Saturday, January 06, 2007

Islam Dicabar Lagi!

Berita yang tidaklah terkini, cuma baru saya berkesempatan untuk menulisnya. Berkesempatan kerana saya baru teringatkan isu ini yang masih lagi panas. Kes yang sudah agak tertangguh di Mahkamah Persekutuan akhirnya diputuskan hari Khamis lepas (2/1/2007).

Secara jujur, saya kurang pasti kes yang dibicarakan ini. Apa yang saya tahu, pesalah merupakan seorang yang telah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas kesalahan menyampaikan ajaran sesat dengan mengaku sebagai 'nabi'.

Si pesalah ini, Abdul Kahar Ahmad, 56, dari Kampung Kemensah, Ampang kemudiannya telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar beberapa peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor. Dengan dibantu peguam yang kononnya Islam, Malik Imtiaz Sarwar, si nabi palsu ini berjaya.

Pada 17 Ogos 2005, Abdul Kahar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam terhadap lima tuduhan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Dia dibenarkan ikat jamin RM8,000.

Pengikutnya, Mazli Mansor, 48, dan Mat Razali, 43, juga mengemukakan permohonan serupa bagi mencabar kesahihan seksyen-seksyen 8(a) dan 16(1)(a) enakmen berkenaan. Kedua-duanya turut didakwa mengikut seksyen-seksyen itu.

Dalam afidavit mereka, Abdul Kahar dan Mazli berkata, hanya Parlimen diberi kuasa menggubal undang-undang jenayah, dan oleh itu, Dewan Undangan Negeri Selangor tidak ada kuasa membuat peruntukan berkenaan kerana masing-masingnya merupakan peruntukan undang-undang jenayah.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim juga membenarkan Kerajaan Malaysia mencampuri prosiding berkenaan.

Berita penuh?

Bagi saya, kes ini sekali lagi menguji kredibiliti Pak Lah dan barisan kabinetnya. Sepanjang 3-4 tahun Pak Lah memegang teraju kerajaan, terlalu banyak serangan ditujukan terhadap Islam. Ada yang cuba disenyapkan, namun banyak yang akhirnya bocor dan mengusarkan.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara telah membenarkan Kerajaan Malaysia mencampuri prosiding ini. Menarik! Sama-samalah kita saksikan apa response Pak Lah yang baru pulang dari bercuti 2 minggu di Turkey.

Apapun, sebagai umat Islam, marilah kita bersama-sama mendoakan agar kedaulatan Islam terus terpelihara. Sebagai negara yang kononnya membawa Islam Had-hari, sepatutnya maruah Islam lebih terjaga, lebih terpelihara. Doakanlah bersama. Amin...

Wallahualam...

No comments: