Monday, August 28, 2006

RM10 = Kalendar ISLAM?

Assalamualaikum dan salam sejahtera, bersua kembali setelah menghilang seketika. Alhamdulillah, saya berjaya kembali ke kampus sempena Pesta Konvokesyen hujung minggu lalu. Mengimbau kembali kisah silam bersempena Pesta Konvo, pasti mengundang sebak di jiwa, entah mengapa…


Apapun, penulisan saya kali ini terdetik tatkala dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Secara lebih tepat, ia berlaku di RnR Sungai Buluh. Seusai menunaikan solat Maghrib yang dijama’kan dengan Isyak, saya dihampiri oleh dua kanak-kanak yang menjual Kalendar ISLAM. Mereka menunjukkan surat daripada sebuah Tahfiz Anak-anak Yatim berpusat di Yan, Kedah. Salah seorang daripadanya berumur 11 tahun, yang seorang lagi saya anggap sebaya dengannya.


Rupanya Tahfiz tersebut merupakan antara Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang telah ditarik subsidi oleh Kerajaan di bawah ‘SATU LAGI PROJEK KERAJAAN BARISAN NASIONAL’, dan kini masih diteruskan di bawah Kerajaan ISLAM HADHARI. Saya hanya mampu bersimpati dan menghulurkan sumbangan peribadi yang tak seberapa. Moga ada keberkatannya di situ.


Menyebut tentang SAR, saya teringat kenangan bersama dengan seorang guru besar sebuah SAR di Perak. Beliau menceritakan kepada saya bagaimana ‘sempitnya’ kewangan SAR beliau sejak disekat bantuan kewangan oleh kerajaan. Malah, pada waktu tersebut, SAR beliau telah berhutang sekitar RM15000. Guru-guru di SAR tersebut pula sudah beberapa tidak dibayar gaji kerana ketiadaan wang. Ini menyebabkan guru-guru di SAR tersebut berkurangan.


Terdapat 1001 lagi masalah yang membelenggu sekolah-sekolah agama rakyat yang tak mampu saya huraikan satu persatu. Terlalu banyak. Apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah kesedaran kita; anda, saya, dalam membantu SAR yang merupakan medan untuk melahirkan pemuda pemuda yang celik ISLAM. Sejauh mana kita cuba menghulurkan sumbangan untuk membantu ISLAM?


Satu perkara yang menyedihkan saya ialah apabila adanya suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa ada pihak yang menggunakan kanak-kanak untuk mengaut keuntungan. Malah ada yang menuduh mereka cuba mengambil kesempatan daripada sikap rakyat Malaysia yang terlalu baik hati.


Bagi saya, persoalan sama ada mereka dipergunakan ataupun tidak merupakan soal kedua. Ia persoalan yang tak mampu kita ketemu jawapan. Yang lebih mustahak ialah sejauh mana kita bersedia menghulurkan sumbangan? Janganlah persoalan kedua itu sengaja dijadikan alasan untuk tidak menyumbang. Kita tidak mampu mengetahui apa yang tersirat. Kita hanya mampu menilai apa yang zahir. Dan pastinya, ALLAH menilai NIAT kita, bukan ke mana perginya duit kita.


Tak salah berhati-hati dalam menderma, tetapi janganlah terlalu berhati-hati sampai tidak terderma pula. Apakah anda mampu menghukum sekadar dengan melihat dan menggunakan kaedah ‘stereotyping’. Sidang pembaca, kita takkan rugi walau sesenpun sekiranya kita menghulurkan sumbangan, malah untung yang kita peroleh tidak terhitung banyaknya di akhirat kelak.


Siapa tahu, sumbangan yang anda hulurkan boleh menyumbang kepada kelahiran seorang HAFIZ atau PEJUANG? Tidak begitu? Realitinya, ini bukan sekadar persoalan RM10 untuk satu kalendar ISLAM, tetapi RM10 untuk membantu kemenangan ISLAM. Sama-samalah kita menyucikan hati, buang prasangka negatif daripada menghasut diri. Siapa tahu, mungkin anda mampu merubah nasib Sekolah Agama Rakyat.


Wallahualam…


2 comments:

Anonymous said...

Insya Allah

Shahira I. said...

yup, been in this situation before.we actually questioned those little girls (yg jual balm smbil mntak derma tu) hanya kerana curiousity, tapi still menyumbang gak.at least we appreciated her hard work berjalan2 ke sana sini untuk mintak bantuan..apalah sangat setakat RM10 tu kan berbanding pengorbanan adik2 kecil ni.Rasanya kita kena tanamkan kebiasaan suka bersedekah/menderma ni sebab we actually have nothing to lose, instead we gain even more (in hereafter).