Monday, August 21, 2006

Lubnan Dibela, Palestin Terus Terseksa; Mengapa?

Assalamualaikum, bertemu kembali. Kebetulan ALLAH memberikan ILHAM yang mencurah-curah untuk saya menulis pada hari ini. Walaupun ketiadaan internet di ofis, insya-Allah sekembalinya ke rumah, saya akan uploadkan penulisan-penulisan saya untuk tatapan pembaca yang dikasihi.

Semalam, secara kebetulan, saya telah diberi peluang mengikuti ceramah Ust Asri Zainal Abidin di masjid berdekatan rumah saya. Topik berlegar sekitar Israk dan Mikraj memandangkan hari ini ialah 27 Rejab. Hadirin yang hadir, Alhamdulillah sekitar 100 orang. Malah gadget-gadget canggih untuk merakamkan ceramah beliau boleh dikatakan memenuhi meja. Inilah pertama kali saya menghadiri secara berdepan ceramah beliau. Biasanya hanya membaca penulisan ataupun mendengar melalui rakaman audio.

Antara inti pati penting dalam ceramah beliau ialah berkenaan dengan isu perang Lubnan-Israel, ataupun lebih layak lagi dikatakan perang Hizbullah-Israel memandangkan tentera Lubnan berlepas tangan dalam perang tersebut. Kata beliau, peperangan tersebut disengajakan demi menenggelamkan isu penindasan di Palestin. Bilamana Lubnan diserang hebat, mata dunia menumpu pada Lubnan semata, walhal Palestin juga sedang diserang.

Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa segalanya telah dirancang. Rancangan yang teliti demi mengabui mata dunia yang lemah daya fikirnya. Pelbagai persoalan boleh anda andaikan melihatkan peristiwa yang berlaku. Kenapa apabila Lubnan diserang Israel, banyak desakan diusulkan untuk gencatan senjata? Malah PBB sanggup menghantar pasukan tentera pengaman untuk memastikan keadaan terus aman.

Berbalik kepada di Palestin, mereka telah lama diserang Israel. Mereka tidak bersenjata canggih seperti Hizbullah. Kenapa PBB tidak meluluskan resolusi gencatan senjata dan mengarahkan Israel berundur? Kenapa tidak langsung terdengar cadangan menghantar tentera pengaman ke Palestin? Walhal mereka sudah lama terseksa. Usahkan PBB, OIC sendiri tidak terfikir menghantar tentera pengaman. Begitu sukarkah menghantar tentera pengaman ke Palestin?

Tidakkah anda pernah terfikir, tatkala dua negara berdaulat ini diserang, kenapa dunia memandang ibarat Lubnan sahaja yang terseksa? Apakah ada agenda lain yang dirancang yahudi terlaknat itu? Dan kini, setelah gencatan senjata dimeterai di Lubnan, Israel seperti biasa, menjadi pihak pertama melanggar perjanjian tersebut. Palestin, berterusan diserang malah pemimpin-pemimpin HAMAS terus menjadi buruan.

Saya bukannya tidak bersyukur dengan gencatan senjata tersebut, cumanya saya terkilan dan terfikir, mengapa Palestin dibiarkan begitu saja. Malahan, sewaktu dua peperangan tersebut, bukan sahaja media menjadi berat sebelah, OIC sendiri tidak menyentuh tentang mencari penyelesaian serampang dua mata agar dua-dua negara dibela. Kecewa dan menyedihkan...

Kemungkinan lain turut ada, iaitu Hizbullah telah berjaya menewaskan Israel. Oleh itu, Israel terpaksa menggesa sekutunya US untuk menjadikan gencatan senjata tersebut berjaya. Bukankah sumber-sumber yang boleh dipercayai mengatakan pejuang Hizbullah yang SYAHID adalah sekitar 50 orang. Walhal jumlah tentera Israel yang terbunuh sekitar 100 orang, ataupun lebih. Malah berapa banyak kereta kebal dan helikopter Israel berjaya dimusnahkan? Gencatan tersebut sekadar untuk memberi peluang mengundur diri tanpa menggadaikan maruah. Bukankah Israel sangat menjaga maruahnya?

Apapun, hakikatnya, dunia tidak adil dalam kes kedua-dua peperangan serentak tersebut. Palestin, kini, masih lagi menghadapi hari-hari gelap mereka. Bilakah segalanya akan berakhir? Selagi umat ISLAM terus dibuai nikmat dunia, selagi itu Palestin terus terseksa. Selagi mana ARAB terus HINA, selagi mana OIC terus sepi, selagi mana KHILAFAH ISLAMIYAH belum MEMERINTAH, mungkin selagi itu Palestin disimbah darah, darah syuhada.

Sidang pembaca, sebagai penutup, renungkanlah. Mereka yang di Palestin diserang Israel, mereka terbunuh, lalu SYAHID. Mereka menuju syurga. Saya, anda, kita. Apa yang kita lakukan? Syurga belum menjadi milik kita. Sedangkan antara kita masih ada yang leka, tidak tahu perkembangan mereka di sana. Dan kita akan disoal oleh ALLAH kelak, apa yang telah kita lakukan untuk membantu pejuang di Palestin? Sekiranya GAGAL untuk menjawab, kebarangkalian besarnya, NERAKA menjadi tempat kita bersemadi.

Mungkin kita melihat mereka di Palestin terbunuh, sedih... Namun pengakhiran mereka adalah SYAHID; cita-cita kebanyakan mereka yang mencintai ALLAH. Kita... Dimanakah pengakhiran kita? Jika anda pemimpin, lebih azablah seksanya. Mungkin dengan menyebarkan kesedaran dan keinsafan, akan ada belas daripada TUHAN. ALLAH akan mempersoalkan USAHA kita, bukan HASILnya kerana HASIL adalah ditentukan oleh-Nya. Fikirkan wahai pembaca budiman. Sekian, wallahualam.

P/s - Mungkin ada yang akan mempertikaikan tindakan saya mengikuti ceramah Ust Asri. Perlu diakui, beliau mempunyai ilmu yang banyak, cuma kefahamannya tiada. Apakah salah untuk mendapatkan ilmu beliau? Gunakan semua peluang yang ada untuk menuntut ilmu, tapi tapislah mana yang benar mana yang khilaf. Saya bukanlah orang yang akan menjumudkan sumber ilmu.

No comments: