Friday, September 01, 2006

Makin Merdekakah Kita?

Artikel yang agak panjang ini telah dikirim kepada saya oleh seorang sahabat. Saya suka untuk berkongsi dengan sidang pembaca artikel ini yang saya kira amat menarik dan membawa seribu satu pengertian. Moga semakin ramai yang mengerti apa itu kemerdekaan.

---

1.Pendahuluan

Menyebut tentang `merdeka`, tanggapan masyarakat awam ialah ritual acara berulang setiap kali datangnya Ogos, iaitu arahan mengangkat bendera di bangunan-bangunan, membina pintu-pintu gerbang, memasang bendera-bendera kecil di kenderaan-kenderaan, melepaskan konvoi-konvoi kenderaan dari destinasi ke destinasi dan berbagai-bagai lagi acara dan upacara yang diadakan.

Puncaknya ialah amanat Perdana Menteri dan perbarisan di hadapan pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh politik Negara di lokasi yang dipilih setiap tahun. Tempat pilihan sambutan tahun ini ialah di Pusat Pentadbiran Negara di Putrajaya. Adakah sambutan ukuran kejayaan kemerdekaan? Upacara dan acara tahunan bukan sebenarnya skala ukuran kejayaan. Ianya adalah lebih bersifat hiburan dan pesta-pestaan.

Ukuran kejayaan adalah dengan mengiktiraf dan memberi sanjungan kepada mereka yang menuntut dan memenuhi kemerdekaan. Antara mereka berperanan sebagai perintis jalan kemerdekaan, pejuang yang terkorban nyawa kerana menuntut kemerdekaan, di kalangan mereka ada yang ditahan, dipenjara dan tersiksa dalam tahanan.

Pengiktirafan tidak seharusnya bersifat bias, hanya terkhusus kepada pejuang politik tertentu yang mendukung perjuangan politik pemerintah semasa, sedang yang berlainan fahaman, biarpun dari kalangan mereka terkorban diabaikan bahkan mau dilupakan.

Perjuangan kemerdekaan adalah didukung oleh banyak pihak termasuk para ulama yang merupakan pencetus awal yang membangkitkan perasaan bencikan penjajah, pahlawan-pahlawan peringkat awal yang menentang kemasukan penjajah yang berusaha merubah politik pemerintahan, budaya tempatan dan penguasaan ekonomi Negara.

Pejuang-pejuang kemerdekaan termasuklah tokoh-tokoh politik yang dicap oleh penjajah sebagai `kiri`, kerana menggugat kedudukan penjajah, bahkan mereka lebih bermakna di dalam perjuangan politik tanahair dari perjuangan yang direstui penjajah, kerana tidak menggugat mereka. Perjuangan kemerdekaan melibatkan banyak pihak dan berentetan dalam sejarah yang agak panjang. Lantaran itu mereka adalah milik dan kebanggaan rakyat, lantaran sedemikian sambutan kemerdekaan bersifat rakyat.

Bagi peringkat pengisian kemerdekaan bukan saja dilanjut oleh orang-orang politik, tetapi juga oleh berbagai sektor, kalangan intelektual dan rakyat jelata. Namun pemimpin Negara diamanah rakyat memimpin bagi mengisikan kemerdekaan. Mereka yang diamanahkan dengan pengisian ini berhak dinilai oleh rakyat. Sebahagian daripada penilaiannya ialah dengan melihat kejayaan di dalam bidang-bidang utama yang ditangani mereka.

2. Apa Maknanya Merdeka?

Antara makna merdeka, ialah kejayaan membebaskan rakyat dan Negara dari belenggu mental, jasmani dan rohani dari kejahilan, perbudakan, kemiskinan, kekeliruan, tekanan, ugutan politik, sekatan sosial dan keruntuhan moral.

Kita telah merdeka selama 5 dekad. Dalam masa tersebut ada surut pasang kemerdekaan. Dekad pertama kemerdekaan Negara dilihat sebagai Negara mundur yang dikategorikan sebagai `Dunia Ketiga` , pada dekad kedua Negara masih belum dapat mengatasi kemiskinan dan perbedaan ketara antara kaum hingga menimbulkan rasa tidak puas hati antara kaum, pada dekad ketiga timbul kesedaran pembangunan, diikuti dekad keempat sebagai dekad pembinaan maruah, namun pada peringkat awal dekad kelima timbul konflik politik dan pertarungan, namun kini selepas setahun memperlihatkan pemulihan keyakinan bagi pihak pemerintah, tetapi selepas itu suasana yang tidak menentu menyelubungi Negara dan rakyat.

Apakah prestasi kemerdekaan Malaysia sekarang ini kian menurun berbanding dengan beberapa pencapaiannya yang lepas? Bagaimana menilaikannya ?

3. Pengukuran

Bagi mengkaji prestasi kemerdekaan dan kebebasan Negara ada penunjuk-penunjuk yang boleh dijadikan skala ukuran.

Menurut seorang sarjana, iaitu Amartya Sen di dalam bukunya yang berjudul, Development of Freedom, New York 1999 menyatakan ada lima skala penunjuk tentang kebebasan dan kemerdekaan, iaitu kebebasan dari segi politik, kemudahan ekonomi, peluang sosial, jaminan ketelusan dan perlindungan keselamatan.

Mari kita meneliti kelima-lima aspek berkenaan di dalam hubungan dengan Negara kita.

3.1. Kebebasan Politik

Menurut Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948, semua pihak di dunia hendaklah menghormati 30 perkara. Antaranya Perkara 20 & 21, memberikan hak berkumpul secara aman dan menubuhkan persatuan atau kesatuan serta mengambil perhatian dalam proses pemerintahan, terutamanya dalam proses membuat keputusan mengenai dasar-dasar Negara.

Tuntutan rakyat hendaklah diberi priority utama dalam sebarang bentuk pemerintahan. Deklarasi di atas diterima oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan resolusi 2625 (XXV) sebagai prinsip asas undang-undang antarabangsa.

Perlembagaan Malaysia dalam perkara 10 bahagian II selari dengan Deklarasi Sejagat dan PBB memberi peruntukan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Namun dari segi praktiknya Malaysia tidak mengamalkan kebebasan Deklarasi Sejagat, Tuntutan PBB, bahkan peruntukan perlembagaan Negara Malaysia sendiri. Kebebasan bersuara disekat, permit tidak dizinkan. Bahkan polis melanggar aturan-aturan yang diperuntukkan.

Menurut Laporan Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikeluarkan pada bulan Mei lepas mencatat bahawa jelas berlaku perlanggaran Hak Asasi Manusia yang menghakis integriti PDRM. Suruhanjaya mencadangkan agar PDRM mematuhi Inspektor General Standing Orders (IGSO), patuh pada perlembagaan dan tidak melanggar Hak Asasi Manusia.

Kekacauan dari segi kebebasan ini ketara mulai pertengahan 1990an. Hingga menyebabkan PBB menghantar 5 orang penyiasat bagi menyiasat tuduhan pencabulan hak dan kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat pada 20 – 24 Oktober 1998.

Menurut penyiasatan tersebut yang dipetik oleh Saudara Mohd Azizuddin Mohd Sani dalam bukunya Hak Asasi & Hak Bersuara Menurut Pandangan Islam dan Barat, 2002 bahawa:

``… hak kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat di Malaysia adalah terbatas daripada segi kewujudan akta-akta ISA, Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Press (AMCP) (termasuk OSA dan AUKU), kawalan pemilikan media arus perdana dan memperolehi maklumat mengenai parti pembangkang di media elektronik oleh parti pemerintah … menghukum wartawan asing dan menghalang pengedaran media elektronik asing; menghalang rakyat memperolehi maklumat yang berupa pandangan dan pendapat kritikal kepada kerajaan; serta memperlihatkan usaha campurtangan kerajaan ke atas badan kehakiman (hlm. 84-85)

Walaupun sesudah ditegur oleh Suruhanjaya, PDRM nampaknya tidak berubah. Kini sekatan dan pencabulan terhadap Hak Asasi Manusia dan kebebasan bercakap makin menjadi-jadi di Terengganu. Mereka tidak menghormati teguran dan cadangan.

Kemunduran dari segi politik pilihanraya ketara berlaku di Malaysia. Politik wang menjadi-jadi dikalangan parti UMNO yang menjadi tulang belakang BN. Mereka yang terlibat adalah dari kalangan tertinggi parti membawa kepada cawangan.

Usaha kerajaan mau membasmikan rasuah politik nampaknya bersifat sekerat jalan dan teragak-agak selepas beberapa dari mereka dikambinghitamkan, kerana bimbangkan terjejasnya imej parti dan kehilangan keyakinan orang ramai.

UMNO sepatutnya merasa malu pada MCA dan Gerakan yang dapat menjalankan proses pemilihan secara telus dan bersih dari politik wang.

Perjalanan pilihanraya di Malaysia, khususnya pilihanraya 2004 dipersoalkan dari segi ketelusan, SPR dipersoalkan kerana dianggap menjadi alat bagi BN, juga dipersoalkan dari kebersihan daftar pemilih.

Lantaran dituntut agar diperbaiki system pilihanraya sesuai dengan amalan demokrasi, menyekat dari berlakunya pengundian berulang dengan pembersihan daftar pemilih, meletakkan SPR di bawah Parlimen dan bukannya di bawah Perdana Menteri sebagaimana sekarang ini, system petition pilihanraya perlu dijalankan secara adil dan telus dan tidak menggunakan kakitangan dan peralatan kerajaan dan berbagai media bagi kepentingan parti.

Walaupun perkara ini didesak berulang-ulang pihak berkuasa nampaknya tidak memberi respond sewajarnya. Makin merdekakah kita dengan pencabulan system demokrasi dan hak asasi manusia oleh pihak parti yang memerintah ?

3.2. Kemudahan Ekonomi

Ekonomi dapat dijadikan ukuran tentang peningkatan kebebasan dan kemerdekaan Negara atau sebaliknya. Dalam perhimpunan Agung UMNO yang lepas ketara kekeciwaan pencapaian ekonomi orang Melayu hingga Pemuda UMNO mau agar dihidupkan kembali Dasar Ekonomi Baru (DEB), lantaran pencapaian DEB selama ini tidak sampai 20% dari 30% yang diharapkan. Ini bererti DEB gagal membawa orang Melayu bebas dan merdeka dalam bidang ekonomi.

Keadaan ini diparahkan lagi dengan bertambahnya pengangguran terutama dari kalangan siswazah yang kebanyakan mereka terdiri dari kalangan anak-anak Melayu.

Masalah ekonomi kini menjadi lebih parah dengan kenaikan harga minyak berturut-turut dalam masa terdekat.

Dalam tahun 2005 saja kenaikan harga minyak berlaku sebanyak tiga kali, iaitu pada bulan Mac, Mei dan Julai yang setiap kali diesel naik sebanyak 20 sen seliter dan petrol sebanyak 10 sen.

Sejak dari tahun 2000 telah sepuluh kali harga minyak naik. Kini kemungkinan harga minyak naik lagi apabila mutakhir harga minyak melonjak kepada US70 setong.

Kemungkinan harga minyak di Malaysia akan naik lagi tidak dinafikan. Ramai yang musykil dengan Malaysia sendiri sebagai pengeluar minyak, seharusnya memberi nikmat kepada rakyat, kerana kenaikan bererti keuntungan bagi Malaysia. Tetapi ini tidak terjadi, sebaliknya rakyat makin menderita menanggung beban kenaikan harga minyak termasuk tol, diikuti dengan kenaikan harga barang-barang dari 20% hingga ada yang melebihi seratus peratus. Negara akan mengalami inflasi dan rakyat akan mendapati duit di dalam poket mereka berkurang dari segi nilai dan kuasa beli. Kehidupan rakyat akan terjejas dengan amat teruk.

Keterukan Negara dari segi ekonomi dapat dilihat dari krisis Proton sebagai kereta nasional berdepan dengan pengeluaran AP terhadap kroni dan individu khusus yang menggugat pasaran Proton. Cara ini telah dikritik oleh Tun Dr. Mahathir Bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Proton.

Kegagalan juga berlaku pada Syarikat Penerbangan Nasional – MAS yang sedang mengalami kerugian dan sedang mencari-cari Pengarah Urusan yang baru setelah Pengarah Urusan sebelumnya berundur diri sebagai bertanggungjawab di atas kerugian yang dialami.

Benarkah ada pendapat yang mengatakan bahawa kerajaan sekarang sedang mengalami krisis kewangan, lantaran sedemikian tiada perancangan mega dan terpaksa memberi penekanan pada pembinaan insan yang lebih subjektif sifatnya dan lebih rendah peruntukan kewangan baginya.

Kekurangan kewangan ini dapat dilihat dari kekurangan peruntukan bagi Rancangan Malaysia yang kesembilan (2006-2010) yang hanya sebanyak RM150 bilion, iaitu turun sebanyak 12% berbanding dengan peruntukan Pembangunan Malaysia kelapan sebanyak RM170 bilion.

3.3. Peluang Sosial

Pada umumnya bagi rakyat jelata peluang sosial makin menurun. Termasuk di bawah peluang sosial ini ialah peluang mendapat pelajaran yang mampu menggerakkan mobility sosial masyarakat.

Namun peluang bagi pelajar-pelajar miskin makin bermasalah. Dulu wujudnya biasiswa, kini peluang mendapat biasiswa telah tiada, iaitu digantikan dengan pinjaman, tetapi pinjaman kini makin sukar didapati, kerana peruntukan berkurangan.

Pengajian tinggi kini terutama IPTS menjadi peluang komersil yang mengejar keuntungan. IPTS yang tumbuh bagai cendawan yang menghampiri jumlah 500 buah tidak bermutu dan kebanyakannya golong tikar.

Di Malaysia tidak ada pendidikan tinggi percuma sebagaimana di German dan di Mesir (al-Azhar). Sistem pendidikan di Malaysia sekarang agak bercelaru dan memerlukan kepada kajian, penyusunan dan pendekatan terkini yang bersesuaian.

Banyak pihak pernah mencadangkan agar Dasar Pelajaran Malaysia dikaji semula. Cadang sedemikian pernah diajukan oleh Tan Sri Musa Hitam, Bekas Timbalan Perdana Menteri yang pernah juga menjadi Menteri Pelajaran.

Cadangan juga pernah datang daripada Tan Sri Murad Mohamad Noor yang pernah menjadi Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Cadangan pernah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi dan pernah berjanji untuk meneliti perkara tersebut secara terperinci, tetapi perkara ini masih belum mendapat perhatian sewajarnya.

Masalah bahasa sendiri kurang diberi perhatian oleh kerajaan. Penukaran pengajian sains dan matematik dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris menyebabkan pelajar-pelajar kurang menguasai subjek dan ramai yang gugur dalam perjalanan.

Cadangan tokoh-tokoh akademik supaya mengajar Sains dan Matematik di dalam bahasa ibunda walaupun lengkap dengan hujah dan fakta, tetapi dikesampingkan oleh mereka yang berkedudukan. Sebaliknya bahasa Inggeris makin dipromosikan dan dianjurkan supaya orang Malaysia mengakui bahasa Inggeris adalah bahasa orang Malaysia.

Tindakan yang dilakukan seolah-olah meminggirkan bahasa Melayu secara sepi dan bakal terpencil dari bidang-bidang ilmiah dan tidak mampu mengangkat bahasa dan pengguna kepada status bahasa yang dihormati dan dimegahi.

Kemahuan terhadap bahasa Inggeris nampaknya ditentukan oleh pihak elit dan dipromosi akhbar-akhbar tertentu, bukan lagi menjadi kemahuan rakyat.

Sementara itu peluang peningkatan di dalam status politik mewujudkan satu budaya yang boleh dinamakan `Feudal Moden` dalam mana anak-anak dari keturunan elit politik khususnya anak-anak bekas-bekas Perdana Menteri atau menteri-menteri lebih mudah melonjakkan kedudukan diri di dalam hiraki politik meninggalkan ahli-ahli politik yang bukan dari status sosial elit yang mungkin berkebolehan, tetapi akan menjadi juak-juak politik sahaja mengiringi peningkatan elit-elit.

Dari satu segi usaha memperkukuhkan pandangan liberal dilakukan. Pengajian agama dipandang serong dan tidak diberi penekanan.

Bahan-bahan media memainkan peranan yang penting memupuk pandangan liberal dan melalaikan masyarakat dengan elemen nafsu dan hiburan.

Watak-watak penghibur dianggap hero yang disanjung yang mengatasi segala-galanya. Kedudukan ilmuan bukan dipandang sebagai status pujaan sebagaimana penghibur.

Falsafah hedonisme menjadi sanjungan. Darinya tumbuhlah gejala sosial, samseng, penagih dadah dan berbagai-bagai perkara yang memasalahkan Negara.

3.4. Jaminan Ketelusan

Kedudukan Malaysia dari segi keterbukaan dan ketelusan banyak dipersoalkan. Kewujudan akta-akta ISA, OSA, Akta Hasutan, AMCP dan AUKU bukti nyata tiadanya ketelusan dan keterbukaan di Malaysia. Sebagai contoh mereka yang ditahan ISA tanpa bicara ditahan selama 2 tahun dan boleh ditambah lagi secara dua tahun bersiri.

Suatu masa dulu universiti mempunyai otonomi, pensyarah bebas mengeluarkan pendapat dan mahasiswa dididik dengan pemikiran kritikal, kini otonomi tidak lagi wujud dan para ilmuan di pengajian tinggi terkepung di dalam menara gading.

Pada peringkat antarabangsa kebebasan akhbar disanjung tinggi. Bagi menghargai kebebasan ini diwujudkan hari ``The World Press Freedom`` yang disambut pada setiap tanggal 3 Mei setiap tahun.

Apakah kebebasan ini dihormati dan diamalkan di Negara kita? Akhbar Harakah yang dulu dibenarkan terbit 4 kali sebulan, telah disekat dan hanya dibenarkan terbit dua kali sebulan. Permintaan agar akhbar itu dikeluarkan secara harian atau kembali kepada empat kali sebulan tidak dilayan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Dimanakah kedudukan kebebasan akhbar di Malaysia ? Kajian yang dibuat oleh Global Press Freedom Ranking of Freedom House bagi tahun 2004 mensenaraikan Malaysia berada pada kedudukan 122 daripada 167 negara. Malaysia jauh ketinggalan dari segi kebebasan akhbar berbanding dengan Indonesia yang berada pada ranking ke 117. Pada 2003 Malaysia mendahului Indonesia pada ranking ke 111.

Dari segi ketelusan dan kebebasan kajian New York City Based Think-Tank Freedom House (2005) meletakkan Malaysia berkedudukan ke 152 daripada 194 negara yang dikaji. Ianya jauh ketinggalan berbanding dengan Taiwan (44), Korea Selatan (66), Phlippine (77), Thailand (95), Sri Lanka (116), Indonesia (119), Pakistan (126), Cambodia (128) Singapura (139), manakala Afghanistan dan Bangladish (145).

Ketidaktelusan juga dapat dilihat dari Laporan Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia yang mencatat berlaku perlanggaran peruntukan perlembagaan, Hak Asasi Manusia dan keperluan demokrasi.

Suruhanjaya mencadangkan PDRM mematuhi peruntukan-peruntukan Perlembagaan, Hak Asasi Manusia dan prinsip demokrasi. Keadaan ini berlaku sebelum dikeluarkan Penyata Suruhanjaya Polis Diraja Malasia.

Walau bagaimana selepas Penyata ini dikeluarkan (Mei 2005), tidak ada perubahan sikap PDRM, mereka menghalang ceramah parti politik dan mengganggu majlis yang berjalan dan setengah tempat mereka menceroboh ke dalam premis. Contoh pencerobohan ke pekarangan Pasti di Kg. Pachakan , Kuala Besut pada 2 September 2005. Sebelumnya pencerobohan di Masjid al-Taqwa Batu 6, Kuala Terengganu pada 26 Ogos 2005.

Tindakan mencabuli hak dan kelulusan misalnya berlaku di Bandar Baru Bangi.

Untuk menyambut kemerdekaan ke 48 pada 31 Ogos 2005, pihak jawatankuasa telah mengamanahkan seorang Pengarah Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan menempah Kompleks Sukan Bandar Baru Bang pada 31 Ogos. Tempahan telah dibuat sejak 10 Ogos dan mendapat kelulusan setelah membayar deposit sebanyak RM300/. Jawatankuasa Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan telah bekerja keras bagi persediaan menyambut Merdeka sejak bulan Jun 2005. Mereka bertambah kuat bekerja selepas mendapat kebenaran oleh MPKj. Malangnya sehari sebelum tiba Hari Kemerdekaan, pihak MPKj memaklumkan bahawa kebenaran menggunakan Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi ditarik balik. Pihak Jawatankuasa Sambutan menggelabah dan terpaksa mengurus perjalanan secara adhoc dan tergesa-gesa.

Cara yang dilakukan oleh MPKj ini merupakan sabotaj bagi menggagalkan projek sambutan yang dirancang. Laporan Polis telah dibuat dan surat protes dihantar kepada Yang Dipertua MPKj dengan salinan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, YB Menteri Penerangan dan Presiden PAS.

Pencabulan lunas-lunas demokrasi juga berlaku dalam pilihanraya Negara seperti yang berlaku di Selangor pada pilihanraya Mac 2004 sebagaimana juga pencabulan berlaku di dalam pilihanraya-pilihanraya di Kampus sejak beberapa tahun mutakhir ini.

3.5 Perlindungan Keselamatan

Dalam suasana sekarang, rakyat merasa tergugat. Bagi orang politik, dimaksudkan pembangkang, polis yang seharusnya memberi khidmat dan pertolongan.

Bagi mereka polis bertukar menjadi penghalang. Mereka bukan lagi memberi pertolongan dan perlindungan, sebaliknya menjadi penggempur dan pengancam dan mengugut.

Berapa aduan yang dibuat, tapi tidak diendah dan tidak diberi perhatian. Kemana lagi ruang untuk mengadu dan mendapat pembelaan ?

Bagi rakyat biasa mereka berada di bawah tekanan dan kegelisahan, terutama akibat dari kenaikan minyak yang diikuti oleh kenaikan harga barangan antara 20% hingga 100%.

Mereka menderita bagi mencari rezeki bagi menampung sara hidup keluarga, tanggungan hutang untuk rumah dan kenderaan, saraan anak-anak dalam pengajian dan bil-bil bulanan yang terpaksa dijelaskan.

Betapa peritnya derita terpaksa ditanggung. Negara kita bukan Negara kebajikan sebagaimana di England dan sebagainya.

Bagi pelajar-pelajar, khususnya di pusat-pusat pengajian tinggi turut merasa keperitan. Jangankan untuk mendapat biasiswa, pinjaman pun makin sukar didapati, yuran pengajian dan sara hidup menuntut perbelanjaan semakin tinggi.

Oleh kerana tidak kecukupan wang ada yang bertaat makan sekali sehari dan ada yang bertahan dengan makan mee magi. Akan bertambahkah pesakit jiwa dan mental di Malaysia akibat bertambahnya tekanan hidup yang dihadapi? Makin bertambahkan masalah keluarga dan perceraian akibat desakan ekonomi ?

4. Pengakhiran

Bagi lima perkara yang diperkatakan di atas memperlihatkan dimanakah berada Negara kita dari segi ketelusan, kebebasan dan kemerdekaan.

Hakikat sebenarnya rakyat di Negara ini menghadapi ilusi. Dua tahun lepas dikatakan ada sinar dan harapan baru dengan bertukarnya pimpinan baru.

Tahun pertama dengan slogan dan rhetoric politik keadaan masih dapat dipertahankan. Kini reality yang dihadapi permasalahan demi permasalahan mendatang, rasuah politik, masalah ekonomi, pemimpin terhutang judi, kroni, dadah, sosial dan berbagai.

Mampukah rakyat dilalai untuk melupakan penderitaan dengan berbagai hiburan yang sengaja diwujudkan secara bersiri? Kemerdekaan makin terhakis, pesta-pestaan tidak dapat menyembunyikan masalah dan penderitaan rakyat yang terus merasa tertekan.

---

Bagaimana? Apakah kita makin merdeka? Anda nilaikan sendiri. Maaf kerana saya kurang menyajikan hasil tulisan sendiri akhir-akhir ini. Masa saya agak suntuk dek kerja di rumah yang agak menekan. Bukan memberi alasan, tetapi mengharapkan secebis kefahaman. Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik untuk menulis dan terus menulis.

Wallahualam...

No comments: