Thursday, August 24, 2006

Reopen 1988; Membongkar Tragedi Pengharaman UMNO!

Assalamualaikum, bertemu kembali untuk kesekian kali. Keterujaan menulis ini tidak mampu saya bendung. Keinginan agar informasi ini dapat diketahui ramai membuak-buak dijiwa. Sekali imbas, tajuk post ini tak ubah seperti Reopen 911. Hehe. Sekadar menyedapkan blog. Harap pembaca tidak menuduh saya mencari publisiti murahan.

Semalam, tatkala menyelak akhbar TheSUN, saya terkejut dalam gembira membaca laporan muka depan bergambarkan Tun Sallah Abas, bekas Hakim Agung Malaysia. Laporan yang menyebut tentang saranan dan gesaan Majlis Peguam untuk membuka kembali kes perlucutan jawatan Tun Salleh Abas dan dua rakan hakimnya mengamit tumpuan seketika.

Seolah-olah berada dalam sebuah mimpi, saya membayangkan zaman kegemilangan Mahkamah bakal kembali. Gesaan dan kesediaan Tun Salleh Abas untuk bersama memberikan sokongan dalam membuka kembali lipatan sejarah silam bakal memberikan nafas baru. Kes yang berlaku pada tahun 1988 tak ramai yang tahu. Namun, segalanya bakal berubah.

Saya tidak berhasrat menulis lebih lanjut kerana tidak mampu mengingat dengan tepat segala maklumat dalam akhbar TheSUN. Saya menantikan server online TheSUN untuk pulih, barulah menulis kembali tentang kes Reopen 1988. Harap pembaca bersabar. Maaf yang teramat atas kelemahan ingatan saya.

Tunggu jangan tak tunggu...

TheSUN; Pembongkaran Berterusan!

Sejak memulakan kerja di Kuala Lumpur, saya berpeluang membaca akhbar harian percuma, TheSUN. Walaupun berita yang dimuatkan tidaklah sebanyak akhbar-akhbar utama, tetapi cukuplah sekadar santapan minda. Sekurang-kurangnya ada bahan untuk dibaca oleh warga kota yang sibuk dengan pelbagai urusan harian. TheSUN boleh dilihat dibaca oleh hampir 50% penumpang LRT sewaktu ke tempat kerja. Bukankah ini secara tak langsung menggalakkan budaya membaca? Alhamdulillah...

Penulisan ini tidak bermaksud memuji setinggi langit akhbar TheSUN tersebut. Kerana, secara peribadi, saya merasakan ada pro N cons akhbar tersebut. Seperti mana dalam kes Ust Asri (Rujuk Ust Asri Zainal Abidin; Kekeliruan yang Disengajakan dan Lubnan Dibela, Palestin Terus Terseksa; Mengapa?); prinsip saya, ambil yang baik, tinggalkan yang buruk. Kita perlu menggunakan segala peluang yang ada untuk meraih sebanyak mungkin informasi. Apatah lagi dalam dunia hari ini. Semuanya bergerak terlalu pantas.

Berbalik kepada tajuk post kali ini, saya yakin ramai daripada anda tidak berpeluang menyelak akhbar percuma ini selalu. Jadi, saya berhajat menyampaikan kepada anda isu-isu hangat yang berjaya dibongkar (setakat ini) oleh TheSUN. Pelbagai isu ingin saya kongsikan dengan anda, namun biarlah sedikit demi sedikit. Harap anda mampu bersabar.

1# Isu Penyerahan Hak Monopoli Papan Iklan di Petaling Jaya

Isu ini hanya terpampang di dada akhbar utama sekali dua kemudiannya sepi setelah Khir Toyo menafikan berita tersebut. Akhbar utama terus mengiyakan kata-kata Khir Toyo, manakala TheSUN meneruskan siasatan kerana mereka yakin Khir Toyo menipu. Ini berdasarkan bukti-bukti yang mereka perolehi. Malah, majoriti boleh menilai prestasi Khir Toyo yang terkenal kerana penipuan dan korupsi dalam negeri paling maju di Malaysia.

Hasil siasatan, TheSUN berjaya mengemukakan bukti-bukti penipuan Khir Toyo dengan menunjukkan kepada ramai surat-surat yang dikeluarkan dan ditandatangani oleh mereka yang berkuasa di MBPJ. Akhirnya, kes monopoli papan iklan selama 15 tahun kepada Bernam Kiara berjaya dibuktikan. Apa reaksi Khir Toyo? Hasil siasatan, terbukti pegawai terbabit telah meluluskan sesuatu yang tidak dibincangkan dalam mesyuarat exco.

Sudah pasti ramai menjangkakan pegawai tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib ataupun dibawa ke muka pengadilan. Bukan begitu? Namun, mengejutkan ramai, Khir Toyo enggan mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai terbabit. Alasan Khir, pegawai terbabit mempunyai niat yang baik, iaitu untuk mempercepatkan proses pembinaan jambatan (kalau tak silap saya). Lucu bukan? Tindakan ini telah dipertikaikan oleh TI, Transparency International (kalau tak silap saya). Malah, ramai tidak bersetuju dengan tindakan Khir itu.

Persoalan yang dibangkitkan, apakah kerana mempunyai niat yang baik, maka tindakan meluluskan sesuatu di luar mesyuarat dibenarkan? Apakah Khir benar-benar mempunyai kredibiliti untuk mentadbir Selangor? Sedangkan kerja-kerja exco dan pegawainya sendiri belum termampu dikawal, apatah lagi untuk mengawal sebuah negeri. Nampaknya Khir Toyo sama seperti Pak Lah; telah tibanya zaman-zaman kejatuhan.

Siapa akan menjatuhkan mereka? Sukar untuk mengharapkan mahkamah bertindak adil dalam soal ini. Andalah yang menentukannya. Bagaimana? Pilihanraya ke-12 bakal berlangsung tak lama lagi. Menurut sumber yang boleh dipercayai, mungkin akhir tahun ini. Apapun, ia akan diadakan dalam MASA TERDEKAT. Jadi tunaikanlah tanggungjawab anda.

Saya tidak mampu untuk menghuraikan secara panjang lebar perihal pembongkaran kes 1# ini. Terlalu panjang. Anda yang berminat, rujuklah TheSUN Online untuk mengetahui lebih lanjut. Saya berhasrat membekalkan link terus ke artikel berkenaan, namun menghadapi masalah untuk membuka laman webnya. Insya-Allah sekiranya berjaya, saya akan memberikan link terus ke artikel berkenaan.

2# Pemberian Lesen Penghapusan Serangga di Subang Jaya

TheSUN telah membongkar korupsi pemberian lesen penghapusan serangga (Pesticide) kepada beberapa syarikat yang tidak diiktiraf dalam bidang menghapuskan serangga. Malah, peniaga-peniaga yang berkenaan perlu mendapatkan sijil daripada syarikat-syarikat yang diberi lesen ini.

Pelik, dalam banyak-banyak syarikat yang diiktiraf, kenapa mesyuarat, atau pihak berkuasa memilih syarikat yang tidak diiktiraf tersebut. Malah, hasil siasatan TheSUN membuktikan bahawa, keenam-enam syarikat tersebut mempunyai lembaga pengaruh yang disertai oleh orang yang sama. Bertambahlah memelikkan. Apa nak jadi dengan Khir Toyo? Terlalu banyak korupsi!

Kes ini masih dalam siasatan, belum dibongkari sepenuhnya. Saya yakin, TheSUN akan mendedahkan sedikit demi sedikit korupsi yang berlaku ini. Sama-samalah kita nantikan jawapan lucu daripada Khir Toyo. Benarlah bagai dikata, 'Bapak borek anak rintik'. Pak Lah dan menterinya sama saja, tidak pandai menjawab soalan.

Insya-Allah saya akan berusaha mendapatkan link terus ke artikel berkaitan. Doakanlah saya dipermudah-Nya.

Akhirul kalam, bertemu dalam penulisan akan datang. Suburkan budaya membaca dalam jiwa. Moga kita diketemukan dengan kebenaran demi kebenaran. Sekian, tak wajib betul, harus salah. Wallahualam...

Wednesday, August 23, 2006

Blog; Era Baru Dunia Penulisan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sidang pembaca budiman, semangat saya untuk menulis teruja selepas membaca blog sahabat saya di SHAHsFactsNFigures. Kemunculan bloggers ibarat cendawan tumbuh selepas hujan suatu yang membanggakan. Sekurang-kurangnya, ini membuktikan kesediaan untuk berkongsi semakin tinggi, malah wadah internet telah digunakan sebaiknya. Kajian menunjukkan jumlah pertambahan blog sekarang adalah 75000 blog sehari. Menakjubkan bukan? Pasti ada yang tidak mempercayainya, tetapi rujuklah akhbar TheSun hari Isnin, 21 Ogos 2006. Ia diperolehi berdasarkan statistic Technorati.

Dalam keghairahan bloggers untuk mengegarkan alam siber, perbincangan tentang kawalan terhadap blog-blog turut dilihat semakin ghairah. Kerisauan pihak berkuasa ini seakan-akan membenarkan apa yand ditulis blogger. Ibarat 'Siapa yang makan cili, dia terasa pedas', begitulah yang boleh dilabelkan kepada pihak berkuasa terbabit.

Bukankah demokrasi itu bermakna setiap orang berhak bersuara; manakala mereka yang mendengar bebas membuat interpratasi tersendiri? Namun, perlu diingat, sebagai orang ISLAM, kita dilarang menyebarkan fitnah dan khabar angin. Segala maklumat yang diperoleh perlu disemak sumbernya untuk memastikan kesahihan maklumat tersebut. Malah pembaca juga perlulah mempunyai sikap enquiri yang tinggi untuk memastikan apa yang dibaca adalah sesahih mungkin. Saya yakin, dalam agama-agama lain, turut mempunyai etika yang lebih kurang serupa ini.

Apapun, tidak dapat dinafikan wujudnya penulis-penulis yang menyalahgunakan peluang kebebasan siber dengan menyebarkan maklumat-maklumat palsu, malah lebih teruk, menyebarkan kejahatan dan maksiat (kandungan lucah etc.). Dalam ribuan ataupun jutaan blog yang wujud, saya yakin, hampir separuh adalah yang menyediakan bahan-bahan picisan yang merosakkan. Hemat saya, blog-blog inilah yang sepatutnya diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Usahlah terlalu risaukan blog-blog yang menyuarakan suara yang tidak selari dengan kerajaan tetapi risaukan blog yang bertentangan dengan kitab TUHAN AL-QURAN.

Bukankah begitu? Apakah ada kesalahan yang lebih teruk daripada bercanggahan dengan ajaran TUHAN? Ketaatan yang MUTLAK adalah pada ALLAH dan RASUL. Ketaatan pada pemimpin dari kalangan manusia biasa tidak MUTLAK, bermakna boleh berubah bergantung pada situasi. Jadinya, kewujudan suara penentangan itu tidak semestinya salah. Jadikan ia wadah untuk bermuhasabah. Bukankah mudah begitu? Fikirkan...

Tuesday, August 22, 2006

Artikel Ust Asri dalam Majalah I Keluaran Ogos 2006

Assalamualaikum, seperti dijanjikan, dibawah adalah link untuk mendownload versi pdf artikel tulisan Ust Asri. Harap pembaca menggunakan link tersebut dengan bijaksana. Wallahualam...

Artikel Bulan Ogos 2006

Monday, August 21, 2006

Pemimpin; Keterbukaan Dalam Menerima Kritikan

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca budiman. Merujuk kepada dua post terbaru saya berkenaan dengan Ust Asri Zainal Abidin dan juga Surat Terbuka GAMIS, ramai yang 'pm' saya bertanyakan hal sebenar dan tak kurang juga yang menyatakan bantahan terhadap penulisan saya tersebut. Pertama sekali, saya memohon maaf kerana tidak dapat seperti biasa, meletakkan link ke artikel tulisan Ust Asri, insya-Allah sedang diusahakan.

Alasan mereka, Ust Asri merupakan seorang Ustaz yang tersohor dan diyakini ramai kerana usahanya menewaskan Astora Jabat, selain kepakarannya dalam bidang hadith. Dan mereka tidak pernah mendengar atau membaca sebarang artikel beliau yang mengelirukan, semuanya benar sebenar-benarnya. GAMIS pula merupakan penaung bagi Mahasiswa Islam, jadi kritikan terhadap GAMIS dirasakan ibarat mengkritik Mahasiswa Islam seluruhnya. Juga ada yang mengatakan tidak wala' dan taatnya saya terhadap kepemimpinan GAMIS sampai mengkritik GAMIS secara terbuka.

Saya menerima segala kritikan dan komen yang diberi dengan lapang dada. Dan Alhamdulillah, saya berjaya menerangkan sedikit sebanyak 'basis' apa penulisan saya dibuat. Saya pasti, ada antara pembaca yang tidak berpeluang untuk 'pm' saya kerana kurangnya info. Maaf kerana saya merasakan kerahsiaan identiti saya sebagai penulis blog ini sesuatu yang penting, apatah lagi dalam ura-ura akan adanya Ops Lalang II. Malah kehangatan perbincangan tentang akta-akta untuk memastikan kebebasan blog disekat turut mengusarkan hati saya. Apapun, saya berserah pada ALLAH yang MAHA BERKUASA.

Merujuk kepada kritikan dan komen tersebut, saya ingin menyatakan di sini bahawa 'basis' penulisan saya adalah kebebasan untuk memberikan pendapat dalam semua isu, dengan bersandarkan sumber-sumber tertentu yang boleh dipercayai. Rujuklah penulisan-penulisan saya sebelum ini; hampir 90% adalah bersumberkan berita-berita daripada media berdaftar negara. Malah selalunya saya akan sertakan link-link ke laman tersebut supaya mudah untuk pembaca menilaikan sendiri kebenarannya.

Saya bukanlah seperti pihak-pihak tertentu yang suka mengambil sebahagian daripada ucapan ataupun berita lalu mengolahnya dan menuduh sumber tersebut sebagai salah dan sebagainya. Saya ambil sumber yang original, lalu memberi komen peribadi yang saya akhiri dengan 'tak wajib betul, harus salah' juga 'Wallahualam'. Penulisan saya tak dapat lari daripada turut di komen. Lumrah dunia, tidak ada yang sempurna.

Berkenaan dengan persoalan wala' atau ketaatan kepada kepemimpinan mana-mana organisasi, saya berpendirian bahawa dalam membuktikan ketaatan, tidak semestinya dengan menjadi PAK ANGGUK. Sentiasa setuju semata-mata dengan kepemimpinan tidak semestinya bermakna anda TAAT, ia boleh juga bermakna anda PENGAMPU ataupun TAKLID BUTA. Ahli bawahan berhak untuk memberi komen dan kritikan terhadap kepemimpinan mana-mana organisasi. Namun biarlah ia kritikan yang membina ke arah memperkasa organisasi.

Merujuk kepada salah satu artikel dalam Majalah I bulan Ogos, salah seorang penulis menulis tentang kesilapan sikap majaroti ahli gerakan dakwah yang gagal memahami konsep sebenar wala'. Akhir-akhir ini, kebanyakan ahli gerakan dakwah terpengaruh dengan sikap PAK ANGGUK ahli UMNO. Setiap tindakan pemimpin gerakan dirasakan benar. Walhal, realitinya, mereka sama seperti kita, mereka juga manusia biasa, bukannya NABI atau RASUL yang dipandu oleh WAHYU ILLAHI. Mereka tidak maksum. Bermakna, mereka juga melakukan kesilapan.

Saya sendiri melakukan banyak kesilapan, dan pada hemat saya, kritikan dan cemuhan yang saya terima adalah untuk muhasabah diri ini menjadi insan yang lebih sempurna. Oleh itu, saya mengharapkan sidang pembaca mengubah 'mind set' masing-masing. Wujudkan budaya pemikiran kritis dan kreatif ke arah menjana kegemilangan dan kemantapan gerakan dakwah. Hilangkan kelesuan yang sekian lama membelenggu kebanyakkan kampus.

Ambillah iktibar dari kisah sirah; sebagaimana Khalifah Umar pernah ditegur dalam perihal menetapkan mas kahwin, begitu juga kepemimpinan gerakan perlu membenarkan diri dikritik. Apakah ada kepemimpinan mana-mana gerakan yang merasakan dirinya lebih hebat daripada Khalifah Umar? Mungkin contoh tersebut terlalu extreme, saya ambil contoh kepemimpinan Parti Islam Se-Malaysia. Mereka sentiasa terbuka kepada kritikan daripada ahli bawahan. Adakah ahli yang mengkritik tersebut dikira tidak wala'?

Bagi saya, semakin lantang seorang mengkritik kepemimpinan sesuatu gerakan, bermakna semakin sayang ia kepada gerakan tersebut. Ini kerana ia sangat ingin melihatkan gerakan tersebut makin maju dan mantap. Ia sentiasa ingin menyampaikan pandangannya yang dirasakan perlu untuk diketahui. Malah ada yang mengatakan, biasanya golongan-golongan yang suka mengkritik inilah yang akan menjadi tulang belakang gerakan apabila gerakan tersebut ditujah dan dibelasah lawan.

Apapun, anda nilaikan sendiri. Saya hanya memberi pendapat dengan dalil-dalil akli yang harapnya mudah difahami. Semoga sedikit sebanyak anda faham prinsip penulisan saya. Saya serahkan kepada anda untuk membaca dan menyebarkan informasi yang anda perolehi daripada blog ini. Sekiranya membawa kebaikan, anda akan turut mendapat habuan. Sekiranya khilaf dan silap, moga ALLAH mengampuni saya yang lemah ini.

Sekian, tak wajib betul, harus salah. Segalanya terserah pada ALLAH. Wallahualam...

Lubnan Dibela, Palestin Terus Terseksa; Mengapa?

Assalamualaikum, bertemu kembali. Kebetulan ALLAH memberikan ILHAM yang mencurah-curah untuk saya menulis pada hari ini. Walaupun ketiadaan internet di ofis, insya-Allah sekembalinya ke rumah, saya akan uploadkan penulisan-penulisan saya untuk tatapan pembaca yang dikasihi.

Semalam, secara kebetulan, saya telah diberi peluang mengikuti ceramah Ust Asri Zainal Abidin di masjid berdekatan rumah saya. Topik berlegar sekitar Israk dan Mikraj memandangkan hari ini ialah 27 Rejab. Hadirin yang hadir, Alhamdulillah sekitar 100 orang. Malah gadget-gadget canggih untuk merakamkan ceramah beliau boleh dikatakan memenuhi meja. Inilah pertama kali saya menghadiri secara berdepan ceramah beliau. Biasanya hanya membaca penulisan ataupun mendengar melalui rakaman audio.

Antara inti pati penting dalam ceramah beliau ialah berkenaan dengan isu perang Lubnan-Israel, ataupun lebih layak lagi dikatakan perang Hizbullah-Israel memandangkan tentera Lubnan berlepas tangan dalam perang tersebut. Kata beliau, peperangan tersebut disengajakan demi menenggelamkan isu penindasan di Palestin. Bilamana Lubnan diserang hebat, mata dunia menumpu pada Lubnan semata, walhal Palestin juga sedang diserang.

Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa segalanya telah dirancang. Rancangan yang teliti demi mengabui mata dunia yang lemah daya fikirnya. Pelbagai persoalan boleh anda andaikan melihatkan peristiwa yang berlaku. Kenapa apabila Lubnan diserang Israel, banyak desakan diusulkan untuk gencatan senjata? Malah PBB sanggup menghantar pasukan tentera pengaman untuk memastikan keadaan terus aman.

Berbalik kepada di Palestin, mereka telah lama diserang Israel. Mereka tidak bersenjata canggih seperti Hizbullah. Kenapa PBB tidak meluluskan resolusi gencatan senjata dan mengarahkan Israel berundur? Kenapa tidak langsung terdengar cadangan menghantar tentera pengaman ke Palestin? Walhal mereka sudah lama terseksa. Usahkan PBB, OIC sendiri tidak terfikir menghantar tentera pengaman. Begitu sukarkah menghantar tentera pengaman ke Palestin?

Tidakkah anda pernah terfikir, tatkala dua negara berdaulat ini diserang, kenapa dunia memandang ibarat Lubnan sahaja yang terseksa? Apakah ada agenda lain yang dirancang yahudi terlaknat itu? Dan kini, setelah gencatan senjata dimeterai di Lubnan, Israel seperti biasa, menjadi pihak pertama melanggar perjanjian tersebut. Palestin, berterusan diserang malah pemimpin-pemimpin HAMAS terus menjadi buruan.

Saya bukannya tidak bersyukur dengan gencatan senjata tersebut, cumanya saya terkilan dan terfikir, mengapa Palestin dibiarkan begitu saja. Malahan, sewaktu dua peperangan tersebut, bukan sahaja media menjadi berat sebelah, OIC sendiri tidak menyentuh tentang mencari penyelesaian serampang dua mata agar dua-dua negara dibela. Kecewa dan menyedihkan...

Kemungkinan lain turut ada, iaitu Hizbullah telah berjaya menewaskan Israel. Oleh itu, Israel terpaksa menggesa sekutunya US untuk menjadikan gencatan senjata tersebut berjaya. Bukankah sumber-sumber yang boleh dipercayai mengatakan pejuang Hizbullah yang SYAHID adalah sekitar 50 orang. Walhal jumlah tentera Israel yang terbunuh sekitar 100 orang, ataupun lebih. Malah berapa banyak kereta kebal dan helikopter Israel berjaya dimusnahkan? Gencatan tersebut sekadar untuk memberi peluang mengundur diri tanpa menggadaikan maruah. Bukankah Israel sangat menjaga maruahnya?

Apapun, hakikatnya, dunia tidak adil dalam kes kedua-dua peperangan serentak tersebut. Palestin, kini, masih lagi menghadapi hari-hari gelap mereka. Bilakah segalanya akan berakhir? Selagi umat ISLAM terus dibuai nikmat dunia, selagi itu Palestin terus terseksa. Selagi mana ARAB terus HINA, selagi mana OIC terus sepi, selagi mana KHILAFAH ISLAMIYAH belum MEMERINTAH, mungkin selagi itu Palestin disimbah darah, darah syuhada.

Sidang pembaca, sebagai penutup, renungkanlah. Mereka yang di Palestin diserang Israel, mereka terbunuh, lalu SYAHID. Mereka menuju syurga. Saya, anda, kita. Apa yang kita lakukan? Syurga belum menjadi milik kita. Sedangkan antara kita masih ada yang leka, tidak tahu perkembangan mereka di sana. Dan kita akan disoal oleh ALLAH kelak, apa yang telah kita lakukan untuk membantu pejuang di Palestin? Sekiranya GAGAL untuk menjawab, kebarangkalian besarnya, NERAKA menjadi tempat kita bersemadi.

Mungkin kita melihat mereka di Palestin terbunuh, sedih... Namun pengakhiran mereka adalah SYAHID; cita-cita kebanyakan mereka yang mencintai ALLAH. Kita... Dimanakah pengakhiran kita? Jika anda pemimpin, lebih azablah seksanya. Mungkin dengan menyebarkan kesedaran dan keinsafan, akan ada belas daripada TUHAN. ALLAH akan mempersoalkan USAHA kita, bukan HASILnya kerana HASIL adalah ditentukan oleh-Nya. Fikirkan wahai pembaca budiman. Sekian, wallahualam.

P/s - Mungkin ada yang akan mempertikaikan tindakan saya mengikuti ceramah Ust Asri. Perlu diakui, beliau mempunyai ilmu yang banyak, cuma kefahamannya tiada. Apakah salah untuk mendapatkan ilmu beliau? Gunakan semua peluang yang ada untuk menuntut ilmu, tapi tapislah mana yang benar mana yang khilaf. Saya bukanlah orang yang akan menjumudkan sumber ilmu.