAS yang ingin melaksanakan hudud, maka mereka mentakwil bahawa PAS tidak ikhlas. Maka wajiblah kita mentaati pemerintah dan bersangka baik terhadap mereka.
Pendekatan mentah mereka ini sangat berbeza dengan PAS. PAS mengatakan arak itu haram. Dalam masa yang sama, apabila PAS diberi peluang mentadbir negeri, maka arak diharamkan dijual secara terbuka. Judi diharamkan langsung. PAS bukan hanya berslogan bahkan melaksanakan. Ini dapat dilihat sendiri tanpa perlu PAS menjaja apa yang dilakukan oleh PAS ke serata dunia sebagaimana puak-puak ini lakukan. Begitu juga dalam isu-isu yang lain. PAS mempunyai perancangan yang konkrit untuk membangkitkan umat Islam bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia. Ia bersifat praktikal dan realistik tidak hanya slogan yang terawang-awang. Kerana itu, kebanyakan tindakan puak-puak ini mengudungkan kaki dan tangan umat Islam dengan pelbagai pendapat-pendapat mereka yang pelik-pelik dengan mengatakan inilah kehendak generasi salaf. Akhirnya jadilah umat Islam satu umat cacat menunggu masa untuk disembelih oleh musuh-musuh Islam.
CARA PENULISAN DAN UCAPAN YANG MEMBERIKAN GAMBARAN YANG KELIRU KEPADA ORANG RAMAI
Kelompok ini juga mempunyai metod yang ganjil di dalam pelbagai ucapan dan penulisan mereka terutama di dalam dakwah. Mereka gemar membangkitkan perkara-perkara yang kecil sehinggakan mengalihkan tumpuan orang ramai daripada permasalahan umat Islam yang sebenarnya. Mereka jarang membetulkan kelompok yang benar-benar salah, sementara itu mencari kesalahan walaupun ke titik bengit kelompok Islam yang jujur untuk melaksanakan Islam. Sekiranya kesalahan ini dijumpai, maka mereka akan mencanangkannya sehingga ke seluruh dunia agar umat Islam menjauhkan diri mereka daripada kelompok Islam tersebut.
Sikap ini sangat merbahaya. Dan ia menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai. Kepandaian puak ini menggunakan nas untuk menyokong setiap argument mereka menyebabkan tidak sedikit orang ramai yang jahil terpengaruh dengan kata-kata mereka. Tinggallah umat Islam sibuk berpecah sesama sendiri, mencari salah di antara satu sama lain dan meninggalkan orang yang betul-betul melakukan kesalahan yang lebih besar. Sikap ini benar-benar akan melahirkan generasi yang keliru, serta menyusahkan orang ramai untuk berbuat kebaikan. Akhirnya, masyarakat akan berfikir, sekiranya aku berbuat baik, maka orang akan mencari kesalahan aku. Aku akan dimarahi dan dimalukan. Sebaliknya apabila aku betul-betul berbuat jahat, maka orang akan melepaskan aku. Maka, lebih baik aku berbuat jahat. Akhirnya, masyarakat cenderung untuk berbuat jahat kerana berbuat jahat jauh lebih mudah daripada berbuat baik. Siapakah yang memudahkan? Puak-puak inilah yang memudahkan.
Perbuatan mereka ini samalah dengan seorang bapa yang mempunyai 2 orang anak lelaki. Si abang memang tidak bersolat langsung. Manakala si adik sentiasa bersolat. Si ayah tidak pernah memarahi si abang yang tidak bersolat. Tetapi ada sekali si adik tidak bersolat, si ayah memarahi si adik sampai memukulnya, menegurnya di khalayak, memalukannya, menghalaunya dari rumah dan sebagainya. Si adik sangat bingung. Kenapa si abang yang langsung tidak bersolat tidak dimarahinya. Ini double standard. Dan si abang selesa dengan kelazimannya yang tidak bersolat. Sepatutnya, kalau begitu cara si ayah memarahi si adik, seharusnya si ayah memarahi si abang beratus-ratus kali ganda lagi, sesuai dengan kadar kesalahan yang dilakukan. Maka, si adik akan mudah memahami bahawa ayahnya memang tegas. Tetapi perkara sebaliknya yang berlaku.
Masyakarat juga begitu. Sekiranya teguran ke atas PAS yang ingin melaksanakan syariat Islam sudah sebegitu caranya, seharusnya teguran ke atas kerajaan yang langsung tidak mahu melaksanakan Islam harus berkali-kali ganda lagi. Sebaliknya perkara ini tidak berlaku. Sikap double standard seperti ini akan melahirkan masyarakat yang lebih keliru dan menyongsangkan cara fikir masyarakat yang sihat.
Selain itu, cara beliau dan pengikut-pengikut beliau juga di dalam membincangkan aspek Syiah di Malaysia ini, seolah-olah di Malaysia ini mempunyai seramai berjuta-juta orang Syiah. Manakala cara beliau membuat tuduhan kepada PAS, seolah-olah di dalam PAS mempunyai beratus-ratus ribu orang yang beraqidah Syiah di dalamnya. Namun, apabila diminta buktikan seorang sahaja pimpinan PAS yang beraqidah Syiah, seorang pun tidak dapat dibuktikan. Ini semua sangat mengelirukan orang ramai dan memberikan gambaran yang salah terhadap gerakan Islam. Kerana itulah sebahagian daripada pengikut beliau yang termakan dengan cara penulisan beliau apabila diajak untuk bersama bagi melawan kelompok Islam Liberal, mereka menjawab, tidak mahu, kerana aku tahu ada di kalangan kamu ini orang syiah, aku tidak akan bekerjasama dengan orang Syiah. Bagi aku Syiah adalah musuh Islam nombor satu. Walhal perkara tersebut hanya diada-adakan semata-mata.
PERMASALAHAN TUN DR MAHATHIR
Pendekatan PAS di dalam isu Tun Mahathir banyak mengundang khilaf sama ada di kalangan kawan mahupun lawan. Pada sesetengah pihak pula, mereka menggunakan situasi ini sebagai peluang untuk mencari kesalahan PAS dan seterusnya mencanangkannya ke serata tempat. Pihak Dr Asri juga tidak ketinggalan dalam mengulas isu ini. Beliau yang kononnya tidak berpolitik turut mengambil kesempatan memberikan hukuman terhadap PAS mengikut kacamata beliau terhadap isu ini.
Dalam hal ini, perlu dijelaskan kembali bahawa penentangan PAS terhadap UMNO bukanlah merupakan pertentangan mutlak terhadap batang tubuh individu, dan bukan juga permusuhan secara mutlak terhadap nama UMNO itu sendiri. Ini dijelaskan berkali-kali oleh TG Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS lainnya. Sebaliknya, ia adalah penentangan terhadap setiap dasar, polisi, tindakan dan pengamalan mereka yang bertentangan dengan ruh Islam. Sesiapa sahaja yang berada di dalam UMNO walaupun anak ulama' sendiripun, sekiranya masih lagi MENERUSKAN dasar-dasar dan tindakan kerajaan yang bertentangan dengan ruh Islam seperti ISA, tidak melaksanakan hudud, tunduk kepada Amerika Syarikat, dan seumpamanya maka akan ditentang oleh umat Islam yang ikhlas dan jujur. PAS juga tidak terkecuali daripada mengamalkan prinsip ini.
Mereka yang menyerang sikap PAS terhadap Tun Mahathir sebenarnya mempunyai cara fikir dan pemahaman permusuhan yang sangat merbahaya dan tidak selari dengan akhlak Islam. Ini kerana, mereka memandang, sekiranya seseorang itu "jahat", maka apa-apa yang keluar dari mulut beliau harus dibuang ke dalam tong sampah walaupun perkara tersebut sangat mustahak terhadap keselamatan Negara sendiri. Dalam kes Tun Mahathir, sebenarnya hampir kesemua daripada isu yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir, PAS telah membangkitkannya terlebih dahulu. Tindak-tanduk Khairi Jamaluddin di dalam pentadbiran Negara, Husam Musa dan lain-lain pimpinan PAS telah berkali-kali mengingatkan kerajaan tentang hal tersebut sebelum Tun Mahathir membuka mulut lagi. Kemudian berkebetulan, Tun Mahathir mengungkitkan tentang isu yang hampir sama. Maka, cara fikir yang bagaimana yang menyebabkan apabila Tun Mahathir membuka mulut sahaja, walaupun ia isu jatuh bangun Negara, maka PAS harus diam pula.
Lagi satu, berkali-kali telah ditegaskan bahawa kebersamaan PAS dengan Tun Mahathir adakah di dalam isu-isu tertentu sahaja. Berkebetulan isu itu adalah isu keselamatan Negara yang sangat besar impaknya terhadap Negara. Adakah ini merupakan satu kesalahan? Sepatutnya, jika PAS tidak bersama Tun Mahathir pada isu-isu yang benar, barulah PAS sepatutnya disalahkan kerana ia membuktikan bahawa penentangan PAS terhadap Tun Mahathir adalah penentangan terhadap batang tubuh beliau secara mutlak bukannya kerana kesalahan yang beliau lakukan kepada negara sehinggakan sanggup mengenepikan prinsip semata-mata kerana dendam. Namun perkara yang sebaliknya berlaku. Seharusnya tindakan PAS ini harus dipuji sebagai tindakan yang berprinsip. Kerana PAS menyokong berpandukan apa yang diperkatakan bukan siapa yang mengatakannya. Sebaliknya, PAS dituduh tidak berprinsip disebabkan menyokong kebenaran. Apa nama Parti Islam sekiranya bermusuh dengan seseorang individu, apabila individu tersebut berbicara perkara yang betulpun, dikatakan sebagai salah. Logik apa ini.
Dalam penulisan beliau, sama ada secara sedar atau tidak, tanpa beliau sedari, beliau telah menetapkan satu kaedah yang cukup merbahaya terhadap cara berfikir ummah. Kaedah beliau adalah, sekiranya kita bekerjasama dengan orang yang tidak sependapat dengan kita walaupun di dalam isu yang benar, maka secara mutlak dan otomatiknya kita menggadaikan prinsip kita. Tuduhan beliau terhadap PAS di dalam isu Syiah juga adalah mengambil kaedah sama sama. Hakikatnya, kaedah beliau ini sangat janggal, merbahaya, tidak praktikal, berbau prejudis dan bertentangan dengan akal waras manusia yang normal.
Sebaliknya, sikap permusuhan secara mutlak kepada batang tubuh menyebabkan sesetengah dari kita berfikir bahawa apabila Tun Mahathir tiada di dalam kerajaan, maka kerajaan akan menjadi Islam sepenuhnya, atau menjadi kerajaan yang baik. Hakikatnya, apabila Tun Mahathir tidak ada, kerajaan masih sama seperti dahulu. Bahkan ia lebih teruk lagi daripada dahulu. ISA, rasuah, salah guna kuasa, pencabulan kebebasan akhbar, pencabulan hak asasi, dan apa-apa kesalahan yang dibuat oleh Tun Mahathir masih lagi kekal sehingga kini. Bahkan, kini ia ditambah pula penguasaan Negara oleh pihak asing, dan isu-isu seumpamanya. Paling teruk adalah kesemua daripada kezaliman dan penyelewengan ini dihalalkan di mata rakyat di atas nama Islam Hadhari. Ini lebih bahaya.
Kerana itu, PAS selalu menyatakan bahawa, yang ditentang adalah sistem itu sendiri. Kerana sistem melahirkan individu. Sangat banyak contoh individu yang baik apabila masuk ke dalam sistem yang sangat merosakkan, maka ia turut menjadi rosak. Kadangkala, lebih rosak dari sistem itu sendiri. Cara fikir Dr Asri ini harus diperbetulkan.
Bertentangan dengan sikap satu puak lagi, yang cuba mentakwil sedaya upaya untuk membuktikan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan sebagai sesuatu yang tidak silap bahkan ia selari dengan syariat Islam. Mereka akan cuba berusaha untuk melarikan rakyat dan pembaca dari melihat realiti sebenar sebaliknya hanya berpandukan kepada kitab-kitab dan buku-buku lama semata-mata. Inilah yang berlaku kepada Islam Hadhari. Yang jelas, kebanyakan dasar-dasar kerajaaan sangat tidak menguntungkan Islam. Lihatlah apabila mereka hendak melanjutkan kelab-kelab malam untuk beroperasi sehingga 4 pagi, mengekalkan lesen-lesen kasino dan pusat perjudian, memberikan tekanan kepada penguatkuasa jabatan agama di dalam melaksanakan tugas mereka dan seumpamanya. Sikap membodek kerajaan dengan mencari pelbagai dalil untuk menghalalkan segala perbuatan di atas sangat tidak bermaruah dan harus dielak.
Bagaimana pula dengan apa yang berlaku kepada kerajaan Perlis. Di dalam mengisytiharkan Perlis Darus Sunnah pun ia dilakukan di dalam majlis JomHeboh. Sunnah apakah itu? Dalam masa yang sama, puak-puak ini berpusu-pusu menyatakan sokongan mereka terhadap tindakan Shahidan Kasim. Menteri Besar Perlis tersebut tanpa melihat kepada realiti sebenar yang berlaku di dalam masyarakat. Puak-puak ini memang sangat cintakan slogan-slogan seperti ini. Mereka tidak berfikir lagi tentang pengisiannya.
Kerana itulah, di dalam kita membuat penilaian tentang sesuatu perkara, ia wajib dilakukan dengan penuh kejujuran. Dan ia juga dibuat dengan menilainya dari segala sudut sama seperti teori, realiti dan praktikal.
SIFAT POLITK KEPARTIAN
Dr Asri juga ada mengungkitkan tentang PAS yang kononnya bersifat politik kepartian. Apakah yang beliau maksudkan sebagai politik kepartian? Hanya beliau yang mengetahuinya. Satu daripada contoh beliau adalah kononnya PAS tidak menyokong kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan dan setiap pendirian PAS adalah didasari oleh matlamat PAS yang gilakan kerusi pemerintahan walaupun terpaksa menggadaikan prinsip.
Dalam hal ini, Dr Asri harus ingat, kesalahan tetap kesalahan. Ia perlu ditegur. Namun, harus dikemukakan dengan bukti yang benar. Inilah yang dilakukan oleh PAS selama ini. Mereka yang menulis seperti di atas adalah jahil terhadap aktiviti PAS ataupun berniat jahat terhadap PAS. Sangat banyak usaha kerajaan yang disokong oleh PAS asal sahaja ia sejajar dengan perjuangan memartabatkan Islam. Lihatlah usaha pengukuhan institusi-institusi agama seperti Jabatan Agama dan seumpamanya, ia mendapat sokongan padu dari PAS.
Orang yang menuduh PAS tidak jujur di dalam sesuatu isu kerana gilakan kerusi adalah seorang yang naif tentang situasi politik di Malaysia. Sifat PAS yang jarang menang di dalam pilihanraya dan ahlinya sentiasa ditindas dalam segenap segi menyukarkan para penggila pangkat dan jawatan untuk berada di dalam PAS. Bekas ahli PAS yang gilakan kerusi kesemuanya telahpun berada di dalam UMNO. Kalau hendak dituduh, seseorang itu gilakan kerusi, ia lebih tepat kepada UMNO itu sendiri kerana parti tersebut memang mempunyai kekuasaan. Kalaulah ahli-ahli PAS ini kesemuanya gilakan kerusi, pastilah berbondong-bondong mereka memasuki UMNO sejak awal zaman muda mereka lagi.
SIKAP MELAMPAU DALAM MENGHUKUM
Dr Asri dan pengikutnya juga mempunyai sikap yang melampau di dalam menghukum orang lain. Perkataan Syiah dan Khawarij sentiasa bermain di bibir beliau untuk melabel golongan yang beliau tidak persetujui. Tidak sedikit yang dizalimi kerana label tersebut. Kaedah penghukuman beliau sangat mudah. Sekiranya kelihatan ada sesuatu perkara yang boleh dikaitkan dengan Syiah atau Khawarij yang ada di dalam sesuatu organisasi atau individu, maka organisasi tersebut adalah Syiah, Khawarij atau menjadi sarang Syiah.
Ini yang berlaku kepada PAS. Ribut tak ada, petir tak ada, tiba-tiba sahaja PAS dituduh menjadi sarang kepada gerakan Syiah. Alangkah mudahnya membuat pertuduhan.
Sementara itu, setiap apa yang dilakukan oleh PAS sentiasa diberikan pandangan negatif oleh kelompok ini. Walaupun perkara tersebut jelas kebaikannya, maka kelompok ini akan cuba mentakwil setiap perbuatan tersebut dengan mengatakan bahawa setiap apa yang PAS lakukan adalah semata-mata kerana tujuan politik dan gilakan kerusi semata-mata. Kelompok ini bertindak seolah-olah mereka mengetahui apa yang tersembunyi di dalam dada manusia. Seolah-olahnya mereka dikurniakan kasyaf oleh ALLAH SWT.
