Tuesday, November 07, 2006

Pak Lah Makin Ramai Penentang?

Dalam kekabutan Pak Lah menangkis serangan berbisa Tun, kepemimpinan UMNO terus diganyang oleh ahlinya sendiri. Satu per satu peristiwa membuktikan Pak Lah semakin kurang popular dan semakin lemah pada pandangan ahli.

Kes paling menghangatkan akhbar hari ini ialah ucapan Datuk Abdul Ghani Othman sewaktu Konvensyen UMNO Johor di mana beliau mempertikaikan istilah dan konsep Bangsa Malaysia yang diletakkan dalam Wawasan 2020. Ucapan beliau menimbulkan pelbagai reaksi daripada pemimpin BN dan juga pembangkang.

Apa yang saya dapat simpulkan di sini ialah keberanian Datuk Abdul Ghani Othman mempertikaikan sesuatu yang disepakati oleh UMNO sendiri, malah ditekankan oleh Pak Lah sewaktu pembentangan Rancangan Malaysia ke-9.

Bukan setakat beliau mempertikaikan konsen Bangsa Malaysia, malah beliau turut melahirkan kekesalan dan rasa tak puas hati terhadap sistem meritokrasi yang diperkenalkan oleh kerajaan yang dipelopori UMNO. UMNO Johor juga membantah tindakan kerajaan memperkenalkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Apakah Ghani juga bakal menjadi penentang Pak Lah?

Itu di Johor, di Dewan Bahasa dan Pustaka pula, tokoh yang terkenal dengan keberaniannya, Ku Li turut membidas kerajaan. Ucapan beliau yang mengkritik keputusan kerajaan melaksanakan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris juga mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Jika difikirkan kembali, bukankah kerajaan dan UMNO sendiri yang beria mempertahankan konsep pengajaran dalam bahasa Inggeris tersebut? Walaupun banyak pihak yang menentang, ada sahaja hujah UMNO. Kini, Ku Li dan UMNO Johor pula yang menentang, bagaimana reaksi UMNO?

Dalam The Star, terkulat-kulat Najib mempertahankan tindakan kerajaan dan mengatakan prestasi dalam sains dan matematik meningkat walaupun diajar dalam bahasa Inggeris. Kenyataan Najib yang agak pelik itu boleh disangkal dengan mudah andainya facts and figures dibentangkan kepada rakyat.

Sebagai selingan, berikut adalah petikan ucapan Ku Li,
Dalam sistem kita berpolitik, kerajaan sepatutunya takut dan akur kepada rakyatnya. Kebiasaannya rakyat digerakkan oleh cerdik pandai, ilmuan dan para cendikiawannya. Lesunya golongan ini lemahlah rakyatnya. Rakyat yang lemah akan melahirkan pemimpin yang leka. Pemimpin yang leka akan menjadikan bahasa dan negara ini tidak berdaya.
Apakah ini menjadi petanda bahawa Pak Lah semakin hilang pengaruh? Penentangan daripada ahli UMNO yang semakin jelas dan terbuka sudah pasti merisaukan Pak Lah. Walaupun pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO menyatakan sokongan padu mereka, realiti ahli bawahan, ramai yang sudah muak dan jelek dengan kepemimpinan UMNO yang terlalu lemah dan memalukan.

Kenyataan Najib tentang kegagalan projek jambatan bengkok (ataupun Jambatan Indah) turut membuktikan kelemahan kerajaan half-pass-six with no guts yang didakwa Tun. Kerajaan Pak Lah terlalu takut dengan Singapura sampai terpaksa akur kepada kehendak negara kecil tersebut.

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO, kita semakin disedarkan dengan hakikat ahli bawahan UMNO sudah terlalu menyampah dengan kelemahan pemimpin mereka. Mampukah Pak Lah terus bertahan menghadapi asakan demi asakan?

Sumber - TheSun, Utusan Online dan RoslanSMS Corner

No comments: