Saturday, December 24, 2005

Malam Pertama Pengantin...

Tajuk sekali pandang, pasti menarik bukan? Hayatilah sajak dibawah dan muhasabah diri kita yang hina lagi kerdil...
Kita pasti dirisik..
Pertunangan sejak azali..
Di hujung hidup nanti..

Berlangsungnya perkahwinanmu dengan maut..
Hantarannya..sakit dan nazak..
Tamu bertandang menghadiahkan esak tangis..
Pengantin dimandikan..

Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..
Pengantin bersanding sendirian..

Di arak keliling kampung..
Berkompangkan azan dan kalimah kudus..
Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahat..

Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..
Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..

Malam pertama bersama KEKASIH..
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan Dia menuntut janji..
Sucikah kita tatkala berpadu..

Pernahkah taubat sepanjang hayat..
Atau terkubur bersama dosa-dosa...
Dan Dia Kekasih itu..
Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka..
Bagaimana? Terasa hendak menjadi 'pengantin' tersebut? Marilah bersama muhasabah diri. Kita hanya insan, mudah terleka dek godaan syaitan... Wallahualam

(Sajak dipetik dari laman web Suara Persatuan Ulama Malaysia)

Friday, December 23, 2005

Pendidikan Seks; Apa Pandangan Islam?

Saya tertarik untuk membicarakan tentang keputusan kerajaan untuk melaksanakan pendidikan seks bermula tahun 2006. Sekiranya saya tidak salah, negara jiran, iaitu Singapura telah lama melaksanakan pendidikan seks di sekolah. Malah usul ini telah lama diutarakan oleh beberapa pihak, dengan harapan ia akan mematangkan pemikiran muda-mudi di Malaysia.

Walau bagaimanapun, bila hendak dilaksana, ada pulak yang membantah. Saya sertakan beberapa ceraian artikel, sekadar berkongsi...
Pendidikan seksualiti akan mula dilaksanakan di sekolah termasuk di peringkat prasekolah pada sesi persekolahan tahun depan dalam usaha kerajaan membantu remaja menjaga diri terhadap perlakuan jenayah seksualiti dan meningkatkan moral mereka.

Beliau memberitahu, garis panduan itu mengandungi enam tunjang iaitu perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual dan masyarakat serta budaya.

Kumpulan sasar tahap satu melibatkan kanak-kanak prasekolah, tahap dua, kanak-kanak berusia 7 hingga sembilan tahun, tahap tiga bagi awal remaja (10 hingga 12 tahun), tahap 4, remaja (13 hingga 18 tahun) dan tahap lima iaitu dewasa seperti pelajar universiti, ibu bapa dan warga emas.

(Berita penuh - Pendidikan seksualiti dilaksana mulai 2006)
Juga,
Persoalannya sekarang, adakah wajar pendidikan seksual ini dijadikan salah satu sistem dalam pendidikan sedangkan terdapat cara atau kaedah lain yang sebenarnya boleh menghindarkan dan memupuk kesedaran tentang masalah seksual pada umumnya dan secara keseluruhannya pada persoalan sosial.

Sikap kita kini yang agak kurang menekankan aspek keagamaan menyebabkan kita tidak memahami serta mendalami bahawa agama dapat menghindarkan segala permasalahan sosial yang ada. Saluran pendidikan adalah saluran yang begitu efektif sekali jika ia bermula dari peringkat bawahan. Jika sistem pendidikan seksual ini diaplikasikan, saya yakin ia tidak akan menyelesaikan masalah yang wujud sekiranya aspek-aspek kefahaman tentang keagamaan tidak diterapkan.

(Artikel penuh - Pendidikan seksual bukan penyelesai masalah sosial)
Juga,
Sebagai orang Islam kita perlu menjaga sifat malu lebih-lebih lagi di dalam bilik darjah di mana terdapatnya percampuran di antara pelajar lelaki dan perempuan.

"Dengan adanya pendidikan seks secara terbuka ditakuti akan menggalakan perbuatan maksiat di kalangan umat Islam," kata beliau. Kata Kamarudin, kerajaan sepatutnya meminta pandangan daripada berbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ulamak terlebih dahulu sebelum perkara tersebut dilaksanakan.

(Berita penuh - Pemuda PAS Melaka bantah pendidikan seks di sekolah)
Jadi, apa pandangan anda? Bagi saya, pendidikan seks ada kewajarannya, dan ada juga kelemahannya . Apapun, rasanya alim ulama lebih berhak membicara soal ini. Saya sekadar melontarkan pandangan. Tak wajib betul, harus salah. Wallahualam...

Undang² Manusia Vs Undang² Islam; Mana yang Utama?

Tatkala membaca akhbar pada pagi hari ini (23/12/2005), hati mengucapkan syukur ke hadrat-Nya kerana jenazah Koperal M. Moorthy akan dikebumikan dengan cara ISLAM (rujuk Mahkamah perintah Moorthy dikebumi cara Islam). Walau bagaimanapun, kelegaan hati bertukar gelisah tatkala mata terlihat artikel Mahkamah Sivil Arah Tahan Jenazah Mohamad dari dikebumikan ikut Islam di laman web TranungKite.

Persoalannya sekarang, adakah Mahkamah Sivil yang menggunakan undang² manusia akan menang apabila berlawan dengan Mahkamah Tinggi Syariah yang menggunakan undang² ALLAH? Satu cabaran buat kerajaan ISLAM HADHARI pimpinan cucu ulama terkemuka, Pak Lah. Apakah beliau akan bertegas untuk memenangkan hukum ISLAM? Ataupun mengalah pada hukum manusia? Sama² kita saksikan....

Apapun, marilah kita berdoa agar pemimpin² kita diberi hidayah oleh ALLAH akan terang hati dan bertindak tegas dalam hal ini. Wallahualam....

rujuk juga
  1. Kes Mohamad (Moorthy): Islam Tercabar, Mahkamah Tinggi Perintah Tahan Jenazah Dari Dikebumikan Ikut Cara Islam)
  2. Dimana pemimpin UMNO dalam mempertahankan keIslaman M.Moorthy

Wednesday, December 21, 2005

Banjir; Politik Kepartian yang Bodoh!

Tatkala meneruskan pembacaan di laman² berita alternatif, tiba-tiba hati saya terusik kemarahan. Dalam masa banjir melanda negeri Kedah dan Perlis, masih ada pihak yang bermain politik kepartian. Tidak wujudkah kesedaran dalam diri orang² MELAYU untuk bersatu? Politik kepartian yang jumud tidak membawa kemana-mana. Hayati sedutan artikel tersebut...
Malam semalam, di penempatan Sekolah Kebangsaan Gunong (Anak Bukit), mangsa dari Kampung Kota Rentang kesal dengan pelbagai karenah birokrasi yang terpaksa mereka hadapi hinggakan mereka terpaksa berjemur kesejukan dari jam 11.00 hingga jam 1.00 pagi. Menurut salah seorang mangsa, apabila sampai, mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik-bilik darjah sekolah, sebaliknya diminta berbaris di luar, mangsa adalah termasuk anak kecil dan warga tua.

Di tingkat bawah dan tingkat dua bangunan, telah diduduki oleh mangsa lain sebelum kedatangan mangsa dari Kota Rentang ini. Bertindak ekoran maklumat itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kedah menawarkan bangunan Pejabat PAS Kawasan di Kubang Rotan.

Semua mangsa kira-kira 30 orang telah bersetuju, namun mereka dilayan seperti sebiji bola, setelah naik ke atas sebuah trak polis, salah seorang anggota polis mengarahkan mereka turun atas alasan beliau mesti mendapatkan kelulusan pegawai tertinggi untuk membawa mana-mana mangsa ke mana-mana destinasi.

"Kami sejuk, lapar, kalau di sekolah ini kami tak boleh duduk, kami nak ke markas PAS, suruh kami turun pulak, kami bukan haiwan," jerit salah seorang mangsa. Akhirnya kerana ugutan seorang JKKK yang mengatakan markas PAS tidak diiktiraf sebagai pusat pemindahan, semua mangsa terus menjadi marah.

Ketika itu, ada suara seorang lelaki menjerit dari tingkat tiga sekolah, "OK sekarang semua yang dari Kota Rentang boleh guna tingkat tiga." Hairan bin ajaib, kenapa setelah hampir tiga jam dibiar kesejukan dan lapar barulah dibenarkan mangsa menggunakan bilik darjah di tingkat tiga itu.

Bodoh bukan? Mungkin itu terlalu kasar, tapi inilah realitinya. Wallahualam...

Post lain yang berkaitan
- Kerajaan Pusat; Antara Amanah & Politik

Forum Keamanan Sejagat 2005; Retorik Dr Mahathir?

Ketika 'menyelak helaian' artikel di sebuah laman web alternatif, saya tertarik membaca ulasan seorang penulis tentang khabar angin yang berharap Tun Dr. Mahathir dicalonkan untuk nobel keamanan. Ulasannya antara lain berbunyi:
Resolusi 678 PBB dalam meluluskan serangan terhadap Iraq pada tahun 1990 ditanda-tangani oleh Malaysia di bawah pimpinan Dr.M. Rentetan dari resolusi itulah telah membunuh jutaan rakyat Iraq yang kebanyakannya orang-orang Islam. Kebanyakkan yang mati adalah terdiri dari orang awam terutamanya kanak-kanak dan wanita serta orang-orang tua.

Apakah layak Mahathir dicalonkan untuk anugerah Keamanan Nobel? (Lihat juga rekod keganasan Mahathir di Tanah Airnya sendiri) Apakah dengan menganjurkan Global Peace Conference dapat membersih dosa merestui pembunuhan jutaan umat yang tidak berdosa oleh pakatan Amerika-British pada masa itu? Serangan yang diketuai oleh bapak Bush telah merosakkan segala prasarana sebuah negara yang suatu ketika antara yang termaju di Timur Tengah.

Global Peace Conference yang baru selesai dengan tumpuan segala pimpinan negara hingga melupakan suatu Kongres yang lebih penting membincang masalah, nasib dan kepentingan orang Melayu diabaikan. Apakah lebih penting membicara kekuatan Amerika-British dari membincang ancaman terhakisnya hak dan kepentingan orang Melayu? Apa yang boleh dilakukan oleh Mahathir dalam menyekat keganasan Bush-Blair? Sekadar retorik sahaja.

(Artikel penuh - Anugerah Nobel Untuk Mahathir Yang Sokong Serang Iraq?)
Sebenarnya, cadangan untuk pencalonan Tun untuk anugerah nobel adalah disebabkan usaha beliau melaksanakan Forum Keamanan Sejagat 2005 yang menghasilkan 14 inisiatif (rujuk Dunia tanpa perang -- 14 inisiatif KL dijadikan hala tuju gerakan keamanan sejagat). Rupa²nya, apa yang beliau nyatakan dan hasratkan dalam forum tersebut pernah dilanggar oleh beliau sendiri. Namun, sebagai manusia, rasanya tidak salah sekiranya kita bersangka baik. Mungkin ALLAH telah menurunkan hidayah-Nya buat Tun.

Buat renungan bersama. Tak wajib betul, harus salah. Wallahualam...

(rujuk juga Undi tentukan perang)

Post lain tentang Tun Dr. Mahathir
- Tun Mahathir Kembali Lantang...


Arah Tuju Hiburan Islam; Suatu Komentar

Pertama sekali saya memohon maaf atas ketiadaan artikel baru selama dua hari. Kekangan masa menyebabkan saya tewas dalam menyediakan informasi terkini buat pembaca. Apapun, kali ini saya terlintas pada suatu artikel berkenaan hiburan ISLAM ataupun lebih tepat, NASYID.

Penulis artikel melahirkan kekecewaannya melihat arus NASYID yang semakin lari dari matlamat asal, tersasar ke arah percintaan insani. Apapun, ini sekadar pandangan penulis tersebut yang ingin saya kongsikan. Mungkin sebagai renungan dan muhasabah kita bersama.
Siapa tidak terkejut dengan kemunculan Brothers yang mula-mula merintis jalan menggunakan alat-alat yang selama ini dianggap asing dalam lagu-lagu mereka menerusi album Teman Sejati. Kejutan-kejutan terus dilakukan hingga ia tidak lagi merupakan kejutan. Paling menonjol ialah kemunculan Rabbani dengan lagunya Pergi Tak Kembali yang lebih mirip kepada lagu-lagu rap KRU. Mungkin Pergi Tak Kembali membawa makna tersesat jalan dan tidak mampu lagi untuk kembali ke jalan asal..?

(Artikel penuh - Nasyid dulu & Nasyid sekarang??)
Saya tidak berhasrat untuk menyatakan pandangan saya sebagai menghormati penulis asal artikel tersebut. Anda nilaikan sendiri. Wallahualam....

Sunday, December 18, 2005

Pengkalan Pasir; Balasan atas Kelekaan?

Saya tertarik mendengar beberapa ulasan tentang kekalahan yang dihadapi oleh PAS dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir tempoh hari. Kebiasaan yang kita dengar adalah kewujudan pengundi² hantu dan juga penipuan. Itu kita sudah lali. Namun kali ini, ada alasan lain yang heboh diperkatakan sesetengah pihak. Kata mereka, BN memang layak untuk menang. Mengapa?

Di sini saya sertakan beberapa ulasan yang saya sempat layari:
Disinilah saya dapat lihat kerenah pengundi Pengkalan Pasir yang di 'atas pagar beraksi'. Bagi yang mempunyai halaman rumah yang 'lecoh'(becak) pasti akan 'bermanja' dengan PAS untuk dapatkan pasir selori dua. Bagi yang angguk di dagu tapi menggeleng di hati akan mengiakan sahaja apa yang dicakap oleh jentera PAS yang datang berkempen.

Namun apabila peraih undi BN datang bertandang dan apabila dihulurkan sahaja 'pitih'(duit) kepadanya, maka dengan spontan sahaja 'hamba allah' itu boleh bertukar menjadi 'jurupandu' kepada 'pemberi rasuah' itu untuk bertandang dan mempengaruhi rakan terdekat agar mengundi BN. Malah selepas sahaja jentera PAS berlalu, 'hamba allah' berkenaan boleh kibarkan bendera BN di rumahnya!


Selain itu, apabila wakil muslimat dari DUN lain datang untuk membantu organisasi muslimat PAS di Pengkalan Pasir,wujud juga sesetengah muslimat PAS di Pengkalan Pasir umpama buat-buat bersahaja apabila mereka mendapat banyak bantuan. Apa yang menyedihkan ada antara muslimat PAS tempatan yang tidak arif dengan kecenderungan yang didapati oleh setiap isi rumah di sesetengah kawasan di Pengkalan Pasir.

(Artikel penuh - Analisis PR Pengkalan Pasir: Releven lagikah PAS?)
Juga,
Hati mana yang tidak terusik apabila Menteri Besar Selangor yang juga MKT Umno sanggup mandi air telaga dan tidur bersama pepijat dirumah kampung pengundi. Jiwa mana tidak gembira bila seorang individu bergelar YAB Dato Seri Shahidan Kassim boleh berbasikal bersama orang-orang kampong. Mulut manakah yang tidak boleh mengukirkan senyuman apabila insane-insan bergelar Menteri memenuhi rumah-rumah di sekitar Pasir Mas. Jika difikir dari logik akal, Bandar Kota Bahru tidaklah jauh dari Pasir Mas. Di Kota Bahru berjenis-jenis hotel mewah tersergam indah untuk didiami oleh mereka yang bergelar Menteri dan YB. Tapi seribu kali hairan, mereka tetap memilih kampong-kampung sekitar DUN Pengkalan Pasir.

Betapa sedihnya hati kami para petugas apabila kami sanggup bertemankan nyamuk dan unggas semasa tidur malam tetapi para pimpinan dengan selesa penghawa dingin di Hotel Perdana. Berstatus Ulama Elit, Ustaz Nasarudin Mat Isa selaku Timbalan Presiden bersama kuncu-kuncunya Dato’ Hassan Ali, Dato Mustapa Ali, , Asmuni Awi dan ramai lagi para pimimpin bertaraf elit ini yang memilih hotel-hotel sebagai singgahsana sementara mereka. Di masa ahli sedang berjuang mati-matian ingin mempertahankan kerajaan islam kelantan ,para pimpinan seperti Dr Hatta Ramli, Dr Syed Azman dan Dr Zulkifli Ahmad boleh minum pagi di Dining Room JKR 10 setelah nyenyak tidur disana.. Disaat ahli mengorbankan masa dan wang ringgit, kerajaan kelantan sudi menghabiskan sejumlah wang untuk mengabui mata pimpinan PAS dengan hotel dan makan-minum mewah.

(Artikel penuh - Kebenaran atau Keadilan Untuk Siapa)
Juga,
Dalam PRU yang baru lepas, TGHH telah menyifatkan DAP dan Lim Kit Siang sebagai panadol yang tamat tempoh. Kan ke terlepas cakap tu ? Orang Cina kita kena faham, mereka bukan macam Melayu yang taksub dengan parti, tetapi depa taksub dengan duit. Bila TGHH mengata kepada Lim Kit Siang, tentu orang Cina akan terasa dan tidak lagi mengundi PAS. Lihat sajalah undi rosak di tempat TGHH bertanding. Rasa aku undi rosak itu tentulah datangnya dari pengundi Cina yang tak mau undi BN tetapi tak mau jugak undi TGHH. Eloklah kurang buta kenyataan sedikit supaya apa yang kita katakan tidak menjadi modal kepada media untuk menghentam kita kembali.

(Artikel penuh - Pemimpin PAS... Jangan terlepas cakap..)
Menarik untuk dimuhasabahkan. Memang BN layak menang dengan kebijaksanaan dan usaha yang mereka laburkan. Perkongsian ini tidak berniat untuk menghina atau memalukan mana² pihak, tetapi sekadar perkongsian pendapat. Tak wajib betul, harus salah.

Wallahualam...

(Rujuk juga PAS perlu kepada perubahan)

Post lain tentang Pilihanraya Pengkalan Pasir
-
Pilihanraya Pengkalan Pasir; Realiti Di sebalik 'Tragedi'
- Kerajaan Pusat; Antara Amanah & Politik
- Risaukan Pengkalan Pasir Sampai Lupakan yang Lain

Tragedi Pemikiran Melayu...

Hasil penulisan satu²nya 'Profesor DiRaja' di Malaysia yang mengupas tentang punca kelemahan Melayu; dulu, kini dan mungkin selamanya sekiranya KITA MALAS berubah:
KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.

Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.

Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.

Teruskan membaca 'Tragedi Pemikiran Melayu'
Bagaimana? Saya rasa ada benarnya kupasan tersebut...

Pesta Seks di Pantai Cenang?

Kebetulan ketika melayari beberapa artikel terkini, saya terbaca tentang petikan akhbar Harian Metro berjudul Parti liar tahun baru Langkawi yang amat mengejutkan saya. Pendedahan yang berani sekali gus memperlihatkan betapa lemahnya penguatkuasaan hukuman SYARIAH yang menyebabkan gejala sosial tidak pernah berkurang, malah bertambah.

Walau bagaimanapun, yang menghairankan, mengapa berita sebegini tidak diwar-warkan dalam Utusan Melayu mahupun Berita Harian? Apakah untuk menjaga air muka pemimpin ISLAM HADHARI? Ataupun tidak cukup muka surat kerana hendak memaparkan polemik² dan retorik politik kerajaan? Saya sendiri kurang pasti. Nampak gaya, saya perlu menambahkan jumlah akhbar yang dibaca supaya tidak terlepas maklumat penting sebegini.

Apapun, terima kasih kepada penulis artikel Hukum Allah outdated? yang menyedarkan saya tentang kelemahan saya selama ini. Harus diingat, ini sekadar perkongsian. Tak wajib betul, harus salah.

Wallahualam...