SIKAP GHULUW DALAM SUNNAH
Dr Asri juga cuba menonjolkan diri beliau sebagai jaguh di dalam menentang Syiah. Pantang ada gambar Khomeinei di dalam demonstrasi, habis penganjur demonstrasi dituduh menjadi sarang kepada Syiah. Kalau di Pakistan, konflik antara mazhab ini menjadi tidak terkawal kerana kedua-dua pihak ada kelompok ghullat yang menghalalkan darah antara satu sama lain. Mereka berbunuh-bunuhan di Masjid. Masjid pula di bom dan wanita dan kanak-kanak dibunuh tanpa ada belas kasihan. Begitu juga yang berada di Iraq. Adakah kelompok ini ingin membawa semangat yang sama ke Malaysia ini?
Sehinggakan, dalam isu Iran dan Lubnan ini, ada kelompok yang kononnya Salafi di negara ini berkata, sebelum kita memerangi Israel kita kena hapuskan semua orang Syiah dahulu. Kerana Syiah adalah musuh Islam nombor satu. Ada pula yang berkata, biarkan Amerika Syarikat mengebom Iran, kerana ia akan mengurangkan jumlah musuh umat Islam. Biarkan Israel dan Syiah bunuh membunuh antara satu sama lain. Haram membantu Hezbullah.
Dalam keadaan itu, ada pula pendapat yang dangkal mengatakan bahawa Iran merupakan anak didik Amerika Syarikat. Dan Amerika Syarikat sengaja menakut-nakutkan Iran untuk menonjolkan bahawa Syiah adalah wira bagi umat Islam. Dengan menggunakan fakta separuh masak, lantas beliau mengatakan bahawa Iran dan Amerika Syarikat adalah puak yang sama dan mustahil Amerika Syarikat akan menyerang Iran.
Dengan kuasa ALLAH, tidak lama selepas itu, Israel menyerang Lubnan dan bertempur dengan Hezbullah. Tidak sedikit kehancuran yang diterima oleh Israel akibat bertempur dengan Hezbullah. Peperangan ini berlarutan sekian lama, tanpa Israel dapat menghancurkan Hezbullah. Sedangkan pada 1967, Negara-negara Arab telah tewas kepada Israel dalam masa 6 hari sahaja, manakala pada tahun 1973, peperangan Arab, Israel berlangsung selama 2 minggu tanpa dimenangi oleh mana-mana pihak secara total.
Tidak lama selepas itu pula, para alim ulama dari seluruh dunia meminta agar umat Islam membantu Hezbullah sebagai kewajipan umat Islam. Di antaranya adalah Dr Yusof Qaradhawi, Dr Sharif Hatem Al Aouni, Syeikh Salman Audah. Bahkan para ulama' ini telah membuat perhimpunan di Dubai seramai lebih 100 orang bagi menyokong penentangan Hezbullah terhadap Israel.
Akhirnya, puak-puak ini menjilat ludahnya sendiri kerana lebih sudu dari kuah kononnya untuk menjadi jaguh menentang Syiah. Permainan apakah yang Iran wayangkan kalau sudah ribuan rakyat dari kedua-dua pihak terkorban? Adakah dengan ini bermakna para ulama' di atas kesemuanya secara otomatik bertukar aqidahnya menjadi aqidah Syiah dan mengkafirkan sahabat. Fikirlah wahai sahabatku.
Memang dasar orang yang keras kepala tidak mahu tunduk kepada kebenaran. Kemudian, apabila sudah terlanjur, puak-puak ini bermain kata-kata dengan menjawab, " kami maksudkan adalah kita jangan ikut Syiah dari segi aqidahnya, namun kita mesti menyokong perjuangan mereka menentang Israel." Persoalannya, SIAPAKAH YANG MENGATAKAN BAHAWA KITA MESTI MASUK KE DALAM AQIDAH SYIAH? PUAK-PUAK INI YANG MULAKAN PERTUDUHAN MELULU ATAUPUN FITNAH TERLEBIH DAHULU KEPADA PAS. Mereka yang mulakan dahulu isu-isu ini. Kemudian mulalah bersilat untuk mengelak daripada tuduhan tersebut terkena kepada diri mereka sendiri. PAS tidak pernah berkata bahawa umat Islam mesti masuk ke dalam aqidah Syiah, namun dalam masa yang sama menyokong sebarang usaha membebaskan Palestin.
Yang jelas, akhirnya, apa yang ditulis dan dikatakan, niat busuk mereka, berbalik kepada diri mereka sendiri.