Friday, October 27, 2006

Syawal 1427; Kenangan Demi Kenangan (Part II)

2 Syawal 1427

Saya bangun Subuh agak lewat. Walaupun tidur sudah terlebih cukup, tapi faham sajalah. Orang demam memang rasa tidurnya tak pernah cukup. Pelik bukan? Nasib baik saya seorang engineer bukan doktor. Saya kurang arif bab ilmu biologi, sejak sekolah memang tak pernah dapat 1A untuk biologi.

Selepas Subuh, saya hanya melelapkan diri seketika. Terasa kebas pula badan jika terlalu dimanjakan begini. Saya melangkah ke dapur mencari pengalas perut. Semalam tidak sempat untuk menjamah makan malam. Saya mengisi perut ala kadar, selera tidaklah terlalu mengancam.

Saya kembali ke katil, cuba mencari keinginan untuk tidur, namun gagal. Saya kembali ke ruang tamu dan menonton TV. Saya tak ingat apa nama cerita yang ditonton. Lama jugalah saya melayan siaran TV. Walaupun tidaklah terlalu menarik, tetapi layan sajalah. Daripada terperap di bilik buat 'tahi mata', lebih baik duduk di ruang tamu ini.

Kami pulang ke rumah sekitar waktu Asar. Gembira rasanya dapat menjejakkan kaki ke Istana Taman Siswa II. Walaupun di kampung seronok juga, tapi di rumah lagi seronok. Mungkin sebab lebih selesa dan ada internet yang menjadi kegilaan saya. Lagipun, Alhamdulillah, demam saya makin kebah. Syukur pada-Nya kerana memberikan kekuatan kembali buat yang daif ini.

Walaupun makin sihat, ummi tetap menyuruh saya berjumpa doktor. Sekadar langkah berjaga-jaga. Saya ke Kedah Medical Center (KMC). Lega kerana tidak begitu ramai yang sedang menunggu giliran. Namun kelegaan itu hanya seketika. Doktor yang memeriksa saya tersangatlah pemalas. Tak sampai 5 minit saya di dalam bilik doktor, saya dah dibenarkan keluar mengambil ubat. Dia hanya bertanya itu dan ini, maka siaplah senarai ubatnya. Bedebah betul!

Saya ke bahagian Farmasi dan mengambil ubatan saya. Memandangkan saya melebihi umur 18 tahun, saya terpaksa membayar sendiri. Agak mahal, RM51.30. Kos konsultasi sahaja sudah RM15. Memang saya menyumpah-nyumpah dalam hati. Doktor yang sekadar tanya itu ini dibayar RM15. Ubat yang diberi standard GH saja. Apalah malang nasib diri.

Malamnya saya tidur awal, kesan ubat yang diberi terlalu kuat. Selamat tinggal 2 Syawal...

3 Syawal 1427

Sepatutnya hari ini kami ke Penang, tapi disebabkan saya yang demam serta ummi yang keletihan, kami batalkan saja rancangan kami. Kami sekadar merehatkan diri di rumah sambil melayan tetamu yang sudi hadir. Syukur demam saya tidaklah seteruk hari sebelumnya. Walaupun peningnya masih ada, tapi selsemanya telah banyak berkurang.

Saya teringat jemputan sahabat sekampus untuk konvoi raya di sekitar Alor Setar. Teringin benar untuk turut serta. Namun awal-awal lagi saya sudah menolak memandangkan perancangan asal kami adalah untuk ke Penang. Sahabat sekolah rendah saya turut membuat konvoi sekitar Jitra. Namun demam yang masih bersisa memberatkan jiwa untuk turut serta.

Walaupun tidak dapat bersama dengan sahabat sekolah rendah menjelajah Jitra, saya menjemput mereka ke rumah. Lama benar kami tidak bertemu, hampir 9 tahun. Bukan tempoh masa yang sekejap. Saya menanti dari jam 12 tengah hari, tak sabar-sabar. Tertidur saya dibuatnya; mungkin kerana kesan ubat batuk.

Kawan-kawan saya tiba jam 5.30 petang, agak lewat. Saya sambut mereka di muka pintu dengan wajah demam saya. Semuanya sudah besar panjang. Barulah saya sedar, sayalah yang paling kecil antara semua. Kerdil sungguh diri ini, walaupun 9 tahun dahulu, ada yang lebih kerdil. Apakan daya, ALLAH mentakdirkan diri ini kekal comel sebegini.

Walaupun pertemuan agak ringkas, selama sejam dengan dihidangkan bihun goreng dan kuih muih, ia tetap memuaskan. Berjumpa muka-muka yang suatu ketika dahulu cukup muda dan berbeza. Nostalgia silam mengamit kisah suka dan duka persekolahan dahulu. Kenangan yang pasti tinggal kenangan.

Malamnya, tak banyak yang dibuat. Saya menghayati novel 'Biarkan Aku Menangis', karya baru daripada Norhayati Berahim. Kisah yang menarik. Bukan kisah jiwang, tapi kisah kekeluargaan. Saya tak mampu menghabiskan pembacaan dalam satu malam. Apatah lagi memandangkan saya perlu tidur awal; takut demam makin melarat.

4 Syawal 1427

Pagi ini seperti pagi-pagi sebelumnya. Seusai pulang dari solat Subuh di masjid, saya melayari internet. Saya agak kagum dengan kelajuan internet di Jitra yang jauh lebih baik daripada prestasi internet di Petaling Jaya. Mungkin kerana tak ramai orang Jitra yang menggunakan Streamyx, maka kesesakan trafik kurang.

Asalnya saya bercadang mahu ke rumah sahabat baik saya di Taman Bahagia, tetapi terpaksa saya batalkan kerana kepala pening-pening lalat. Saya sekadar berehat di atas katil menghayati sambungan novel semalam. Hari Jumaat memang tak banyak aktiviti untuk dibuat.

Jam 11.30, saya melelapkan diri supaya beroleh kekuatan untuk tidak syahid sewaktu khatib membaca khutbah. Saya bangun jam 12.30 dan terus mandi sunat Jumaat. Hari ini kebetulan saya ke masjid agak awal bersama ayah saya. Biasanya kami lambat. Entah mengapa, ayah saya bersemangat lain macam hari ini.

Selesai solat, saya menerima panggilan daripada sahabat karib saya yang di Pahang. Beliau menyampaikan berita penting kepada saya. Beritanya saya sambut dengan tenang dan penuh kesyukuran. Besar sungguh nikmat dan hikmah yang ALLAH sembunyikan dalam setiap kejadian. Tak terjangkau dek pemikiran kita insan yang lemah lagi hina.

Sisa-sisa hari berlalu dengan syahdunya. Ketenangan yang begitu unik menyelinap masuk ke dalam diri tatkala memikirkan betapa indahnya aturan alam dan kehidupan yang diurustadbir oleh ALLAH yang MAHA KUASA. Subhanallah!

Malam ini malam terakhir saya di rumah. Malam esoknya saya akan beradu di atas kerusi empuk bas Transnasional. Saya ingin sekali tidur dengan adik bongsu saya. Selalunya begitu jika saya balik ke rumah. Namun cuti kali ini, keadaan diri yang kurang sihat tidak mengizinkan adik saya bermanja dengan saya.

5 Syawal 1427

Hari terakhir di rumah untuk sambutan Aidilfitri tidak begitu terasa. Mungkin sudah terlalu lama di rumah. Biasanya saya hanya bercuti 4-5 hari, kali ini 8 hari. Paginya saya melayari internet untuk mendapatkan berita terkini seperti biasa. Sekitar 1-2 jam membaca berita, saya masuk ke bilik untuk menghabiskan helaian-helaian terakhir novel tempoh hari.

Tengah hari nanti, saya akan ke rumah sahabat baik saya untuk lunch bersama. Saya ke sana bersama ayah dan adik saya. Memang setiap tahun beliau akan menjemput kami ke rumahnya untuk jamuan raya istimewa. Masakan ala Pakistan + Langkawi ibunya memang memikat hati. Masakan yang boleh dinikmati setahun sekali.

Petangnya, dua orang adik saya kembali ke sekolah. Yang perempuan ke Sekolah Agama Kedah (Mergong) manakala yang lakinya ke Maktab Mahmud. Rumah sudah terasa hilang serinya. Malam ini, saya pula bakal berangkat pulang ke Petaling Jaya. Apakan daya, semua anak sudah besar panjang...

Saya menaiki bas pulang ke Petaling Jaya jam 10.30 malam. Alhamdulillah, bas Transnasional tiba jam 10.40. Kondisi bas selesa dan menyenyakkan. Asalnya saya bercadang untuk tidur awal, namun saya tertarik menonton drama yang disiarkan di TV3. Saya lelap jam 12.00 malam.

Bersambung...

No comments: