Monday, December 26, 2005

Kisah Zainab Al-Ghazali; Bahagian 3

sambungan daripada Bahagian 1 dan Bahagian 2...

---

Semasa beliau memimpin Jamaah Saidatina Muslimah, beliau telah dapat membawa masuk ramai wanita-wanita Islam di Mesir dan mereka telah dibentuk dan dididik mengikut model Tarbiyah Madrasah Rasulullah S.A.W. Di antara mereka yang rapat hubungan dengan Zainab Al-Gahazali ialah dua saudara Syed Qutb, Aminah Qutb dan Hamidah Qutb,; Halidah Hassan Al- Hudaibi, Al-Hayah Sulaiman Al-Zubair, Fatiraah A!-Fath, Aminah Al-Jauhati.

Al-Waliyah Al-Hudaibi dan Al-Afdah. Mereka inilah yang beliau sitatkan sebahagian dari mereka sebagai sebahagian anak-anaknya, sebahagian dari mereka sebagai adik-adiknya, sebahagian dari mereka sebagai kakak-kakaknya, dan sebahagian dari mereka sebagai ibu-ibunya. Kerana di antara mereka ada yang berumur 85 tahun, Ummi Ahmad namanya, ia telah di tangkap oleh rejim Jamal Nasser ketika ia berusia 85 tahun, ketika Zainab mendengar berita itu, ia memperkatakan bahwa ini adalah pertanda baik bagi Islam. Musuh-musuh Islam telah gentar kepada wanita Islam yang telah tua lagi uzur. Ini menunjukkan hasrat dan minat terhadap Islam terlalu tinggi. Musuh-musuh Islam telah gentar, mereka tidak dapat membezakan antara yang bertenaga dan tidak bertenaga, antara wanita dan lelaki, antara tua dan muda, semuanya sama sebagai musuh mereka.

Setelah Mursyidul 'Am Hassan Al-Banna syahid dimamah peluru durjana yang tidak mengenal insan beriman atau tidak, Zainab Al-Ghazali terus berbai'ah kepada Hassan Al-Hudhaibi, Mursyidul 'Am penganti Hassan Al-Banna. Ia terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pimpinan Ikhwan Muslimin. la mendengar pandangan mereka dan mengambil pengajaran daripada mereka.

Beliau bersuami, suaminya seorang yang dihormati, seorang 'Ulama yang berilmu tinggi dan sangat kuat memberikan dorongan kepada isterinya untuk meneruskan da'wah ditengah-tengah masyarakat manusia di Mesir. Zainab Al-Ghazali menceritakan ketika penyeksaan yang dihadapinya di penjara sampai kemuncaknya, mereka telah mengunakan berbagai cara bagi melemahkan jiwa dan rohnya menyebabkan ia terpaksa dibawa ke hospital.

Regim Jamal Abdel Nasser memaksa suaminya menceraikannya dan membawa surat cerai itu ke dalam bilik kurungan di hospital, di mana Zainab sedang dirawat. Ketika saudara-saudaranya melawatinya mereka menceritakan ketika suaminya dipaksa menceraikan Zainab Al-Ghazali, ia bersumpah "sekali-kali tidak, aku menceraikan isteriku". Demikianlah keteguhan, kesetiaan dan pengorbanan suaminya, sehingga ia kembali menemui Tuhannya ketika Zainab Al-Ghazali masih dalam Tahanan.

Kisah tahanan ke atas Zainab Al-Ghazali adalah sangat mengkagumkan, kerana seorang wanita telah dapat menanggung penyeksaan yang lebih berat dari penyeksaan ke atas lelaki. Beliau menyebutkan, sebelum ia ditahan, Jamal Nasser memerintahkan Jamaah Saidatina Muslimah dibubarkan dengan menghantar notis melalui mahkamah, dan akan menarik notis pembubaran itu dengan syarat Zainab Al-Ghazali mestilah berkerjasama dengan Parti Istrokiyah. Zainab Al-Ghazali menolak, kemudian ia ditawarkan menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau menjawab: "Dalam perjuangan ku tidak bercadang untuk menjadi menteri aku hanya mahu berdakwah" Jamal Nasser telah putus asa memujuk Zainab Al-Ghazali untuk masuk Parti Istrokiyah, Jamal Abdel Nasser memerintahkan untuk menangkap Zainab Al-Ghazali

Sewaktu beliau dibawa keluar dari rumahnya satu pembunuhan telah dirancangkan. Sebuah kereta merempuh kereta yang membawa Zainab Al-Ghazali. Setelah rancangan awal ini gagal, akhirnya Zainab di tahan setelah di tangkap semula, setelah di bebaskan pada tahun 1964.

Zainab Al-Ghazali terus dibawa ke penjara dengan sebuah kereta, dalam perjalanan itu dimaki hamun yang tidak dapat diterima oleh akal dan tidak dapat digambarkan oleh fikiran. Setelah sampai ke penjara ia diseret ke bilik kurungan dengan kata-kata yang kesat, yang tidak wajar dihadapkan kepada binatang, apatah lagi kepada manusia. Mereka mengugut untuk membunuhnya seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh anggota Ikhwan Muslimin, mereka mengugut untuk menanam hidup-hidup seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh orang yang sealiran dengan Zainab Al-Ghazali. Dengan kata-kata yang kasar, ia diheret kebilik kurungan oleh seorang lelaki yang bertubuh besar seperti syaitan hitam. Zainab Al-Ghazali mengesahkan saya berdoa dalam hati saya. "Ya Allah, kurniakanlah ke atas ku ketenangan, dan tetapkanlah pendirian ku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hati ku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan denganperkara yang Engkau redhai".

Itulah yang dapat saya katakan. Kemudian saya terus dimasukkan ke dalam bilik kurungan. Dalam bilik kurungan itu ada dua orang lelaki (syaitan) yang sedang duduk di atas meja membelik-belik buku catitan, yang saya tahu itu adalah buku catitan Syahid Abdul Fatah Ismail. Tahulah saya bahawa Abdul Fatah juga ditangkap ketika itu.

Di waktu itu saya mendengar azan 'Asar... saya bersyukur kerana Allah SWT telah menyelamatkan saya dari "keganasan syaitan". Saya dapat menunaikan sembahyang, dan tiba-tiba datang lagi syaitan durjana, dengan sikap yang kasar dan keras memerintahkan saya ke sel kurungan. Saya diheret ke sel kurungan dan penyeksaan pun bermula. Semasa saya diheret ke sel kurungan, saya melihat dalam sel penjara itu tubuh-tubuh manusia yang diseksa, tahulah saya bahawa mereka dari keluarga Ikhwan Muslimin. Mereka sedang diseksa dan dipukul, memenuhi sel-sel penjara itu. Mereka adalah pemuda-pemuda yang saya sifatkan sebagai anak-anak saya, pemuda yang pernah dan sering datang meminta pengajaran dan nasihat dari saya. Saya berdoa "Ya Allah tetapkanlah pendirian kami, Ya Allah peliharalah kami daripada kejahatan orang-orang yang jahat."

---

Satu lagi bahagian menanti insya-Allah... Atau mungkin dua. Harap pembaca bersabar dan teruskan menanti. Suatu penantian itu menyeksakan, namun kesabaran itu pasti dibalas dengan kemanisan kelak. Wallahualam...

No comments: