Tuesday, November 01, 2005
Adik & Palestin
--
Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi. Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk,walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.
Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya.
Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham..
Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga,lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik. Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik. Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.
Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini. Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk di penjuru masjid,kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid. Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud, adik sujud.
Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi. Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan.
Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang.Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid. Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku.
"Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!"
Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. Adik sebut nama walid berkali-kali.
Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk di penjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid,abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah. Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut.
Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana perginya walid. Diam. Adik Tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk.
"Adik nak ikut walid" Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum. Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu. Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja.Tidak keletah adik dibuatnya. Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan.
Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek. Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam. Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang disangka adik. Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi. Merajuk.
Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menanggis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa. Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menunggu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk
pergi.
Ummi peluk abang,cium abang berkali-kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik. Abang dukung adik,usap kepala adik.
"Adik jaga ummi ya" pesan abang.
"Abang nak pergi mana" tanya adik seperti orang bodoh.
"Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.
Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi. Semuanya adik tidak faham.
"Isra..Israfil." terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat.
"Bukan Israfil. Israfilkan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangka kala. Israel." Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil.
Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang ronggak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.
Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang di kepala adik peristiwa yang menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu. Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju
mereka merah berlumuran darah. Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya.
Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi. Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya dan
suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh.
"Ummi, kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembut rambut adik.
"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan.
"Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi.
Ummi senyum.
"Nabi Muhammad pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar,nabi tak cepat putus asa" sambung ummi lagi.
Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad.
Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Quran. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al-Quran.
"Bismillahirrahmanirrahim.."
Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allah itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran. Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau hendak khatam AlQuran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Umi kata Al-Quranlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik ingin aca Al-Quran hari-hari. Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran. Bacaan adik
terhenti apabila pintu diketuk dan nama Umi dilaung-laungkan dari luar.
"Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid"muncul Mak Cik Fatima di depan rumah.
"Anakmu,anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda. Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak" terang Mak Cik Fatima panjang lebar.
Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil.bukan..Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap. Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang. Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.
Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan. Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri org munafik ialah mungkir apabila berjanji. Adik tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya. Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid, kemudian abang dan akhirnya Jamal.
Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel. Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi. Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak putus-putus menyebut satu kalimah keramat..Ahad..Ahad. Mata adik merah. Adik menahan marah. Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi dengan
tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba.....
"Muhammad!!!!!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik berlumuran darah. Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuhnya untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa. Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit.
"Ummi.adik rasa mengantuk,adik nak tidur.Adik nak jadi mujahid,adik nak ikut walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk,berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran.Adik pejam mata. Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik.
HUDA SOID
[Ya Allah .. please forgive me .. please forgive me .. forgive me ya Allah .. ]
--
Insaf? Kalau belum, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan kita. Mampukah kita menjadi setabah 'adik'? Renung²kan...
Thursday, October 27, 2005
"How to Win Friends & Influence People?"
Kebetulan saya baru menghabiskan pembacaan sebuah buku bertajuk "How to Win Friends and Influence People", karangan Dale Carnegie, seorang pakar dalam Human Relation. Alhamdulillah, buku tersebut banyak mengajar saya tentang kelemahan dan kesilapan saya. Apa yang ditulis dalam buku tersebut adalah perkara yang kita sendiri mudah terfikir, tapi jarang pula kita hendak mengaplikasi. Cukuplah sekadar saya mengambil salah satu ayat daripada buku tersebut,yang lebih kurang bunyinya; Layanlah seseorang itu dengan cara kita mengharapkan kita dilayan.
Kita sukakan pujian, penghargaan. Oleh itu, berikanlah penghargaan kepada mereka yang berhak. Ringankan mulut untuk memberi pujian, yang ikhlas dari hati. Mendambakan pujian dan penghargaan tidak bermaksud kita tidak ikhlas, tetapi akuilah bahawa itu adalah fitrah insani. Tipulah sekiranya anda tidak pernah mengharapkan jasa anda dihargai. Hargailah apa yang orang lakukan untuk anda...
Setiap manusia juga mempunyai ego yang tersendiri. Manusia yang tidak mempunyai ego adalah manusia yang dayus. Sebagai seorang manusia, hormatilah pandangan dan idea orang lain. Walaupun salah, dalam kesalahan itu ada juga betulnya. Cuba fikirkan, mengapa si dia berfikiran begitu? Letakkan diri anda dalam diri si dia, dan jadilah orang yang memahami. Usah mengharapkan orang memahami anda, kitalah yang sepatutnya memahami orang lain. Kerana mengubah diri sendiri lebih mudah daripada mengubah orang lain.
Banyak lagi ilmu yang dikongsi oleh Dale Carnegie dalam buku tersebut. Luangkan masa anda untuk membaca dan memperbaiki diri... Membaca sahaja tidak cukup, tetapi aplikasikan dalam kehidupan seharian sebagai seorang pelajar, pemimpin, mahupun dae'i.
Mahar Cinta....
Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara dihatiku melagukan rindu
Kiranya engkau mampu mentafsirkan
Setiap bait kata² yang terucap
Pasti dirimu kan berbahagia
Harapan kasih yang terbiar
Sekian lama disudut hatiku
Hanyalah untukmu...
Bukanlah aku sengaja
Melindungi rasa dijiwa
Namun bimbang diri kan terleka
Hanyut dibuai angan
dan mimpi indah hingga terabai segala cinta
Sedang kahayalan tak menjanjikan
Segunung kebahagiaan
Sebagai mahar hantaran
Apakah mungkin engkau mengerti
Setiap cinta yg dilafazkan
Bukan sekadar mainan
Tetapi sebuah janji
Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara dihatiku melagukan rindu
Kiranya engkau bisa mentafsirkan
Setiap bait kata² yang terucap
Pasti dirimu dapat melihat
Rahsia kasih yg terpendam sekian lama
di sudut hatiku
Hanyalah untukmu...
Selamanya...
Cukup mengamit perasaan. Heheh... Apapun, segalanya bergantung kepada kebijaksanaan kita untuk menepis godaan syaitan dan hawa nafsu. Hanya mereka yang mempunyai keimanan dan ketaqwaan yang utuh terhadap-Nya mampu menghadapinya dengan tenang. Janganlah kita menjadi mereka yang hanyut dalam keasyikan dibuai perasaan.
Sajak buat sahabat seperjuangan...
Bunga itu menguntum indah,
Menyeri dan mekar memerah,
Dipuji dengan berbagai-bagai madah,
Esoknya bunga itu gugur ke tanah,
Serpih demi serpih ia punah,
Tanpa daun dan kelopaknya musnah.
Sahabatku...
Engkau bukan layu seperti bunga,
Dan aku bukan kumbang yang akan mengambil madunya,
Lambang bunga lambang sementara cuma,
Tetapi perjuangan kita tiada penghujungnya,
Daerah kita bukan daerah cinta,
Bukan masanya untuk memujuk kasih asmara,
Tiada senda gurau memanjang yang meleka,
Kerana kita dalam memperjuangkan agama.
Sahabatku..
Disini uda dan dara telah berkubur,
Kita bina atasnya jihad yang subur.
Ingatlah sahabat...
Bumi kita bumi yang payah,
Penuh peluh, air mata dan mungkin darah,
Bila kita jejak tapaknya perlu punyai wadah,
Ikuti dibelakang ulama' supaya tak goyah,
Bila dikatakan pada mu: Perjuangan itu amat susah,
Kau katakanlah kembali: Aku mengharap hanya keredhaan dari Allah.
Sahabatku...
Semalam telah layu sekuntum bunga,
Telah gugur dari jambangannya,
Tetapi itu bukan perjuangan kita,
Bukanlah itu sebagai lambangnya,
Mulut telah kaku untuk bertanya,
Hati malu untuk memikirkannya,
Tidak seperti dahulunya,
Kita kuat berhujah dan bersuara.
Ingatlah sahabatku..
Kerana dulu dan kini kita tetap seorang mujahid,
Yang merindukan dan memburu syahid,
Maaf kiranya tuturku yang pahit.
Senyumlah sahabat..
Senyumlah dan serilah wajah,
Walau pudar dan hambar datang tak sudah,
Belajarlah menjadi seorang mujahid dan mujahidah,
Doaku agar kita berani seperti Hamzah,
Malah punyai semangat seperti Sumaiyah.
_________________
jadilah sahabat yang baik...
Memang sudah menjadi fitrah semulajadi manusia ingin berkawan dan bersahabat.
Sahabat sejati ialah yang sentiasa bantu membantu dalam mengerjakan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Binalah nilai seorg sahabat yg baik..
Monday, October 03, 2005
Malam menifesto!
Ucapan yang disampaikan oleh lebih kurang 15 orang calon (termasuk 6 yang telah menang tanpa bertanding) jelas memperlihatkan kepelbagaian gaya. Bak kata seorang calon, "Creativity in diversity" di mana saya amat bersetuju dengan kata²nya. Ramai antara ahli pemikir mengatakan bahawa "team" yang terbaik adalah yang terdiri dari pelbagai gaya kepemimpinan. Insya-Allah, itu yang kita harapkan.
Saya tertarik dengan soalan² yang dikemukan pada malam tersebut. Dan Alhamdulillah, saya merupakan calon yang paling banyak disoal. Saya bersyukur kerana dengan soalan tersebut, saya dapat membuktikan dua perkara; MPPUTP 2004/2005 telah menjalankan tugas dengan sebaik mungkin, walaupun terdapat sedikit kelemahan. Dan yang kedua, mereka yang bertanya adalah mereka yang 'jahil' kerana kurangnya kesedaran mereka.
Kita lihat perkara kedua. Bagi saya. mereka seperti 'Bangau oh bangau' yang menuding ke sana sini tetapi tidak mahu melihat kelemahan diri sendiri. Mereka ibarata manusia yang sentiasa inginkan tongkat, seperti kebanyakan orang MELAYU. Sentiasa nak disuap. Usaha dari diri sendiri tidak ada. Yang ada hanyalah sifat PHD (perasaan hasad dengki) dan hendak menjatuhkan orang lain.
Mereka ini tidak berani untuk sendiri menjadi calon atas alasan, "Aku tau aku tak mampu", "Aku tak gila kuasa" dan lain². Kalau tau diri tak mampu, maknanya mereka tau tanggungjawab sebagai MPP itu berat dan mereka sendiri sekiranya menjadi MPP pasti lagi teruk. Mereka yakin tentang itu. Tetapi, mereka masih mahu mengutuk MPP atas dasar PHD mereka, busuk hati yang selalu sangat dimiliki oleh orang MELAYU yang ISLAM.
Bila bicara bab Gila Kuasa pula... Lebih menyedihkan. Sekiranya nak kata mereka yang hendak menjadik MPP itu gila kuasa, maknanya tidak perlu ada pemimpinlah. Lagi mudah. Sekurang²nya mereka yang bertanding, ada inisiatif untuk membantu mewakili pelajar, walaupun tahu itu tanggungjawab yang berat. Mereka sanggup dimaki, dicaci, dihina dan lain² semata² untuk kepentingan pelajar yang lain. Tapi masih ada yang busuk hati tak terkata ini menuduh calon² ini gila kuasa. Pelik bin ajaib sikap orang MELAYU ISLAM ini.
Inilah yang saya kira, kurangnya kematangan dalam diri mahasiswa UTP yang MELAYU ini... Walaupun ada yang merupakan anak kepada Presidan sebuah pertubuhan ISLAM terkemuka. Sebab itulah dalam sebuah lagu Raihan, mengatakan "iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang beriman". Sungguh mengecewakan.
Apapun, saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang berani untuk bertanding dan memikul amanah yang kelak, ALLAH akan persoal di akhirat. Meletakkan sebelah kaki di neraka bukannya benda yang main². Menjadi pemimpin ibarat antara syurga dan neraka. Namun, tidak semua yang faham. Malah ada yang faham, tapi buat² tak faham. Biarlah ALLAH yang membalasnya. Moga mereka kelak memperoleh hidayah.
Wassalam.
Wednesday, September 28, 2005
Pilihanraya Kampus...
Sejarah yang lepas membuktikan bahwa kerusi umum biasanya akan direbut oleh ramai orang, disebabkan jawatan yang ditawarkan lebih menarik, iaitu Majlis Tertinggi. Manakala kerusi program hanya menawarkan jawatan exco. Apapun, sama²lah kita saksikan pertandingan yang bakal memeriahkan kampus UTP.
Saya sendiri tidak ketinggalan untuk bertanding pada pilihanraya kali ini, atas kesedaran bahawa apa yang saya perolehi sepanjang pemerintahan MPP yang lepas dan juga sepanjang memacu Convofair 2005 perlu dikongsi bersama pimpinan yang baru. Adalah sesuatu yang tidak adil; zalim sekiranya saya mengandaikan kesempatan yang Allah beri untuk saya menimba pengalaman adalah sekadar untuk disimpan seorang diri.
Menifesto saya insya-Allah; mewujudkan masyarakat glokal, ataupun istilah inggerisnya, "Glocal Society" di mana konsep ini diperkenalkan oleh Dato' Seri Najib dalam perhimpunan agung UMNO yang lepas. Tidak bermakna saya menyokong UMNO, tetapi bagi saya, konsep masyarakat glokal ini merupakan suatu konsep yang sepatutnya wujud di mana² tempat di Malaysia. Berfikiran secara global (tidak telalu jumud) sambil tidak melupakan nilai² tempatan (iaitu local value) perlu dipupuk.
Walau bagaimanapun, kemenangan saya merupaka suatu yang tidak pasti. Sekiranya terpilih, bermakna Allah mentakdirkan saya untuk sekali lagi memimpin, sekali lagi meletakkan sebelah kaki saya dalam neraka. Kepimpinan bukan sesuatu untuk dibanggakan, untuk digilakan, tetapi ia suatu amanah yang dijanjikan dengan pahala yang besar (sekiranya amanah dijalankan dengan baik), juga dijanjikan dengan dosa yang besar (sekiranya leka dan lalai dengan amanahnya).
Akhirul kalam, doakan kemenangan mereka yang memperjuangkan kebenaran, yang memperjuangkan apa yang telah Allah wahyukan pada junjungan mulia kita Rasulullah (s.a.w.)...
Wassalam
Friday, September 23, 2005
Apakah itu kepemimpinan?
Yang pertama, rasionalnya adalah kerana pada ketika itu baru tamatnya Pesta Konvo 2005 yang saya sendiri menjadi Ketua Pengarahnya. Selain itu pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar UTP juga di sekitar waktu itu. Maka saya menggunakan kesempatan tersebut untuk menyedarkan 'anak buah' a.k.a AJK untuk memahamkan mereka, mengapa kadang² pemimpin ini sangat melecehkan kerana, ada ketikanya, malah selalu mereka tidak dapat melihat tujuan tindakan yang dilakukan oleh sang ketua ini.
Sebab kedua adalah kerana saya berharap dapat berkongsi kata² Lao Tsu tersebut yang saya kira sangat mendalam pengajarannya, itupun untuk mereka yang inginkan pengajaran.
Apa pengajarannya? Janganlah cepat menyalahkan pimpinan atas tindakan tertentu, tapi muhasabah diri dan cuba lihat apa rasional disebalik tindakan pimpinan itu. Jika tidak dapat mencari sendiri, ambillah inisiatif untuk bertanya. Tidak rugi bertanya untuk menjernihkan suasana. Wallahualam.
Monday, September 19, 2005
Bahang Pilihanraya Kampus Mula Terasa...
http://www.pakdi.com/blog/surat/archives/2005/09/amin_idris_berb.html
dan
http://www.pakdi.com/blog/surat/archives/2005/09/campus_election.html
Kalau mempunyai daya usaha yang lebih, anda dapat mengetahui lebih banyak kebenaran yang tersembunyi. Believe me....
Friday, September 02, 2005
Pemimpin; Mengajar dan diajar.... (Part 2)
Pemimpin yang terbaik menurut Lao-tsu adalah yang tidak disedari kewujudan mereka. Mengapa? Bukankah lagi bagus orang sedar seseorang itu pemimpin? Menurut Lao-tsu, pemimpin sebegini tidak disedari kewujudannya kerana mereka lebih banyak 'memerhati' dan memberi kepercayaan kepada pengikut mereka. Sekiranya memerlukan campur tangan (bantuan), barulah pemimpin jenis ini 'turun padang'. Bermakna, mereka inginkan pengikut mereka belajar... bukan bermakna mereka ini pemimpin yang malas dan hanya tahu mengarah itu dan ini. Dan inilah cara yang terbaik untuk melatih orang. Hands on skill...
Seterusnya Lao-tsu menyambung "pemimpin yang disanjung...". Beliau meletakkan kedudukan sebegitu kerana beliau melihatkan bahawa pemimpin memikul, bukan sahaja tanggungjawab untuk memimpin tetapi juga tanggungjawab untuk melatih pelapis² yang layak untuk menggantikannya. Adalah suatu pembaziran sekiranya pemimpin tidak melatih generasi baru untuk turut menjadi pemimpin.
Lao-tsu juga menyebut berkenaan pemimpin yang ditakuti dan juga dibenci... Dibenci dan ditakuti juga sifat pemimpin? Bukan semua... Kita perlu memahami bahawa terdapat pelbagai gaya kepemimpinan yang berbeza yang perlu diaplikasikan mengikut situasi yang berbeza. Dan tidak dinafikan, ada pemimpin yang lebih suka menggunakan gaya yang menekan, yang akhirnya menyebabkan beliau dibenci. Walhal, matlamat beliau hanyalah untuk mendisiplinkan pengikutnya disamping melatih cara pengurusan stress. Bukan semua orang berpeluang untuk belajar mengawal tekanan. Cara yang terbaik adalah untuk merasai sendiri tekanan tersebut dan kemudian memuhasabahkan diri; mencari kelemahan kita sewaktu kita ditekan.
Yang terakhir yang disebut oleh Loa-tsu adalah;
When the best leader's work is done, the people say,
"We did it ourselves!"
Ini menunjukkan bahawa, bila mana berakhirnya tugasan tersebut, setiap orang merasakan bahawa hasil yang diperoleh merupakan hasil titik peluh mereka sendiri. Mereka berjaya merasai kebersanaan mereka dalam menentukan kejayaan tugasan tersebut. Oleh kerana usaha merekalah, tugasan itu berjaya. Dan itulah yang seorang pemimpin mahukan... Beliau mahukan pengikutnya merasakan bahawa kejayaan itu terletak pada tangan pengikutnya, bukan tangan beliau. Tugas pemimpin hanya menjadi pemerhati ataupun dalam erti kata lain, menjadi pelatih@pengajar. Sekiranya asyik nak diberikan 'tongkat', sampai bilapun seseorang itu tidak akan mampu untuk berdikari... Percayalah...
Mengapa saya membawa topik ini? Akan saya kupas dalam penulisan yang akan datang...
Thursday, September 01, 2005
Pemimpin; Mengajar dan diajar....
As for the best leaders, the people do not notice their existence.
The next best, the people honor and praise.
The next, the people fear;
and the next, the people hate ...
When the best leader's work is done, the people say,
"We did it ourselves!"
- Lao-tsu
Begitulah kata² pujangga daripada seorang ahli falsafah China yang terkemuka. Faham tak maksud disebalik kata²nya?
Mengapa dikatakan, "To lead people, walk beside them" bukan "walk in front of them"? Mengapa pula dikatakan pemimpin yang terbaik adalah pemimpin yang tidak disedari kewujudan mereka? Diikuti oleh yang disanjung dan dihormati kemudian yang ditakuti kemudian yang dibenci. Apakah benar seorang yang ditakuti mahupun dibenci itu boleh menjadi pemimpin?
Mengapakah pula kata²nya diakhiri oleh, "When the best leader's work is done, the people say, "We did it ourselves!""? Apakah seorang pemimpin itu tidak ada sebarang sumbangan? Ataupun terlalu kecil sehingga tidak ternilai dek orang? Pelik... Tapi tersirat seribu satu kebenaran disebalik kata² Lao-tsu tersebut....
Inilah penjelasan yang menurut kefahaman akal saya yang serba kekurangan...
Yang pertama, mengapa dikatakan seorang pemimpin itu perlu berjalan 'di sebelah' bukan 'di hadapan'? Sekiranya pemimpin itu berjalan di hadapan, bagaimana mungkin beliau ingin mengajar pengikutnya? Sebaliknya pengikutnya hanya mengikut apa yang dilakukan oleh pemimpin tanpa memahami mahupun mempelajari apa². Oleh sebab itulah, Lao-tsu mengatakan, pemimpin perlu jalan 'di sebelah' untuk mengajar sekaligus memerhati apa yang dilakukan oleh pengikutnya. Sekiranya salah, boleh dibetulkan. Bukan begitu?
to be continued....
Tuesday, August 30, 2005
Pengakhiran suatu perjuangan...?
Berakhirnya Convofair belum bererti perjuangan telah berakhir. Perjalanan masih jauh. Jika hendak diandaikan perjuangan itu sebagai suatu pohon yang merimbun, Convofair hanyalah salah satu daun pada pohon tersebut. Kecilkan? Tetapi itulah realitinya. Justeru itu, kita tidak boleh terlalu gembira dengan berakhirnya Convofair 2005, tetapi kita harus terus bersedia, menanti dan mencari peluang untuk meneruskan perjuangan.
Bersyukurlah sekiranya kita terpilih kerana kita diberi peluang untuk membantu... Malah kita perlu memberikan yang terbaik dan membuktikan kita adalah yang terbaik dan selayaknya berada diposisi tersebut. Jangan kita menjadi fitnah disebabkan memegang posisi tersebut. Faham tak? Kalau kurang faham, jangan malu bertanya. Malu bertanya, sesat jalan nanti... Moga Allah menunjukkan jalan yang lurus buat kita semua. Wallahualam...
Sunday, February 04, 1990
Tabung Bantuan Penyakit; Jawapan Soi Lek Tidak Bertimbang Rasa
Kali ini isu ditimbulkan oleh Mohamad Arif Samsudin, 58, apabila terpaksa membelanjakan RM3.8 juta untuk membiayai kos rawatan anaknya. Duit tersebut hasil gadaian rumahnya, barang² kemas isterinya dan juga kerja² sampingan. Kos rawatan anaknya untuk sebulan menjangkau RM25000 untuk balang gas dan lain-lain.
Namun, bila isu ini dihebohkan, jawapan daripada Menteri Kesihatan agak mengecewakan dan bagi saya, kurang ajar.
KUALA LUMPUR 3 Feb. - ``Kalau dia boleh keluarkan belanja RM3.8 juta untuk rawatan anaknya, bolehkah dia ditakrif sebagai golongan tidak mampu?'' kata Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek.
Katanya lagi: ``(Walaupun terpaksa menjual rumah untuk mengumpul kos rawatan) kalau dia golongan tidak mampu, dia tidak akan ada rumah pun.
``Ini bukan soal birokrasi, ia adalah mengikut syarat ditetapkan kerajaan.''
Soi Lek berkata demikian ketika ditanya mengenai kes seorang pesara kerajaan yang gagal sebanyak tiga kali untuk mendapatkan bantuan Tabung Bantuan Penyakit (TBP) bagi membiayai kos rawatan anaknya yang menghidap penyakit paru-paru gagal berfungsi.
Kegagalan itu memaksa Mohamad Arif Samsudin, 58, menjual harta benda termasuk rumahnya dan menagih bantuan pelbagai pihak untuk merawat anaknya, Khadijah Hanim, 19, yang kini bertahan hidup atas bantuan ubat khas dan balang oksigen.
Berita penuh - TBP: Soi Lek persoal kemampuan pemohon
Tidak menghairankanlah sekiranya untuk tahun hadapan, Tabung Bantuan Penyakit masih tidak berjaya dipohon oleh mereka yang memerlukan. Kereneh birokrasi dan sikap menterinya yang kejam lagi tidak berhati perut amat mengecewakan. Saya berharap agar Pak Lah masuk campur juga dalam menyelesaikan hal ini. Biarlah rakyat diberi bantuan selayaknya. Janganlah terlalu kejam.KUALA LUMPUR 3 Feb. - Bapa Khadijah Hanim, gadis yang menderita penyakit paru-paru gagal berfungsi menjelaskan, wang RM3.8 juta yang dikumpulkan untuk anaknya adalah perbelanjaan yang telah digunakan sejak tahun 1997.
``Ini bukan soal mampu atau tidak, seorang menteri sekali pun jika berada dalam keadaan saya, mereka pun tidak mampu menanggung beban ini,'' kata Mohamad Arif Samsudin, 58, yang menjawab alasan Kementerian Kesihatan yang meminggirkan permohonannya untuk mendapatkan pembiayaan Tabung Bantuan Penyakit (TBP).
Beliau yang ternyata kecewa dengan kementerian itu yang seolah-olah meminggirkan permohonannya atas alasan beliau seorang yang berkemampuan, berkata:
``Walaupun saya ada sedikit harta sebelum ini tetapi semuanya telah dihabiskan untuk membiayai kos rawatan anak saya sejak 1997.''
Menurutnya, beliau terpaksa `bergolok bergadai' sehingga menjual rumah dan barang kemas termasuk cincin perkahwinan, membuat pinjaman Mara dan Bank Rakyat serta berniaga sampai ke Singapura untuk mencari wang. (Sila lihat grafik)
Berita penuh - `RM3.8 juta dibelanja sejak 1997'
Bersama-samalah kita nantikan jawapan² daripada menteri² lain. Adakah mereka akan bertimbang rasa, ataupun sekadar manambahkan penderitaan Mohamad Arif Samsudin. Wallahualam.
Rujuk juga -
Tabung Bantuan Penyakit; Jawapan Soi Lek Tidak Bertimbang Rasa
Kali ini isu ditimbulkan oleh Mohamad Arif Samsudin, 58, apabila terpaksa membelanjakan RM3.8 juta untuk membiayai kos rawatan anaknya. Duit tersebut hasil gadaian rumahnya, barang² kemas isterinya dan juga kerja² sampingan. Kos rawatan anaknya untuk sebulan menjangkau RM25000 untuk balang gas dan lain-lain.
Namun, bila isu ini dihebohkan, jawapan daripada Menteri Kesihatan agak mengecewakan dan bagi saya, kurang ajar.
KUALA LUMPUR 3 Feb. - ``Kalau dia boleh keluarkan belanja RM3.8 juta untuk rawatan anaknya, bolehkah dia ditakrif sebagai golongan tidak mampu?'' kata Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek.
Katanya lagi: ``(Walaupun terpaksa menjual rumah untuk mengumpul kos rawatan) kalau dia golongan tidak mampu, dia tidak akan ada rumah pun.
``Ini bukan soal birokrasi, ia adalah mengikut syarat ditetapkan kerajaan.''
Soi Lek berkata demikian ketika ditanya mengenai kes seorang pesara kerajaan yang gagal sebanyak tiga kali untuk mendapatkan bantuan Tabung Bantuan Penyakit (TBP) bagi membiayai kos rawatan anaknya yang menghidap penyakit paru-paru gagal berfungsi.
Kegagalan itu memaksa Mohamad Arif Samsudin, 58, menjual harta benda termasuk rumahnya dan menagih bantuan pelbagai pihak untuk merawat anaknya, Khadijah Hanim, 19, yang kini bertahan hidup atas bantuan ubat khas dan balang oksigen.
Berita penuh - TBP: Soi Lek persoal kemampuan pemohon
Tidak menghairankanlah sekiranya untuk tahun hadapan, Tabung Bantuan Penyakit masih tidak berjaya dipohon oleh mereka yang memerlukan. Kereneh birokrasi dan sikap menterinya yang kejam lagi tidak berhati perut amat mengecewakan. Saya berharap agar Pak Lah masuk campur juga dalam menyelesaikan hal ini. Biarlah rakyat diberi bantuan selayaknya. Janganlah terlalu kejam.KUALA LUMPUR 3 Feb. - Bapa Khadijah Hanim, gadis yang menderita penyakit paru-paru gagal berfungsi menjelaskan, wang RM3.8 juta yang dikumpulkan untuk anaknya adalah perbelanjaan yang telah digunakan sejak tahun 1997.
``Ini bukan soal mampu atau tidak, seorang menteri sekali pun jika berada dalam keadaan saya, mereka pun tidak mampu menanggung beban ini,'' kata Mohamad Arif Samsudin, 58, yang menjawab alasan Kementerian Kesihatan yang meminggirkan permohonannya untuk mendapatkan pembiayaan Tabung Bantuan Penyakit (TBP).
Beliau yang ternyata kecewa dengan kementerian itu yang seolah-olah meminggirkan permohonannya atas alasan beliau seorang yang berkemampuan, berkata:
``Walaupun saya ada sedikit harta sebelum ini tetapi semuanya telah dihabiskan untuk membiayai kos rawatan anak saya sejak 1997.''
Menurutnya, beliau terpaksa `bergolok bergadai' sehingga menjual rumah dan barang kemas termasuk cincin perkahwinan, membuat pinjaman Mara dan Bank Rakyat serta berniaga sampai ke Singapura untuk mencari wang. (Sila lihat grafik)
Berita penuh - `RM3.8 juta dibelanja sejak 1997'
Bersama-samalah kita nantikan jawapan² daripada menteri² lain. Adakah mereka akan bertimbang rasa, ataupun sekadar manambahkan penderitaan Mohamad Arif Samsudin. Wallahualam.
Rujuk juga -