Friday, December 23, 2005

Pendidikan Seks; Apa Pandangan Islam?

Saya tertarik untuk membicarakan tentang keputusan kerajaan untuk melaksanakan pendidikan seks bermula tahun 2006. Sekiranya saya tidak salah, negara jiran, iaitu Singapura telah lama melaksanakan pendidikan seks di sekolah. Malah usul ini telah lama diutarakan oleh beberapa pihak, dengan harapan ia akan mematangkan pemikiran muda-mudi di Malaysia.

Walau bagaimanapun, bila hendak dilaksana, ada pulak yang membantah. Saya sertakan beberapa ceraian artikel, sekadar berkongsi...
Pendidikan seksualiti akan mula dilaksanakan di sekolah termasuk di peringkat prasekolah pada sesi persekolahan tahun depan dalam usaha kerajaan membantu remaja menjaga diri terhadap perlakuan jenayah seksualiti dan meningkatkan moral mereka.

Beliau memberitahu, garis panduan itu mengandungi enam tunjang iaitu perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual dan masyarakat serta budaya.

Kumpulan sasar tahap satu melibatkan kanak-kanak prasekolah, tahap dua, kanak-kanak berusia 7 hingga sembilan tahun, tahap tiga bagi awal remaja (10 hingga 12 tahun), tahap 4, remaja (13 hingga 18 tahun) dan tahap lima iaitu dewasa seperti pelajar universiti, ibu bapa dan warga emas.

(Berita penuh - Pendidikan seksualiti dilaksana mulai 2006)
Juga,
Persoalannya sekarang, adakah wajar pendidikan seksual ini dijadikan salah satu sistem dalam pendidikan sedangkan terdapat cara atau kaedah lain yang sebenarnya boleh menghindarkan dan memupuk kesedaran tentang masalah seksual pada umumnya dan secara keseluruhannya pada persoalan sosial.

Sikap kita kini yang agak kurang menekankan aspek keagamaan menyebabkan kita tidak memahami serta mendalami bahawa agama dapat menghindarkan segala permasalahan sosial yang ada. Saluran pendidikan adalah saluran yang begitu efektif sekali jika ia bermula dari peringkat bawahan. Jika sistem pendidikan seksual ini diaplikasikan, saya yakin ia tidak akan menyelesaikan masalah yang wujud sekiranya aspek-aspek kefahaman tentang keagamaan tidak diterapkan.

(Artikel penuh - Pendidikan seksual bukan penyelesai masalah sosial)
Juga,
Sebagai orang Islam kita perlu menjaga sifat malu lebih-lebih lagi di dalam bilik darjah di mana terdapatnya percampuran di antara pelajar lelaki dan perempuan.

"Dengan adanya pendidikan seks secara terbuka ditakuti akan menggalakan perbuatan maksiat di kalangan umat Islam," kata beliau. Kata Kamarudin, kerajaan sepatutnya meminta pandangan daripada berbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ulamak terlebih dahulu sebelum perkara tersebut dilaksanakan.

(Berita penuh - Pemuda PAS Melaka bantah pendidikan seks di sekolah)
Jadi, apa pandangan anda? Bagi saya, pendidikan seks ada kewajarannya, dan ada juga kelemahannya . Apapun, rasanya alim ulama lebih berhak membicara soal ini. Saya sekadar melontarkan pandangan. Tak wajib betul, harus salah. Wallahualam...

No comments: