Saturday, October 21, 2006

Syawal Tanpa Masjidil Aqsa; Bermaknakah Ia?


Beberapa hari lagi, umat ISLAM akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Hari kegembiraan selepas berjaya menahan diri, iaitu berpuasa, selama sebulan. Majoriti rakyat beragama ISLAM membuat persiapan yang sebegitu gah untuk merayakan hari yang mulia ini. Malah, seawal minggu pertama Ramadhan, lagu raya telah berkumandang.

Inilah realiti rakyat di Malaysia, negara yang aman damai. Negara kita tidak merasai kesengsaraan perang mahupun sekatan itu dan ini. Walaupun ada segolongan yang dizalimi dengan akta binatang, ISA, namun majoriti masih bergembira. Umat Islam seolah-olah tidak terasa betapa sayu dan sepinya sambutan Syawal mereka yang sedikit ini. Memang mereka sedikit, tetapi itu tidak bermakna kita boleh mengabaikan kesengsaraan mereka. Bukankah umat ISLAM seperti satu jasad, jika tangan kiri dicubit, tangan kanan turut merasa pedihnya?

Itu realiti di Malaysia. Bagaimana pula jika kita menjejaki kesengsaraan mangsa kekejaman rejim yahudi laknatullah? Mereka yang di Palestin saban tahun merayakan sambutan Aidilfitri dalam ketakutan. Merayakan dalam serba kegawatan. Kegembiraan mungkin ada, tetapi sangat sedikit. Sudah berpuluh tahun mereka menderita, terseksa, sedang kita di sini masih lagi lena.

Masjidil Aqsa menjadi simbol penting penindasan rejim yahudi terlaknat ke atas Palestin. Malah ia juga simbol bahawa perjuangan gerakan ISLAM masih lagi jauh. Sudah bertahun-tahun sejak peristiwa Al-Quds, Masjidil Aqsa telah dirampas daripada umat ISLAM. Masjid yang menjadi kiblat pertama umat ISLAM kini ditawan yahudi terlaknat.

Masjidil Aqsa bukanlah calang-calang masjid. Mungkin senibinanya dan kecanggihannya tidak seperti masjid-masjid di Malaysia, tetapi nilainya di sisi ALLAH sangatlah besar. Jika tidak, mengapa Rasulullah singgah di Masjidil Aqsa dalam peristiwa Isra Mikraj? Malah di Masjidil Aqsa jugalah Rasulullah menjadi imam kepada para Rasul dan Nabi.

Ikuti sedutan artikel menarik tentang memperingati Al-Quds,

Isu al-Quds dan Palestin bukan sekadar isu kemanusiaan sejagat, ia merupakan isu aqidah yang wajib dipertanggungjawabkan ke atas pundak umat Islam untuk membebaskannya kerana Masjid al-Aqsa merupakan tanah suci ketiga mereka.

Masjid al-Aqsa dirakamkan Allah SWT dalam al-Quran menerusi firman-Nya (mafhumnya):

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Sural al-Isra' ayat 1).

Palestin dan al-Aqsa merupakan kiblat pertama kiblat pertama umat Islam, bumi para anbiya dan pusat pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkam dalam sirah Rasulullah s.a.w.

Palestin, al-Quds dan Masjid al-Aqsa sebenarnya berada pada kedudukan dan tempat yang terhormat di hati kaum umat Islam seluruh dunia. Islam telah menempatkan dan menambah kemuliaan bagi al-Quds dan Masjid al-Aqsa melalui ungkapan ayat-ayat Al-Quran yang menyebutkannya sebagai negeri penuh berkah dan suci.

Kemuliaan dan penghormatan semakin bertambah dengan Isra Rasulullah s.aw, di mana beliau menjadi imam solat bagi para Nabi dan Rasul di Masjid al-Aqsa.

Dan saat yang memilukan ini, al-Quds dan bumi Palestin yang penuh keberkatan itu menjadi tawanan tangan-tangan Yahudi yang mencalarkan luka yang amat dalam di hati setiap Muslim.

Artikel penuh?

Saya hairan, bagaimana kita masih boleh merayakan ketibaan Syawal dengan sebegitu gembira sedangkan masih ada umat ISLAM yang terseksa dan merana? Jika dilihat perumpaan yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu umat ISLAM ibarat satu jasad, apakah umat ISLAM masa kini masih seperti satu jasad?

Dalam kita bersuka ria, janganlah dilupa saudara seagama kita nun jauh di Palestin, Lubnan, Chech, Filipina dan merata lagi. Memang kita dianjurkan untuk menyambut meraikan kemenangan kita berpuasa, tapi biarlah berpada-pada. Lagipun, berapa ramai sangat antara yang beraya sakan ini betul-betul 'menang' dalam berpuasa?

Aidilfitri bermaksud kembalinya kita kepada fitrah. Maka marilah kita bersama kembali kepada fitrah kita sebagai umat ISLAM. Dan marilah kita mengembalikan agama ISLAM kepada 'fitrahnya'.

Saya tak mampu menyambut kegembiraan Syawal dalam keadaan memikirkan sambutan Syawal mangsa dan keluarga mangsa tahanan ISA. Dan saya juga tak mampu bersuka ria tatkala terkenangkan saudara-saudara saya di Palestin yang masih terus diseksa. Malah, saya belum mampu tersenyum penuh suka tatkala kiblat pertama umat ISLAM belum menjadi milik kita. Anda bagaimana?

Wallahualam...

No comments: