Thursday, August 24, 2006

TheSUN; Pembongkaran Berterusan!

Sejak memulakan kerja di Kuala Lumpur, saya berpeluang membaca akhbar harian percuma, TheSUN. Walaupun berita yang dimuatkan tidaklah sebanyak akhbar-akhbar utama, tetapi cukuplah sekadar santapan minda. Sekurang-kurangnya ada bahan untuk dibaca oleh warga kota yang sibuk dengan pelbagai urusan harian. TheSUN boleh dilihat dibaca oleh hampir 50% penumpang LRT sewaktu ke tempat kerja. Bukankah ini secara tak langsung menggalakkan budaya membaca? Alhamdulillah...

Penulisan ini tidak bermaksud memuji setinggi langit akhbar TheSUN tersebut. Kerana, secara peribadi, saya merasakan ada pro N cons akhbar tersebut. Seperti mana dalam kes Ust Asri (Rujuk Ust Asri Zainal Abidin; Kekeliruan yang Disengajakan dan Lubnan Dibela, Palestin Terus Terseksa; Mengapa?); prinsip saya, ambil yang baik, tinggalkan yang buruk. Kita perlu menggunakan segala peluang yang ada untuk meraih sebanyak mungkin informasi. Apatah lagi dalam dunia hari ini. Semuanya bergerak terlalu pantas.

Berbalik kepada tajuk post kali ini, saya yakin ramai daripada anda tidak berpeluang menyelak akhbar percuma ini selalu. Jadi, saya berhajat menyampaikan kepada anda isu-isu hangat yang berjaya dibongkar (setakat ini) oleh TheSUN. Pelbagai isu ingin saya kongsikan dengan anda, namun biarlah sedikit demi sedikit. Harap anda mampu bersabar.

1# Isu Penyerahan Hak Monopoli Papan Iklan di Petaling Jaya

Isu ini hanya terpampang di dada akhbar utama sekali dua kemudiannya sepi setelah Khir Toyo menafikan berita tersebut. Akhbar utama terus mengiyakan kata-kata Khir Toyo, manakala TheSUN meneruskan siasatan kerana mereka yakin Khir Toyo menipu. Ini berdasarkan bukti-bukti yang mereka perolehi. Malah, majoriti boleh menilai prestasi Khir Toyo yang terkenal kerana penipuan dan korupsi dalam negeri paling maju di Malaysia.

Hasil siasatan, TheSUN berjaya mengemukakan bukti-bukti penipuan Khir Toyo dengan menunjukkan kepada ramai surat-surat yang dikeluarkan dan ditandatangani oleh mereka yang berkuasa di MBPJ. Akhirnya, kes monopoli papan iklan selama 15 tahun kepada Bernam Kiara berjaya dibuktikan. Apa reaksi Khir Toyo? Hasil siasatan, terbukti pegawai terbabit telah meluluskan sesuatu yang tidak dibincangkan dalam mesyuarat exco.

Sudah pasti ramai menjangkakan pegawai tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib ataupun dibawa ke muka pengadilan. Bukan begitu? Namun, mengejutkan ramai, Khir Toyo enggan mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai terbabit. Alasan Khir, pegawai terbabit mempunyai niat yang baik, iaitu untuk mempercepatkan proses pembinaan jambatan (kalau tak silap saya). Lucu bukan? Tindakan ini telah dipertikaikan oleh TI, Transparency International (kalau tak silap saya). Malah, ramai tidak bersetuju dengan tindakan Khir itu.

Persoalan yang dibangkitkan, apakah kerana mempunyai niat yang baik, maka tindakan meluluskan sesuatu di luar mesyuarat dibenarkan? Apakah Khir benar-benar mempunyai kredibiliti untuk mentadbir Selangor? Sedangkan kerja-kerja exco dan pegawainya sendiri belum termampu dikawal, apatah lagi untuk mengawal sebuah negeri. Nampaknya Khir Toyo sama seperti Pak Lah; telah tibanya zaman-zaman kejatuhan.

Siapa akan menjatuhkan mereka? Sukar untuk mengharapkan mahkamah bertindak adil dalam soal ini. Andalah yang menentukannya. Bagaimana? Pilihanraya ke-12 bakal berlangsung tak lama lagi. Menurut sumber yang boleh dipercayai, mungkin akhir tahun ini. Apapun, ia akan diadakan dalam MASA TERDEKAT. Jadi tunaikanlah tanggungjawab anda.

Saya tidak mampu untuk menghuraikan secara panjang lebar perihal pembongkaran kes 1# ini. Terlalu panjang. Anda yang berminat, rujuklah TheSUN Online untuk mengetahui lebih lanjut. Saya berhasrat membekalkan link terus ke artikel berkenaan, namun menghadapi masalah untuk membuka laman webnya. Insya-Allah sekiranya berjaya, saya akan memberikan link terus ke artikel berkenaan.

2# Pemberian Lesen Penghapusan Serangga di Subang Jaya

TheSUN telah membongkar korupsi pemberian lesen penghapusan serangga (Pesticide) kepada beberapa syarikat yang tidak diiktiraf dalam bidang menghapuskan serangga. Malah, peniaga-peniaga yang berkenaan perlu mendapatkan sijil daripada syarikat-syarikat yang diberi lesen ini.

Pelik, dalam banyak-banyak syarikat yang diiktiraf, kenapa mesyuarat, atau pihak berkuasa memilih syarikat yang tidak diiktiraf tersebut. Malah, hasil siasatan TheSUN membuktikan bahawa, keenam-enam syarikat tersebut mempunyai lembaga pengaruh yang disertai oleh orang yang sama. Bertambahlah memelikkan. Apa nak jadi dengan Khir Toyo? Terlalu banyak korupsi!

Kes ini masih dalam siasatan, belum dibongkari sepenuhnya. Saya yakin, TheSUN akan mendedahkan sedikit demi sedikit korupsi yang berlaku ini. Sama-samalah kita nantikan jawapan lucu daripada Khir Toyo. Benarlah bagai dikata, 'Bapak borek anak rintik'. Pak Lah dan menterinya sama saja, tidak pandai menjawab soalan.

Insya-Allah saya akan berusaha mendapatkan link terus ke artikel berkaitan. Doakanlah saya dipermudah-Nya.

Akhirul kalam, bertemu dalam penulisan akan datang. Suburkan budaya membaca dalam jiwa. Moga kita diketemukan dengan kebenaran demi kebenaran. Sekian, tak wajib betul, harus salah. Wallahualam...

No comments: