Monday, September 11, 2006

Tun Mahathir Vs Pak Lah; Ada Beza Ke?

Hari Sabtu yang lepas, saya sempat mengikuti ucapan ringkas daripada Saudara Azmin Ali. Seperti biasa, ucapan beliau penuh berapi, meletup-letup dan memanaskan kami sidang hadirin. Walaupun cuasa kesejukan selepas hujan, kami tetap panas. Dipanasi ucapan Azmin Ali. Beliau menyentuh sedikit tentang perbalahan Tun dengan Pak Lah.

Antara yang menarik ialah gesaan beliau agar rakyat tidak tertipu dengan perbalahan Pak Lah dan Tun yang ibarat perang saudara dalaman UMNO. Gesaan beliau ada benarnya. Sekarang ini Tun kerap membangkitkan soal-soal kepincangan pemerintahan Pak Lah. Namun tanpa disedari, ataupun sengaja buat-buat tak sedar, Tun seoleh-oleh terlupa. Apa yang dilakukan oleh Pak Lah hanyalah penerusan tradisi UMNO sendiri.

Kita imbas satu per satu...
1# Pemberian projek perniagaan kepada kaum kerabat

Jika sekarang negara dibingitkan dengan tuduhan Tun bahawa Pak Lah memberikan projek dan kekayaan kepada anak dan menantunya (Khairy dan Kalamudin). Dulu, suatu ketika dahulu, Tun dikecohkan banyak memberikan projek kepada anak-anaknya. Malah Harakah pernah menyenaraikan syarikat-syarikat yang dipegang oleh keluarga Tun yang berjumlah ratusan. Nah, apa bezanya Tun dan Pak Lah ye?

Owh ye, Tun lebih bijak mengabui mata rakyat daripada membongkari penyelewangan Tun. Kisah empayar perniagaan keluarga Tun hanya kecoh bila kes DSAI meletup. Waktu itu, Tun sudah memegang kerajaan selama 15 tahun lebih. Waktu yang cukup untuk membina empayar. Berbanding dengan Pak Lah yang baru memegang negara untuk 3 tahun, tetapi kekayaan yang tidak dapat dijangkakan. Malah berjaya dibongkari dengan mudah.

Pendek cerita, Tun mahir menutup jejak langkah 'rompakan'nya. Pak Lah lemah dalam berstrategi. Sangat lemah.

2# Hilangnya demokrasi

Ini isu yang menarik untuk dikupas. Rasanya, rata-rata, ramai yang tahu kuku besinya Tun sewaktu memerintah negara. Pelbagai akta pelik diwujudkan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat dan mengukuhkan kekuasaan menteri dan kabinet. Bermula dengan akta media cetak, akta rahsia rasmi (OSA), akta keselamatan dalam negeri (ISA) sehinggalah penggubalan undang-undang untuk memberi kekebalan kepada ahli Parlimen pada tahun 1988.

Bukankah semua itu demi menyekat demokrasi, atas alasan menjaga kedamaian dalam negara? Dan prinsip ini diteruskan oleh Pak Lah. Itu sahaja. Pak Lah hanya meneruskan tradisi kuku besi ini. Cuma mungkin kuku besi Pak Lah lebih tajam dan kejam. Lihat sahaja betapa kejamnya FRU sewaktu demonstrasi harga minyak di KLCC (yang kini sedang disiasat oleh SUHAKAM).

Sekali lagi, Pak Lah dan Tun lebih kurang sahaja kuku besi mereka.

3# Politik Wang dalam UMNO dan Kerajaan

Tun mendakwa berlakunya politik wang dalam pemilihan perwakilan peringkat Kubang Pasu. Inilah yang dakwa Tun, telah mengagalkan usahanya untuk berucap dalam Persidangan Agung UMNO akan datang. Poltik wang, sesuatu yang cukup sinonim sejak Tun memegang UMNO. Bukankah politik wang ini telah disuburkan oleh Tun sendiri suatu ketika dahulu? Pak Lah hanya meneruskan.

Hakikatnya, sekali lagi, mereka berdua sama sahaja
Banyak lagi persamaan mereka sekiranya hendak diungkapkan satu per satu. Biarlah anda menilaikan sendiri. Saya tidak berpihak kepada Tun mahupun Pak Lah. Saya menyokong kebenaran yang ingin ditegakkan oleh Tun. Kebenaran? Mungkin. Yang penting, itu tidak bermakna kita melupakan dosa-dosa Tun sewaktu menjajah kita dahulu.

Pelbagai kekejaman Tun masih belum diadili sehingga kini. Peristiwa Memali yang berlaku di Baling, Kedah pada tahn 1985 masih segar dalam lipatan memori duka penduduk Kedah. Juga pemecatan Tun Salleh Abas hasil konspiracy licik Tun pada tahun 1988. Dan banyak lagi. Kekejaman yang tidak berperikemanusiaan.

Akhirul kalam, biarlah Tun dan Pak Lah terus berperang. Seorang merupakan singa tua berkuku besi yang masih mengancam ngaumannya. Seorang lagi singa yang agak muda, berkuku besi juga, tapi bisu dan sering dipergunakan. Kita nantikan pihak mana yang menang. Jika keadilan berjaya ditegakkan, kita juga yang untung. JIka gagal, kehidupan kita sama seperti hari-hari yang telah berlalu.

Tepuk dada, tanya selera, jangan lupa merisik iman di dada.

Wallahualam...

No comments: