Monday, August 21, 2006

Pemimpin; Keterbukaan Dalam Menerima Kritikan

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca budiman. Merujuk kepada dua post terbaru saya berkenaan dengan Ust Asri Zainal Abidin dan juga Surat Terbuka GAMIS, ramai yang 'pm' saya bertanyakan hal sebenar dan tak kurang juga yang menyatakan bantahan terhadap penulisan saya tersebut. Pertama sekali, saya memohon maaf kerana tidak dapat seperti biasa, meletakkan link ke artikel tulisan Ust Asri, insya-Allah sedang diusahakan.

Alasan mereka, Ust Asri merupakan seorang Ustaz yang tersohor dan diyakini ramai kerana usahanya menewaskan Astora Jabat, selain kepakarannya dalam bidang hadith. Dan mereka tidak pernah mendengar atau membaca sebarang artikel beliau yang mengelirukan, semuanya benar sebenar-benarnya. GAMIS pula merupakan penaung bagi Mahasiswa Islam, jadi kritikan terhadap GAMIS dirasakan ibarat mengkritik Mahasiswa Islam seluruhnya. Juga ada yang mengatakan tidak wala' dan taatnya saya terhadap kepemimpinan GAMIS sampai mengkritik GAMIS secara terbuka.

Saya menerima segala kritikan dan komen yang diberi dengan lapang dada. Dan Alhamdulillah, saya berjaya menerangkan sedikit sebanyak 'basis' apa penulisan saya dibuat. Saya pasti, ada antara pembaca yang tidak berpeluang untuk 'pm' saya kerana kurangnya info. Maaf kerana saya merasakan kerahsiaan identiti saya sebagai penulis blog ini sesuatu yang penting, apatah lagi dalam ura-ura akan adanya Ops Lalang II. Malah kehangatan perbincangan tentang akta-akta untuk memastikan kebebasan blog disekat turut mengusarkan hati saya. Apapun, saya berserah pada ALLAH yang MAHA BERKUASA.

Merujuk kepada kritikan dan komen tersebut, saya ingin menyatakan di sini bahawa 'basis' penulisan saya adalah kebebasan untuk memberikan pendapat dalam semua isu, dengan bersandarkan sumber-sumber tertentu yang boleh dipercayai. Rujuklah penulisan-penulisan saya sebelum ini; hampir 90% adalah bersumberkan berita-berita daripada media berdaftar negara. Malah selalunya saya akan sertakan link-link ke laman tersebut supaya mudah untuk pembaca menilaikan sendiri kebenarannya.

Saya bukanlah seperti pihak-pihak tertentu yang suka mengambil sebahagian daripada ucapan ataupun berita lalu mengolahnya dan menuduh sumber tersebut sebagai salah dan sebagainya. Saya ambil sumber yang original, lalu memberi komen peribadi yang saya akhiri dengan 'tak wajib betul, harus salah' juga 'Wallahualam'. Penulisan saya tak dapat lari daripada turut di komen. Lumrah dunia, tidak ada yang sempurna.

Berkenaan dengan persoalan wala' atau ketaatan kepada kepemimpinan mana-mana organisasi, saya berpendirian bahawa dalam membuktikan ketaatan, tidak semestinya dengan menjadi PAK ANGGUK. Sentiasa setuju semata-mata dengan kepemimpinan tidak semestinya bermakna anda TAAT, ia boleh juga bermakna anda PENGAMPU ataupun TAKLID BUTA. Ahli bawahan berhak untuk memberi komen dan kritikan terhadap kepemimpinan mana-mana organisasi. Namun biarlah ia kritikan yang membina ke arah memperkasa organisasi.

Merujuk kepada salah satu artikel dalam Majalah I bulan Ogos, salah seorang penulis menulis tentang kesilapan sikap majaroti ahli gerakan dakwah yang gagal memahami konsep sebenar wala'. Akhir-akhir ini, kebanyakan ahli gerakan dakwah terpengaruh dengan sikap PAK ANGGUK ahli UMNO. Setiap tindakan pemimpin gerakan dirasakan benar. Walhal, realitinya, mereka sama seperti kita, mereka juga manusia biasa, bukannya NABI atau RASUL yang dipandu oleh WAHYU ILLAHI. Mereka tidak maksum. Bermakna, mereka juga melakukan kesilapan.

Saya sendiri melakukan banyak kesilapan, dan pada hemat saya, kritikan dan cemuhan yang saya terima adalah untuk muhasabah diri ini menjadi insan yang lebih sempurna. Oleh itu, saya mengharapkan sidang pembaca mengubah 'mind set' masing-masing. Wujudkan budaya pemikiran kritis dan kreatif ke arah menjana kegemilangan dan kemantapan gerakan dakwah. Hilangkan kelesuan yang sekian lama membelenggu kebanyakkan kampus.

Ambillah iktibar dari kisah sirah; sebagaimana Khalifah Umar pernah ditegur dalam perihal menetapkan mas kahwin, begitu juga kepemimpinan gerakan perlu membenarkan diri dikritik. Apakah ada kepemimpinan mana-mana gerakan yang merasakan dirinya lebih hebat daripada Khalifah Umar? Mungkin contoh tersebut terlalu extreme, saya ambil contoh kepemimpinan Parti Islam Se-Malaysia. Mereka sentiasa terbuka kepada kritikan daripada ahli bawahan. Adakah ahli yang mengkritik tersebut dikira tidak wala'?

Bagi saya, semakin lantang seorang mengkritik kepemimpinan sesuatu gerakan, bermakna semakin sayang ia kepada gerakan tersebut. Ini kerana ia sangat ingin melihatkan gerakan tersebut makin maju dan mantap. Ia sentiasa ingin menyampaikan pandangannya yang dirasakan perlu untuk diketahui. Malah ada yang mengatakan, biasanya golongan-golongan yang suka mengkritik inilah yang akan menjadi tulang belakang gerakan apabila gerakan tersebut ditujah dan dibelasah lawan.

Apapun, anda nilaikan sendiri. Saya hanya memberi pendapat dengan dalil-dalil akli yang harapnya mudah difahami. Semoga sedikit sebanyak anda faham prinsip penulisan saya. Saya serahkan kepada anda untuk membaca dan menyebarkan informasi yang anda perolehi daripada blog ini. Sekiranya membawa kebaikan, anda akan turut mendapat habuan. Sekiranya khilaf dan silap, moga ALLAH mengampuni saya yang lemah ini.

Sekian, tak wajib betul, harus salah. Segalanya terserah pada ALLAH. Wallahualam...

No comments: