Friday, October 27, 2006

Syawal 1427; Kenangan Demi Kenangan

Malam Raya

Saya diserang selsema yang agak teruk. Mungkin kerana cuaca di Kedah yang panas terik dan kering, ditambah jerebu yang masih belum menampakkan tanda mahu berundur. Apapun, pasti ada hikmah disebalik ujian yang melanda ini. Saya tidur awal malam raya tahun ini, jam 10 saya sudah nyenyak atas katil empuk yang dirindui.

Tidur saya terganggu sekitar pukul 2-3 pagi, saya merasakan badan saya amat panas. Bukan kehangatan, tapi suhu badan saya panas. Saya rimas. Lemas. Terasa lemah seluruh anggota badan. ALLAH memberi lagi ujian kepada diri ini, mungkin sebagai kifarah kealpaanku.

Apapun, saya bersyukur kerana saya diserang selsema, jadi saya berjaya tidur awal; tidak lalai dan alpa dengan hiburan di kaca TV. Saya bersyukur kerana saya diserang demam panas, kerana tatkala itu saya terjaga dan menyedari betapa kasih-Nya ALLAH padaku. Bukankah beruntung orang yang berjaya menghidupkan malam Aidilfitri dengan beribadat kepada-Nya? Dan, bukankah penyakit itu datangnya dari ALLAH sebagai peringatan buat hamba-Nya yang dikasihi?

1 Syawal 1427

Saya dikejutkan awal pagi untuk ke masjid menunaikan solat Subuh berjemaah. Mulanya saya liat untuk ke masjid. Menyedari bahawa diri ini sedang demam, apalah salahnya solat di rumah? Segera saya usir hasutan syaitan yang kembali menghasut anak Adam setelah bebas dari penjara Ramadhan. Saya segera mengagahkan diri ke masjid. Alhamdulillah sempat berjemaah Subuh dan mengikuti tazkirah Aidilfitri.

Seusai tazkirah, saya pulang ke rumah dalam keadaan badan yang panas dan hidung yang merah. Saya segera ke katil merebahkan diri sementara menunggu solat Aidilfitri. Saya membungkus diri supaya dapat mengeluarkan peluh sebanyak mungkin.

saya bangun jam 8 pagi dan terus mandi sunat Aidilfitri kemudian bergegas ke masjid. Kami agak lambat ke masjid, maklumlah, ramai adik-beradik yang bersiap sakan. Kami tiba tatkala masjid sudah penuh dan imam sudahpun memulakan solat. Apapun, syukur kerana kami masih sempat mendapat dua rakaat solat Aidilfitri walaupun beralaskan tikar getah dan beratapkan langit cerah lagi terik.

Selepas solat, kami mengisi perut dan memulakan sesi fotografi dan sesi bermaaf-maafan. Selsema saya makin menjadi-jadi, namun saya kuatkan diri. Mungkin inilah Syawal terakhir, bergembiralah wahai diri! Saya pulang ke kampung di Perlis dalam keadaan tak bermaya, namun cuba saya gagah-gagah buat hebat. Nak tidur atas van memang tak berjaya sebab adik bongsu saya nak bermanja-manja. Apakan daya...

Kami beraya di rumah sanak dan saudara sampai ke petang. Duit raya yang saya simpankan untuk 'adik saudara' tak sempat saya berikan. Saya seperti separuh sedar. Keletihan dalam usaha mengagahkan diri. Ya ALLAH, Kau berilah aku kekuatan untuk menyambut hari lebaran ini!

Sampai ke rumah terakhir, selepas solat asar, saya tak mampu untuk bertahan. Saya masuk tidur di dalam van. Walaupun panas, tapi sangat selesa bagi orang yang demam seperti saya. Sempat juga saya syahid selama sejam. Kami pulang ke rumah tok di Taman Kemajuan dalam jam 6.45 petang. Destinasi pertama saya, KATIL.

Azan Maghrib berkumandang. Saya meliatkan badan. Terasa terlalu letih. Namun sekali lagi, saya cuba lawan hasutan iblis yang masih mencuba menghasut agar saya mengabaikan panggilan ILLAHI. Seusai pulang dari Surau, saya syahid sampai ke jam 11.00 malam. Saya bangun untuk solat isyak dan terus syahid sampai ke subuh.

2 Syawal 1427

Akan bersambung...

No comments: