Monday, October 16, 2006

ASLI Vs EPU; Mana Satu Pilihan Kalbu?

Kebelakangan ini, rakyat dikejutkan dengan isu laporan ASLI (Institut Kepemimpinan dan Strategi Asia) tentang hak pemilikan ekuiti korporat oleh bumiputera yang mendakwa bumiputera menguasai sehingga 45% ekuiti korporat dalam negara. Ini bercanggahan dengan laporan EPU (Unit Perancang Ekonomi) yang mendakwa hanya 18.9% dikuasai bumiputra.

Pelbagai pihak dilihat melatah mendengar dakwaan ASLI ini. Ini termasuklah Pak Lah dan para pengampunya. Kebanyakan mendakwa kaedah kajian ASLI tidak tepat, hasil kajian ASLI adalah 'rubbish' dan 'mengarut', etc. Semuanya mempertahankan statistik EPU; mungkin kerana menjaga imej Pak Lah, mungkin juga kerana menjaga periuk nasi sendiri.

Isu ini yang akhirnya dipolitikkan oleh UMNO sebagai mempertikaikan hak bangsa Melayu berjaya menimbulkan suasana kelam kabut seketika. Pihak itu tuding ini. Pihak ini tuding itu. Akhirnya, yang terpaksa berundur ialah Dr Lim Teck Ghee, pengarah Centre for Public Policy Studies (CPPS) ASLI yang mengetuai kajian tersebut. Sesuatu yang perlu diratapi; pengunduran seorang tokoh ilmuan yang terkenal dan diiktiraf dunia.

Beliau bukanlah calang-calang orang; pernah menjawat jawatan
United Nations regional adviser, World Bank senior political scientist, dan pernah menerima pelbagai anugerah academik di peringkat antarabangsa. Dan dikatakan, ASLI telah berusaha menarik Dr Lim daripada PBB untuk berkhidmat demi negara. Namun akhirnya, Dr Lim terpaksa tunduk akur dengan sikap pemimpin negara sendiri... (Berhenti kerana kecewa dengan Presiden ASLI sendiri yang mengaku laporan ASLI salah dan tersasar.)

Mengapakah isu ASLI Vs EPU ini sangat penting dan wajar diselidiki? Kajian yang dilakukan oleh ASLI bukanlah kajian cikai yang dibuat oleh pelajar sekolah mahupun siswazah universiti. Tetapi ianya dianggotai oleh bijak pandai daripada seluruh negara. Mengapa masih mahu ianya dipertikaikan?

Lebih pelik, kajian ini dibuat untuk RMK9 dan dihantar kepada kerajaan untuk review pada bulan Februari 2006. Laporannya didedahkan kepada media bulan September 2006. Selepas itu, barulah kecoh satu parlimen. Walhal, selama 5 bulan telah berlalu untuk kerajaan melakukan review. Atau sebenarnya kerajaan memandang enteng kajian ASLI tersebut?

Malahan, jika dilihat, kajian dan dakwaan ASLI ada benarnya. Sebenarnya, bumiputera mungkin menguasai lebih daripada 18.9% ekuiti korporat dalam negara. Bukan semua bumiputera yang berjaya menguasai ekuiti korporat negara, tetapi oleh segolongan. Segolongan manusia yang menjadi kaya raya atas kemiskinan majoriti bumiputera.

Siapakah golongan ini? Tanyalah Pak Lah. Tanyalah Najib. Tanyalah mereka dan 'keluarga' mereka. Kita ambil contoh, kerajaan bayar RM30000 untuk baik pulih di sebuah sekolah. Kos baik pulih hanya RM3000. Siapa untung? Mungkin kontraktor. Mungkin pegawai yang meluluskan tender. Contoh lain, kerajaan batal projek Jambatan Indah. Kos asal RM1.19 billion. Kos pembatalan, RM1.2 billion. Siapa untung?


Inilah sebenarnya yang cuba dibuktikan oleh ASLI dan Dr Lim. Beliau cuba membuktikan, NEP (Dasar Ekonomi Baru) tidak menguntungkan bumiputera, tetapi menguntungkan sesetengah pihak sahaja. Setelah lebih 20 tahun NEP dilaksanakan dengan pelbagai nama, peratusan ekuiti korporat milik bumiputera tetapi rendah, malah MEROSOT.

Dr Lim hanya ingin membantu golongan miskin (yang majoritinya MELAYU). Kajiannya ikhlas tanpa niat politik. Tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Beliau tidak mendapat ganjaran atas kajiannya, malah mendapat cemuhan. Jika dibandingkan jawatan beliau di PBB dan Bank Dunia dengan jawatan sebagai Pengarah CPPS ASLI, mana lebih selesa dan berprestij?


EPU pula dipengaruhi oleh dasar kerajaan. Dipengaruhi oleh parlimen, atau mungkin oleh Khairy Jamaluddin. EPU tidak telus. Kaedah kajian tidak didedahkan. Walaupun Najib kata boleh didedahkan, tapi masih tak dedahkan. Bila nak dedah? Tunggu pilihanraya mungkin.

EPU boleh percaya ke?
Saya lebih yakin dengan kajian ASLI yang diterajui oleh Dr Lim yang bukan seorang BUMIPUTERA. Ia tampak lebih telus dan jujur. Ia berani untuk menongkah arus. Sayangnya presiden ASLI seorang pengecut. Pemimpin yang tidak membela anak buahnya. Tunduk dek tekanan pemimpin UMNO...

Nampaknya agak tersasar sudah diskusi kita kali ini. Maaf... Isunya satu, YANG KAYA TERUS KAYA, YANG MISKIN TERUS MERANA. Persoalannya satu juga, SAMPAI BILA?

Wallahualam...

No comments: