Thursday, August 31, 2006

Keranamu Malaysia Vs Kerana-Mu ALLAH?

Sambutan kemerdekaan negara ke-49 disambut dengan hambar, tidak semeriah sambutan perkahwinan Siti Nurhaliza. Ntah mengapa, saya sendiri tak mampu mencari jawapan. Pemikiran rakyat yang kononnya merdeka ini amat pelik, tak terjangkau dek diri ini untuk mentafsirnya. Apapun, saya bersyukur kerana promosi sambutan kemerdekaan yang hambar mungkin kurang menarik rakyat untuk berpesta maksiat.

Melihat kepada sambutan kemerdekaan negara saban tahun, rasanya anda sendiri mampu menilai sejauh mana erti kemerdekaan kepada pemuda dan pemudi zaman kini. Budaya berpeleseran dengan lebih ganas pada malam merdeka seolah suatu tradisi yang gagal diubah oleh pemerintahan ISLAM HADHARI, malah berjaya disuburkan lagi. Kita boleh melihat sendiri di kaca TV betapa teruknya rakyat yang kononnya merdeka, tapi jiwa masih dijajah.

Seawal jam 5.00 petang, LRT mula dipenuhi muda-mudi berpakaian ibarat mat PUNK dan SKIN yang ingin menyambut kemerdekaan negara. Aksi-aksi mereka yang memualkan sedikit sebanyak mendetikkan rasa insaf dan malu dalam diri; Beginikan bangsa yang merdeka? Bangsa Melayu yang suatu ketika dulu gagah mempertahankan MARUAH, kini HINA SEHINANYA.

Bukan setakat itu, detik 12 malam diraikan dengan berpesta hiburan di sana sini tanpa menghiraukan batasan agama. Pihak NGO-NGO ISLAM terpaksa bertungkus lumus mewujudkan SKUAD PENCEGAH MAKSIAT untuk memastikan kesucian kemerdekaan tidak dicemari dosa dan noda. Menyedihkan bukan?

Satu yang menarik perhatian saya ialah sambutan di KLCC. Selesai sahaja sambutan bunga api tepat jam 12 malam, mereka beramai-ramai menyanyikan lagu KERANAMU MALAYSIA. Lagu tersebut yang pernah diharamkan oleh kebanyakan ulama kerana sentimen KERANAMU MALAYSIA, bukan KERANAMU YA ALLAH masih terus dinyanyikan. Malah, nyanyian yang paling kerap kedengaran di kala kemerdekaan.

Adakah segala apa yang kita lakukan kerana MALAYSIA? Atau adakah kerana ALLAH? Berbalik kepada hadith pertama dalam himpunan hadith 40; "Setiap amal itu menurut apa yang ia niatkan...". Maka, bila menyebut "Keranamu Malaysia", apakah ia niat yang betul? Ia tidak membawa sebarang pengertian, malah ada ulama mengatakan ia boleh membawa kepada syirik dan kekafiran.

Mengapa pucuk pimpinan negara yang dikatakan kononnya 'ulul amri' (berdasarkan satu papan tanda di kawasan penduduk India), tidak mengharamkan lagu tersebut? Apakah ini dakyah tersembunyi pihak tertentu dalam mengkufurkan rakyat Malaysia? Kufur kerana kita meletakkan segala apa yang kita peroleh bukan kerana KEKUASAAN ALLAH. Walhal segala yang berlaku adalah dengan IZIN ALLAH.

Inilah masalah yang kita hadapi hari ini. Rakyat tidak tahu syukur kepada TUHAN yang MAHA KUASA. Mereka hanya tahu meletakkan kesyukuran kepada MANUSIA yang tidak ada langsung kuasa. Dan inilah yang UMNO suka. Mereka suka rakyat anggap mereka BERKUASA. Mereka suka rakyat bersyukur kepada mereka. Sekaligus, bukankah ini boleh membawa kepada syirik? Tidak mengakui kekuasaan ALLAH dan mempersekutukan ALLAH dengan UMNO?

Sidang pembaca, mungkin ramai antara rakyat sekadar menyanyi lagu KERANAMU MALAYSIA untuk suka-suka. Tetapi bait lagu perlu difahami dan dihayati. Sekiranya membawa maksud yang menyalahi ISLAM, maka kita DIHARAMKAN menyanyikannya. Apatah lagi jika ia berkait dengan soal AKIDAH. Tak begitu? Jika salah, tolong betulkan.

Sambutan kemerdekaan saban tahun mendatangkan rasa sebak dijiwa. Sebak memikirkan, bilakah rakyat Malaysia akan benar-benar merdeka? Bilakah ISLAM akan benar-benar dibawa? Persoalan yang sehingga kini belum terjawab. Masih samar dalam bayangan.

Tidak perlu saya nyatakan betapa saya kecewa dengan UMNO yang sememangnya jahil bab ISLAM walaupun mempunyai ramai lulusan pengajian ISLAM dan ULAMA-ULAMA 'SUK'. Kekecewaan bertambah melihatkan PETRONAS yang setiap tahun menjadi antara penaja utama program kemaksiatan terbesar ini. Mungkin mereka terpaksa, siapa tahu.

Menambah sedikit, jika dilihat siaran RTM1, pasti ramai yang terkejut. Selepas PM dan menteri kabinet bersurai, majlis mengumumkan 'Selepas ini akan diadakan hiburan dan pesta' lebih kurang begitu. Jam sudah 12.30 mlm, tidak cukup berpestakah? Pak Lah yang mengetuai barisan untuk bersurai tetap ceria, walaupun beliau antara yang paling arif soal HALAL dan HARAM. Al-maklum, orang lulusan pengajian ISLAM katakan.

Lebih memalukan, selepas itu, pengacara RTM1 menemubual beberapa anak muda bertanyakan apa erti kemerdekaan buat mereka. Jawab pemuda tersebut, "ENJOY!". Saya terkedu. Jawapan LIVE yang memalukan. Inilah realiti pemikiran muda mudi hari ini. Selepas itu disiarkan ucapan MB-MB negeri. Bermula dengan Shahidan Kasim yang sedih bersongkok (mukanya nampak sedih, ntah mengapa).

Ucapan Shahidan tak ubah ibarak robot membaca teks. Sepatah demi sepatah. Lakonan terburuk dalam sejarah. Pengisian 'macam bagus', tetapi semuanya menembak kembali kepada kepemimpinan BN. Ibarat meludah ke muka sendiri. Dia bercakap soal memerdekakan jiwa dan pemikiran bla bla bla. Walhal dalam masa yang sama, rakyat sedang dihidangkan sambutan kemerdekaan ALA BARAT. Retorika BN yang memalukan.

Maaf andainya tulisan saya dipenuhi emosi dan perasaan. Cuma saya terlalu mengharapkan sambutan kemerdekaan tidak dicemari dosa dan noda. Tidak disambut penuh kejahilan dan kehinaan. Tidak menunjukkan kepada dunia betapa teruknya sebuah negara yang kononnya NEGARA ISLAM. Tetapi, impian masih tinggal impian. ALLAH menetapkan masanya untuk ISLAM menang belum tiba.

Apapun, kita hanya mampu berdoa dan berusaha untuk kemenangan ISLAM. Moga apabila ISLAM menang, tatkala itu erti kemerdekaan benar-benar menginsafkan. Yakinlah bahawa kemenangan ISLAM itu sangat hampir. Cuma kita yang tak tahu bila. Sama-samalah kita doakan.

Salam kemerdekaan buat mereka yang benar-benar merdeka (Jika ada). Salam ukhuwwah. Salam perjuangan buat pejuang-pejuang ISLAM. Semoga perjuangan ini dipermudahkan oleh-Nya. (Namun realitinya, perjuangan tak pernah mudah. Jika mudah, bukanlah perjuangan namanya. Tak begitu?)

Wallahualam...

Rujuk juga:
  1. Malam 31 Ogos di Kuala Lumpur dihiasi seloka asmara 'uda dan dara'
  2. Merdeka bertukar dari kufur kepada beriman - MB
  3. Biarkan Putera Umno terjun dengan Mat-mat Rempitnya

No comments: