Saturday, August 19, 2006

GAMIS peminat Siti Nurhaliza?

Tulisan ini sekadar memberi komen tentang beberapa peristiwa lucu yang menggelikan hati. Ramai yang jelek mendengarkan keputusan Siti Nurhaliza yang memilih Datuk K untuk mengakhiri zaman bujangnya. Dan dalam ramai yang memberi komen, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia turut tidak melepaskan peluang untuk bersuara dengan surat terbuka yang disiarkan oleh HarakahDaily.

Ternyata Siti telah membuktikannya hari ini. Sebagai artis junior di awal pembabitan dulu, Siti dilihat seorang yang sangat menghargai pengalaman artis-artis yang lebih senior dan sentiasa mahukan tunjuk ajar dan berbincang untuk mencungkil rahsia di sebalik kejayaan mereka.

Di samping bakat dan keterampilan diri yang perlu kepada seseorang artis, Siti juga dilihat antara artis yang bijak memberi nilai-nilai tambah kepada dirinya.

Dengan nilai-nilai tambah ini, Siti memiliki keunikan dan daya tarikannya yang tersendiri. Sikap Siti yang tegar dengan prinsip dan pendirian peribadi yang diambil membuatkan peminat terpaksa akur dengan kehendak dan kemahuan Siti itu.

Beberapa pendirian yang menjadi prinsip Siti itu dilihat bertujuan memelihara batasan agama dan tatasusila adat serta budaya. Betapa sesiapa pun akan menyanjung dan menghormati seseorang hanya kerna dia berpegang dengan pendirian dan prinsip yang benar.

Surat penuh di Surat terbuka Gamis untuk Siti Nurhaliza

Apa yang melucukan saya ialah, dalam banyak-banyak isu yang sedang hangat diperkatakan, GAMIS memilih isu, iaitu perkahwinan artis terkenal. Saya pelik melihatkan tindakan GAMIS ini. Seharusnya GAMIS menonjolkan izzahnya tersendiri dengan menjaga kredibiliti badan Mahasiswa ISLAM.

Dalam melihatkan kepelikan GAMIS dalam memilih isu semasa, Faisal Tehrani memberikan respon berbisa, namun perlu diambil iktibar oleh GAMIS.

Sesungguhnya mereka tidak pun ingin kepada Islam sebagai cara hidup yang sejati. Tidak, mereka hanya mahu menunjukkan kepada sekian ramai orang yang belum ada akar dan jatidiri di luar bahawa kita adalah barisan momok, barisan dengki dan barisan yang tidak punya hati nurani.

Atau barisan sempit fikiran yang sememangnya anti kemajuan. Teroris budaya ini akan mengeluarkan kenyataan-kenyataan untuk meraih simpati seumpama saya sedih masyarakat Malaysia masih tertutup dan tidak mahu menerima hasil kreativiti saya.

Atau orang Malaysia suka mengumpat dan mengeji sedangkan hasil kerja seni saya sudah diterima di luar dan pelbagai lagi raih kasihan yang memualkan (baca: penuh helah).

Mereka akan bergerak dari slogan agama itu personal kemudiannya dengan menyerang aspek paling dasar yang menjamin kemajuan umat Islam iaitu amar makruf nahi mungkar.

Surat penuh di Surat Terbuka Untuk Presiden Gamis: Pengganas budaya bergiat dalam seni untuk hancurkan Islam

Saya tidak mahu memberikan komen dan ulasan lebih lanjut. Anda sendiri nilaikan. Sudah pasti GAMIS ada hujahnya tersendiri. Namun ternyata kebijaksanaan mereka dalam memilih strategi boleh menimbulkan kecelaruan dikalangan ahli dan memberikan point kepada pihak musuh yang sentiasa mencari peluang menjatuhkan ISLAM.

Buat yang terasa, marilah muhasabah bersama. Saya juga tidak lari daripada kelemahan dan kekurangan. Ulasan ini tak wajib betul, harus salah. Wallahualam...

Post ini telah di'edit' setelah menerima teguran saudara Blasta. Terima kasih buat saudara Blasta atas keprihatinan saudara. Moga ALLAH membalasnya. Bahagian yang telah diedit telah di'italic'kan.


Ust Asri Zainal Abidin; Kekeliruan yang Disengajakan!

Assalamualaikum, sekian lama menyepi, kini kembali, mungkin seketika, mungkin selamanya. Doakan yang terbaik.

Kali ini saya ingin menyentuh tentang kepincangan pendapat yang telah disebarkan oleh Ust Asri Zainal Abidin, seorang panel penulis tetap dalam Majalah I. Akhir-akhir ini, beliau sudah mula bijak mencetus kontroversi dengan menghentam kumpulan dakwah ISLAM yang terlibat dalam politik, tak lain dan tak bukan, PAS.

Cumanya, belum ada pihak yang menjawab secara terbuka. Di sini saya sertakan jawapan yang telah di'emel'kan kepada saya tempoh hari. Semoga ini menjadi hujah untuk menangkis keraguan seorang ustaz yang suatu ketika dahulu tersohor kerana berjaya menghentam Astora Jabat. Namun kini, beliau menghentam pula gerakan dakwah ISLAM yang mempunyai saluran politik. Mohon dijauhkan ALLAH daripada ditarik hidayah dari diri ini.

Ikuti penjelasan panjang lebar ini dengan teliti. Harap bersabar kerana ianya agak panjang, tapi berbaloi...

---

Merujuk kepada ketiga-tiga tulisan Dr Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) di dalam majalah I pada bulan Jun, Julai dan juga Ogos, saya merasakan terdapat beberapa keganjilan pendapat dan perbahasan di dalamnya. Sungguhpun, tidak dinafikan bahawa terdapat mesej baik di dalamnya seperti nasihat agar berhati-hati terhadap tipu daya pihak Syiah, namun di sana, dilihat juga seperti ada tohmahan yang tidak berasas yang ditujukan artikel tersebut kepada satu golongan di Negara ini.

Dalam artikel beliau tersebut, beliau menyebut beberapa kali tentang masalah "parti politik" yang antaranya tidak berprinsip, menggadaikan prinsip, terlibat dengan Syiah dan bersikap melampau. Namun, saya boleh nyatakan di sini bahawa, parti politik yang beliau maksudkan tersebut adalah tidak lain tidak bukan adalah PAS. Kerana mana mungkin beliau menujukan segala tohmahan tersebut kepada UMNO, DAP, MCA, KEADILAN dan seumpamanya. Ini berdasarkan ayat-ayat beliau di dalam artikel tersebut.

Saya merasa hairan dengan penulisan beliau, kerana di sebalik "serangan" beliau terhadap PAS, beliau hanya menyandarkan sebahagian fakta-fakta beliau terhadap "seorang kawan". Hanya tuhan yang mengetahui, betapa beratnya tuduhan beliau tersebut, antaranya menyalahtafsirkan nas, menjadi sarang Syiah dan menggadaikan prinsip. Saya tidak dapat membayangkan, bagaimana seorang ahli akademik dan juga seorang yang kononnya biasa dengan disiplin ilmu Hadith, menyandarkan kebanyakan tuduhan beliau yang berat hanya kepada "seorang kawan". Dengan dakwaan kawannya ini, beliau menyimpulkan bahawa kesemua ahli PAS bersifat demikian. Itupun jika dibuktikan bahawa dakwaan kawannya ini adalah benar.

Selain itu, tuduhan –tuduhan yang bersifat kabur, tidak dinyatakan dengan jelas, bersifat sindiran, menyebabkan cetusan khabar angin dan fitnah di kalangan masyarakat. Huru-hara boleh berlaku. Bagi saya, sikap ini amat tidak bertanggungjawab dan pengecut seolah-olah membaling batu sembunyi tangan kerana si pendakwa boleh berlepas tangan daripada setiap tuduhan yang dilakukannya. Jika benar-benar bermaruah, jujur dan ikhlas, silakan sebut, apakah namanya Parti Politik itu, siapakah namanya pimpinan yang mengatakan bahawa Syiah lebih baik dari Sunnah dan sebutkan nama Pimpinan yang menyatakan bahawa rukun Islam Syiah lebih baik dari rukun Islam yang kita amalkan. PAS juga ingin bermuhasabah jika ianya benar dan dapat dibuktikan.

Antara tuduhan beliau lagi adalah, kelompok ini memasuki Islam tidak daripada pintu aqidah. Bagi saya, ini adalah dakwaan yang dangkal dan sangat bersifat prejudis. Adakah apabila seorang Muslim terlibat dalam parti Politik yang ingin memperjuangkan Islam maka secara otomatik mereka sudah membelakangkan Aqidah dan mengutamakan politik semata-mata? Selain itu, kalau kaedah ini terpakai, bermakna seorang mukmin yang bergiat dalam sektor perbankan, adakah bermakna bahawa mukmin tersebut memasuki Islam hanya daripada sudut ekonomi bukan daripada sudut Aqidah. Beliau (Dr Asri) tidak menyatakan contoh spesifik sebaliknya menyatakan perkara tersebut secara umum. Dikhuatiri, ia akan menzalimi orang yang tidak bersalah nanti.

Sehingga kini, tidak ada siapa yang maklum tentang, apakah yang beliau maksudkan tentang PAS sanggup bekerjasama dengan orang yang berbeza dalam hal-hal prinsip dalam isu-isu semasa. Kalaulah beliau maksudkan, di dalam demonstrasi, terdapatnya kelompok yang tidak ketahuan mananya yang memegang gambar Khomeinei, maka PAS sudah menggadaikan prinsip, maka secara jelas, saya katakan Dr Yusof Qaradhawi, Syeikh Salman Audah dan ramai lagi ulama' besar lain adalah antara orang yang tidak berprinsip kerana beliau menyeru untuk membantu kelompok Hizbullah Syiah Lubnan.

Beliau juga mendakwa bahawa PAS diperalatkan untuk mengembangkan Syiah dan menjadi sarang kepada Syiah. Manakah buktinya? Amat berat tuduhan tersebut. Begitu juga dengan kenyataan pemimpin PAS kononnya Syiah lebih baik daripada Sunnah. Manakah kenyataannya? Kitapun mahu menilai juga. Tidakkah beliau tahu bahawa setiap tuduhan itu perlu disertakan dengan bukti. Sekarang ini, akibat kenyataan liar beliau, ramai manusia yang telah menganggap bahawa memang benar PAS sebagai sarang Syiah dan pimpinannya adalah Syiah. Adakah ia benar? Manakah sifat tanggungjawab kamu di dalam melemparkan tuduhan?

Begitu juga dengan dakwaan kamu berlaku salah tafsir terhadap nas jamaah di dalam PAS. Semuanya itu hanya berdasarkan dakwaan "kawan" beliau sahaja. Kemudian, digempitakan ke seluruh Negara.

Tuduhan-tuduhan yang sangat bersifat zhanni, sangatlah menzalimi pihak yang dituduh. Inikah sikap seorang ahli akademik. Kemudian dikaitkan pula kononnya PAS tidak berprinsip kerana menyokong Anwar dan Tun Mahathir. Saya katakan, sekiranya PAS tidak menyokong Anwar apabila Anwar dizalimi dan menyokong Tun Mahathir apabila beliau membangkitkan isu keselamatan Negara, barulah boleh dikatakan PAS tidak berprinsip. Ini kerana, selama ini antara prinsip yang diperjuangkan oleh PAS adalah menentang kezaliman dan menentang campurtangan negara asing di negara Malaysia ini.

Dalam hal ini, saya merasa pelik, dengan orang yang kononnya mengikut manhaj Qaradhawi di Malaysia ini. Al-Qaradhawi di dalam isu Anwar Ibrahim, beliau mengambil sikap berpihak. Begitu juga IslamOnline. Ini dapat dilihat di dalam bank fatwa mereka. Berapa banyak komen mereka terhadap kezaliman yang dikenakan terhadap Anwar Ibrahim. Di saat itu, ulama' Malaysia kebanyakannya bersilat, membodek kerajaan dalam isu Anwar Ibrahim. Al-Qaradhawi sendiri mengambil sikap berpihak kepada Anwar Ibrahim dengan menyatakan bahawa beliau telah dizalimi. Adakah Al-Qaradhawi disebabkan beliau menyokong Anwar, secara otomatiknya beliau tidak berprinsip.

Begitu juga PAS. Kerana boleh memaafkan musuh-musuh politiknya untuk maslahah yang lebih besar dan mustahak. Isu di atas hampir sama dengan Tun Mahathir. Adakah isu yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir, adalah isu yang kecil? Tidak. Ia membabitkan keselamatan Negara. Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, mereka wajib menyokong kebenaran. Ia tidak bermakna menggadai prinsip. Tidak juga bermakna bersetuju dengan kesalahan yang Tun Mahathir lakukan sebelum ini. PAS juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan baahwa partinya telah membenarkan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh Tun Mahathir sebelum ini.

Saya bukanlah seorang Syiah. Namun, realitinya kita melihat kini, satu-satunya Negara umat Islam yang berusaha mendapatkan Nuklear adalah Iran. Kita harus mengakuinya. Dahulu kita mempunyai Iraq. Sekarang ia telah dimusnahkan. Antara pakatan memusnahkan Iraq adalah Negara Sunnah sendiri seperti Arab Saudi yang membenarkan negaranya menjadi pengkalan untuk menyerang Iraq. Tidak perlulah mengalih tumpuan, menyusahkan minda dan membantutkan akal, seolah-olah berlaku konspirasi media yang tersirat. Sedangkan perkara yang tersurat, boleh memberikan keputusan sebaliknya.

Selepas sahaja Dr Asri mengatakan Syiah bukan musuh Amerika Syarikat, dan mereka akan digunakan untuk menyerang negara umat Islam jirannya, tidak lama selepas itu, Israel menyerang Lubnan atas alasan menghapuskan Hizbullah. Dan Hizbullah pula membantu HAMAS. Bagi saya, Amerika Syarikat tidak mengira seseorang itu Syiah atau Sunnah untuk mereka menghancurkannya. Asal sahaja mengucap Syahadah, maka kamu pasti tidak selamat dari peluru Amerika Syarikat.

Jika Iran diserang, memang ia terpaksa menyerang Negara Arab yang lain. Kenapa? Kerana pengkalan tentera Amerika Syarikat ada di Negara tersebut. Seperti di Arab Saudi, Afghanistan, Kuwait, Iraq dan Turki. Ini adalah adat dalam peperangan. Tidak mungkin ia akan membiarkan dirinya diserang begitu sahaja. Sama juga seperti Iraq ketika diserang oleh Amerila baru baru ini. Ia menyerang Negara Kuwait. Kenapa? Kerana pengkalan tentera Amerika Syarikat ada di sana.

Adakah kerana Iraq menyerang negara sunnah seperti Kuwait ketika ia diserang oleh Amerika Syarikat maka secara otomatik Saddam Hussain adalah merupakan seorang Syiah. Permusuhan Iran dan Amerika Syarikat adalah jelas. Tidak perlu dinafikan lagi. Anak-anak mereka telah diajarkan dengan perkataan Amerika Syarikat Syaitan Akbar, Bendera Amerika Syarikat menjadi bahan pijak semasa hari ulangtahun revolusi Iran, peristiwa penahanan 444 hari kedutaan Amerika Syarikat oleh pelajar Iran, pengistiharan bursa saham Tehran yang menggunakan Euro untuk membantutkan ekonomi Amerika Syarikat, sekatan ekonomi dan sebagainya. Peristiwa-peristiwa sebaliknya adalah terpencil. Mengatakan Iran adalah anak didik Amerika Syarikat dalam masa sekarang seoah-olah mengatakan bahawa bulan itu berbentuk empat segi.

Kerana itu harus ada rasa tanggungjawab dalam penulisan. Memang benar kita tidak sukakan Syiah, namun faktanya harus betul. Harus juga berhati hati dalam membuat sebarang pertuduhan. Dikhuatiri akan menzalimi orang yang tidak bersalah dan mencetuskan huru-hara kelak.

KECACATAN KERANGKA PEMIKIRAN

Sudah menjadi kelaziman, setiap manusia akan menyangkakan bahawa pendapat mereka benar. Kalau ditanya kepada Yahudi yang membunuh umat Islam Palestin pun, mereka akan berkata bahawa mereka di pihak yang benar dan cuba mencari seribu macam alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Satu-satu pendapat itu, sekiranya dilihat secara terasing ataupun juz'i, mungkin kita akan katakan bahawa pendapat tersebut betul. Namun, apabila pendapat tersebut dibawa ke dalam kerangka pemikiran dan ruang yang lebih luas dan besar, maka kita akan dapat melihat bahawa pendapat tersebut sangat banyak cacat celanya. Kadang-kala, pendapat tersebut mengundang masalah yang lebih besar dan sangat merbahaya daripada kebaikan yang kononnya akan dibawa jika dilihat daripada kacamata yang lebih luas.

Konsep Islam Hadhari contohnya. Ada di kalangan ahli akademik yang hanya melihat kebaikan konsep tersebut hanya dengan berpandukan 9 prinsip yang tertulis di dalam buku panduan Islam Hadhari tersebut. Kemudian mereka pun mengisytiharkan kepada satu negara bahawa semua rakyat harud menyokong konsep ini tanpa was was sebagai tanda cinta kasih mereka kepada Islam. Sedangkan, apabila dilihat dari kacamata yang lebih besar, konsep tersebut digunakan untuk tujuan politik bagi mengaburi mata rakyat terhadap maksiat, kezaliman dan juga salah urus yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Bahkan, apa yang tertulis di dalam konsep tersebut, tidak dilaksanakan pun mengikut apa yang dikehendaki oleh Islam. Kalau dilaksanakan, kenapa dalam masa sekarang masih ada lagi insan yang tidak berdosa ditahan di bawah ISA, undang-undang syariah yang tidak dilaksanakan, dan pelbagai dasar-dasar kerajaan yang tidak menguntungkan umat Islam dan agama Islam itu sendiri. Maka, setiap konsep dan dasar harus dilihat secara realistik dan praktikal bukan hanya apa yang tertulis dalam kertas-kertas kerja yang dihasilkan semata-mata.

Begitu juga dengan sifat sesetengah dari kalangan manusia yang suka menghukum secera umum (general) hanya semata di atas kesalahan atau kesilapan individu di dalam sesuatu kelompok tersebut. Kaedah tuduhan sebegini sangatlah zalim dan ia menzalimi kebanyakan manusia yang tidak bersalah di dalam golongan tersebut. Kerana itu, kita diajar di dalam Islam dan juga di dalam mana-mana perundangan Barat bahawa di dalam membuat tuduhan, ia perlu dilakukan secara objektif dan spesifik bukannya secara umum kepada satu puak dan kaum tertentu.

Kedua-dua kaedah dan sifat di atas sangat jelas berlaku pada sesetengah golongan di negara ini yang kononnya mengaku dirinya Salafi. Bahkan kisah tindak tanduk mereka mereka ini diungkitkan oleh Dr Abdullah Azzam semasa beliau berjihad di Afghanistan. Beliau telah menegur beberapa orang yang mengaku dirinya seorang salafi yang disifatkannya mempunyai perut yang buncit, poket yang penuh berisi wang, makan dan minum yang cukup yang datang daripada Arab Saudi ke Afghanistan. Kemudian, asyik membangkitkan soal cara solat para mujahiden, iktiqad mujahiden berkenaan nas-nas sifat serta pelbagai lagi isu-isu kecil yang lain dalam masa mujahidin ini berada di perbatasan hendak berdepan dengan tentera Rusia. Nyawa mereka berada di hujung rambut. Maka dijawab oleh As-Syahid:
"Janganlah kamu merasa takbur dengan banyaknya kitab yang kamu baca. Sesungguhnya jari mujahideen yang memetik Kalashnikov lebih mulia di sisi ALLAH daripada mereka yang tidak turun berjihad. Aqidah mereka lebih shahih daripada aqidah sekalian kamu, kerana mereka menyakini bahawa rezeki dan ajal adalah urusan ALLAH SWT manakala kamu menyakini bahawa rezeki kamu adalah datangnya daripada pemimpin-pemimpin Negara kamu."
Dalam hal ini, apabila dianalisa, teguran da'i yang salafi kononnya tersebut kepada mujahidin Afghanistan, jika dilihat secara juz'i bukanlah tidak betul. Ia mungkin betul. Namun, nasihat tersebut apabila dilihat di dalam ruang lingkup yang lebih besar, ia diberikan tidak kena dengan masanya, tidak mengikut aulawiyyat apa yang harus diberi kefahaman terlebih dahulu dan boleh melemahkan semangat mujahidin dan melemahkan pakatan mereka. Dan ini sudah tentu jauh lebih merbahaya daripada apa yang disebutkan oleh da'i salafi tersebut.

Sementara itu, ada juga yang mengajarkan bahawa nas-nas tentang mentaati kepimpinan Negara adalah merujuk kepada ketaatan kepada setiap perkataan yang keluar dari kepimpinan Negara tersebut tanpa melihat dari segi makro dan mikronya. Sedangkan apa yang dimaksudkan oleh nas tersebut jika dirujuk dalam keadaan masa sekarang adalah mentaati undang-undang Negara tersebut. Sekiranya undang-undang Negara tersebut membenarkan, maka ia termasuk dalam hal mentaati kepimpinan dan Negara. Sebab itulah, kita merasa hairan masih ada lagi yang menafsirkan bahawa haram ada pembangkang di dalam sesebuah Negara umat Islam yang berpilihanraya dan ia disamakan dengan perbuatan bughah sedangkan parti-parti politik sendiri adalah sesuatu yang dibenarkan oleh undang-undang Negara.

Menubuhkan parti politik yang jujur dan ikhlas dengan niat untuk mendaulatkan agama adalah sebahagian daripada ciri-ciri mentaati pemerintah kalau ia dilihat di dalam situasi sekarang ini. Dan menegur pemerintah melalui parlimen mahupun melalui badan politik dibenarkan di dalam undang-undang Negara. Secara otomatik ia termasuk di dalam mentaati pemerintah dan menunaikan tanggungjawab agama bagi menegur pimpinan yang berbuat salah. Sebaliknya mereka yang rasuah, salahguna kuasa dan menentang Islamlah orang yang layak dikatakan sebagai menderhakai pemerintah kerana mereka tidak patuh kepada undang-undang negara.

Kerana itu, di sebalik slogan mentaati pemimpin, puak-puak ini berinteraksi dan melayan PAS seolah-olah PAS ini adalah satu pertubuhan haram, digambarkan PAS ini satu kelompok bughah samalah seperti Al-Qaeda. Sedangkan PAS adalah satu parti politik yang sah dan berdaftar. Kerana itu, saya katakan di sini, seolah-olah wujud kecacatan cara fikir di kalangan puak-puak ini sehinggakan gagal melihat sesuatu perkara itu dengan adil dan waras.

Di satu ketika lagi, puak-puak ini membawa slogan, "kami hanya takutkan ALLAH SWT, kami tidak berpihak kepada mana-mana kelompok, sekiranya kerajaan membuat salah, kami akan tegur, dan sekiranya pembangkang membuat salah pun kami akan kritik". Namun, realitinya, kritikan bahkan mungkin juga fitnah mereka hanya terkena kepada parti pembangkang sahaja sedangkan pihak kerajaan hampir tidak terusik. Jelaslah bahawa slogan "atas pagar" mereka hanya tinggal slogan semata-mata untuk mengaburi mata pengikutnya dan seterusnya menghalalkan setiap apa yang puak ini lakukan. Lebih teruk dari itu, setiap apa yang dilakukan oleh kerajaan, walaupun jelas kesilapan dan kesalahannya, akan cuba dijustifikasikan untuk membenarkannya. Mereka berusaha sampai ke hujung dunia untuk mencari dalil agar perkara yang silap tersebut akan kelihatan "baik" dari sisi agama. Perilaku mereka amat ganjil seolah-olah cuba berusaha sedaya upaya untuk memasukkan plug 3 pin ke dalam soket 2 pin.

Kemudian, di antara slogan yang biasa beliau utarakan iaitu hendaklah sentiasa melakukan kritikan yang benar tidak kira kepada sesiapa sahaja. Malangnya, apabila pembangkang melakukan kritikan yang benar terhadap kerajaan, maka pelbagai tuduhan dikenakan kepada pembangkang seperti bughah, berpemikiran Khawarij, bersifat Syiah, mengambil kesempatan, dan mencari kesalahan. Seolah-olah Dr Asri seorang yang khasyaf yang telus terhadap niat PAS yang membuat kritikan. Sedangkan, apabila dilihat, hampir kesemua kritikan yang dibuat oleh PAS adalah betul dan disokong dengan fakta dan bukti. Akhlak ini sangat jauh dengan sifat Dr Asri yang menuduh pemimpin PAS adalah Syiah tanpa mengutarakan sebarang bukti. Hanya andaian dan mungkin juga boleh dikatakan fitnah semata-mata. Sumber rujukan beliau tidak ketahuan di mana-mana. Sedangkan, semangat demokrasi yang dilaksanakan di Negara ini menggalakkan rakyatnya membuat kritikan pada kerajaan sekiranya kerajaan dilihat melakukan kesilapan. Dan ia harus dilakukan dengan bukti. Ia perlu dilakukan untuk memperkuatkan negara. Dan inilah yang dilakukan oleh PAS. Sebahagian manusia sangat berfikiran ganjil terhadap PAS. Apabila PAS melakukan kritikan, walaupun telah dikemukakan bukti-buktinya, maka tanpa berfikir panjang, terus dituduh PAS sebagai pemfitnah. Sedangkan, harus diingat, di Negara ini undang-undang berkenaan dengan khabar angin, fitnah dan seumpamanya sangat ketat seperti adanya Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan seumpamanya. Namun, apabila disorot daripada dahulu sehingga sekarang, amat sedikit pimpinan PAS yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana kesalahan memfitnah. Ini bermakna bahawa kritikan yang dilakukan oleh PAS adalah betul. Oleh itu, setiap tuduhan puak-puak ini berbalik ke atas batang hidumg mereka sendiri.

Kerana itulah, saya merasa hairan dengan Dr Asri Zainul Abidin. Di sebalik slogan beliau agar sentiasa menyemak berita, mencari bukti, namun beliau sendiri membuktikan bahawa beliau tidak mempraktikkan apa yang beliau utarakan. Bliau sering mempersoalkan niat PAS apabila melakukan sesuatu perkara yang baik. Sikap buruk sangka sesama mukmin seperti ini sangat keji dan biasanya lahir di atas perasaan dengki dan hasad yang lama terhadap sesuatu pihak. Sedangkan, kita sebagai manusia ini memadailah berhukum dengan perkara yang zahir, dan serahkan kepada ALLAH SWT di atas perkara yang tidak kita nampak.

MERUNTUHKAN SEMENTARA TIDAK MEMBINA

Cara berfikir beliau ini melahirkan generasi yang ganjil. Mereka ini gemar meruntuhkan sesuatu asas yang telah lama dibina tetapi tidak pula membangunkannya. Mereka gemar menjatuhkan maruah gerakan-gerakan Islam, menjatuhkan maruah gerakan-gerakan jihad, namun mereka sendiri tidak pergi berjihad, dan tidak pula terlibat dalam usaha mengislahkan masyarakat. Mereka leka dibuai dengan perbahasan benda yang remeh temeh seperti talaffuz niat, zikir kuat dan perlahan dan meninggalkan perkara yang lebih besar dan mustahak.

Apabila mereka berinteraksi dengan setiap gerakan Islam, mereka akan mencari pelbagai kesalahan gerakan tersebut, kemudian mereka mula mengkritik dan menghina gerakan tersebut dengan penuh penghinaan. Dan meminta orang ramai agar menjauhinya. Sungguhpun gerakan tersebut telah sekian lama menabur jasa di dalam masyarakat dan masyarakat pula banyak mengambil manfaat daripadanya.

Mereka terus berfalsafah dan berteori. Namun, jika disemak, apakah sumbangan kelompok ini kepada masyakarat. Jawapannya tidak ada. Kalau ada, hanyalah perbahasan dari segi talaffuz niat dan kaedah berzikir. Apabila ditanya kepada mereka, apakah jawapan terhadap penjajahan Aqsa? Mereka menjawab, hendaklah kita berdakwah salafiyah. Jika ditanya, apakah jawapan terhadap kelompok Islam Liberal yang cuba menggunakan undang-undang untuk menyudutkan Islam. Maka mereka menjawab, taatilah pemerintah dan dakwah salafiyah. Jika ditanya, bagaimanakah cara untuk menegakkan hukum-hukum Islam di Negara ini, Mereka menjawab, dakwah salafiyah. Hakikatnya, kelompok ini tidak ada sebarang idea pun untuk membangunkan ummah. Slogan-slogan mereka hanyalah retorik dan langsung tidak membantu di dalam pembangunan ummah.

Kalaulah, kelompok Islam Liberal mempraktikkan teori dekonstruktivisme, iaitu mereka meruntuhkan setiap sendi yang telahpun establish di dalam agama, tanpa ada perancangan membinanya. Golongan ini pula meruntuhkan setiap sendi yang telahpun berjasa besar di dalam masyarakat tanpa ada perancangan untuk membinanya juga. Tanyalah kepada mereka, apakah jalannya ke arah menyatukan sempadan Negara-negara Islam, agar Negara Islam menjadi kuat dan tidak diperkotak-katikkan lagi oleh kuasa Barat dan seterusnya membebaskan BaitulMaqdis. Tentunya mereka akan menjawab, jangan berpolitik, jangan ikut mana-mana gerakan, jangan tegur pemerintah, hanya dengan dakwah salafiyah. Hakikatnya, kelompok ini tidak ada jawapan pun terhadap sebarang permasalahan yang berlaku di dalam masyarakat sekarang. Kelompok seperti ini sangat disenangi oleh Barat kerana ia akan memandulkan umat Islam, melemahkan mereka dan membuka laluan terhadap penjajahan barat terhadap umat Islam. Kehadiran kelompok seperti ini mempercepatkan lagi penguasaan musuh-musuh Islam terhadap umat Islam.

Kelompok seperti ini bersikap amat ganjil. Di satu masa, mereka mengatakan arak itu haram, hudud wajib ditegakkan. Dalam masa yang sama, mulut ini juga tidak memberikan sokongan kepada PAS dalam usaha menegakkan hudud. Apabila diberikan pilihan di antara BN yang terang-terang tidak mahu melaksanakan hudud dan PAS yang ingin melaksanakan hudud, maka mereka mentakwil bahawa PAS tidak ikhlas. Maka wajiblah kita mentaati pemerintah dan bersangka baik terhadap mereka.

Pendekatan mentah mereka ini sangat berbeza dengan PAS. PAS mengatakan arak itu haram. Dalam masa yang sama, apabila PAS diberi peluang mentadbir negeri, maka arak diharamkan dijual secara terbuka. Judi diharamkan langsung. PAS bukan hanya berslogan bahkan melaksanakan. Ini dapat dilihat sendiri tanpa perlu PAS menjaja apa yang dilakukan oleh PAS ke serata dunia sebagaimana puak-puak ini lakukan. Begitu juga dalam isu-isu yang lain. PAS mempunyai perancangan yang konkrit untuk membangkitkan umat Islam bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia. Ia bersifat praktikal dan realistik tidak hanya slogan yang terawang-awang. Kerana itu, kebanyakan tindakan puak-puak ini mengudungkan kaki dan tangan umat Islam dengan pelbagai pendapat-pendapat mereka yang pelik-pelik dengan mengatakan inilah kehendak generasi salaf. Akhirnya jadilah umat Islam satu umat cacat menunggu masa untuk disembelih oleh musuh-musuh Islam.

CARA PENULISAN DAN UCAPAN YANG MEMBERIKAN GAMBARAN YANG KELIRU KEPADA ORANG RAMAI

Kelompok ini juga mempunyai metod yang ganjil di dalam pelbagai ucapan dan penulisan mereka terutama di dalam dakwah. Mereka gemar membangkitkan perkara-perkara yang kecil sehinggakan mengalihkan tumpuan orang ramai daripada permasalahan umat Islam yang sebenarnya. Mereka jarang membetulkan kelompok yang benar-benar salah, sementara itu mencari kesalahan walaupun ke titik bengit kelompok Islam yang jujur untuk melaksanakan Islam. Sekiranya kesalahan ini dijumpai, maka mereka akan mencanangkannya sehingga ke seluruh dunia agar umat Islam menjauhkan diri mereka daripada kelompok Islam tersebut.

Sikap ini sangat merbahaya. Dan ia menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai. Kepandaian puak ini menggunakan nas untuk menyokong setiap argument mereka menyebabkan tidak sedikit orang ramai yang jahil terpengaruh dengan kata-kata mereka. Tinggallah umat Islam sibuk berpecah sesama sendiri, mencari salah di antara satu sama lain dan meninggalkan orang yang betul-betul melakukan kesalahan yang lebih besar. Sikap ini benar-benar akan melahirkan generasi yang keliru, serta menyusahkan orang ramai untuk berbuat kebaikan. Akhirnya, masyarakat akan berfikir, sekiranya aku berbuat baik, maka orang akan mencari kesalahan aku. Aku akan dimarahi dan dimalukan. Sebaliknya apabila aku betul-betul berbuat jahat, maka orang akan melepaskan aku. Maka, lebih baik aku berbuat jahat. Akhirnya, masyarakat cenderung untuk berbuat jahat kerana berbuat jahat jauh lebih mudah daripada berbuat baik. Siapakah yang memudahkan? Puak-puak inilah yang memudahkan.

Perbuatan mereka ini samalah dengan seorang bapa yang mempunyai 2 orang anak lelaki. Si abang memang tidak bersolat langsung. Manakala si adik sentiasa bersolat. Si ayah tidak pernah memarahi si abang yang tidak bersolat. Tetapi ada sekali si adik tidak bersolat, si ayah memarahi si adik sampai memukulnya, menegurnya di khalayak, memalukannya, menghalaunya dari rumah dan sebagainya. Si adik sangat bingung. Kenapa si abang yang langsung tidak bersolat tidak dimarahinya. Ini double standard. Dan si abang selesa dengan kelazimannya yang tidak bersolat. Sepatutnya, kalau begitu cara si ayah memarahi si adik, seharusnya si ayah memarahi si abang beratus-ratus kali ganda lagi, sesuai dengan kadar kesalahan yang dilakukan. Maka, si adik akan mudah memahami bahawa ayahnya memang tegas. Tetapi perkara sebaliknya yang berlaku.

