Sunday, September 10, 2006

Aku Menulis Bukan Kerna Nama...

Menelusuri detik-detik dalam hidup ini, terasa satu persatu kenangan silam datang menjelma. Ada yang manis. Ada yang pahit. Ada yang masam. Ada yang pedas. Pelbagai 'rasa' pernah saya 'rasai', anda juga begitu. Kita tidat dapat mengharapkan kehidupan ini seindah yang kita impikan. Kehidupan penuh dengan onak duri, cabaran yang datang silih berganti. Semuanya datang bergilir, bertukar ganti untuk mengajar diri ini.

Saya membesar dalam keluarga yang Alhamdulillah, tidak terlalu dipenuhi kemewahan, tidak terlalu dibayangi hiburan penuh kelalaian. Saya membesar dalam suasana yang saya kira sederhana. Tidak terlalu susah, tidak terlalu senang. Semuanya Alhamdulillah, cukup. Keluarga merupakan keluarga yang berpegang kepada 'jemaah tabligh', ataupun istilah lain, 'orang qarqun'. Namun itu tidak bermakna saya turut memilih menyertai jemaah tabligh.

Saya dibiasakan sejak berumur lingkungan 4 tahun untuk ke 'markas' tabligh, mengikuti 'bayan', 'gash' dan pelbagai aktiviti tabligh yang lain. Bacaan 'ta'alim' perkara biasa untuk keluarga saya Ibu saya selalu mengikuti gerak kerja 'masturat' suatu ketika dahulu. Namun, itu tidak bermakna saya mengikut jejak langkah ibu dan ayah saya. (Maaf, ini bukan untuk riak etc.)

Kehidupan penuh dengan pilihan-pilihan. Setiap pilihan ada menjanjikan cabaran dan baik buruknya. Sama ada di dunia, ataupun di akhirat. Saya memilih untuk menjadi begini. Bagaimanakah begini? Saya sorotkan untuk anda sedikit lakaran kehidupan seorang musafir, seorang perantau...

Saya dilahirkan di Pulau Pinang, satu-satunya anak yang dilahirkan di tanah air tercinta. Yang lain semuanya lahir di perantauan. Owh, kecuali adik saya yang bongsu. Yang tidak disangka-sangka dikurniakan-Nya sewaktu saya sibuk untuk PMR. Saya menjadi perantau sejak berumur setahun. Bermula dengan 4 tahun di USA, diikuti 6 tahun di England. Selepas itu barulah menjejakkan kaki kembali ke bumi Malaysia.

Bermula dengan menetap di Ipoh, Perak. Kemudian bermusafir pula ke Alor Setar, Kedah dan sekarang 'menetap' di Jitra, Kedah. Walaupun 'menetap' di Jitra, Kedah, saya lebih lama berada di Kuala Lumpur. Belajar di sebuah SBP di Cheras. Kemudian menyambung pengajian di Perak. Dan kini, kembali ke Kuala Lumpus.

Menyingkap kehidupan di asrama merupakan kenangan indah yang sukar diluputkan. Penuh suka, penuh duka. Sewaktu memilih untuk melanjutkan pelajaran, saya mempunyai terlalu banyak pilihan. Bermula dengan minat untuk mengambil jurusan matematik, kemudian teringin juga mengambil 'medic'. Tak cukup dengan itu, minat membaca saya yang begitu 'galak' menyebabkan saya teringin mengambil bidang sastera. Saya juga seorang 'kipas susah mati' computer, ataupun umumnya IT. Kejuruteraan juga seolah-oleh menggoda diri ini.

Saya dibayangi terlalu banyak pilihan. Buntu. Saya meminati matematik sejak sekolah rendah. Dan Alhamdulillah, ALLAH memberikan saya kemahiran dalam bidang tersebut. Sewaktu di sekolah menengah, saya mewaqafkan diri untuk perjuangan matematik. Focus saya pada waktu itu ialah pertandingan Olympiad Matematik. Bukan setakat peringkat kebangsaan, tapi saya mahu ke peringkat antarabangsa.

Tapi ALLAH lebih mengetahui. Saya merancang, ALLAH juga merancang. Saya hanya mampu mengapai gangsa dalam Olympiad peringkat kebangsaan. Walaupun dipilih untuk berkursus sebanyak 4 kali oleh Kementerian Pendidikan, saya gagal layak untuk mewakili negara. Sedikit kesal, tetapi ada hikmahnya. Alhamdulillah, 'junior' saya berjaya untuk menjadi 'pengganti diri' ke Olympiad peringkat antarabangsa.

Minat kepada medic pula hanyalah kerana merasakan bidang kedoktoran menjanjikan pulangan lumayan. Duit dan harta menjadi impian. Tetapi minat ini sedikit demi sedikit terhakis setelah minat untuk subjek biologi makin menipis. Bukan apa, saya bukanlah seorang yang rajin menghafal. Atau kata lain, saya malas 'study'. Impian ini saya lupakan begitu sahaja.

Bermula di tingkatan 2, saya kerap ke perpustakaan untuk meminjam buku. Biasa novel-novel thriller ataupun sejarah ataupun tentang kehidupan insan. Kemudian saya bergerak kepada buku motivasi diri. Akhirnya, minat untuk melihat hasil karya sendiri dibaca melonjak-lonjak. Saya membayangkan saya menulis sebuah novel, ataupun sebuah buku motivasi diri. Tatapi melihatkan ramainya penganggur dalam bidang sastera, keluarga saya kurang memberikan sokongan. Impian ini saya pendamkan. Tetapi minat membaca saya tetap terapkan.

Kebetulan pada waktu saya mengakhiri kehidupan sebagai pelajar sekolah, kerajaan mempromosikan bidang IT secara meluasnya. Kebetulan juga, saya mula berjinak-jinak dengan komputer sejak berumur 4 tahun. Ayah saya yang meniaga komputer secara part time memberikan saya peluang untuk mengenali apa itu komputer; sedangkan pada waktu itu, di Malaysia, komputer ini masih sesuatu yang sangat jarang dijumpai.

Saya mula berjinak dengan 'dunia tanpa sempadan' yang dinamakan internet sejak berumur 11 tahun. Pada waktu itu, internet sangat janggal diguna orang. Minat saya kepada IT ini juga mungkin kerana ayah saya seorang pensyarah IT. Owh, lupa nak cakap. Ibu saya bekas tutor matematik. Bidang IT memang menjadi kegilaan saya. Tapi, malang tak berbau, setelah tamat SPM, ramai pula penganggur bidang IT. Minat terpaksa ditolak ke tepi.

Pilihan terakhir, kejuruteraan ataupun istilah lebih sedap, engineering. Saya meminati bidang ini kerana saya seorang yang suka menjadi 'pomen' tak bertauliah. Saya suka merekacipta, berinovasi, berkreativiti etc. Saya membayangkan untuk menjadi seperti Zul, perekacipta negara. Menarik bukan? Akhirnya, bidang inilah yang menjadi pilihan.

Walaupun akhirnya saya menjadi seorang engineer, saya tetap meminati matematik. Saya tetap minat menulis. Saya tetap seorang kaki komputer. Minat tetap sama. Takkan hilang bagai ditiup angin kejuruteraan. Kerana itulah saya kini menjadi penulis part time, walaupun hanya sekadar penulis blog.

Saya menulis bukan kerana hendakkan populariti. Kerana berapa ramai daripada anda yang mengenali saya in person? Saya menulis sekadar berkongsi. Menulis untuk ditatapi. Menjadi santapan minda, pembuka mata hati. Saya suka bawakan isu terkini, yang kadangnya penuh kontroversi. Semuanya supaya rakyat Malaysia umumnya, umat ISLAM khususnya tahu tentang apa yang berlaku.

Saya tidak mengejar populariti sebagai penulis. Ia tidak memberi sebarang faedah kepada saya. Malah kerja saya ini boleh mengundang musibah. Sekiranya blog ini dipantau, bukankah risiko menanti di kemudian hari? Bercakap tentang risiko sebagi penulis, saya bersedia menghadapinya.

Sekiranya saya hendak ditahan kerana menulis kebenaran, saya sanggup. Penulis² blog tidak gentar menyatakan kebenaran. Tanyalah sendiri Pakdi, Roslan SMS, Abdul Kadir, dan bloggers yang lain... Kami tidak gentar. Kerana kami menulis bukan kerna nama, tetapi kerana KEBENARAN, dan insya-ALLAH kerana ISLAM. Hidup bloggers!

Wallahualam...

P/s - Post ini ditulis tatkala idea teramat kering. Sekadar berkongsi dan memperkenalkan diri.

No comments: