Saturday, February 04, 2006

Tabung Bantuan Penyakit; Jawapan Soi Lek Tidak Bertimbang Rasa

Isu kesukaran untuk mendapatkan bantuan Tabuan Bantuan Penyakit sekali lagi heboh. Peruntukan tabung berkaitan yang tidak digunakan walaupun diberi peruntukan RM100 juta menimbulkan tanda tanya; adakah Kementerian Kesihatan terlalu memilih ataupun tiada pemohon yang layak? Walhal jika melihat kepada laporan media massa, banyak pihak mengadu memohon bantuan.

Kali ini isu ditimbulkan oleh Mohamad Arif Samsudin, 58, apabila terpaksa membelanjakan RM3.8 juta untuk membiayai kos rawatan anaknya. Duit tersebut hasil gadaian rumahnya, barang² kemas isterinya dan juga kerja² sampingan. Kos rawatan anaknya untuk sebulan menjangkau RM25000 untuk balang gas dan lain-lain.

Namun, bila isu ini dihebohkan, jawapan daripada Menteri Kesihatan agak mengecewakan dan bagi saya, kurang ajar.

KUALA LUMPUR 3 Feb. - ``Kalau dia boleh keluarkan belanja RM3.8 juta untuk rawatan anaknya, bolehkah dia ditakrif sebagai golongan tidak mampu?'' kata Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek.

Katanya lagi: ``(Walaupun terpaksa menjual rumah untuk mengumpul kos rawatan) kalau dia golongan tidak mampu, dia tidak akan ada rumah pun.

``Ini bukan soal birokrasi, ia adalah mengikut syarat ditetapkan kerajaan.''

Soi Lek berkata demikian ketika ditanya mengenai kes seorang pesara kerajaan yang gagal sebanyak tiga kali untuk mendapatkan bantuan Tabung Bantuan Penyakit (TBP) bagi membiayai kos rawatan anaknya yang menghidap penyakit paru-paru gagal berfungsi.

Kegagalan itu memaksa Mohamad Arif Samsudin, 58, menjual harta benda termasuk rumahnya dan menagih bantuan pelbagai pihak untuk merawat anaknya, Khadijah Hanim, 19, yang kini bertahan hidup atas bantuan ubat khas dan balang oksigen.

Apakah begini jawapan yang diharapkan daripada seorang MENTERI yang mewakili RAKYAT? Jumlah RM3.8 juta bukan jumlah yang sedikit.

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Bapa Khadijah Hanim, gadis yang menderita penyakit paru-paru gagal berfungsi menjelaskan, wang RM3.8 juta yang dikumpulkan untuk anaknya adalah perbelanjaan yang telah digunakan sejak tahun 1997.

``Ini bukan soal mampu atau tidak, seorang menteri sekali pun jika berada dalam keadaan saya, mereka pun tidak mampu menanggung beban ini,'' kata Mohamad Arif Samsudin, 58, yang menjawab alasan Kementerian Kesihatan yang meminggirkan permohonannya untuk mendapatkan pembiayaan Tabung Bantuan Penyakit (TBP).

Beliau yang ternyata kecewa dengan kementerian itu yang seolah-olah meminggirkan permohonannya atas alasan beliau seorang yang berkemampuan, berkata:

``Walaupun saya ada sedikit harta sebelum ini tetapi semuanya telah dihabiskan untuk membiayai kos rawatan anak saya sejak 1997.''

Menurutnya, beliau terpaksa `bergolok bergadai' sehingga menjual rumah dan barang kemas termasuk cincin perkahwinan, membuat pinjaman Mara dan Bank Rakyat serta berniaga sampai ke Singapura untuk mencari wang. (Sila lihat grafik)

Berita penuh - `RM3.8 juta dibelanja sejak 1997'
Tidak menghairankanlah sekiranya untuk tahun hadapan, Tabung Bantuan Penyakit masih tidak berjaya dipohon oleh mereka yang memerlukan. Kereneh birokrasi dan sikap menterinya yang kejam lagi tidak berhati perut amat mengecewakan. Saya berharap agar Pak Lah masuk campur juga dalam menyelesaikan hal ini. Biarlah rakyat diberi bantuan selayaknya. Janganlah terlalu kejam.

Bersama-samalah kita nantikan jawapan² daripada menteri² lain. Adakah mereka akan bertimbang rasa, ataupun sekadar manambahkan penderitaan Mohamad Arif Samsudin. Wallahualam.

Rujuk juga -
  1. Belanja RM3.8j, gagal mohon tabung penyakit kronik
  2. Sehari satu balang oksigen besar saya habiskan - Khadijah

Jejambat MRR2; Kata Putus Pak Lah Melegakan

Akhirnya, penantian rakyat untuk mengetahui keadaan sebenar jejambat MRR2 terjawab. Perjumpaan antara beberapa pakar dengan Pak Lah dan Samy Vellu menjawab segala pertikaian yang timbul. MRR2 ditutup berkuatkuasa hari ini, setelah isu ini diperdepatkan banyak pihak.

Yang musykilnya, Samy Vellu mengatakan, suatu ketika dahulu (beberapa minggu lepas) bahawa MRR2 selemat untuk digunakan. Hujah itu berdasarkan hasil siasatan Halcrow yang dilantik khas. Walaupun terdapat keretakan, tapi MRR2 masih selamat digunakan. Itulah hujah Samy. Rujuklah keratan akhbar MRR2 selamat diguna.

Walau bagaimanapun, setelah isu ini menjadi makin hangat dengan kerisauan pelbagai pihak terutama pengguna, Pak Lah membuat keputusan bijak dengan menutup laluan MRR2, keputusan yang dinantikan oleh rakyat. Ini bermakna Samy Vellu seorang menteri yang tidak prihatin terhadap keselamatan rakyat, hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Syabas buat Pak Lah kerana sekali lagi mengambil langkah bijak (selepas langkah menolak pindaan Akta 121(A) tempoh hari). Saya melihat kemajuan yang ditunjukkan oleh Pak Lah sedikit sebanyak memuaskan hati. Moga Pak Lah terus kekal amanah dalam kepemimpinannya dan tidak tertipu dengan menteri² yang gilakan kekayaan dan dambakan kesenangan semata-mata. Wallahualam...

Rujuk juga
  1. Jejambat MRR2 ditutup -- Arahan PM selepas mendengar taklimat beberapa pakar
  2. Samy Vellu dicabar dedah laporan penuh syarikat perunding
  3. MRR2 boleh runtuh - Pakar
  4. Jejambat MRR2 tak selamat -- Kontraktor dilantik masih belum mulakan kerja-kerja pembaikan
---
Penulis ingin memohon maaf kerana tidak dapat meng'update' blog sekerap dahulu disebabkan semester yang telah bermula dan juga keadaan internet yang tidak stabil. Harap maaf.
---

Sunday, January 29, 2006

Ratu Muslim Vs Miss Universe; Mana Satu Pilihan Sang Lelaki?

Tatkala menyelak helaian akhbar Berita Minggu hari ini (29/01/2006), mata saya tertarik membaca tajuk berita Pertandingan Ratu Berasaskan Moral di Tatarstan, usaha mematahkan minat wanita ISLAM terhadap pertandingan Ratu Cantik barat. Suatu pertandingan yang pertama diadakan, khas untuk wanita ISLAM dimana jurinya adalah WANITA dan penontonnya juga hanya WANITA.

Aspek penilaian yang dititikberatkan bukan cara berjalan yang mengiurkan, bukan aksi berpakaian seksi lagi mengghairahkan dan bukan juga jawapan peserta untuk soalan yang ntah apa². Tetapi aspek penilaian Ratu Muslim ialah kecerdikan, peri laku sopan, menutup aurat, bertudung, pengetahuan tentang ISLAM, kebolehan menghafal Al-Quran dan menghafaz ayat suci, selain memasak dan menjahit. Menarik bukan?

Malah hadiah yang dijanjikan bukan mahkota bertatah intan permata. Bukan wang jutaan ataupun ribuan dollar. Bukan juga tiket pelancongan. Ratu Muslim hanya menjanjikan hadiah senaskhah Al-Quran, sijil pengiktirafan dan tiket penerbangan ke Mesir. Itu saja. Tak lebih tak kurang. Berminat untuk menyertainya?

Sekiranya anda berminat, lupakan saja... Pertandingan Ratu Muslim ini dimenangi oleh seorang Muslimat jelita lagi ayu berumur 17 tahun, Dilar Sadiqova. Katanya,
Saya menyertai pertandingan ini bagi menyampaikan mesej wanita ISLAM juga mampu berdiri pada landasan Pertandingan Ratu asalkan bermoral dan dihormati. Dengan cara ini juga, golongan bukan ISLAM boleh mendapat gambaran sebenar agama suci ISLAM ini

Saya tertarik kerana yang menganjurkan pertandingan ini adalah sebuah akhbar di Tatarstan, Akcharlak. Malah Tatarstan bukanlah satu negara ISLAM yang selalu mencipta nama seperta Malaysia mahupun Indonesia. Malaysia menjadi Pengerusi OIC, badan ISLAM paling besar di dunia kononnya. Indonesia menjadi negara paling besar populasi ISLAM. Tatarstan hanyalah sebuah negara di ceruk timur Eropah yang merdeka pada 30 Ogos 1990, baru 16 tahun! Kita sudah merdeka 49 tahun.

Lebih memalukan, Indonesia pernah menghantar wakil ke Miss Universe, Ratu Indonesia, Artika Sari Dewi. Gadis beragama ISLAM mewakili negara paling ramai umat ISLAM! Malah tindakan Artika dikecam ulama. Lalu berjanjilah si Artika untuk berpakaian mandi yang sopan. Lucu bukan?!

Di England pula, remaja Muslim Uzbekistan mencipta sejarah menjadi wanita ISLAM pertama dinobatkan Ratu Cantik England. Hammasa Kohistani, 18 tahun mewakili England dalam Miss Universe Disember lalu. Nasib Hammasa sama dengan Artika, mereka tewas tetapi berbanggan kerana mewakili wanita ISLAM. Cukup memalukan!

Bagi sang lelaki, tepuk dada tanya selera. Mana satu yang anda mahukan? Dilar, pemenang Ratu Muslim ataupun Artika dan Hammasa yang mewakili negara masing² dalam Miss Universe?

Tatarstan, sebuah negara ISLAM yang kecil dan baru mengecapi nikmat kemerdekaan sudah mampu mengadakan pertandingan Ratu Muslim. Malaysia negara ISLAM yang telah merdeka selama hampir 49 tahun dan menjadi pengerusi OIC. Tak cukup dengan itu, Malaysia melaksanakan dasar ISLAM HADHARI. Namun, bilakah akan ada Ratu Muslim di Malaysia?

Sama-samalah kita menantikan jawapan kepada persoalan tersebut. Anda yang menentukannya... Wallahualam...