Masyakarat juga begitu. Sekiranya teguran ke atas PAS yang ingin melaksanakan syariat Islam sudah sebegitu caranya, seharusnya teguran ke atas kerajaan yang langsung tidak mahu melaksanakan Islam harus berkali-kali ganda lagi. Sebaliknya perkara ini tidak berlaku. Sikap double standard seperti ini akan melahirkan masyarakat yang lebih keliru dan menyongsangkan cara fikir masyarakat yang sihat.

Selain itu, cara beliau dan pengikut-pengikut beliau juga di dalam membincangkan aspek Syiah di Malaysia ini, seolah-olah di Malaysia ini mempunyai seramai berjuta-juta orang Syiah. Manakala cara beliau membuat tuduhan kepada PAS, seolah-olah di dalam PAS mempunyai beratus-ratus ribu orang yang beraqidah Syiah di dalamnya. Namun, apabila diminta buktikan seorang sahaja pimpinan PAS yang beraqidah Syiah, seorang pun tidak dapat dibuktikan. Ini semua sangat mengelirukan orang ramai dan memberikan gambaran yang salah terhadap gerakan Islam. Kerana itulah sebahagian daripada pengikut beliau yang termakan dengan cara penulisan beliau apabila diajak untuk bersama bagi melawan kelompok Islam Liberal, mereka menjawab, tidak mahu, kerana aku tahu ada di kalangan kamu ini orang syiah, aku tidak akan bekerjasama dengan orang Syiah. Bagi aku Syiah adalah musuh Islam nombor satu. Walhal perkara tersebut hanya diada-adakan semata-mata.

PERMASALAHAN TUN DR MAHATHIR

Pendekatan PAS di dalam isu Tun Mahathir banyak mengundang khilaf sama ada di kalangan kawan mahupun lawan. Pada sesetengah pihak pula, mereka menggunakan situasi ini sebagai peluang untuk mencari kesalahan PAS dan seterusnya mencanangkannya ke serata tempat. Pihak Dr Asri juga tidak ketinggalan dalam mengulas isu ini. Beliau yang kononnya tidak berpolitik turut mengambil kesempatan memberikan hukuman terhadap PAS mengikut kacamata beliau terhadap isu ini.

Dalam hal ini, perlu dijelaskan kembali bahawa penentangan PAS terhadap UMNO bukanlah merupakan pertentangan mutlak terhadap batang tubuh individu, dan bukan juga permusuhan secara mutlak terhadap nama UMNO itu sendiri. Ini dijelaskan berkali-kali oleh TG Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS lainnya. Sebaliknya, ia adalah penentangan terhadap setiap dasar, polisi, tindakan dan pengamalan mereka yang bertentangan dengan ruh Islam. Sesiapa sahaja yang berada di dalam UMNO walaupun anak ulama' sendiripun, sekiranya masih lagi MENERUSKAN dasar-dasar dan tindakan kerajaan yang bertentangan dengan ruh Islam seperti ISA, tidak melaksanakan hudud, tunduk kepada Amerika Syarikat, dan seumpamanya maka akan ditentang oleh umat Islam yang ikhlas dan jujur. PAS juga tidak terkecuali daripada mengamalkan prinsip ini.

Mereka yang menyerang sikap PAS terhadap Tun Mahathir sebenarnya mempunyai cara fikir dan pemahaman permusuhan yang sangat merbahaya dan tidak selari dengan akhlak Islam. Ini kerana, mereka memandang, sekiranya seseorang itu "jahat", maka apa-apa yang keluar dari mulut beliau harus dibuang ke dalam tong sampah walaupun perkara tersebut sangat mustahak terhadap keselamatan Negara sendiri. Dalam kes Tun Mahathir, sebenarnya hampir kesemua daripada isu yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir, PAS telah membangkitkannya terlebih dahulu. Tindak-tanduk Khairi Jamaluddin di dalam pentadbiran Negara, Husam Musa dan lain-lain pimpinan PAS telah berkali-kali mengingatkan kerajaan tentang hal tersebut sebelum Tun Mahathir membuka mulut lagi. Kemudian berkebetulan, Tun Mahathir mengungkitkan tentang isu yang hampir sama. Maka, cara fikir yang bagaimana yang menyebabkan apabila Tun Mahathir membuka mulut sahaja, walaupun ia isu jatuh bangun Negara, maka PAS harus diam pula.

Lagi satu, berkali-kali telah ditegaskan bahawa kebersamaan PAS dengan Tun Mahathir adakah di dalam isu-isu tertentu sahaja. Berkebetulan isu itu adalah isu keselamatan Negara yang sangat besar impaknya terhadap Negara. Adakah ini merupakan satu kesalahan? Sepatutnya, jika PAS tidak bersama Tun Mahathir pada isu-isu yang benar, barulah PAS sepatutnya disalahkan kerana ia membuktikan bahawa penentangan PAS terhadap Tun Mahathir adalah penentangan terhadap batang tubuh beliau secara mutlak bukannya kerana kesalahan yang beliau lakukan kepada negara sehinggakan sanggup mengenepikan prinsip semata-mata kerana dendam. Namun perkara yang sebaliknya berlaku. Seharusnya tindakan PAS ini harus dipuji sebagai tindakan yang berprinsip. Kerana PAS menyokong berpandukan apa yang diperkatakan bukan siapa yang mengatakannya. Sebaliknya, PAS dituduh tidak berprinsip disebabkan menyokong kebenaran. Apa nama Parti Islam sekiranya bermusuh dengan seseorang individu, apabila individu tersebut berbicara perkara yang betulpun, dikatakan sebagai salah. Logik apa ini.

Dalam penulisan beliau, sama ada secara sedar atau tidak, tanpa beliau sedari, beliau telah menetapkan satu kaedah yang cukup merbahaya terhadap cara berfikir ummah. Kaedah beliau adalah, sekiranya kita bekerjasama dengan orang yang tidak sependapat dengan kita walaupun di dalam isu yang benar, maka secara mutlak dan otomatiknya kita menggadaikan prinsip kita. Tuduhan beliau terhadap PAS di dalam isu Syiah juga adalah mengambil kaedah sama sama. Hakikatnya, kaedah beliau ini sangat janggal, merbahaya, tidak praktikal, berbau prejudis dan bertentangan dengan akal waras manusia yang normal.

Sebaliknya, sikap permusuhan secara mutlak kepada batang tubuh menyebabkan sesetengah dari kita berfikir bahawa apabila Tun Mahathir tiada di dalam kerajaan, maka kerajaan akan menjadi Islam sepenuhnya, atau menjadi kerajaan yang baik. Hakikatnya, apabila Tun Mahathir tidak ada, kerajaan masih sama seperti dahulu. Bahkan ia lebih teruk lagi daripada dahulu. ISA, rasuah, salah guna kuasa, pencabulan kebebasan akhbar, pencabulan hak asasi, dan apa-apa kesalahan yang dibuat oleh Tun Mahathir masih lagi kekal sehingga kini. Bahkan, kini ia ditambah pula penguasaan Negara oleh pihak asing, dan isu-isu seumpamanya. Paling teruk adalah kesemua daripada kezaliman dan penyelewengan ini dihalalkan di mata rakyat di atas nama Islam Hadhari. Ini lebih bahaya.

Kerana itu, PAS selalu menyatakan bahawa, yang ditentang adalah sistem itu sendiri. Kerana sistem melahirkan individu. Sangat banyak contoh individu yang baik apabila masuk ke dalam sistem yang sangat merosakkan, maka ia turut menjadi rosak. Kadangkala, lebih rosak dari sistem itu sendiri. Cara fikir Dr Asri ini harus diperbetulkan.

Bertentangan dengan sikap satu puak lagi, yang cuba mentakwil sedaya upaya untuk membuktikan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan sebagai sesuatu yang tidak silap bahkan ia selari dengan syariat Islam. Mereka akan cuba berusaha untuk melarikan rakyat dan pembaca dari melihat realiti sebenar sebaliknya hanya berpandukan kepada kitab-kitab dan buku-buku lama semata-mata. Inilah yang berlaku kepada Islam Hadhari. Yang jelas, kebanyakan dasar-dasar kerajaaan sangat tidak menguntungkan Islam. Lihatlah apabila mereka hendak melanjutkan kelab-kelab malam untuk beroperasi sehingga 4 pagi, mengekalkan lesen-lesen kasino dan pusat perjudian, memberikan tekanan kepada penguatkuasa jabatan agama di dalam melaksanakan tugas mereka dan seumpamanya. Sikap membodek kerajaan dengan mencari pelbagai dalil untuk menghalalkan segala perbuatan di atas sangat tidak bermaruah dan harus dielak.

Bagaimana pula dengan apa yang berlaku kepada kerajaan Perlis. Di dalam mengisytiharkan Perlis Darus Sunnah pun ia dilakukan di dalam majlis JomHeboh. Sunnah apakah itu? Dalam masa yang sama, puak-puak ini berpusu-pusu menyatakan sokongan mereka terhadap tindakan Shahidan Kasim. Menteri Besar Perlis tersebut tanpa melihat kepada realiti sebenar yang berlaku di dalam masyarakat. Puak-puak ini memang sangat cintakan slogan-slogan seperti ini. Mereka tidak berfikir lagi tentang pengisiannya.

Kerana itulah, di dalam kita membuat penilaian tentang sesuatu perkara, ia wajib dilakukan dengan penuh kejujuran. Dan ia juga dibuat dengan menilainya dari segala sudut sama seperti teori, realiti dan praktikal.

SIFAT POLITK KEPARTIAN

Dr Asri juga ada mengungkitkan tentang PAS yang kononnya bersifat politik kepartian. Apakah yang beliau maksudkan sebagai politik kepartian? Hanya beliau yang mengetahuinya. Satu daripada contoh beliau adalah kononnya PAS tidak menyokong kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan dan setiap pendirian PAS adalah didasari oleh matlamat PAS yang gilakan kerusi pemerintahan walaupun terpaksa menggadaikan prinsip.

Dalam hal ini, Dr Asri harus ingat, kesalahan tetap kesalahan. Ia perlu ditegur. Namun, harus dikemukakan dengan bukti yang benar. Inilah yang dilakukan oleh PAS selama ini. Mereka yang menulis seperti di atas adalah jahil terhadap aktiviti PAS ataupun berniat jahat terhadap PAS. Sangat banyak usaha kerajaan yang disokong oleh PAS asal sahaja ia sejajar dengan perjuangan memartabatkan Islam. Lihatlah usaha pengukuhan institusi-institusi agama seperti Jabatan Agama dan seumpamanya, ia mendapat sokongan padu dari PAS.

Orang yang menuduh PAS tidak jujur di dalam sesuatu isu kerana gilakan kerusi adalah seorang yang naif tentang situasi politik di Malaysia. Sifat PAS yang jarang menang di dalam pilihanraya dan ahlinya sentiasa ditindas dalam segenap segi menyukarkan para penggila pangkat dan jawatan untuk berada di dalam PAS. Bekas ahli PAS yang gilakan kerusi kesemuanya telahpun berada di dalam UMNO. Kalau hendak dituduh, seseorang itu gilakan kerusi, ia lebih tepat kepada UMNO itu sendiri kerana parti tersebut memang mempunyai kekuasaan. Kalaulah ahli-ahli PAS ini kesemuanya gilakan kerusi, pastilah berbondong-bondong mereka memasuki UMNO sejak awal zaman muda mereka lagi.

SIKAP MELAMPAU DALAM MENGHUKUM

Dr Asri dan pengikutnya juga mempunyai sikap yang melampau di dalam menghukum orang lain. Perkataan Syiah dan Khawarij sentiasa bermain di bibir beliau untuk melabel golongan yang beliau tidak persetujui. Tidak sedikit yang dizalimi kerana label tersebut. Kaedah penghukuman beliau sangat mudah. Sekiranya kelihatan ada sesuatu perkara yang boleh dikaitkan dengan Syiah atau Khawarij yang ada di dalam sesuatu organisasi atau individu, maka organisasi tersebut adalah Syiah, Khawarij atau menjadi sarang Syiah.

Ini yang berlaku kepada PAS. Ribut tak ada, petir tak ada, tiba-tiba sahaja PAS dituduh menjadi sarang kepada gerakan Syiah. Alangkah mudahnya membuat pertuduhan.

Sementara itu, setiap apa yang dilakukan oleh PAS sentiasa diberikan pandangan negatif oleh kelompok ini. Walaupun perkara tersebut jelas kebaikannya, maka kelompok ini akan cuba mentakwil setiap perbuatan tersebut dengan mengatakan bahawa setiap apa yang PAS lakukan adalah semata-mata kerana tujuan politik dan gilakan kerusi semata-mata. Kelompok ini bertindak seolah-olah mereka mengetahui apa yang tersembunyi di dalam dada manusia. Seolah-olahnya mereka dikurniakan kasyaf oleh ALLAH SWT.

SIKAP GHULUW DALAM SUNNAH

Dr Asri juga cuba menonjolkan diri beliau sebagai jaguh di dalam menentang Syiah. Pantang ada gambar Khomeinei di dalam demonstrasi, habis penganjur demonstrasi dituduh menjadi sarang kepada Syiah. Kalau di Pakistan, konflik antara mazhab ini menjadi tidak terkawal kerana kedua-dua pihak ada kelompok ghullat yang menghalalkan darah antara satu sama lain. Mereka berbunuh-bunuhan di Masjid. Masjid pula di bom dan wanita dan kanak-kanak dibunuh tanpa ada belas kasihan. Begitu juga yang berada di Iraq. Adakah kelompok ini ingin membawa semangat yang sama ke Malaysia ini?

Sehinggakan, dalam isu Iran dan Lubnan ini, ada kelompok yang kononnya Salafi di negara ini berkata, sebelum kita memerangi Israel kita kena hapuskan semua orang Syiah dahulu. Kerana Syiah adalah musuh Islam nombor satu. Ada pula yang berkata, biarkan Amerika Syarikat mengebom Iran, kerana ia akan mengurangkan jumlah musuh umat Islam. Biarkan Israel dan Syiah bunuh membunuh antara satu sama lain. Haram membantu Hezbullah.

Dalam keadaan itu, ada pula pendapat yang dangkal mengatakan bahawa Iran merupakan anak didik Amerika Syarikat. Dan Amerika Syarikat sengaja menakut-nakutkan Iran untuk menonjolkan bahawa Syiah adalah wira bagi umat Islam. Dengan menggunakan fakta separuh masak, lantas beliau mengatakan bahawa Iran dan Amerika Syarikat adalah puak yang sama dan mustahil Amerika Syarikat akan menyerang Iran.

Dengan kuasa ALLAH, tidak lama selepas itu, Israel menyerang Lubnan dan bertempur dengan Hezbullah. Tidak sedikit kehancuran yang diterima oleh Israel akibat bertempur dengan Hezbullah. Peperangan ini berlarutan sekian lama, tanpa Israel dapat menghancurkan Hezbullah. Sedangkan pada 1967, Negara-negara Arab telah tewas kepada Israel dalam masa 6 hari sahaja, manakala pada tahun 1973, peperangan Arab, Israel berlangsung selama 2 minggu tanpa dimenangi oleh mana-mana pihak secara total.

Tidak lama selepas itu pula, para alim ulama dari seluruh dunia meminta agar umat Islam membantu Hezbullah sebagai kewajipan umat Islam. Di antaranya adalah Dr Yusof Qaradhawi, Dr Sharif Hatem Al Aouni, Syeikh Salman Audah. Bahkan para ulama' ini telah membuat perhimpunan di Dubai seramai lebih 100 orang bagi menyokong penentangan Hezbullah terhadap Israel.

Akhirnya, puak-puak ini menjilat ludahnya sendiri kerana lebih sudu dari kuah kononnya untuk menjadi jaguh menentang Syiah. Permainan apakah yang Iran wayangkan kalau sudah ribuan rakyat dari kedua-dua pihak terkorban? Adakah dengan ini bermakna para ulama' di atas kesemuanya secara otomatik bertukar aqidahnya menjadi aqidah Syiah dan mengkafirkan sahabat. Fikirlah wahai sahabatku.

Memang dasar orang yang keras kepala tidak mahu tunduk kepada kebenaran. Kemudian, apabila sudah terlanjur, puak-puak ini bermain kata-kata dengan menjawab, " kami maksudkan adalah kita jangan ikut Syiah dari segi aqidahnya, namun kita mesti menyokong perjuangan mereka menentang Israel." Persoalannya, SIAPAKAH YANG MENGATAKAN BAHAWA KITA MESTI MASUK KE DALAM AQIDAH SYIAH? PUAK-PUAK INI YANG MULAKAN PERTUDUHAN MELULU ATAUPUN FITNAH TERLEBIH DAHULU KEPADA PAS. Mereka yang mulakan dahulu isu-isu ini. Kemudian mulalah bersilat untuk mengelak daripada tuduhan tersebut terkena kepada diri mereka sendiri. PAS tidak pernah berkata bahawa umat Islam mesti masuk ke dalam aqidah Syiah, namun dalam masa yang sama menyokong sebarang usaha membebaskan Palestin.

Yang jelas, akhirnya, apa yang ditulis dan dikatakan, niat busuk mereka, berbalik kepada diri mereka sendiri.

FAKTA DALAM KES IRAQ

Kemudian Dr Asri berkata bahawa bukti Syiah ini secara mutlak adalah agen Amerika Syarikat adalah apabila Amerika Syarikat berkuasa di Iraq maka kebanyakan orang Syiah menguasai kerajaan. Wah, begitu mudah membuat perkaitan. Kalau begitu, harus diingat, serangan ke atas Iraq sebenarnya disokong sepenuhnya juga oleh Kuwait, sebuah Negara Sunni yang juga kuat Wahabi, dan tentera Amerika Syarikat berpengkalan di Arab Saudi dan Turki. Dengan erti kata lain, Arab Saudi juga bersubahat di dalam usaha menjatuhkan kerajaan Saddam Hussain. Walaupun dia tak mengaku bersubahat. Sebab mana ada orang di dalam dunia ini yang mengaku dirinya bersubahat. Oleh itu, kalau ikut kaedah Dr Asri, kerajaan Saudi yang kononnya Salafi juga bersubahat dalam menyebabkan kerajaan Iraq dikuasai oleh Syiah. Atau boleh juga dikatakan Syiah dan Salafi Saudi ada kerjasama.


Kemudian dikaitkan pula dengan fatwa Sajistani berkenaan dengan boleh bekerjasama dengan Amerika Syarikat sebagai bukti Syiah adalah anak didik Amerika Syarikat. Sedangkan awal dari itu, sebahagian ulama' Saudi sendiri memfatwakan boleh bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk menentang Iraq apabila Iraq menyerang Kuwait tidak lama dahulu. Maka, dua kali lima ajelah.


HARUS MUHASABAH DIRI

Di waktu ini, harus kita insafi, bahawa umat Islam berada di dalam keadaan yang amat lemah dalam semua segi kehidupan. Ini tidak lain kerana serangan penjajahan langsung dan tidak langsung mahupun kelemahan umat Islam sendiri di dalam menginterpertasi kehidupan mereka. Kita jangan bersikap angkuh. Apa yang kita tidak adapun, kita mengaku kita memilikinya. Ini lebih membuka ruang kepada musuh-musuh Islam. Apabila kita sedar akan kelemahan kita, barulah boleh untuk umat Islam mengatur strategi bagi menewaskan Israel dan Amerika Syarikat. Sudah tentu, dalam waktu kesempitan ini, kita tidak ada pilihan lain melainkan untuk bekerjasama dengan musuh-musuh Israel dan Amerika Syarikat juga walaupun berlainan ideologi. Mungkin selepas dari waktu tersebut, hal-hal selebihnya boleh diselesaikan pula.

Dalam hal Perjanjian Hudaibiyyah sendiripun, jika kita letakkan diri kita di dalam keadaan dan suasana di zaman Nabi SAW, maka mungkin kita di antara orang yang tidak bersetuju dengan perjanjian tersebut kerana melihat bahawa Nabi SAW seolah-olah telah mengalah, menyanggahi prinsip dan berlembut dengan musuh Islam. Sedangkan, Nabi SAW memikirkan sebaliknya. Cita-cita dan matlamat baginda SAW lebih besar daripada apa yang kita sedang fikirkan. Dan ia diterjemahkan dengan kebijaksanaan baginda SAW di dalam mengaturkan strategi politik seperti di dalam Perjanjian Hudaibiyyah tersebut. Dan sejarah membuktikan bahawa tindakan Nabi SAW adalah sangat benar. Ia merupakan titik tolak kepada kejayaan yang lebih besar lagi dan tidak ada tolok bandingnya. Negara Islam Madinah menjadi kuat disebabkan perjanjian itu dan seterusnya membolehkan mereka membuka Makkah beberapa tahun selepas waktu perjanjian itu.


Waktu ini, harus kita sedari, di antara negara umat Islam yang bangkit secara tegas di dalam menentang Israel dan Amerika Syarikat hanya ada dua sahaja, iaitu Syria dan Iran. Kedua-dua negara ini sedang mempersiapkan kekuatan tentera mereka untuk membebaskan kembali Palestin sementara negara-negara lain meninggalkannya. Sementara itu, negara Iran lebih sofistikated di dalam isu membebaskan Palestin dengan mempersiapkan kekuatan dan teknologi ketenteraan mereka. Maka, pihak Barat telah menyaksikan bahawa, negara ini bukan hanya cakap kosong sahaja sebagaimana negara-negara Islam yang lain, sebaliknya turut berbuat sesuatu yang konkrit untuk merealisasikan cita-cita mereka.

Serta, soal teknologi dan kekuatan tentera tidak berbangkit sama ada negara tersebut Sunnah atau Syiah, sebaliknya ia bergantung kepada kesungguhan pemimpin mereka. Dan, saya berpendapat bahawa negara ini juga, Malaysia akan turut bangkit menjadi pembela bagi umat Islam sedunia sekiranya ia dipimpin oleh PAS yang akan membangkitkan semangat jihad di kalangan rakyatnya. Kekosongan "hero" di kalangan negara Sunnah akan diisi oleh Malaysia. Bukankah ini yang kita semua mahukan.

Apa yang berlaku kini adalah, terdapat kelompangan di kalangan negara Sunnah yang sanggup tampil untuk berdepan dengan Amerika Syarikat dan Israel. Dahulu ada negara seperti Iraq dan Taliban Afghanistan. Apabila Taliban berjaya membina kerajaan, akhirnya ada juga mulut umat Islam yang menuduh kerajaan Taliban sebagai kerajaan pengganas. Serta mereka tidak mahu memberikan bantuan untuk mengukuhkan kedudukan negara Taliban Afghanistan. Akhirnya kedua-dua negara ini, Iraq dan Afghanistan dihancurkan oleh Amerika Syarikat dengan bantuan negara-negara Islam sendiri. Dalam keadaan kekosongan ini, Iran dan Hezbullah pula yang bangkit mengisinya. Kita mesti mengakui bahawa seluruh umat Islam menunggu pemimpin atau negara yang akan memimpin mereka untuk membebaskan Baitulmaqdis secara serius bukan hanya slogan sahaja seperti sekarang ini. Sebab itu, gerakan-gerakan jihad seperti Al Qaeda yang dipimpin oleh Osama Ben Laden mendapat sokongan daripada sebahagian pemuda Islam kerana mereka mengisi kekosongan ini. Jangan salahkan HAMAS sekiranya di saat ini pemimpin HAMAS mencium tangan Ali Khameinei untuk meminta bantuan daripada Iran bagi menentang Israel. Situasi ini tidak jauh bezanya dengan satu ketika dahulu umat Islam kagum dengan negara-negara Komunis seperti Rusia. Ini semua salah umat Islam sendiri juga.


Harus kita akui bahawa sekarang ini, kebanyakan pemimpin negara Islam adalah boneka Amerika Syarikat. Kerana itulah, kempen untuk memboikot barang-barang Amerika Syarikat dan Israel amat sukar dilakukan di negara kita ini kerana ia ditentang oleh pemimpin kerajaan kita sendiri. Sikap mereka ini sangat jelas membuktikan betapa hati dan jiwa mereka sangat jauh dengan perjuangan umat Islam di Palestin.

Atas dasar itulah, jangan sesekali menghalang usaha menumbangkan kerajaan BN yang pengecut oleh PAS secara sah. Agar wujud sebuah kerajaan Sunnah yang kuat yang benar-benar membela Islam di seluruh dunia tidak hanya retorik semata-mata. Ketika itu, di satu dunia, mungkin poster Khomeinei tidak lagi dijulang sebaliknya digantikan dengan gambar ulama'-ulama' Sunnah seperti TG Abdul Hadi Awang. Dan negara Islam akan bergerak mara untuk melawan hegemoni Amerika Syarikat di dunia ini dan tidak mustahil kita akan memimpin dunia. Namun, dalam keadaan niat PAS yang suci ini, PAS juga mendapat nasib yang sama seperti Iraq dan Taliban. Ia bukan sahaja tidak dibantu sebaliknya pelbagai cara dilakukan untuk menjatuhkan PAS. Ia bukan dilakukan oleh orang-orang biasa, sebaliknya oleh orang-orang yang berlatarbelakangkan agama sendiri. Oleh itu, bilakah masalah ini akan selesai? Ia menunjukkan sikap yang ironi daripada slogan-slogan pembebasan Palestin yang keluar daripada mulut mereka. Mulut mereka berkata hendak membela Palestin, sementara perbuatan mereka melambatkan lagi usaha pembebasan Masjidil Aqsa.

Dalam keadaan dan posisi kita di Malaysia ini, itulah sahaja caranya yang boleh kita lakukan. Masih adakah cara yang lain lagi?


ADAKAH PAS TIDAK MENENTANG ALIRAN YANG BERTENTANGAN AQIDAH?


Tuduhan demi tuduhan dilemparkan kepada PAS walaupun ia langsung tidak berasas. Sekiranya disemak hampir kesemua tuduhan tersebut, ia bersifat sangkaan buruk semata-mata. Mereka yang berfikiran pelik ini hanya melihat PAS semata-mata sebagai gerakan yang kononnya sanggup menggadai prinsip aqidah Islam demi mencapai matlamat kerusi pilihanraya. Namun, nun di sana, apa yang dilakukan oleh kerajaan atau UMNO sangat jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam, mereka pejamkan mata sahaja.


Sesungguhnya telah diketahui oleh umum bahawa PAS sangat mengambil berat unsur-unsur aqidah Islam, ahl As-sunnah wal jamaaah di dalam pembinaan ahli-ahlinya. Ini terbukti apabila banyak buku-buku yang dihasilkan oleh pimpinan PAS yang berkenaan aqidah Islam seperti buku TG Hj Abdul Hadi, Aqidah Muslimin dan Allahyarhamu Ust Fadzil Nor, Aqidah Perjuangan Islam. Bahkan silibus usrah PAS, dimulakan dengan perbincangan berkenaan konsep aqidah terlebih dahulu sebelum pergi kepada bab-bab yang lain.


Sejarah membuktikan, sekiranya ada aliran yang bertentangan dengan Aqidah Ahl Sunnah wal Jamaah, maka tindakan yang tegas akan diambil untuk membanterasnya. Ini terbukti apabila PAS pernah menyingkirkan bekas Ketua Pemuda PAS Perak dan beberapa orang lagi daripada menjadi ahli PAS kerana disyaki terlibat dengan fahaman Syiah. Manakala pada tahun 1997, pertandingan di dalam dewan Pemuda PAS Pusat menyaksikan bahawa mereka yang disyaki berfahaman Syiah ditahan daripada memegang jawatan-jawatan utama jamaah. Bagi mereka yang berfikir dan tidak cenderung untuk memfitnah, peristiwa-peristiwa di atas cukup untuk membuktikan bahawa PAS sememangnya tegas di dalam isu-isu pokok yang membabitkan aqidah umat Islam dan perjuangannya berada di atas manhaj yang lurus. Dan segala tuduhan mereka berbalik kepada diri mereka sendiri.


Namun, harus diingat, sebagai sebuah gerakan dakwah juga, PAS mempunyai keahlian yang terbuka. Sesiapapun boleh menyertai PAS. Asalkan dia Islam dan warganegara Malaysia. Di seluruh negara ahli PAS berjumlah lebih 800,000 orang. Ia lebih ramai daripada seluruh penduduk negeri Perlis dan juga penduduk negeri Melaka. Dan ahli PAS hampir sama ramai dengan penduduk Negeri Sembilan. Sudah tentulah, sedikit sebanyak segala macam sifat, perangai dan fahaman yang ada di dalam masyarakat kita, mungkin turut ada di dalam PAS. Namun, ia bukanlah secara otomatik menjadikan PAS satu gerakan yang redho terhadap aliran-aliran yang salah. Kerana apa? Kerana kita sendiri tidak mengetahui tentang hati budi masing-masing. Sekiranya ada bukti yang shahih dan boleh dipertanggungjawabkan, barulah boleh diambil tindakan. Jika tidak ada bukti, bagaimana hendak diambil tindakan? Kerapkali mereka yang menuduh, tidak menyertakan tuduhan mereka dengan bukti yang konkrit. Maka, bagaimana hendak dibanteras perkara-perkara tersebut? Nyatalah bahawa tuduhan-tuduhan mereka hanya di atas niat jahat mereka untuk melemahkan gerakan Islam.


Dan, setiap jenis manusia yang berada di dalam PAS pula sepatutnya melalui proses tarbiyyah yang ditetapkan oleh PAS untuk menjernihkan mereka kembali. Ia adalah kaedah dakwah yang ditetapkan oleh PAS untuk membawa semua manusia kembali kepada aqidah Islam yang shahih. Namun, satu perkara yang tidak boleh diketepikan, PAS tidak mempunyai kuasa sebagaimana kerajaan. Maka, sesiapa yang tidak mahu mengikuti program tarbiyyahnya sukar untuk dikenakan tindakan. PAS hanyalah sebuah organisasi yang longgar. Denda juga tidak boleh dikenakan. Semua faktor-faktor di atas harus difahami sebelum mengemukakan tuduhan yang liar. Sedangkan PAS sangat bertegas dalam isu-isu yang berkaitan dengan aqidah Umat Islam.


Namun, kaedah menghukum bagi golongan ini adalah sekiranya ada seorang sahaja yang disyaki beraqidah sesat di dalam sesuatu jamaah, maka secara otomatiknya jamaah tersebut merupakan jamaah yang sesat juga ataupun redho dengan kesesatan. Kalau hendak diikutkan, rakyat di negeri Perlis adalah kurang daripada ahli PAS. Negeri Perlis pula kononnya berfahaman Salafi. Dan disebabkan mereka memegang kerajaan, maka mereka juga mempunyai kuasa. Dalam keadaan itupun, di negeri tersebut masih ada lagi gerakan tareqat yang sesat, maksiat, rasuah dan mungkin juga Syiah. Adakah dengan sebegitu mudah, maka kita boleh menuduh bahawa mufti Perlis turut sama redho dengan aliran yang mencemar aqidah sebagaimana yang Dr Asri tuduh kepada PAS. Kenapa ini semua tidak dilihat!!!!


BERSENDIRIAN DALAM DAKWAH


Kemudian, beliau juga menyatakan bahawa ramai di kalangan ulama' yang menjalankan perjuangan Islam secara berseorangan. tanpa terikat kepada mana-mana jamaah mahupun organisasi. Bagi saya, orang yang berkata demikian, akan menarik kembali perkataannya sekiranya beliau sekarang sedang berada di Palestin ataupun Iraq. Mana mungkin mengangkat senjata seorang-seorang, buat serangan hendap seorang diri dan berperang keseorangan kalau tidak ada organisasi atau jamaah. Ia adalah bercanggah dengan sifat manusia itu sendiri yang mana mereka sentiasa membuat kerja secara berkumpulan mahupun berkelompok.

Sedangkan tugas, satu-satu gerakan Islam selain daripada menjalankan dakwah, mereka juga menjalankan kerja-kerja jihad. Maka, beradanya seorang diri di dalam dakwah adalah menyanggah tabiat hidup bermasyarakat.

Kerana itulah, saya ingin mencabar kepada Dr Asri, sila tunjukkan jika ada mana-mana ulama' yang berdakwah secara bersendirian secara mutlak dan dakwah mereka berjaya. Hakikatnya, sekiranya pendakwah tersebut, tidak menyertai sama ada PAS, JIM, ABIM ataupun mana-mana gerakan Islam yang lain, beliau tetap berorganisasi. Sama ada mereka bersama badan-badan kerajaan, jawatankuasa masjid atau seumpamanya. Malahan kerapkali juga mereka menjadi pemimpin kepada kelompok anak muridnya. Maka ia juga turut dinamakan organisasi ataupun jamaah walaupun ia tidak bernama dan mereka berkeliling dunia untuk menafikan bahawa mereka adalah jamaah. Tinggal sahaja, kelompok mana yang kamu sertai, ataupun kamu membuat kelompok kamu sendiri dan kamu menjadi ketuanya. Kalau begitu jadinya, kita melihat, betapa banyaknya jamaah yang ada dengan berbagai macam sifat, perangai dan halatuju. Kerana itulah, saya menyatakan bahawa, pendapat Dr Asri dalam isu-isu ini sangat ganjil dan bercanggah dengan akal fikiran manusia yang waras.

---

Sekian saya bawakan. Moga penjelasan daripada Hamba ALLAH ini sedikit sebanyak melegakan hati para pejuang ISLAM. Juga merungkai kembali simpulan keselaruan yang diikat oleh Ust Asri. Sama-samalah kita mendoakan Ust Asri diberi petunjuk dan hidayah.

Wallahualam...

P/s - Post ini telah di'edit' setelah ditegur oleh seorang pembaca budiman, Blasta. Terima kasih atas teguran. Bahagian bertulisan 'italic' adalah bahagian yang telah diubah. Sekali lagi, terima kasih Blasta!