Monday, September 11, 2006

Berita Lucu Hari Ini (11/09/2006)

Ini yang susahnya bila mengadap komputer terlalu lama. Ilham pula datang mencurah-curah, minta ditintakan. Terpaksalah jari ini terus menaip, insya-Allah untuk post terakhir pada hari ini. Post ini ringkas sahaja, sekadar mengutip berita-berita lucu yang dimuatkan dalam Utusan Malaysia. Semuanya melibatkan pemimpin UMNO yang jelas dalam keserabutan.
1# Kajian semula kehakiman tidak perlu – Nazri

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menolak saranan Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Othman supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji semula undang-undang yang menghalang keputusan yang telah dibuat menteri dicabar di mahkamah.

Beliau berkata tindakan itu akan meletakkan menteri dalam keadaan kurang selesa atau hilang keyakinan untuk membuat sebarang keputusan yang hanya akan lebih memburukkan lagi keadaan.
...
“Jika ada apa-apa keputusan oleh menteri dikatakan silap, saya rasa rakyat ialah badan terbaik untuk menentukan sama ada sesuatu keputusan menteri itu silap atau betul,” katanya.
Biarlah rakyat menentukan? Sejak bilakah rakyat berkuasa menentukan? Bukankah pilihanraya saban tahun dipenuhi penyelewengan yang tak pernah diadili? Mengapakah menteri-menteri ini begitu takut jika dicabut kekebalan? Apakah hakim-hakim di Malaysia terlalu jahil sehinggakan tidak dapat menilai perkara yang hak dan batil?

Atau realitinya, mereka takut dihadapkan ke mahkamah kerana terlalu banyak penyelewengan? Saya merasakan, mereka terlalu takut. Siapa makan cili, dia terasa pedasnya. Siapa rasa pedas sekarang?

2# Keris; Relevensinya kepada UMNO

Cadangan Tengku Adnan untuk menukar lambang keris dalam bendera UMNO menerima pelbagai reaksi negatif. Kebanyakan reaksi tersebut agak keras, dan menampakkan seolah-oleh retak dalam UMNO makin melebar. Malah Adnan sendiri mengakui selalu berlaku pergaduhan dalaman dalam UMNO.

‘‘Keris adalah senjata dan ia melambangkan pergaduhan.

‘‘Meskipun, kita kata (keris) mempertahankan hak dan perjuangan tetapi saya terfikir agaknya kerana lambang keris tidak bersarung itulah yang menyaksikan saban tahun pergaduhan berlaku di dalam parti kerana pengaruh lambang keris itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Siput di sini hari ini.

Ini pula jawapan daripada 'pendekar-pendekar' dalam UMNO,

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin hari ini menegaskan lambang keris terhunus berwarna hijau pada bendera UMNO melambangkan kekuatan dan keunggulan bangsa Melayu dan ia tidak perlu ditukar.
dan...

“Lambang keris bukan membawa pengertian pergaduhan. Keris sebenarnya amat sinonim dengan masyarakat Melayu.

“Ia merupakan simbol kekuatan dan kuasa untuk orang Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis perhimpunan siswa sempena sambutan Hari Kemerdekaan
Juga...
Cadangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob supaya lambang Keris Pasca Warisan pada bendera UMNO ditukar kepada lambang lain adalah idea gila, kata Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menegaskan, keris terhunus tidak bersarung itu bukan punca utama menyebabkan perpecahan dalam UMNO.
Inipun...
‘‘Ini soal mengarut, saya tidak faham mengapa perkara ini hendak ditimbulkan dan pada saya ia menunjukkan kelemahan pemimpin-pemimpin UMNO kalau ada masalah dalam parti, maka kita buang perkara yang dikatakan puncanya.
Terakhir...
Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Adnan agar lambang keris itu ditukar kepada lambang duit, pen atau buku kerana ia melambangkan kemajuan atau ilmu pengetahuan.
Yang penting, anda sendiri boleh melihat betapa kebanyakan pemimpin UMNO mengakui wujudnya perpecahan dalam parti mereka sendiri. Malah lebih menarik, cadangan Adnan untuk menggunakan lambang DUIT. Macam UMNO ini parti buat DUIT pula.

3# Usul jawatan PM, MB disandang sepanjang hayat

Ini lagi satu idea gila orang UMNO. Mencadangkan jawatan PM dan MB disandang sepanjang hayat? Nampak sangat mereka ini gila KUASA! Apa relevensinya pilihanraya sekiranya jawatan PM dan MB kekal hingga ke akhir hayat?

Katanya, usul untuk membenarkan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dijawat sehingga akhir hayat adalah bagi mengelakkan berlakunya krisis kepimpinan peringkat tertinggi yang akan turut memburukkan keadaan dalam parti.

“Kita berhasrat untuk mengemukakan usul pada Perhimpunan Agung UMNO November ini dengan mencadangkan agar jawatan Perdana Menteri, MB dan Ketua Menteri dibenarkan dijawat sehingga akhir hayat kecuali kalau dah sakit dan memerlukan seseorang itu meletakkan jawatan,” katanya.
Hanya kerana kes Pak Lah Vs Tun, maka mereka mencadangkan jawatan PM, MB dan KM dikekalkan sehingga akhir hayat. Nampak sangat mereka kekeringan idea. Inilah antara idea paling pelik (baca 'BODOH') pernah saya dengar dan baca. Pasti penulis berita tersebut tergelak sendirian sewaktu menulis berita tersebut. Tapi apa hendak buat, UMNO punya cerita kenalah masuk 'paper'.

---

Inilah antara berita-berita yang menggelikan perut saya hari ini. Kebetulan saya sempat membaca akhbar seawal 5.30 pagi. Hilang ngantuk dan mamai hari ini. Owh, satu lagi yang agak lucu, tapi mendebarkan.

---

4# Malaysia sumbang RM57b gerakkan projek kereta api Kunming-Singapura

Apakah benar Malaysia begitu kaya sehingga mampu menyumbang sebegitu banyak? RM57b bukan sedikit. Jambatan indah yang dibatalkan pun hanya bernilai RM1.12b. Bukankah kewangan kerajaan saban tahun mencatatkan deifisit, masih mahu menyumbang sebegitu banyak?

Ini memang lucu dan lawak. Tapi ini juga mencemas. Pak Lah begitu berani menjanjikan wang negara untuk projek yang melibatkan pelbagai negara. Pemurah sungguh. Sama-sama kita nantikan perkembangan berita pelik ini.

---

Sekian saya melaporkan dari bilik berita Utusan Online. Semua berita lucu ini boleh anda ikuti setiap hari dengan melayari www.utusan.com.my.

Sekian, wallahualam. Wassalam...

No comments: