Kali ini saya berminat berkongsi wawancara Mohd Rashidi Hassan dengan Naib Presiden PAS, Husam Musa berkenaan dengan isu kenaikan harga minyak. Wawancara ini saya petik dari blog MelayuCyber.
----
BN dakwa PAS menggunakan isu kenaikan harga minyak untuk tujuan politik.
HUSAM: Ini isu kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi negara, lebih daripada isu politik. Semua lapisan rakyat terjejas, terutama yang berpendapatan rendah. Bagi yang bergaji RM1,500 sebulan, tambahan perbelanjaan RM70 sebulan bermakna 5% pendapatan mereka hangus dengan kenaikan ini. RM70 tidak cukup untuk menampung tambahan perbelanjaan untuk minyak motor atau kereta kancil mereka, kenaikan tambang sekolah dan kenaikan harga barang keperluan. Ramai rakyat berpendapatan tidak sampai RM1,500 pun. Mereka rasa beban ini berat.
PAS juga dituduh menghasut rakyat.
Kalau PAS tak ada di Malaysia pun rakyat tetap marah dengan kenaikan besar yang mendadak ini. Ramai pemimpin BN sendiri tak setuju, bukan semua setuju seperti Ahli Parlimen BN Pasir Puteh. Tengku Razaleigh Hamzah pun tak setuju. Dr Mahathir kata ada cara lain, bukan cara naik harga. Nak kata rakyat marah kerana PAS hasut, tak betul sama sekali. Kita tak setuju kenaikan ini kerana ia menjejaskan semua sektor ekonomi. Namun kita beri jalan penyelesaian, kalau-kalau kerajaan nak terima formula kita, supaya ekonomi tidak teruk terjejas. Kita sangkal hujah kerajaan kerana ia mengelirukan dan tidak tepat.
Apa formula PAS?
Lihat angka-angka mengenai minyak negara kita. Petronas dah kaut untung bersih, bukan untung kasar tapi untung bersih sehingga 2004 sebanyak RM164 bilion. Ini kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada November 2005. Tahun 2005, untung bersih RM35.5 bilion. Enam bulan pertama tahun kewangan sekarang, untung bersih naik RM20.8 bilion. 164 campur 35.5 campur 20.8, jumlah untung bersih Petronas hingga kini RM221 bilion! Nak belanja untuk rakyat 4 bilion setahun susah?
Pecahan untung bersih Petronas seperti berikut:
Tahun Untung
1999 RM6.808b
2000 RM12.608b
2001 RM16.488b
2002 RM14.569b
2003 RM15.105b
2004 RM23.659b
2005 RM35.556b
enam bulan pertama 2006 RM20.8b
Kenapa keuntungan meningkat? Kerana harga minyak dunia naik. Maknanya, kenaikan harga minyak dunia telah meningkatkan keuntungan Petronas. Bila untung Petronas naik, kutipan hasil kerajaan dari Petronas juga naik. Minyak kita jadi macam pelampung ekonomi negara. Bila air naik, pelampung naik. Bila minyak dunia naik, keuntungan kita naik. Keuntungan itu kita cadang kerajaan guna untuk faedah rakyat. Petronas mampu dan tak terjejas.
Jadi kerajaan tidak berterus terang?
Kerajaan menyembunyikan angka yang sebenar. Itu bahagian yang diperolehi kerajaan melalui cukai, dividen dan royalti. Bahagian Petronas masih besar iaitu bagi 2006, keuntungan bersih mungkin sampai RM40 bilion. Nak belanja RM4 bilion daripada RM40 bilion ini untuk ringan beban rakyat, Petronas rasa berat? Sekalipun kerajaan mahukan RM23 bilion bersih untuk pembangunan dan tak mau tanggung 4.4 bilion tambahan melalui kenaikan 30 sen itu, beban itu boleh ditanggung Petronas dan bukannya rakyat jelata dan ekonomi negara secara keseluruhan.
Jadi saudara cadangkan beban ini dipindah pada Petronas?
Petronas boleh berbelanja untuk Formula One berbilion ringgit setiap tahun. Petronas boleh berbelanja ke atas Putrajaya berpuluh bilion. Petronas pernah selamatkan Bank Bumi berbilion ringgit. Adakah satu masalah untuk Petronas guna sebahagian kecil keuntungannya dari khazanah negara milik semua rakyat untuk elakkan beban rakyat? Tentu boleh. Beban itu patut ditanggung Petronas. Lagipun, Petronas ditubuhkan, antara lain ialah untuk menstabilkan harga bahan bakar di negara ini. Hujah kerajaan nak guna keuntungan Petronas untuk melabur sangat tidak masuk akal dan tidak bersifat kasihan belas. Pelaburan Petronas bertujuan beri faedah pada rakyat, bukan setakat melabur dan melabur. Sekarang antara masa faedah pelaburan itu dikembalikan pada rakyat.
Ada lagi fakta yang mengelirukan diberikan oleh kerajaan?
Kerajaan bercakap mengenai kehabisan pengeluaran minyak negara. Walau apa istilah yang digunakan, gambaran yang cuba diberikan pada rakyat ialah minyak kita akan habis tak lama lagi. Maka kononnya kita kena bersiap untuk harga tanpa subsidi. Tak ada lagi zaman minyak harga murah. kerajaan tak ada pilihan. Kerajaan terpaksa.
Sebenarnya, rizab minyak negara kita ialah sebanyak 5.29 bilion tong dan ini boleh kekal untuk 19 tahun lagi. Ini diberitahu Perdana Menteri di Dewan Rakyat November tahun lalu. Itu belum ambil kira penemuan telaga-telaga baru seperti Telaga Pisagan 1A dan lain-lain. Juga tak termasuk penemuan rizab gas yang baru.
Kerajaan berikan gambaran itu supaya rakyat telan tindakan kerajaan kerana takut minyak dah nak habis.Kerajaan beri gambaran yang salah melalui perbandingan harga minyak dengan negara jiran. Perbandingan dengan Singapura umpamanya, tidak tepat untuk kata minyak kita RM1.92 seliter lebih murah dari RM4.15 seliter di Singapura.
Ini kerana pendapatan rakyat kita berbanding Singapura tak sama. Purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rakyat Singapura ialah USD29,700 dan ini tiga kali ganda purata KDNK rakyat Malaysia kita sebanyak USD10,400. Kalau berasaskan pendapatan purata mereka, minyak di Singapura patut berharga hampir 6 ringgit seliter. Jadi secara berbanding, harga minyak mereka lebih murah dalam ukuran kuasa beli rakyat mereka.
Lagipun, Singapura tak ada keluar minyak dan jarak perjalanan mereka pendek. Kita, perjalanan KL–Alor Star umpamanya, bukan dekat. Tambah tol lagi. Di Thailand, lebuh raya utama perjalanan jauh tak ada tol. Ini semua kos selain minyak dan kerajaan kena ambil kira sebelum buat perbandingan macam itu.
Wang 4 bilion diperuntukkan untuk pengangkutan awam. Apa komen saudara?
Ini lagi tidak adil dan tidak munasabah. Apa sebab rakyat di pedalaman Sarawak yang masih menggunakan bot sebagai pengangkutan utama terpaksa membiayai pembinaan pengangkutan awam untuk orang Kuala Lumpur dengan kenaikan ini?
Apa hal pula rakyat Kelantan, Terengganu dan Perlis umpamanya? Apa pengangkutan awam yang akan dibaik pulih di negeri mereka dengan wang 4 bilion tadi? Kalau tak ada, mereka tolong negeri lain dengan membayar harga lebih mahal dan adakah ini adil?
Pengangkutan awam adalah penting tetapi adalah tidak wajar rakyat menjadi terbeban kerana kerajaan tak tau cari jalan lain untuk dapatkan wang bagi buat perkara itu. Lagipun semua pengangkutan awam bukannya percuma, rakyat terpaksa membayar apabila hendak mengunakannya kelak.
Ini hanya gula-gula untuk sejukkan rakyat selepas kerajaan rampas nikmat harga murah dari kita semua. Kita juga bimbang, apa yang dikatakan perbelanjaan pengangkutan awam tadi ialah untuk kroni-kroni dapatkan projek.
The Star keluaran 18 Mac, ruangan Biz week melaporkan anak syarikat Scomi, Scomi Engineering akan mendapat sekurang-kurangnya dua projek di bawah peningkatan pengangkutan awam. Satu, Scomi Engineering memasuki tawaran untuk membina badan bas sebanyak 400 buah untuk Syarikat Prasarana milik kerajaan. Nilai projek ialah RM120 juta.
Kedua, workshop keretapi syarikat ini telah siap untuk kerja-kerja baik pulih 1,500 gerabak kepunyaan KTM dan ini mungkin meningkat kepada penyelenggaraan 3,500 gerabak setiap tahun. Kita semua tahu Scomi milik siapa. Kenapa Scomi begitu istimewa?
Itu belum masuk cerita MAS. Mas perlu 4 bilion tahun ini. RM2 bilion mesti datang dari kerajaan. Selagi kebocoran seperti ini tidak dibaiki, kita semua menjadi mangsa. Tahun lepas MAS rugi 1.2 bilion. Tahun ini, dijangka MAS rugi lagi lebih satu bilion. MAS beli lukisan dengan harga begitu mahal. Bila diberitahu, Perdana Menteri minta perkara ini dilapor pada pengurusan MAS. Sikap sambil lewa terhadap pembaziran dan penyelewengan yang berlaku dalam Negara ini menyebabkan rakyat akhirnya menanggung beban.
Jadi, apa cadangan saudara?
Saya cadangkan, demi kebaikan rakyat dan negara, kerajaan kena turunkan semula harga minyak. Kerajaan boleh naikkan sedikit cukai petroleum ke atas Petronas untuk menampung sejumlah yang diperlukan bagi mengekalkan harga minyak pada harga asal. Kalau tidak, reputasi Pak Lah dan Najib tak akan dapat dipulihkan dan rakyat kita menderita kerana keputusan yang salah pada waktu yang salah.
Harga barang tak akan dinaikkan untuk elak kesan kepada pengguna.
Semua rakyat tahu ini tidak logik. Kerajaan sendiri tak boleh tahan untuk naikkan harga minyak ini. Tarif elektrik juga akan dinaikkan. Rakyat diminta serap kenaikan harga minyak tetapi kerajaan sendiri tak mahu berbuat demikian. Mana nilai moralnya?
Kalau betul kerajaan tak mahu harga barang naik, kena tunjuk contoh dengan tidak naikkan harga minyak. Kata-kata Pak Lah, tak ada sebab teh tarik kena naik harga, betul-betul mempermainkan rakyat. Kenaikan kos hidup adalah kesan selari dari kenaikan harga minyak dan ini semua orang tahu. Takkan Perdana Menteri tak tahu? Selain kos langsung, penjual teh tarik juga perlukan tambahan pendapatan untuk biayai kos hidupnya yang meningkat selari dengan kenaikan harga minyak.
Sepatutnya, dengan kekayaan kita yang ada, kalaupun tidak kesihatan percuma, pendidikan mesti percuma. Ini untuk menyediakan biasiswa bagi pelajar cemerlang pengajian tinggi pun Kerajaan BN tidak mampu. Kita perlukan suara rakyat yang lebih berkesan untuk hentikan segala jenis penyelewengan yang akhirnya merugikan negara kita seperti yang berlaku sekarang.
---
Anda sendiri nilaikan. Saya tidak bermaksud mengatakan PETRONAS bersalah, cuma saya ingin pembaca membuka mata dan minda untuk melihat muslihat tersirat kerajaan BN. Ke mana hilangnya duit rakyat? Pelik bin ajaib... Jadilah rakyat yang sentiasa prihatin tentang hak dan tanggungjawab anda.
Sekian, tak wajib betul, harus salah...
No comments:
Post a Comment