Dalam Pak Lah berkobar-kobar mengatakan kerajaan pimpinannya akan lebih telus serta menangani rasuah tanpa mengira darjat, keputusan kajian Transparency International (Malaysia) membuktikan sebaliknya. Kedudukan Malaysia merosot sebanyak 5 anak tangga, manakala indeks persepsi rasuah ataupun lebih sedap didengar, corruption perception index (CPI) naik 0.1.
Saya tak pasti apakah ini petanda negara semakin mundur dan semakin korup. Mungkin ya, mungkin tidak. Terlalu subjektif untuk dibincangkan.
Jika dilihat dengan pelbagai kes yang timbul saban hari; bermula dengan Kes Khairy Jamaludin-ECM Libra-Pantai Holdings, kes penyalahgunaankuasa oleh Majlis Perbandaran (MBPJ, MBSJ, MPK, etc), kes 'pandang sebelah mata' Kastam dan senarainya berturutan sampai ke kes Zakaria Derus yang berjaya membina Istana Pandaran, kita bisa mengatakan negara kita semakin korup.
Jika ingin berfikiran positif dan berprasangka baik; kita boleh menyimpulkan bahawa penambahan 5 buah negara dalam kajian TI menyebabkan Malaysia jatuh 5 anak tangga. Malah kita boleh mengandaikan negara lain bergerak lebih pantas dalam menangani korupsi. Walaupun negara mundur ada yang lebih 'bersih' daripada Malaysia, kita mungkin masih boleh berprasangka baik.
Segalanya mungkin. Dunia sekarang penuh dengan kemungkinan. Malah kemungkinan paling menarik disumpulkan oleh Ramon, Presiden TI, "We are the best among the worst."
Namun yang pasti, tindakan kerajaan menolak cadangan yang dikemukakan oleh TI adalah suatu kesilapan yang disengajakan. Cadangan TI bukanlah susah untuk dilaksanakan. Terlalu mudah, malah dipraktikkan secara meluas oleh negara-negara lain, termasuklah negara mundur.
Berikut antara cadangan mudah TI dalam usahanya memastikan Malaysia semakin 'bersih' seperti diidam-idamkan oleh Pak Lah:
1# Memastikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) di'asing'kan daripada kerajaan. Dengan kata lain, BPR dijadikan sebagai badan bebas. Buat pengetahuan pembaca, pada masa kini, BPR diletakkan dibawah kuasa Perdana Menteri; bermakna BPR perlu melaporkan sebarang aduan mahupun hasil siasatan kepada PM terlebih dahulu. Sekiranya PM mengarahkan BPR menghentikan siasatan, maka terpaksalah close case. Pelik bukan negara Islam Hadhari ini?
2# Sistem tender terbuka untuk projek melibatkan kerajaan. Sistem ini telah lama dicadangkan oleh pelbagai pihak, namun masih gagal dilaksanakan. Dalam beberapa kes melibatkan projek mega, kerajaan lebih suka memberi tender secara direct negotiation. Ataupun kadang- kala tender tertutup dengan dinasihatkan oleh panel konsultan yang kononnya dilantik khas.
Yang menjadikan kes tender ini pelik ialah kemenangan tender kepada syarikat milik keluarga orang kuat kerajaan. Hebat sangat kot syarikat-syarikat tersebut.
3# Pendedahan lebih meluas kepada rakyat, serta kebebasan terhadap media. Ramai rakyat menganggap negara kita mengamalkan kebebasan media, namun realitinya, Malaysia antara negara terkebelakang dalam soal kebebasan media. Lihat sajalah akhbar dan media perdana; siapakah pemegang terbesar sher dalam syarikat-syarikat tersebut? Kalau bukan kerajaan, pasti UMNO dan barisan konconya.Bukankah mudah cadangan TI tersebut? Mengapa kerajaan keberatan untuk menuruti? Pasti ada muslihat tersembuyi. Apakah korupsi memang merupakan budaya rakyat Malaysia? Ataupun korupsi hanya berlaku di peringkat kepimpinan tertinggi negara?
Malah, dalam melaporkan kepincangan kerajaan, berapa banyak akhbar yang berani kedepan? Berapa ramai rakyat yang sedar tentang kes-kes seperti ECM Libra, MBPJ, MPSJ, MPK, dan lain-lain? Persoalannya, bebaskah kita?
Anda nilaikan sendiri. Yang pasti, kajian membuktikan kita semakin 'kotor', bukan semakin 'bersih'. Siapa mahu dipersalahkan? Fikir-fikirkanlah...
Sumber - TheSUN edisi 7 November 2006
No comments:
Post a Comment