Friday, September 01, 2006

Makin Merdekakah Kita?

Artikel yang agak panjang ini telah dikirim kepada saya oleh seorang sahabat. Saya suka untuk berkongsi dengan sidang pembaca artikel ini yang saya kira amat menarik dan membawa seribu satu pengertian. Moga semakin ramai yang mengerti apa itu kemerdekaan.

---

1.Pendahuluan

Menyebut tentang `merdeka`, tanggapan masyarakat awam ialah ritual acara berulang setiap kali datangnya Ogos, iaitu arahan mengangkat bendera di bangunan-bangunan, membina pintu-pintu gerbang, memasang bendera-bendera kecil di kenderaan-kenderaan, melepaskan konvoi-konvoi kenderaan dari destinasi ke destinasi dan berbagai-bagai lagi acara dan upacara yang diadakan.

Puncaknya ialah amanat Perdana Menteri dan perbarisan di hadapan pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh politik Negara di lokasi yang dipilih setiap tahun. Tempat pilihan sambutan tahun ini ialah di Pusat Pentadbiran Negara di Putrajaya. Adakah sambutan ukuran kejayaan kemerdekaan? Upacara dan acara tahunan bukan sebenarnya skala ukuran kejayaan. Ianya adalah lebih bersifat hiburan dan pesta-pestaan.

Ukuran kejayaan adalah dengan mengiktiraf dan memberi sanjungan kepada mereka yang menuntut dan memenuhi kemerdekaan. Antara mereka berperanan sebagai perintis jalan kemerdekaan, pejuang yang terkorban nyawa kerana menuntut kemerdekaan, di kalangan mereka ada yang ditahan, dipenjara dan tersiksa dalam tahanan.

Pengiktirafan tidak seharusnya bersifat bias, hanya terkhusus kepada pejuang politik tertentu yang mendukung perjuangan politik pemerintah semasa, sedang yang berlainan fahaman, biarpun dari kalangan mereka terkorban diabaikan bahkan mau dilupakan.

Perjuangan kemerdekaan adalah didukung oleh banyak pihak termasuk para ulama yang merupakan pencetus awal yang membangkitkan perasaan bencikan penjajah, pahlawan-pahlawan peringkat awal yang menentang kemasukan penjajah yang berusaha merubah politik pemerintahan, budaya tempatan dan penguasaan ekonomi Negara.

Pejuang-pejuang kemerdekaan termasuklah tokoh-tokoh politik yang dicap oleh penjajah sebagai `kiri`, kerana menggugat kedudukan penjajah, bahkan mereka lebih bermakna di dalam perjuangan politik tanahair dari perjuangan yang direstui penjajah, kerana tidak menggugat mereka. Perjuangan kemerdekaan melibatkan banyak pihak dan berentetan dalam sejarah yang agak panjang. Lantaran itu mereka adalah milik dan kebanggaan rakyat, lantaran sedemikian sambutan kemerdekaan bersifat rakyat.

Bagi peringkat pengisian kemerdekaan bukan saja dilanjut oleh orang-orang politik, tetapi juga oleh berbagai sektor, kalangan intelektual dan rakyat jelata. Namun pemimpin Negara diamanah rakyat memimpin bagi mengisikan kemerdekaan. Mereka yang diamanahkan dengan pengisian ini berhak dinilai oleh rakyat. Sebahagian daripada penilaiannya ialah dengan melihat kejayaan di dalam bidang-bidang utama yang ditangani mereka.

2. Apa Maknanya Merdeka?

Antara makna merdeka, ialah kejayaan membebaskan rakyat dan Negara dari belenggu mental, jasmani dan rohani dari kejahilan, perbudakan, kemiskinan, kekeliruan, tekanan, ugutan politik, sekatan sosial dan keruntuhan moral.

Kita telah merdeka selama 5 dekad. Dalam masa tersebut ada surut pasang kemerdekaan. Dekad pertama kemerdekaan Negara dilihat sebagai Negara mundur yang dikategorikan sebagai `Dunia Ketiga` , pada dekad kedua Negara masih belum dapat mengatasi kemiskinan dan perbedaan ketara antara kaum hingga menimbulkan rasa tidak puas hati antara kaum, pada dekad ketiga timbul kesedaran pembangunan, diikuti dekad keempat sebagai dekad pembinaan maruah, namun pada peringkat awal dekad kelima timbul konflik politik dan pertarungan, namun kini selepas setahun memperlihatkan pemulihan keyakinan bagi pihak pemerintah, tetapi selepas itu suasana yang tidak menentu menyelubungi Negara dan rakyat.

Apakah prestasi kemerdekaan Malaysia sekarang ini kian menurun berbanding dengan beberapa pencapaiannya yang lepas? Bagaimana menilaikannya ?

3. Pengukuran

Bagi mengkaji prestasi kemerdekaan dan kebebasan Negara ada penunjuk-penunjuk yang boleh dijadikan skala ukuran.

Menurut seorang sarjana, iaitu Amartya Sen di dalam bukunya yang berjudul, Development of Freedom, New York 1999 menyatakan ada lima skala penunjuk tentang kebebasan dan kemerdekaan, iaitu kebebasan dari segi politik, kemudahan ekonomi, peluang sosial, jaminan ketelusan dan perlindungan keselamatan.

Mari kita meneliti kelima-lima aspek berkenaan di dalam hubungan dengan Negara kita.

3.1. Kebebasan Politik

Menurut Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948, semua pihak di dunia hendaklah menghormati 30 perkara. Antaranya Perkara 20 & 21, memberikan hak berkumpul secara aman dan menubuhkan persatuan atau kesatuan serta mengambil perhatian dalam proses pemerintahan, terutamanya dalam proses membuat keputusan mengenai dasar-dasar Negara.

Tuntutan rakyat hendaklah diberi priority utama dalam sebarang bentuk pemerintahan. Deklarasi di atas diterima oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan resolusi 2625 (XXV) sebagai prinsip asas undang-undang antarabangsa.

Perlembagaan Malaysia dalam perkara 10 bahagian II selari dengan Deklarasi Sejagat dan PBB memberi peruntukan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Namun dari segi praktiknya Malaysia tidak mengamalkan kebebasan Deklarasi Sejagat, Tuntutan PBB, bahkan peruntukan perlembagaan Negara Malaysia sendiri. Kebebasan bersuara disekat, permit tidak dizinkan. Bahkan polis melanggar aturan-aturan yang diperuntukkan.

Menurut Laporan Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikeluarkan pada bulan Mei lepas mencatat bahawa jelas berlaku perlanggaran Hak Asasi Manusia yang menghakis integriti PDRM. Suruhanjaya mencadangkan agar PDRM mematuhi Inspektor General Standing Orders (IGSO), patuh pada perlembagaan dan tidak melanggar Hak Asasi Manusia.

Kekacauan dari segi kebebasan ini ketara mulai pertengahan 1990an. Hingga menyebabkan PBB menghantar 5 orang penyiasat bagi menyiasat tuduhan pencabulan hak dan kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat pada 20 – 24 Oktober 1998.

Menurut penyiasatan tersebut yang dipetik oleh Saudara Mohd Azizuddin Mohd Sani dalam bukunya Hak Asasi & Hak Bersuara Menurut Pandangan Islam dan Barat, 2002 bahawa:

``… hak kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat di Malaysia adalah terbatas daripada segi kewujudan akta-akta ISA, Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Press (AMCP) (termasuk OSA dan AUKU), kawalan pemilikan media arus perdana dan memperolehi maklumat mengenai parti pembangkang di media elektronik oleh parti pemerintah … menghukum wartawan asing dan menghalang pengedaran media elektronik asing; menghalang rakyat memperolehi maklumat yang berupa pandangan dan pendapat kritikal kepada kerajaan; serta memperlihatkan usaha campurtangan kerajaan ke atas badan kehakiman (hlm. 84-85)

Walaupun sesudah ditegur oleh Suruhanjaya, PDRM nampaknya tidak berubah. Kini sekatan dan pencabulan terhadap Hak Asasi Manusia dan kebebasan bercakap makin menjadi-jadi di Terengganu. Mereka tidak menghormati teguran dan cadangan.

Kemunduran dari segi politik pilihanraya ketara berlaku di Malaysia. Politik wang menjadi-jadi dikalangan parti UMNO yang menjadi tulang belakang BN. Mereka yang terlibat adalah dari kalangan tertinggi parti membawa kepada cawangan.

Usaha kerajaan mau membasmikan rasuah politik nampaknya bersifat sekerat jalan dan teragak-agak selepas beberapa dari mereka dikambinghitamkan, kerana bimbangkan terjejasnya imej parti dan kehilangan keyakinan orang ramai.

UMNO sepatutnya merasa malu pada MCA dan Gerakan yang dapat menjalankan proses pemilihan secara telus dan bersih dari politik wang.

Perjalanan pilihanraya di Malaysia, khususnya pilihanraya 2004 dipersoalkan dari segi ketelusan, SPR dipersoalkan kerana dianggap menjadi alat bagi BN, juga dipersoalkan dari kebersihan daftar pemilih.

Lantaran dituntut agar diperbaiki system pilihanraya sesuai dengan amalan demokrasi, menyekat dari berlakunya pengundian berulang dengan pembersihan daftar pemilih, meletakkan SPR di bawah Parlimen dan bukannya di bawah Perdana Menteri sebagaimana sekarang ini, system petition pilihanraya perlu dijalankan secara adil dan telus dan tidak menggunakan kakitangan dan peralatan kerajaan dan berbagai media bagi kepentingan parti.

Walaupun perkara ini didesak berulang-ulang pihak berkuasa nampaknya tidak memberi respond sewajarnya. Makin merdekakah kita dengan pencabulan system demokrasi dan hak asasi manusia oleh pihak parti yang memerintah ?

3.2. Kemudahan Ekonomi

Ekonomi dapat dijadikan ukuran tentang peningkatan kebebasan dan kemerdekaan Negara atau sebaliknya. Dalam perhimpunan Agung UMNO yang lepas ketara kekeciwaan pencapaian ekonomi orang Melayu hingga Pemuda UMNO mau agar dihidupkan kembali Dasar Ekonomi Baru (DEB), lantaran pencapaian DEB selama ini tidak sampai 20% dari 30% yang diharapkan. Ini bererti DEB gagal membawa orang Melayu bebas dan merdeka dalam bidang ekonomi.

Keadaan ini diparahkan lagi dengan bertambahnya pengangguran terutama dari kalangan siswazah yang kebanyakan mereka terdiri dari kalangan anak-anak Melayu.

Masalah ekonomi kini menjadi lebih parah dengan kenaikan harga minyak berturut-turut dalam masa terdekat.

Dalam tahun 2005 saja kenaikan harga minyak berlaku sebanyak tiga kali, iaitu pada bulan Mac, Mei dan Julai yang setiap kali diesel naik sebanyak 20 sen seliter dan petrol sebanyak 10 sen.

Sejak dari tahun 2000 telah sepuluh kali harga minyak naik. Kini kemungkinan harga minyak naik lagi apabila mutakhir harga minyak melonjak kepada US70 setong.

Kemungkinan harga minyak di Malaysia akan naik lagi tidak dinafikan. Ramai yang musykil dengan Malaysia sendiri sebagai pengeluar minyak, seharusnya memberi nikmat kepada rakyat, kerana kenaikan bererti keuntungan bagi Malaysia. Tetapi ini tidak terjadi, sebaliknya rakyat makin menderita menanggung beban kenaikan harga minyak termasuk tol, diikuti dengan kenaikan harga barang-barang dari 20% hingga ada yang melebihi seratus peratus. Negara akan mengalami inflasi dan rakyat akan mendapati duit di dalam poket mereka berkurang dari segi nilai dan kuasa beli. Kehidupan rakyat akan terjejas dengan amat teruk.

Keterukan Negara dari segi ekonomi dapat dilihat dari krisis Proton sebagai kereta nasional berdepan dengan pengeluaran AP terhadap kroni dan individu khusus yang menggugat pasaran Proton. Cara ini telah dikritik oleh Tun Dr. Mahathir Bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Proton.

Kegagalan juga berlaku pada Syarikat Penerbangan Nasional – MAS yang sedang mengalami kerugian dan sedang mencari-cari Pengarah Urusan yang baru setelah Pengarah Urusan sebelumnya berundur diri sebagai bertanggungjawab di atas kerugian yang dialami.

Benarkah ada pendapat yang mengatakan bahawa kerajaan sekarang sedang mengalami krisis kewangan, lantaran sedemikian tiada perancangan mega dan terpaksa memberi penekanan pada pembinaan insan yang lebih subjektif sifatnya dan lebih rendah peruntukan kewangan baginya.

Kekurangan kewangan ini dapat dilihat dari kekurangan peruntukan bagi Rancangan Malaysia yang kesembilan (2006-2010) yang hanya sebanyak RM150 bilion, iaitu turun sebanyak 12% berbanding dengan peruntukan Pembangunan Malaysia kelapan sebanyak RM170 bilion.

3.3. Peluang Sosial

Pada umumnya bagi rakyat jelata peluang sosial makin menurun. Termasuk di bawah peluang sosial ini ialah peluang mendapat pelajaran yang mampu menggerakkan mobility sosial masyarakat.

Namun peluang bagi pelajar-pelajar miskin makin bermasalah. Dulu wujudnya biasiswa, kini peluang mendapat biasiswa telah tiada, iaitu digantikan dengan pinjaman, tetapi pinjaman kini makin sukar didapati, kerana peruntukan berkurangan.

Pengajian tinggi kini terutama IPTS menjadi peluang komersil yang mengejar keuntungan. IPTS yang tumbuh bagai cendawan yang menghampiri jumlah 500 buah tidak bermutu dan kebanyakannya golong tikar.

Di Malaysia tidak ada pendidikan tinggi percuma sebagaimana di German dan di Mesir (al-Azhar). Sistem pendidikan di Malaysia sekarang agak bercelaru dan memerlukan kepada kajian, penyusunan dan pendekatan terkini yang bersesuaian.

Banyak pihak pernah mencadangkan agar Dasar Pelajaran Malaysia dikaji semula. Cadang sedemikian pernah diajukan oleh Tan Sri Musa Hitam, Bekas Timbalan Perdana Menteri yang pernah juga menjadi Menteri Pelajaran.

Cadangan juga pernah datang daripada Tan Sri Murad Mohamad Noor yang pernah menjadi Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Cadangan pernah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi dan pernah berjanji untuk meneliti perkara tersebut secara terperinci, tetapi perkara ini masih belum mendapat perhatian sewajarnya.

Masalah bahasa sendiri kurang diberi perhatian oleh kerajaan. Penukaran pengajian sains dan matematik dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris menyebabkan pelajar-pelajar kurang menguasai subjek dan ramai yang gugur dalam perjalanan.

Cadangan tokoh-tokoh akademik supaya mengajar Sains dan Matematik di dalam bahasa ibunda walaupun lengkap dengan hujah dan fakta, tetapi dikesampingkan oleh mereka yang berkedudukan. Sebaliknya bahasa Inggeris makin dipromosikan dan dianjurkan supaya orang Malaysia mengakui bahasa Inggeris adalah bahasa orang Malaysia.

Tindakan yang dilakukan seolah-olah meminggirkan bahasa Melayu secara sepi dan bakal terpencil dari bidang-bidang ilmiah dan tidak mampu mengangkat bahasa dan pengguna kepada status bahasa yang dihormati dan dimegahi.

Kemahuan terhadap bahasa Inggeris nampaknya ditentukan oleh pihak elit dan dipromosi akhbar-akhbar tertentu, bukan lagi menjadi kemahuan rakyat.

Sementara itu peluang peningkatan di dalam status politik mewujudkan satu budaya yang boleh dinamakan `Feudal Moden` dalam mana anak-anak dari keturunan elit politik khususnya anak-anak bekas-bekas Perdana Menteri atau menteri-menteri lebih mudah melonjakkan kedudukan diri di dalam hiraki politik meninggalkan ahli-ahli politik yang bukan dari status sosial elit yang mungkin berkebolehan, tetapi akan menjadi juak-juak politik sahaja mengiringi peningkatan elit-elit.

Dari satu segi usaha memperkukuhkan pandangan liberal dilakukan. Pengajian agama dipandang serong dan tidak diberi penekanan.

Bahan-bahan media memainkan peranan yang penting memupuk pandangan liberal dan melalaikan masyarakat dengan elemen nafsu dan hiburan.

Watak-watak penghibur dianggap hero yang disanjung yang mengatasi segala-galanya. Kedudukan ilmuan bukan dipandang sebagai status pujaan sebagaimana penghibur.

Falsafah hedonisme menjadi sanjungan. Darinya tumbuhlah gejala sosial, samseng, penagih dadah dan berbagai-bagai perkara yang memasalahkan Negara.

3.4. Jaminan Ketelusan

Kedudukan Malaysia dari segi keterbukaan dan ketelusan banyak dipersoalkan. Kewujudan akta-akta ISA, OSA, Akta Hasutan, AMCP dan AUKU bukti nyata tiadanya ketelusan dan keterbukaan di Malaysia. Sebagai contoh mereka yang ditahan ISA tanpa bicara ditahan selama 2 tahun dan boleh ditambah lagi secara dua tahun bersiri.

Suatu masa dulu universiti mempunyai otonomi, pensyarah bebas mengeluarkan pendapat dan mahasiswa dididik dengan pemikiran kritikal, kini otonomi tidak lagi wujud dan para ilmuan di pengajian tinggi terkepung di dalam menara gading.

Pada peringkat antarabangsa kebebasan akhbar disanjung tinggi. Bagi menghargai kebebasan ini diwujudkan hari ``The World Press Freedom`` yang disambut pada setiap tanggal 3 Mei setiap tahun.

Apakah kebebasan ini dihormati dan diamalkan di Negara kita? Akhbar Harakah yang dulu dibenarkan terbit 4 kali sebulan, telah disekat dan hanya dibenarkan terbit dua kali sebulan. Permintaan agar akhbar itu dikeluarkan secara harian atau kembali kepada empat kali sebulan tidak dilayan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Dimanakah kedudukan kebebasan akhbar di Malaysia ? Kajian yang dibuat oleh Global Press Freedom Ranking of Freedom House bagi tahun 2004 mensenaraikan Malaysia berada pada kedudukan 122 daripada 167 negara. Malaysia jauh ketinggalan dari segi kebebasan akhbar berbanding dengan Indonesia yang berada pada ranking ke 117. Pada 2003 Malaysia mendahului Indonesia pada ranking ke 111.

Dari segi ketelusan dan kebebasan kajian New York City Based Think-Tank Freedom House (2005) meletakkan Malaysia berkedudukan ke 152 daripada 194 negara yang dikaji. Ianya jauh ketinggalan berbanding dengan Taiwan (44), Korea Selatan (66), Phlippine (77), Thailand (95), Sri Lanka (116), Indonesia (119), Pakistan (126), Cambodia (128) Singapura (139), manakala Afghanistan dan Bangladish (145).

Ketidaktelusan juga dapat dilihat dari Laporan Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia yang mencatat berlaku perlanggaran peruntukan perlembagaan, Hak Asasi Manusia dan keperluan demokrasi.

Suruhanjaya mencadangkan PDRM mematuhi peruntukan-peruntukan Perlembagaan, Hak Asasi Manusia dan prinsip demokrasi. Keadaan ini berlaku sebelum dikeluarkan Penyata Suruhanjaya Polis Diraja Malasia.

Walau bagaimana selepas Penyata ini dikeluarkan (Mei 2005), tidak ada perubahan sikap PDRM, mereka menghalang ceramah parti politik dan mengganggu majlis yang berjalan dan setengah tempat mereka menceroboh ke dalam premis. Contoh pencerobohan ke pekarangan Pasti di Kg. Pachakan , Kuala Besut pada 2 September 2005. Sebelumnya pencerobohan di Masjid al-Taqwa Batu 6, Kuala Terengganu pada 26 Ogos 2005.

Tindakan mencabuli hak dan kelulusan misalnya berlaku di Bandar Baru Bangi.

Untuk menyambut kemerdekaan ke 48 pada 31 Ogos 2005, pihak jawatankuasa telah mengamanahkan seorang Pengarah Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan menempah Kompleks Sukan Bandar Baru Bang pada 31 Ogos. Tempahan telah dibuat sejak 10 Ogos dan mendapat kelulusan setelah membayar deposit sebanyak RM300/. Jawatankuasa Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan telah bekerja keras bagi persediaan menyambut Merdeka sejak bulan Jun 2005. Mereka bertambah kuat bekerja selepas mendapat kebenaran oleh MPKj. Malangnya sehari sebelum tiba Hari Kemerdekaan, pihak MPKj memaklumkan bahawa kebenaran menggunakan Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi ditarik balik. Pihak Jawatankuasa Sambutan menggelabah dan terpaksa mengurus perjalanan secara adhoc dan tergesa-gesa.

Cara yang dilakukan oleh MPKj ini merupakan sabotaj bagi menggagalkan projek sambutan yang dirancang. Laporan Polis telah dibuat dan surat protes dihantar kepada Yang Dipertua MPKj dengan salinan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, YB Menteri Penerangan dan Presiden PAS.

Pencabulan lunas-lunas demokrasi juga berlaku dalam pilihanraya Negara seperti yang berlaku di Selangor pada pilihanraya Mac 2004 sebagaimana juga pencabulan berlaku di dalam pilihanraya-pilihanraya di Kampus sejak beberapa tahun mutakhir ini.

3.5 Perlindungan Keselamatan

Dalam suasana sekarang, rakyat merasa tergugat. Bagi orang politik, dimaksudkan pembangkang, polis yang seharusnya memberi khidmat dan pertolongan.

Bagi mereka polis bertukar menjadi penghalang. Mereka bukan lagi memberi pertolongan dan perlindungan, sebaliknya menjadi penggempur dan pengancam dan mengugut.

Berapa aduan yang dibuat, tapi tidak diendah dan tidak diberi perhatian. Kemana lagi ruang untuk mengadu dan mendapat pembelaan ?

Bagi rakyat biasa mereka berada di bawah tekanan dan kegelisahan, terutama akibat dari kenaikan minyak yang diikuti oleh kenaikan harga barangan antara 20% hingga 100%.

Mereka menderita bagi mencari rezeki bagi menampung sara hidup keluarga, tanggungan hutang untuk rumah dan kenderaan, saraan anak-anak dalam pengajian dan bil-bil bulanan yang terpaksa dijelaskan.

Betapa peritnya derita terpaksa ditanggung. Negara kita bukan Negara kebajikan sebagaimana di England dan sebagainya.

Bagi pelajar-pelajar, khususnya di pusat-pusat pengajian tinggi turut merasa keperitan. Jangankan untuk mendapat biasiswa, pinjaman pun makin sukar didapati, yuran pengajian dan sara hidup menuntut perbelanjaan semakin tinggi.

Oleh kerana tidak kecukupan wang ada yang bertaat makan sekali sehari dan ada yang bertahan dengan makan mee magi. Akan bertambahkah pesakit jiwa dan mental di Malaysia akibat bertambahnya tekanan hidup yang dihadapi? Makin bertambahkan masalah keluarga dan perceraian akibat desakan ekonomi ?

4. Pengakhiran

Bagi lima perkara yang diperkatakan di atas memperlihatkan dimanakah berada Negara kita dari segi ketelusan, kebebasan dan kemerdekaan.

Hakikat sebenarnya rakyat di Negara ini menghadapi ilusi. Dua tahun lepas dikatakan ada sinar dan harapan baru dengan bertukarnya pimpinan baru.

Tahun pertama dengan slogan dan rhetoric politik keadaan masih dapat dipertahankan. Kini reality yang dihadapi permasalahan demi permasalahan mendatang, rasuah politik, masalah ekonomi, pemimpin terhutang judi, kroni, dadah, sosial dan berbagai.

Mampukah rakyat dilalai untuk melupakan penderitaan dengan berbagai hiburan yang sengaja diwujudkan secara bersiri? Kemerdekaan makin terhakis, pesta-pestaan tidak dapat menyembunyikan masalah dan penderitaan rakyat yang terus merasa tertekan.

---

Bagaimana? Apakah kita makin merdeka? Anda nilaikan sendiri. Maaf kerana saya kurang menyajikan hasil tulisan sendiri akhir-akhir ini. Masa saya agak suntuk dek kerja di rumah yang agak menekan. Bukan memberi alasan, tetapi mengharapkan secebis kefahaman. Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik untuk menulis dan terus menulis.

Wallahualam...

Muslihat Kerajaan Di sebalik Isu Pantai Holdings!

Kebetulan saya terserempak dengan berita menarik ini. Sedikit sebanyak ia mempunyai kaitan dengan post saya sebelum ini yang gagal saya hurai secara panjang lebar. Hayatilah berita yang agak panjang ini. Berbaloi untuk masa yang anda luangkan...

PEMBELIAN SEMULA SAHAM PANTAI HOLDINGS OLEH KHAZANAH DARI SYARIKAT SINGAPURA : KERAJAAN AKUI KESILAPAN

Pengumuman pembelian semula saham Pantai Holding dari syarikat pelaburan Singapura seperti disiarkan oleh akhbar-akhbar utama hari ini adalah dirujuk.

A. Akhirnya kerajaan akui kesilapan

Pembelian semula ini adalah satu pengakuan terbuka di atas kesilapan Menteri Kewangan meluluskan penjualan-penjualan saham majoriti (31%) kepada pihak Singapura, September tahun lalu.

Jika tidak, apa perlunya pembelian semula dilakukan. Kesilapan ini berbangkit kerana antara lain, dua anak syarikat Pantai terlibat dengan program pengswastaan dan dibawah peraturan sedia ada , tidak ada syarikat yang mendapat konsensi pengswastaan dibenarkan terlepas kepada pihak asing.

Penjualan saham sebesar itu memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan.

B. Siapa yang bertanggungjawab?.

Jika kesilapan telah diakui melalui langkah pembetulan ini, seseorang di Kementerian Kewangan harus bertanggungjawab.

Saya rasa kesilapan ini seperti disengajakan dan oleh kerana perkara ini telah menjadi satu isu maka langkah diambil untuk membetulkan kesilapan tersebut.

Saya yakin , di bawah konsep tanggungjawab ( accountability) Perdana Menteri perlu mengambil tindakan tertentu sehingga kelulusan tersebut telah diberikan sehingga satu langkah pembetulan terpaksa dilakukan.

C. Pembetulan yang pincang

Malangnya, walaupun kerajaan cuba menggambarkan satu langkah pembetulan telah dibuat, namun pembetulan adalah pincang.

Parkway, selain mendapat pembayaran sejumlah RM357 juta atas kadar RM2.65 sesaham bagi 134.7 juta saham, telah diberikan peluang untuk memiliki semula saham sebanyak 49% dalam syarikat Pantai Irama Ventures yang memiliki saham dalam Pantai serta diberikan hak pengurusan Pantai selama 15 tahun.

Ini bermakna, Parkway menguasai pengurusan Pantai dan pada masa yang sama terus memiliki saham Pantai.

Transaksi ini nampaknya sekali lagi menguntungkan Parkway.

Usaha ini sekadar kosmetik exercise untuk menyelamatkan maruah kerajaan. Sesungguhnya , Perdana Menteri harus dipertanggungjawabkan dengan apa yang berlaku dan penjelasan sepenuhnya dari kerajaan harus diberikan kepada rakyat.

Dato Haji Husam Musa, Naib Presiden Pas

29 Ogos 2006

Berita Penuh - Isu Pantai Holdings: PM harus perjelas kesilapan kerajaan

Anda nilaikan sendiri. Adakah rakyat sekali lagi menjadi mangsa penipuan korupsi kerajaan BN? Tepuk dada, tanya diri sendiri. Jawapan ada pada anda.

Wallahualam...


Thursday, August 31, 2006

Keranamu Malaysia Vs Kerana-Mu ALLAH?

Sambutan kemerdekaan negara ke-49 disambut dengan hambar, tidak semeriah sambutan perkahwinan Siti Nurhaliza. Ntah mengapa, saya sendiri tak mampu mencari jawapan. Pemikiran rakyat yang kononnya merdeka ini amat pelik, tak terjangkau dek diri ini untuk mentafsirnya. Apapun, saya bersyukur kerana promosi sambutan kemerdekaan yang hambar mungkin kurang menarik rakyat untuk berpesta maksiat.

Melihat kepada sambutan kemerdekaan negara saban tahun, rasanya anda sendiri mampu menilai sejauh mana erti kemerdekaan kepada pemuda dan pemudi zaman kini. Budaya berpeleseran dengan lebih ganas pada malam merdeka seolah suatu tradisi yang gagal diubah oleh pemerintahan ISLAM HADHARI, malah berjaya disuburkan lagi. Kita boleh melihat sendiri di kaca TV betapa teruknya rakyat yang kononnya merdeka, tapi jiwa masih dijajah.

Seawal jam 5.00 petang, LRT mula dipenuhi muda-mudi berpakaian ibarat mat PUNK dan SKIN yang ingin menyambut kemerdekaan negara. Aksi-aksi mereka yang memualkan sedikit sebanyak mendetikkan rasa insaf dan malu dalam diri; Beginikan bangsa yang merdeka? Bangsa Melayu yang suatu ketika dulu gagah mempertahankan MARUAH, kini HINA SEHINANYA.

Bukan setakat itu, detik 12 malam diraikan dengan berpesta hiburan di sana sini tanpa menghiraukan batasan agama. Pihak NGO-NGO ISLAM terpaksa bertungkus lumus mewujudkan SKUAD PENCEGAH MAKSIAT untuk memastikan kesucian kemerdekaan tidak dicemari dosa dan noda. Menyedihkan bukan?

Satu yang menarik perhatian saya ialah sambutan di KLCC. Selesai sahaja sambutan bunga api tepat jam 12 malam, mereka beramai-ramai menyanyikan lagu KERANAMU MALAYSIA. Lagu tersebut yang pernah diharamkan oleh kebanyakan ulama kerana sentimen KERANAMU MALAYSIA, bukan KERANAMU YA ALLAH masih terus dinyanyikan. Malah, nyanyian yang paling kerap kedengaran di kala kemerdekaan.

Adakah segala apa yang kita lakukan kerana MALAYSIA? Atau adakah kerana ALLAH? Berbalik kepada hadith pertama dalam himpunan hadith 40; "Setiap amal itu menurut apa yang ia niatkan...". Maka, bila menyebut "Keranamu Malaysia", apakah ia niat yang betul? Ia tidak membawa sebarang pengertian, malah ada ulama mengatakan ia boleh membawa kepada syirik dan kekafiran.

Mengapa pucuk pimpinan negara yang dikatakan kononnya 'ulul amri' (berdasarkan satu papan tanda di kawasan penduduk India), tidak mengharamkan lagu tersebut? Apakah ini dakyah tersembunyi pihak tertentu dalam mengkufurkan rakyat Malaysia? Kufur kerana kita meletakkan segala apa yang kita peroleh bukan kerana KEKUASAAN ALLAH. Walhal segala yang berlaku adalah dengan IZIN ALLAH.

Inilah masalah yang kita hadapi hari ini. Rakyat tidak tahu syukur kepada TUHAN yang MAHA KUASA. Mereka hanya tahu meletakkan kesyukuran kepada MANUSIA yang tidak ada langsung kuasa. Dan inilah yang UMNO suka. Mereka suka rakyat anggap mereka BERKUASA. Mereka suka rakyat bersyukur kepada mereka. Sekaligus, bukankah ini boleh membawa kepada syirik? Tidak mengakui kekuasaan ALLAH dan mempersekutukan ALLAH dengan UMNO?

Sidang pembaca, mungkin ramai antara rakyat sekadar menyanyi lagu KERANAMU MALAYSIA untuk suka-suka. Tetapi bait lagu perlu difahami dan dihayati. Sekiranya membawa maksud yang menyalahi ISLAM, maka kita DIHARAMKAN menyanyikannya. Apatah lagi jika ia berkait dengan soal AKIDAH. Tak begitu? Jika salah, tolong betulkan.

Sambutan kemerdekaan saban tahun mendatangkan rasa sebak dijiwa. Sebak memikirkan, bilakah rakyat Malaysia akan benar-benar merdeka? Bilakah ISLAM akan benar-benar dibawa? Persoalan yang sehingga kini belum terjawab. Masih samar dalam bayangan.

Tidak perlu saya nyatakan betapa saya kecewa dengan UMNO yang sememangnya jahil bab ISLAM walaupun mempunyai ramai lulusan pengajian ISLAM dan ULAMA-ULAMA 'SUK'. Kekecewaan bertambah melihatkan PETRONAS yang setiap tahun menjadi antara penaja utama program kemaksiatan terbesar ini. Mungkin mereka terpaksa, siapa tahu.

Menambah sedikit, jika dilihat siaran RTM1, pasti ramai yang terkejut. Selepas PM dan menteri kabinet bersurai, majlis mengumumkan 'Selepas ini akan diadakan hiburan dan pesta' lebih kurang begitu. Jam sudah 12.30 mlm, tidak cukup berpestakah? Pak Lah yang mengetuai barisan untuk bersurai tetap ceria, walaupun beliau antara yang paling arif soal HALAL dan HARAM. Al-maklum, orang lulusan pengajian ISLAM katakan.

Lebih memalukan, selepas itu, pengacara RTM1 menemubual beberapa anak muda bertanyakan apa erti kemerdekaan buat mereka. Jawab pemuda tersebut, "ENJOY!". Saya terkedu. Jawapan LIVE yang memalukan. Inilah realiti pemikiran muda mudi hari ini. Selepas itu disiarkan ucapan MB-MB negeri. Bermula dengan Shahidan Kasim yang sedih bersongkok (mukanya nampak sedih, ntah mengapa).

Ucapan Shahidan tak ubah ibarak robot membaca teks. Sepatah demi sepatah. Lakonan terburuk dalam sejarah. Pengisian 'macam bagus', tetapi semuanya menembak kembali kepada kepemimpinan BN. Ibarat meludah ke muka sendiri. Dia bercakap soal memerdekakan jiwa dan pemikiran bla bla bla. Walhal dalam masa yang sama, rakyat sedang dihidangkan sambutan kemerdekaan ALA BARAT. Retorika BN yang memalukan.

Maaf andainya tulisan saya dipenuhi emosi dan perasaan. Cuma saya terlalu mengharapkan sambutan kemerdekaan tidak dicemari dosa dan noda. Tidak disambut penuh kejahilan dan kehinaan. Tidak menunjukkan kepada dunia betapa teruknya sebuah negara yang kononnya NEGARA ISLAM. Tetapi, impian masih tinggal impian. ALLAH menetapkan masanya untuk ISLAM menang belum tiba.

Apapun, kita hanya mampu berdoa dan berusaha untuk kemenangan ISLAM. Moga apabila ISLAM menang, tatkala itu erti kemerdekaan benar-benar menginsafkan. Yakinlah bahawa kemenangan ISLAM itu sangat hampir. Cuma kita yang tak tahu bila. Sama-samalah kita doakan.

Salam kemerdekaan buat mereka yang benar-benar merdeka (Jika ada). Salam ukhuwwah. Salam perjuangan buat pejuang-pejuang ISLAM. Semoga perjuangan ini dipermudahkan oleh-Nya. (Namun realitinya, perjuangan tak pernah mudah. Jika mudah, bukanlah perjuangan namanya. Tak begitu?)

Wallahualam...

Rujuk juga:
  1. Malam 31 Ogos di Kuala Lumpur dihiasi seloka asmara 'uda dan dara'
  2. Merdeka bertukar dari kufur kepada beriman - MB
  3. Biarkan Putera Umno terjun dengan Mat-mat Rempitnya

Wednesday, August 30, 2006

Langganan Bloglet Bermasalah?

Saya ingin memohon maaf kepada sidang pembaca yang membuat langganan percuma dengan bloglet untuk blog saya ini. Saya baru menyedari bahawa berlaku sedikit kecelaruan dalam sistem akibat 'joint venture' antara Google dengan Blogger. Maaf yang teramat. Alhamdulillah saya berjaya 'reset' kembali Bloglet saya. Terima kasih atas kesetiaan anda.

Tuesday, August 29, 2006

Berita Pelik Bin Ajaib!

Akhbar hari ini berjaya memaparkan beberapa sandiwara retorik penuh dusta. Satu persatu berita tersebut meloyakan perut lagi menyakitkan hati. Ikuti ulasan berikut...

1# Pembelian semula Pantai Holdings Bhd

Kes ini merupakan antara kes yang memalukan buat negara, sekaligus membuktikan betapa lemahnya Pak Lah selaku Menteri Kewangan. Penjualan saham Pantai Holding kepada Singapura dahulunya telah sedikit sebanyak dibantu oleh Khairy, menantu Pak Lah. Ini dibuat melalui ECM Libra selaku lebih kurang penasihat atau 'consultant' dalam urusan jual beli tersebut. Malah ada sumber mengatakan penjualan tersebut berjaya kerana mendapat bantuan orang dalam yang kemungkinan besarnya adalah dalam Kementerian Kewangan sendiri.

Namun, apabila banyak cakap-cakap yang mengkritik penjualan tersebut dan menuduh kerajaan gagal menjaga kepentingan negara daripada dibeli oleh negara asing, barulah Pak Lah seolah-oleh tersedar dari mimpi. Ataupun lebih patut disebut, buat-buat tersedar.

Demi menjaga sokongan rakyat, terpaksalah kerajaan membeli kembali saham Pantai Holdings tersebut dengan menggunakan Khazanah Holdings. Bukan sedikit jumlahnya, tetapi berjuta-juta ringgit. Kerugian daripada urusan jual-beli-jual tersebut juga pastinya sekitar jutaan ringgit. Akhirnya, siapa rugi kalau bukan kita sendiri. Tak begitu?

Pantai Irama dianggarkan membayar sebanyak RM356.955 juta bagi membeli saham-saham tersebut.

Parkway pula kemudiannya akan membeli 49 peratus kepentingan dalam Pantai Irama dengan meletakkan saham-saham Pantai Holdings pada harga yang sama iaitu RM2.65 sesaham, kata Khazanah dalam kenyataannya di sini hari ini.

Selain itu, Pantai Irama turut membeli secara langsung lebih 30.92 juta saham-saham Pantai Holdings yang mewakili 6.6 peratus kepentingannya, dipercayai di pasaran terbuka pada harga antara RM2.30 hingga RM2.40 sesaham atau kira-kira RM72 juta.

Ia bermakna Khazanah membelanjakan lebih RM429 juta bagi menguasai kira-kira 35 peratus kepentingan dalam Pantai Holdings, tanpa mengambil kira pelaburan semula Parkway di dalam Pantai Irama.

September lalu, Parkway membeli 31 peratus Pantai Holdings pada harga RM311.8 juta.

Sebahagian besarnya, 89.7 juta, dibeli secara langsung oleh Parkway daripada Ketua Eksekutif Kumpulan Pantai Holdings, Lim Tong Yong pada harga RM2.45 sesaham manakala kira-kira 35 juta saham lagi diperoleh di pasaran terbuka pada harga RM1.70 sesaham.

2# Pak Lah Sedih Negara ISLAM Penuh Korupsi?

Saya kagum dalam malu membaca perihal kesedihan Pak Lah melihatkan negara-negara ISLAM mendapat tempat-tempat tercorot dalam Indeks Persepsi Rasuah. Dikatakan negara ISLAM terbaik hanya menduduki tempat ke-29, Malaysia pula di tempat ke-39.

Berucap merasmikan Forum Pertama Mengenai Antirasuah anjuran Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) hari ini, Perdana Menteri berkata, jika purata mata keseluruhan diambil kira, negara Islam hanya memperoleh 3.06 daripada 10 mata, meletakkan negara-negara Islam di tempat ke-89.

‘‘Sungguhpun CPI hanyalah satu kajian persepsi, ia telah dijadikan satu mata rujukan untuk bakal pelabur,’’ katanya yang juga Pengerusi OIC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Negara ke-29 itu ialah Oman dan Malaysia pula berada di tangga ke-39. Chad, yang juga sebuah negara anggota OIC, menduduki tangga teratas negara paling korup di dunia.

“Lebih malang lagi daripada 10 tempat terbawah mengikut CPI, separuh daripadanya terdiri daripada negara Islam,” katanya.

Sehubungan itu, Abdullah berkata, OIC perlu memainkan peranan lebih aktif dalam usaha memerangi rasuah di peringkat global demi kepentingan ummah.

Berita penuh?
Itu dalam akhbar Utusan, ini pula daripada sumber alternatif,
But what amused me most from this two day conference was the participation of a representative from the Palestinian FATAH movement, Prof Dr Najat Omar, an opposition Palestinian legislator (HAMAS defeated FATAH in the recent elections).

Najat came and blamed the HAMAS government for putting Palestine on number 112 out of 158 corrupted countries listed by Tranparency International with Transparency International Corruption Perception Index (CPI) of 2.6 as of last year.

But let us not be deceived as factually HAMAS only came into power early this year. It was the FATAH led government then that accumulated such shameful record on behalf of the Palestinian nation.

Dr Najat should have told the conference that FATAH was discarded and rejected by the Palestinian voters as a result of their atrocious record. Most political analyst attributed FATAHs demise in the hands of HAMAS as a result of this.

Artikel Penuh?
Anda nilaikan sendiri. Dalam berlakonan tersebut, rasanya Pak Lah terlupa bahawa zaman sekarang adalah zaman IT, semua maklumat mampu dimiliki. Puas Pak Lah berlakon seolah-olah sedih dengan korupsi yang berlaku, akhirnya korupsi memakan diri sendiri.

Wahai Pak Lah, siapa yang korupsi sekarang? Kesian Pak Lah, sudahlah pencarian Al-Ghazalinya belum berakhir, tetapi terhenti setakat ISLAM HADHARI. Kini datang pula masalah lain. Semuanya berpunca dari diri sendiri.

Pelik Bin Ajaib; ahli UMNO tetap menyokong Pak Lah. Retorika penuh duka!

Wallahualam...

P/s - Sebenarnya terdapat banyak lagi berita-berita pelik lagi ajaib, cumanya saya tak mampu untuk huraikan semuanya. Cubalah melayari laman-laman berita alternatif untuk mengetahui lebih lanjut.

Skandal Minyak Iraq; Pak Lah Terlibat?

Assalamualaikum dan salam sejahtera, pasti ramai yang tertanya-tanya dengan tajuk post kali ini. Apa kaitannya minyak di Iraq dengan Pak Lah? Tetapi rasanya mungkin sebahagian besar daripada anda pernah mendengar darihal penyelewangan penjualan minyak Iraq sewaktu zaman Saddam Hussein dalam program Oil for Food. Tak begitu?

Saya terkedu seketika apabila membaca berita yang disiarkan oleh Harakah yang mengatakan nama Pak Lah merupakan antara yang terlibat menerima boucer minyak rahsia. Ikuti petikan berikut,

Penglibatan orang yang bernama "Abdullah Badawi" dari Malaysia mula dibangkitkan dalam laporan Charles Duelfer yang mengetuai U.S. Iraq Survey Group.

Laporan itu menyatakan Saddam mengeluarkan baucer rahsia untuk pembelian minyak yang boleh dijual semula bagi mendapatkan keuntungan besar.

Antara pihak yang disenaraikan sebagai penerima baucer itu ialah "Abdullah Badawi" dari Malaysia, tetapi tidak menyatakan adakah beliau juga adalah Perdana Menteri Malaysia dan tidak juga memberikan apa-apa maklumat lanjut mengenai identiti nama yang disebutkan itu.

Jual dua juta tong

Ia juga menyatakan "Abdullah Badawi" telah menerima baucer untuk menjual dua juta tong minyak Iraq melalui syarikat bernama Tradeyear.

Bagaimanapun, Perdana Menteri telahpun dilepaskan dari tuduhan itu.

Pelik dan janggal. Rupanya Pak Lah bukanlah se'bersih' yang ramai daripada kita sangka. Rupanya, dalam diam, Pak Lah telah lama menjebakkan diri dalam kancah korupsi. Banyak lagi yang kita tak tahu rupanya. Janganlah kita terpengaruh dengan imej Pak Lah yang berlatarbelakangkan pengajian ISLAM dan ber'datuk'kan ulama.

Rujuklah berita penuh di Harakah berkenaan sikap membisu Pak Lah yang jelas menghampakan dan memalukan. Gerampun ada kadang-kadang. Apa nak buat, majoriti rakyat sukakan pemimpin berjiwa rakyat (Ya ke?).

Apapun, anda baca dan nilaikan sendiri. Saya hanya menyampaikan, moga kebenaran terus tersebar.

Wallahualam...

BN; Retak Menanti Belah?

Dalam kesibukan berkerja di ofis tanpa kemudahan internet suatu yang membingungkan. Apatah lagi bagi seorang blogger yang menggunakan sumber-sumber dari internet untuk penulisannya. Namun, ALLAH maha ADIL. Setiap yang baik, pasti akan dibukakan-Nya jalan ke arah itu. Soal MUDAH atau PAYAH, itu yang tak menentu.

Antara akhbar online kegemaran saya ialah Utusan kerana konsepnya yang tampak mudah, tapi penuh dengan informasi (walaupun beberapa informasi yang kurang tepat). Dengan menggunakan Offline Explorer, saya dapat mendownload laman berita Utusan untuk dibawa ke ofis dan dibaca pada waktu lapang. Alhamdulillah.

Kembali kepada topik post kali ini, sesuatu yang mungkin ramai sedari, iaitu kemelut perkauman yang sedang berlaku dalam BARISAN NASIONAL. Bermula dengan ucapan Khairy sewaktu merasmikan salah satu persidangan cawangan Pemuda UMNO sampailah sekarang, isu ini masih buntu. Malah Khairy yang biasanya lantang bersuara kini seperti menyorok ketakutan, membiarkan Pemuda UMNO diganyang oleh Pemuda MCA.

Malah, kekeliruan jelas kelihatan antara pemimpin-pemimpin UMNO dan MCA. Si Presiden cakap lain, si Ketua Pemuda lain pula. Malah si pengampu turut tak melepaskan peluang. Sungguh lucu. Apakah ini menandakan era Kejatuhan BN telah bermula?

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pergerakan itu tidak akan tunduk dengan desakan mana-mana pihak yang menggesa Khairy memohon maaf secara terbuka.

Menurut beliau, Khairy sebelum ini telah menjelaskan bahawa isu tersebut timbul ekoran salah faham beberapa pihak dan ia tidak perlu diperbesarkan sehingga mencetuskan polemik politik yang baru.

“Kenapa perlu desak minta maaf lagi dalam keadaan Khairy kata perkara itu merupakan salah faham. Saya cukup marah... apa ini? Ada yang hendak mengambil kesempatankah?

‘‘Saya ingin tegaskan, Pemuda UMNO tidak bersikap baling batu sembunyi tangan, sebaliknya kita baling batu dan kita tunjuk tangan kita. Kita akan pastikan ia sampai kepada sasaran kita,” tegasnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor, di sini hari ini.

Berita Penuh - Pemuda: Henti beri tekanan kepada Khairy

Dan

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memberi penjelasan mengenai kenyataannya yang menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri berkata, memandangkan kenyataannya itu telah dipersoalkan, maka Khairy perlu membuat penjelasan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Abdullah yang juga Presiden UMNO menasihati Khairy agar berhati-hati membuat kenyataan selepas ini supaya tidak menyinggung mana-mana pihak.

‘‘Berhati-hati (dalam membuat kenyataan) itu penting dalam sebarang pendekatan, kerana ia akan memberi reaksi dan kesan kepada rakyat,’’ katanya.

Berita Penuh - PM minta Khairy beri penjelasan

Jawapan Khairy,
‘Tidak terlintas sedikit pun dalam pemikiran saya untuk memohon maaf kerana apa yang dilakukan sebelum ini adalah untuk mempertahankan kekuatan parti.

“Saya sudah menjelaskan perkara ini kepada Naib Ketua Pemuda MCA, Datuk Ling Hee Leong tetapi jika diminta oleh ketua, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menjelaskan sekali lagi berkenaan perkara ini, saya sedia lakukan,’’ katanya.

Berita Penuh - ‘Saya tidak akan mohon maaf’

Malah jika dilihat kes Tun yang ingin bersuara dalam Persidangan Agung UMNO, pelbagai pihak dalam UMNO menyuarakan pandangan yang berbeza-beza. Semuanya takut dan gelisah memikirkan kemungkinan jika Tun benar-benar berjaya berucap. Yang pastinya, mereka akan cuba sedaya upaya menyekat Tun daripada bersuara.

Dalam ketika yang sama, terdapat juga cawangan Pemuda UMNO yang masih menghormati Tun. Sebagai contoh, Pemuda Cawangan Petaling Jaya Utara yang tetap dengan keputusan mereka menjemput Tun merasmikan persidangan mereka awal bulan Ogos lalu. Malah, tindakan Pemuda Cawangan Kubang Pasu yang mendesak agar Nazri dipecat ekoran tindakan Nazri yang kurang ajar terhadap Tun membuktikan kepincangan yang sedang berlaku di peringkat ahli bawahan.
UMNO tidak akan mengambil tindakan memecat keahlian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz seperti mana diusulkan oleh mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Kubang Pasu, semalam.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana Nazri telah bertindak membela Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengikut caranya tersendiri.

‘‘Pada pendapat saya tidak ada keperluan untuk ambil apa-apa tindakan terhadap Nazri. Pendapat ini berlaku dalam persidangan Pemuda dan tidak semestinya apabila ia diusulkan tindakan disiplin perlu diambil

‘‘Lagi pun Nazri membela Perdana Menteri kita. Beliau terpaksa berbuat demikian kerana beliau cukup terasa dengan kritikan agak tajam yang dikeluarkan (Tun Dr. Mahathir Mohamad),’’ katanya.

Sementara itu, bagi PAS pula, mereka melihat situasi yang berlaku ini hanyalah sebagai satu sandiwara politik,
Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar menggesa Pemuda Umno dan MCA menghentikan sandiwara mereka berhubung dengan kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin di Kedah yang mendakwa kaum lain akan mengambil kesempatan jika Umno lemah, baru-baru ini.

Katanya, pergeseran itu dianggapnya sebagai sandiwara kerana dalam pertemuan Khairy dengan Timbalan Ketua Pemuda MCA, Ling Hee Leong 20 Ogos lepas, Naib Ketua Pemuda Umno itu berjanji beliau tidak akan mengulangi kenyataan tersebut lagi.

Berita Penuh - PAS minta Pemuda Umno-MCA henti sandiwara

Saya begitu tertarik melihat situasi semasa dalam UMNO dan BN ini. Adakah UMNO bakal diharamkan untuk kali KEDUA seperti mana pada tahun 1987? Sama-samalah kita nantikan.

Wallahualam…

Rujuk juga:
  1. Rafidah, Khairy dikritik
  2. Koh to BN leaders: Don't play racial card
  3. Ong: MCA never exploited Umno weakness
  4. Perpecahan bermula di peringkat ‘pucuk’ – Najib
  5. Hasrat Dr. M luar biasa
  6. UMNO tidak halang Dr. Mahathir jadi perwakilan
  7. Johari nafi sekat Mahathir bertanding


Monday, August 28, 2006

RM10 = Kalendar ISLAM?

Assalamualaikum dan salam sejahtera, bersua kembali setelah menghilang seketika. Alhamdulillah, saya berjaya kembali ke kampus sempena Pesta Konvokesyen hujung minggu lalu. Mengimbau kembali kisah silam bersempena Pesta Konvo, pasti mengundang sebak di jiwa, entah mengapa…


Apapun, penulisan saya kali ini terdetik tatkala dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Secara lebih tepat, ia berlaku di RnR Sungai Buluh. Seusai menunaikan solat Maghrib yang dijama’kan dengan Isyak, saya dihampiri oleh dua kanak-kanak yang menjual Kalendar ISLAM. Mereka menunjukkan surat daripada sebuah Tahfiz Anak-anak Yatim berpusat di Yan, Kedah. Salah seorang daripadanya berumur 11 tahun, yang seorang lagi saya anggap sebaya dengannya.


Rupanya Tahfiz tersebut merupakan antara Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang telah ditarik subsidi oleh Kerajaan di bawah ‘SATU LAGI PROJEK KERAJAAN BARISAN NASIONAL’, dan kini masih diteruskan di bawah Kerajaan ISLAM HADHARI. Saya hanya mampu bersimpati dan menghulurkan sumbangan peribadi yang tak seberapa. Moga ada keberkatannya di situ.


Menyebut tentang SAR, saya teringat kenangan bersama dengan seorang guru besar sebuah SAR di Perak. Beliau menceritakan kepada saya bagaimana ‘sempitnya’ kewangan SAR beliau sejak disekat bantuan kewangan oleh kerajaan. Malah, pada waktu tersebut, SAR beliau telah berhutang sekitar RM15000. Guru-guru di SAR tersebut pula sudah beberapa tidak dibayar gaji kerana ketiadaan wang. Ini menyebabkan guru-guru di SAR tersebut berkurangan.


Terdapat 1001 lagi masalah yang membelenggu sekolah-sekolah agama rakyat yang tak mampu saya huraikan satu persatu. Terlalu banyak. Apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah kesedaran kita; anda, saya, dalam membantu SAR yang merupakan medan untuk melahirkan pemuda pemuda yang celik ISLAM. Sejauh mana kita cuba menghulurkan sumbangan untuk membantu ISLAM?


Satu perkara yang menyedihkan saya ialah apabila adanya suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa ada pihak yang menggunakan kanak-kanak untuk mengaut keuntungan. Malah ada yang menuduh mereka cuba mengambil kesempatan daripada sikap rakyat Malaysia yang terlalu baik hati.


Bagi saya, persoalan sama ada mereka dipergunakan ataupun tidak merupakan soal kedua. Ia persoalan yang tak mampu kita ketemu jawapan. Yang lebih mustahak ialah sejauh mana kita bersedia menghulurkan sumbangan? Janganlah persoalan kedua itu sengaja dijadikan alasan untuk tidak menyumbang. Kita tidak mampu mengetahui apa yang tersirat. Kita hanya mampu menilai apa yang zahir. Dan pastinya, ALLAH menilai NIAT kita, bukan ke mana perginya duit kita.


Tak salah berhati-hati dalam menderma, tetapi janganlah terlalu berhati-hati sampai tidak terderma pula. Apakah anda mampu menghukum sekadar dengan melihat dan menggunakan kaedah ‘stereotyping’. Sidang pembaca, kita takkan rugi walau sesenpun sekiranya kita menghulurkan sumbangan, malah untung yang kita peroleh tidak terhitung banyaknya di akhirat kelak.


Siapa tahu, sumbangan yang anda hulurkan boleh menyumbang kepada kelahiran seorang HAFIZ atau PEJUANG? Tidak begitu? Realitinya, ini bukan sekadar persoalan RM10 untuk satu kalendar ISLAM, tetapi RM10 untuk membantu kemenangan ISLAM. Sama-samalah kita menyucikan hati, buang prasangka negatif daripada menghasut diri. Siapa tahu, mungkin anda mampu merubah nasib Sekolah Agama Rakyat.


Wallahualam…


Thursday, August 24, 2006

Reopen 1988; Membongkar Tragedi Pengharaman UMNO!

Assalamualaikum, bertemu kembali untuk kesekian kali. Keterujaan menulis ini tidak mampu saya bendung. Keinginan agar informasi ini dapat diketahui ramai membuak-buak dijiwa. Sekali imbas, tajuk post ini tak ubah seperti Reopen 911. Hehe. Sekadar menyedapkan blog. Harap pembaca tidak menuduh saya mencari publisiti murahan.

Semalam, tatkala menyelak akhbar TheSUN, saya terkejut dalam gembira membaca laporan muka depan bergambarkan Tun Sallah Abas, bekas Hakim Agung Malaysia. Laporan yang menyebut tentang saranan dan gesaan Majlis Peguam untuk membuka kembali kes perlucutan jawatan Tun Salleh Abas dan dua rakan hakimnya mengamit tumpuan seketika.

Seolah-olah berada dalam sebuah mimpi, saya membayangkan zaman kegemilangan Mahkamah bakal kembali. Gesaan dan kesediaan Tun Salleh Abas untuk bersama memberikan sokongan dalam membuka kembali lipatan sejarah silam bakal memberikan nafas baru. Kes yang berlaku pada tahun 1988 tak ramai yang tahu. Namun, segalanya bakal berubah.

Saya tidak berhasrat menulis lebih lanjut kerana tidak mampu mengingat dengan tepat segala maklumat dalam akhbar TheSUN. Saya menantikan server online TheSUN untuk pulih, barulah menulis kembali tentang kes Reopen 1988. Harap pembaca bersabar. Maaf yang teramat atas kelemahan ingatan saya.

Tunggu jangan tak tunggu...

TheSUN; Pembongkaran Berterusan!

Sejak memulakan kerja di Kuala Lumpur, saya berpeluang membaca akhbar harian percuma, TheSUN. Walaupun berita yang dimuatkan tidaklah sebanyak akhbar-akhbar utama, tetapi cukuplah sekadar santapan minda. Sekurang-kurangnya ada bahan untuk dibaca oleh warga kota yang sibuk dengan pelbagai urusan harian. TheSUN boleh dilihat dibaca oleh hampir 50% penumpang LRT sewaktu ke tempat kerja. Bukankah ini secara tak langsung menggalakkan budaya membaca? Alhamdulillah...

Penulisan ini tidak bermaksud memuji setinggi langit akhbar TheSUN tersebut. Kerana, secara peribadi, saya merasakan ada pro N cons akhbar tersebut. Seperti mana dalam kes Ust Asri (Rujuk Ust Asri Zainal Abidin; Kekeliruan yang Disengajakan dan Lubnan Dibela, Palestin Terus Terseksa; Mengapa?); prinsip saya, ambil yang baik, tinggalkan yang buruk. Kita perlu menggunakan segala peluang yang ada untuk meraih sebanyak mungkin informasi. Apatah lagi dalam dunia hari ini. Semuanya bergerak terlalu pantas.

Berbalik kepada tajuk post kali ini, saya yakin ramai daripada anda tidak berpeluang menyelak akhbar percuma ini selalu. Jadi, saya berhajat menyampaikan kepada anda isu-isu hangat yang berjaya dibongkar (setakat ini) oleh TheSUN. Pelbagai isu ingin saya kongsikan dengan anda, namun biarlah sedikit demi sedikit. Harap anda mampu bersabar.

1# Isu Penyerahan Hak Monopoli Papan Iklan di Petaling Jaya

Isu ini hanya terpampang di dada akhbar utama sekali dua kemudiannya sepi setelah Khir Toyo menafikan berita tersebut. Akhbar utama terus mengiyakan kata-kata Khir Toyo, manakala TheSUN meneruskan siasatan kerana mereka yakin Khir Toyo menipu. Ini berdasarkan bukti-bukti yang mereka perolehi. Malah, majoriti boleh menilai prestasi Khir Toyo yang terkenal kerana penipuan dan korupsi dalam negeri paling maju di Malaysia.

Hasil siasatan, TheSUN berjaya mengemukakan bukti-bukti penipuan Khir Toyo dengan menunjukkan kepada ramai surat-surat yang dikeluarkan dan ditandatangani oleh mereka yang berkuasa di MBPJ. Akhirnya, kes monopoli papan iklan selama 15 tahun kepada Bernam Kiara berjaya dibuktikan. Apa reaksi Khir Toyo? Hasil siasatan, terbukti pegawai terbabit telah meluluskan sesuatu yang tidak dibincangkan dalam mesyuarat exco.

Sudah pasti ramai menjangkakan pegawai tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib ataupun dibawa ke muka pengadilan. Bukan begitu? Namun, mengejutkan ramai, Khir Toyo enggan mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai terbabit. Alasan Khir, pegawai terbabit mempunyai niat yang baik, iaitu untuk mempercepatkan proses pembinaan jambatan (kalau tak silap saya). Lucu bukan? Tindakan ini telah dipertikaikan oleh TI, Transparency International (kalau tak silap saya). Malah, ramai tidak bersetuju dengan tindakan Khir itu.

Persoalan yang dibangkitkan, apakah kerana mempunyai niat yang baik, maka tindakan meluluskan sesuatu di luar mesyuarat dibenarkan? Apakah Khir benar-benar mempunyai kredibiliti untuk mentadbir Selangor? Sedangkan kerja-kerja exco dan pegawainya sendiri belum termampu dikawal, apatah lagi untuk mengawal sebuah negeri. Nampaknya Khir Toyo sama seperti Pak Lah; telah tibanya zaman-zaman kejatuhan.

Siapa akan menjatuhkan mereka? Sukar untuk mengharapkan mahkamah bertindak adil dalam soal ini. Andalah yang menentukannya. Bagaimana? Pilihanraya ke-12 bakal berlangsung tak lama lagi. Menurut sumber yang boleh dipercayai, mungkin akhir tahun ini. Apapun, ia akan diadakan dalam MASA TERDEKAT. Jadi tunaikanlah tanggungjawab anda.

Saya tidak mampu untuk menghuraikan secara panjang lebar perihal pembongkaran kes 1# ini. Terlalu panjang. Anda yang berminat, rujuklah TheSUN Online untuk mengetahui lebih lanjut. Saya berhasrat membekalkan link terus ke artikel berkenaan, namun menghadapi masalah untuk membuka laman webnya. Insya-Allah sekiranya berjaya, saya akan memberikan link terus ke artikel berkenaan.

2# Pemberian Lesen Penghapusan Serangga di Subang Jaya

TheSUN telah membongkar korupsi pemberian lesen penghapusan serangga (Pesticide) kepada beberapa syarikat yang tidak diiktiraf dalam bidang menghapuskan serangga. Malah, peniaga-peniaga yang berkenaan perlu mendapatkan sijil daripada syarikat-syarikat yang diberi lesen ini.

Pelik, dalam banyak-banyak syarikat yang diiktiraf, kenapa mesyuarat, atau pihak berkuasa memilih syarikat yang tidak diiktiraf tersebut. Malah, hasil siasatan TheSUN membuktikan bahawa, keenam-enam syarikat tersebut mempunyai lembaga pengaruh yang disertai oleh orang yang sama. Bertambahlah memelikkan. Apa nak jadi dengan Khir Toyo? Terlalu banyak korupsi!

Kes ini masih dalam siasatan, belum dibongkari sepenuhnya. Saya yakin, TheSUN akan mendedahkan sedikit demi sedikit korupsi yang berlaku ini. Sama-samalah kita nantikan jawapan lucu daripada Khir Toyo. Benarlah bagai dikata, 'Bapak borek anak rintik'. Pak Lah dan menterinya sama saja, tidak pandai menjawab soalan.

Insya-Allah saya akan berusaha mendapatkan link terus ke artikel berkaitan. Doakanlah saya dipermudah-Nya.

Akhirul kalam, bertemu dalam penulisan akan datang. Suburkan budaya membaca dalam jiwa. Moga kita diketemukan dengan kebenaran demi kebenaran. Sekian, tak wajib betul, harus salah. Wallahualam...

Wednesday, August 23, 2006

Blog; Era Baru Dunia Penulisan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sidang pembaca budiman, semangat saya untuk menulis teruja selepas membaca blog sahabat saya di SHAHsFactsNFigures. Kemunculan bloggers ibarat cendawan tumbuh selepas hujan suatu yang membanggakan. Sekurang-kurangnya, ini membuktikan kesediaan untuk berkongsi semakin tinggi, malah wadah internet telah digunakan sebaiknya. Kajian menunjukkan jumlah pertambahan blog sekarang adalah 75000 blog sehari. Menakjubkan bukan? Pasti ada yang tidak mempercayainya, tetapi rujuklah akhbar TheSun hari Isnin, 21 Ogos 2006. Ia diperolehi berdasarkan statistic Technorati.

Dalam keghairahan bloggers untuk mengegarkan alam siber, perbincangan tentang kawalan terhadap blog-blog turut dilihat semakin ghairah. Kerisauan pihak berkuasa ini seakan-akan membenarkan apa yand ditulis blogger. Ibarat 'Siapa yang makan cili, dia terasa pedas', begitulah yang boleh dilabelkan kepada pihak berkuasa terbabit.

Bukankah demokrasi itu bermakna setiap orang berhak bersuara; manakala mereka yang mendengar bebas membuat interpratasi tersendiri? Namun, perlu diingat, sebagai orang ISLAM, kita dilarang menyebarkan fitnah dan khabar angin. Segala maklumat yang diperoleh perlu disemak sumbernya untuk memastikan kesahihan maklumat tersebut. Malah pembaca juga perlulah mempunyai sikap enquiri yang tinggi untuk memastikan apa yang dibaca adalah sesahih mungkin. Saya yakin, dalam agama-agama lain, turut mempunyai etika yang lebih kurang serupa ini.

Apapun, tidak dapat dinafikan wujudnya penulis-penulis yang menyalahgunakan peluang kebebasan siber dengan menyebarkan maklumat-maklumat palsu, malah lebih teruk, menyebarkan kejahatan dan maksiat (kandungan lucah etc.). Dalam ribuan ataupun jutaan blog yang wujud, saya yakin, hampir separuh adalah yang menyediakan bahan-bahan picisan yang merosakkan. Hemat saya, blog-blog inilah yang sepatutnya diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Usahlah terlalu risaukan blog-blog yang menyuarakan suara yang tidak selari dengan kerajaan tetapi risaukan blog yang bertentangan dengan kitab TUHAN AL-QURAN.

Bukankah begitu? Apakah ada kesalahan yang lebih teruk daripada bercanggahan dengan ajaran TUHAN? Ketaatan yang MUTLAK adalah pada ALLAH dan RASUL. Ketaatan pada pemimpin dari kalangan manusia biasa tidak MUTLAK, bermakna boleh berubah bergantung pada situasi. Jadinya, kewujudan suara penentangan itu tidak semestinya salah. Jadikan ia wadah untuk bermuhasabah. Bukankah mudah begitu? Fikirkan...

Tuesday, August 22, 2006

Artikel Ust Asri dalam Majalah I Keluaran Ogos 2006

Assalamualaikum, seperti dijanjikan, dibawah adalah link untuk mendownload versi pdf artikel tulisan Ust Asri. Harap pembaca menggunakan link tersebut dengan bijaksana. Wallahualam...

Artikel Bulan Ogos 2006

Monday, August 21, 2006

Pemimpin; Keterbukaan Dalam Menerima Kritikan

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca budiman. Merujuk kepada dua post terbaru saya berkenaan dengan Ust Asri Zainal Abidin dan juga Surat Terbuka GAMIS, ramai yang 'pm' saya bertanyakan hal sebenar dan tak kurang juga yang menyatakan bantahan terhadap penulisan saya tersebut. Pertama sekali, saya memohon maaf kerana tidak dapat seperti biasa, meletakkan link ke artikel tulisan Ust Asri, insya-Allah sedang diusahakan.

Alasan mereka, Ust Asri merupakan seorang Ustaz yang tersohor dan diyakini ramai kerana usahanya menewaskan Astora Jabat, selain kepakarannya dalam bidang hadith. Dan mereka tidak pernah mendengar atau membaca sebarang artikel beliau yang mengelirukan, semuanya benar sebenar-benarnya. GAMIS pula merupakan penaung bagi Mahasiswa Islam, jadi kritikan terhadap GAMIS dirasakan ibarat mengkritik Mahasiswa Islam seluruhnya. Juga ada yang mengatakan tidak wala' dan taatnya saya terhadap kepemimpinan GAMIS sampai mengkritik GAMIS secara terbuka.

Saya menerima segala kritikan dan komen yang diberi dengan lapang dada. Dan Alhamdulillah, saya berjaya menerangkan sedikit sebanyak 'basis' apa penulisan saya dibuat. Saya pasti, ada antara pembaca yang tidak berpeluang untuk 'pm' saya kerana kurangnya info. Maaf kerana saya merasakan kerahsiaan identiti saya sebagai penulis blog ini sesuatu yang penting, apatah lagi dalam ura-ura akan adanya Ops Lalang II. Malah kehangatan perbincangan tentang akta-akta untuk memastikan kebebasan blog disekat turut mengusarkan hati saya. Apapun, saya berserah pada ALLAH yang MAHA BERKUASA.

Merujuk kepada kritikan dan komen tersebut, saya ingin menyatakan di sini bahawa 'basis' penulisan saya adalah kebebasan untuk memberikan pendapat dalam semua isu, dengan bersandarkan sumber-sumber tertentu yang boleh dipercayai. Rujuklah penulisan-penulisan saya sebelum ini; hampir 90% adalah bersumberkan berita-berita daripada media berdaftar negara. Malah selalunya saya akan sertakan link-link ke laman tersebut supaya mudah untuk pembaca menilaikan sendiri kebenarannya.

Saya bukanlah seperti pihak-pihak tertentu yang suka mengambil sebahagian daripada ucapan ataupun berita lalu mengolahnya dan menuduh sumber tersebut sebagai salah dan sebagainya. Saya ambil sumber yang original, lalu memberi komen peribadi yang saya akhiri dengan 'tak wajib betul, harus salah' juga 'Wallahualam'. Penulisan saya tak dapat lari daripada turut di komen. Lumrah dunia, tidak ada yang sempurna.

Berkenaan dengan persoalan wala' atau ketaatan kepada kepemimpinan mana-mana organisasi, saya berpendirian bahawa dalam membuktikan ketaatan, tidak semestinya dengan menjadi PAK ANGGUK. Sentiasa setuju semata-mata dengan kepemimpinan tidak semestinya bermakna anda TAAT, ia boleh juga bermakna anda PENGAMPU ataupun TAKLID BUTA. Ahli bawahan berhak untuk memberi komen dan kritikan terhadap kepemimpinan mana-mana organisasi. Namun biarlah ia kritikan yang membina ke arah memperkasa organisasi.

Merujuk kepada salah satu artikel dalam Majalah I bulan Ogos, salah seorang penulis menulis tentang kesilapan sikap majaroti ahli gerakan dakwah yang gagal memahami konsep sebenar wala'. Akhir-akhir ini, kebanyakan ahli gerakan dakwah terpengaruh dengan sikap PAK ANGGUK ahli UMNO. Setiap tindakan pemimpin gerakan dirasakan benar. Walhal, realitinya, mereka sama seperti kita, mereka juga manusia biasa, bukannya NABI atau RASUL yang dipandu oleh WAHYU ILLAHI. Mereka tidak maksum. Bermakna, mereka juga melakukan kesilapan.

Saya sendiri melakukan banyak kesilapan, dan pada hemat saya, kritikan dan cemuhan yang saya terima adalah untuk muhasabah diri ini menjadi insan yang lebih sempurna. Oleh itu, saya mengharapkan sidang pembaca mengubah 'mind set' masing-masing. Wujudkan budaya pemikiran kritis dan kreatif ke arah menjana kegemilangan dan kemantapan gerakan dakwah. Hilangkan kelesuan yang sekian lama membelenggu kebanyakkan kampus.

Ambillah iktibar dari kisah sirah; sebagaimana Khalifah Umar pernah ditegur dalam perihal menetapkan mas kahwin, begitu juga kepemimpinan gerakan perlu membenarkan diri dikritik. Apakah ada kepemimpinan mana-mana gerakan yang merasakan dirinya lebih hebat daripada Khalifah Umar? Mungkin contoh tersebut terlalu extreme, saya ambil contoh kepemimpinan Parti Islam Se-Malaysia. Mereka sentiasa terbuka kepada kritikan daripada ahli bawahan. Adakah ahli yang mengkritik tersebut dikira tidak wala'?

Bagi saya, semakin lantang seorang mengkritik kepemimpinan sesuatu gerakan, bermakna semakin sayang ia kepada gerakan tersebut. Ini kerana ia sangat ingin melihatkan gerakan tersebut makin maju dan mantap. Ia sentiasa ingin menyampaikan pandangannya yang dirasakan perlu untuk diketahui. Malah ada yang mengatakan, biasanya golongan-golongan yang suka mengkritik inilah yang akan menjadi tulang belakang gerakan apabila gerakan tersebut ditujah dan dibelasah lawan.

Apapun, anda nilaikan sendiri. Saya hanya memberi pendapat dengan dalil-dalil akli yang harapnya mudah difahami. Semoga sedikit sebanyak anda faham prinsip penulisan saya. Saya serahkan kepada anda untuk membaca dan menyebarkan informasi yang anda perolehi daripada blog ini. Sekiranya membawa kebaikan, anda akan turut mendapat habuan. Sekiranya khilaf dan silap, moga ALLAH mengampuni saya yang lemah ini.

Sekian, tak wajib betul, harus salah. Segalanya terserah pada ALLAH. Wallahualam...

Lubnan Dibela, Palestin Terus Terseksa; Mengapa?

Assalamualaikum, bertemu kembali. Kebetulan ALLAH memberikan ILHAM yang mencurah-curah untuk saya menulis pada hari ini. Walaupun ketiadaan internet di ofis, insya-Allah sekembalinya ke rumah, saya akan uploadkan penulisan-penulisan saya untuk tatapan pembaca yang dikasihi.

Semalam, secara kebetulan, saya telah diberi peluang mengikuti ceramah Ust Asri Zainal Abidin di masjid berdekatan rumah saya. Topik berlegar sekitar Israk dan Mikraj memandangkan hari ini ialah 27 Rejab. Hadirin yang hadir, Alhamdulillah sekitar 100 orang. Malah gadget-gadget canggih untuk merakamkan ceramah beliau boleh dikatakan memenuhi meja. Inilah pertama kali saya menghadiri secara berdepan ceramah beliau. Biasanya hanya membaca penulisan ataupun mendengar melalui rakaman audio.

Antara inti pati penting dalam ceramah beliau ialah berkenaan dengan isu perang Lubnan-Israel, ataupun lebih layak lagi dikatakan perang Hizbullah-Israel memandangkan tentera Lubnan berlepas tangan dalam perang tersebut. Kata beliau, peperangan tersebut disengajakan demi menenggelamkan isu penindasan di Palestin. Bilamana Lubnan diserang hebat, mata dunia menumpu pada Lubnan semata, walhal Palestin juga sedang diserang.

Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa segalanya telah dirancang. Rancangan yang teliti demi mengabui mata dunia yang lemah daya fikirnya. Pelbagai persoalan boleh anda andaikan melihatkan peristiwa yang berlaku. Kenapa apabila Lubnan diserang Israel, banyak desakan diusulkan untuk gencatan senjata? Malah PBB sanggup menghantar pasukan tentera pengaman untuk memastikan keadaan terus aman.

Berbalik kepada di Palestin, mereka telah lama diserang Israel. Mereka tidak bersenjata canggih seperti Hizbullah. Kenapa PBB tidak meluluskan resolusi gencatan senjata dan mengarahkan Israel berundur? Kenapa tidak langsung terdengar cadangan menghantar tentera pengaman ke Palestin? Walhal mereka sudah lama terseksa. Usahkan PBB, OIC sendiri tidak terfikir menghantar tentera pengaman. Begitu sukarkah menghantar tentera pengaman ke Palestin?

Tidakkah anda pernah terfikir, tatkala dua negara berdaulat ini diserang, kenapa dunia memandang ibarat Lubnan sahaja yang terseksa? Apakah ada agenda lain yang dirancang yahudi terlaknat itu? Dan kini, setelah gencatan senjata dimeterai di Lubnan, Israel seperti biasa, menjadi pihak pertama melanggar perjanjian tersebut. Palestin, berterusan diserang malah pemimpin-pemimpin HAMAS terus menjadi buruan.

Saya bukannya tidak bersyukur dengan gencatan senjata tersebut, cumanya saya terkilan dan terfikir, mengapa Palestin dibiarkan begitu saja. Malahan, sewaktu dua peperangan tersebut, bukan sahaja media menjadi berat sebelah, OIC sendiri tidak menyentuh tentang mencari penyelesaian serampang dua mata agar dua-dua negara dibela. Kecewa dan menyedihkan...

Kemungkinan lain turut ada, iaitu Hizbullah telah berjaya menewaskan Israel. Oleh itu, Israel terpaksa menggesa sekutunya US untuk menjadikan gencatan senjata tersebut berjaya. Bukankah sumber-sumber yang boleh dipercayai mengatakan pejuang Hizbullah yang SYAHID adalah sekitar 50 orang. Walhal jumlah tentera Israel yang terbunuh sekitar 100 orang, ataupun lebih. Malah berapa banyak kereta kebal dan helikopter Israel berjaya dimusnahkan? Gencatan tersebut sekadar untuk memberi peluang mengundur diri tanpa menggadaikan maruah. Bukankah Israel sangat menjaga maruahnya?

Apapun, hakikatnya, dunia tidak adil dalam kes kedua-dua peperangan serentak tersebut. Palestin, kini, masih lagi menghadapi hari-hari gelap mereka. Bilakah segalanya akan berakhir? Selagi umat ISLAM terus dibuai nikmat dunia, selagi itu Palestin terus terseksa. Selagi mana ARAB terus HINA, selagi mana OIC terus sepi, selagi mana KHILAFAH ISLAMIYAH belum MEMERINTAH, mungkin selagi itu Palestin disimbah darah, darah syuhada.

Sidang pembaca, sebagai penutup, renungkanlah. Mereka yang di Palestin diserang Israel, mereka terbunuh, lalu SYAHID. Mereka menuju syurga. Saya, anda, kita. Apa yang kita lakukan? Syurga belum menjadi milik kita. Sedangkan antara kita masih ada yang leka, tidak tahu perkembangan mereka di sana. Dan kita akan disoal oleh ALLAH kelak, apa yang telah kita lakukan untuk membantu pejuang di Palestin? Sekiranya GAGAL untuk menjawab, kebarangkalian besarnya, NERAKA menjadi tempat kita bersemadi.

Mungkin kita melihat mereka di Palestin terbunuh, sedih... Namun pengakhiran mereka adalah SYAHID; cita-cita kebanyakan mereka yang mencintai ALLAH. Kita... Dimanakah pengakhiran kita? Jika anda pemimpin, lebih azablah seksanya. Mungkin dengan menyebarkan kesedaran dan keinsafan, akan ada belas daripada TUHAN. ALLAH akan mempersoalkan USAHA kita, bukan HASILnya kerana HASIL adalah ditentukan oleh-Nya. Fikirkan wahai pembaca budiman. Sekian, wallahualam.

P/s - Mungkin ada yang akan mempertikaikan tindakan saya mengikuti ceramah Ust Asri. Perlu diakui, beliau mempunyai ilmu yang banyak, cuma kefahamannya tiada. Apakah salah untuk mendapatkan ilmu beliau? Gunakan semua peluang yang ada untuk menuntut ilmu, tapi tapislah mana yang benar mana yang khilaf. Saya bukanlah orang yang akan menjumudkan sumber ilmu.

Saturday, August 19, 2006

GAMIS peminat Siti Nurhaliza?

Tulisan ini sekadar memberi komen tentang beberapa peristiwa lucu yang menggelikan hati. Ramai yang jelek mendengarkan keputusan Siti Nurhaliza yang memilih Datuk K untuk mengakhiri zaman bujangnya. Dan dalam ramai yang memberi komen, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia turut tidak melepaskan peluang untuk bersuara dengan surat terbuka yang disiarkan oleh HarakahDaily.

Ternyata Siti telah membuktikannya hari ini. Sebagai artis junior di awal pembabitan dulu, Siti dilihat seorang yang sangat menghargai pengalaman artis-artis yang lebih senior dan sentiasa mahukan tunjuk ajar dan berbincang untuk mencungkil rahsia di sebalik kejayaan mereka.

Di samping bakat dan keterampilan diri yang perlu kepada seseorang artis, Siti juga dilihat antara artis yang bijak memberi nilai-nilai tambah kepada dirinya.

Dengan nilai-nilai tambah ini, Siti memiliki keunikan dan daya tarikannya yang tersendiri. Sikap Siti yang tegar dengan prinsip dan pendirian peribadi yang diambil membuatkan peminat terpaksa akur dengan kehendak dan kemahuan Siti itu.

Beberapa pendirian yang menjadi prinsip Siti itu dilihat bertujuan memelihara batasan agama dan tatasusila adat serta budaya. Betapa sesiapa pun akan menyanjung dan menghormati seseorang hanya kerna dia berpegang dengan pendirian dan prinsip yang benar.

Surat penuh di Surat terbuka Gamis untuk Siti Nurhaliza

Apa yang melucukan saya ialah, dalam banyak-banyak isu yang sedang hangat diperkatakan, GAMIS memilih isu, iaitu perkahwinan artis terkenal. Saya pelik melihatkan tindakan GAMIS ini. Seharusnya GAMIS menonjolkan izzahnya tersendiri dengan menjaga kredibiliti badan Mahasiswa ISLAM.

Dalam melihatkan kepelikan GAMIS dalam memilih isu semasa, Faisal Tehrani memberikan respon berbisa, namun perlu diambil iktibar oleh GAMIS.

Sesungguhnya mereka tidak pun ingin kepada Islam sebagai cara hidup yang sejati. Tidak, mereka hanya mahu menunjukkan kepada sekian ramai orang yang belum ada akar dan jatidiri di luar bahawa kita adalah barisan momok, barisan dengki dan barisan yang tidak punya hati nurani.

Atau barisan sempit fikiran yang sememangnya anti kemajuan. Teroris budaya ini akan mengeluarkan kenyataan-kenyataan untuk meraih simpati seumpama saya sedih masyarakat Malaysia masih tertutup dan tidak mahu menerima hasil kreativiti saya.

Atau orang Malaysia suka mengumpat dan mengeji sedangkan hasil kerja seni saya sudah diterima di luar dan pelbagai lagi raih kasihan yang memualkan (baca: penuh helah).

Mereka akan bergerak dari slogan agama itu personal kemudiannya dengan menyerang aspek paling dasar yang menjamin kemajuan umat Islam iaitu amar makruf nahi mungkar.

Surat penuh di Surat Terbuka Untuk Presiden Gamis: Pengganas budaya bergiat dalam seni untuk hancurkan Islam

Saya tidak mahu memberikan komen dan ulasan lebih lanjut. Anda sendiri nilaikan. Sudah pasti GAMIS ada hujahnya tersendiri. Namun ternyata kebijaksanaan mereka dalam memilih strategi boleh menimbulkan kecelaruan dikalangan ahli dan memberikan point kepada pihak musuh yang sentiasa mencari peluang menjatuhkan ISLAM.

Buat yang terasa, marilah muhasabah bersama. Saya juga tidak lari daripada kelemahan dan kekurangan. Ulasan ini tak wajib betul, harus salah. Wallahualam...

Post ini telah di'edit' setelah menerima teguran saudara Blasta. Terima kasih buat saudara Blasta atas keprihatinan saudara. Moga ALLAH membalasnya. Bahagian yang telah diedit telah di'italic'kan.