Sunday, December 11, 2005

Pilihanraya Pengkalan Pasir; Realiti Di sebalik 'Tragedi'

Lama sungguh saya mem'bisu'. Seribu kemaafan saya pohonkan. Tidak terniat di hati untuk menyepi, tapi nasib diri yang tidak menyebelahi. Alhamdulillah, musim peperiksaan telah berakhir, kebetulan cuti semester saya juga seolah-oleh telah 'berakhir'... Hambatan amanah memaksa saya hadir ke kampus lebih awal daripada yang lain. Pengorbanan yang memeritkan, namun menjanjikan, insya-Allah, 1001 kenangan dan pengalaman, yang pasti bermakna untuk diaplikasikan.

Saya tidak berhasrat berkongsi kisah² menginsafkan mahupun tips² kepemimpinan pada kali ini. Saya lebih berminat menyentuh 'tragedi' pilihanraya Pengkalan Pasir yang telah berlalu pada 6/12/2005 yang menyaksikan perlawanan sengit antara 3 pihak (walaupun secara realiti, hanya 2 pihak yang kelihatan berentap hebat).

Saya cuba menjadi seorang yang nuetral, dan tidak menyebelahi mana² pihak, cuma sekadar berkongsi pendapat sebagai seorang MAHASISWA yang keliru dan kecewa dengan status demokrasi negara. Malah boleh saya katakan, tahap politik negara amat kritikal dan mendukacitakan.

Disebalik berita² 'sensasi' politik oleh akhbar² nasional tanah air, tersirat 1001 keperitan. Permainan politik dan tipu helah yang telah memperbodohkan rakyat Malaysia, yang kononnya menuju ke arah negara maju. Kenyataan tokoh² besar negara yang memaparkan realiti kebodohan diri mereka sendiri (rujuk sumber² alternatif). Saya kurang pasti adakah istilah 'tokoh' layak digunapakai untuk mereka, tetapi saya anggap majoriti rakyat berasakan begitu.

Yang memelikkan, dimanakah kesedaran rakyat terhadap politik tanah air? Apakah sanggup rakyat Malaysia membiarkan pendidikan dipolitikkan? Ataupun pembangunan dianaktirikan semata² wakil rakyat di sesetengah kawasan adalah dari parti berlawanan? Walhal tanggungjawab penbangunan dan pendidikan adalah jelas dibawah kerajaan PUSAT (peruntukan terutamanya).

Sekiranya tiada universiti di mana² negeri (sebagai contoh), ataupun secara amnya, sekiranya ada masalah sistem pembelajaran di mana² negeri. Maka adalah menjadi tanggunjawab kerajaan PUSAT untuk membaiki masalah tersebut. Tidak kiralah sama ada negeri itu dipimpin oleh parti yang sama ataupun berlainan. Dalam berkempen dan berpolitik, tidak ada salahnya wujud semangat kepartian. Tetapi bila mana masuk ke peringkat pemerintahan, sepatutnya tidak wujud semangat kepartian sebegitu. Amanah sama dipikul.

Apa yang berlaku jelas menggambarkan kejahilan mereka yang berada di posisi pemimpin untuk memahami konsep amanah, walaupun dipimpin oleh cucu seorang ulama, walaupun diperkenalkan konsep Islam Hadhari etc. Persoalannya, bilakah rakyat Malaysia akan matang berpolitik? Dan bilakah pemimpin kita yang disayangi akan melayan rakyatnya seperti melayan orang yang berilmu?

Pemimpin punya amanah untuk memimpin dan memajukan negara. Memastikan amar makruf nahi mungkur terlaksana. Dan rakyat bertanggungjawab memilih pemimpin yang mampu melakukan perkara tersebut. Saya tidak menyokong mana² parti, cuma saya menginginkan untuk hidup dalam suatu negara yang mengamalkan ISLAM sepenuhnya; agar dapat saya mengecapi kedamaian dan kemakmuran seperti yang dirasai pada zaman² pemerintahan khilafah dahulu.

Akhirul kalam, ini hanya sekadar coretan pandangan. Tak wajib betul, harus salah.

Wallahualam...

No comments: