Thursday, January 11, 2007

~ Mari Memboikot Pilihan Raya ~

Malam semalam, Barisan Alternatif mengumumkan tindakan mereka untuk memboikot Pilihan Raya Kecil Batu Talam yang akan berlangsung 28 Januari ini. Walaupun mungkin ada yang kecewa, janganlah menganggap Barisan Alternatif takut untuk berhadapan dengan Barisan Nasional.

Realiti sebenar, BA tidak berminat untuk bertarung dalam gelenggang yang berat sebelah. Pengerusi SPR sendiri menyatakan sistem Pilihan Raya di Malaysia perlu dirombak. Siapa lagi yang lebhi layak untuk mempertikaikan ketelusan sistem Pilihan Raya di Malaysia kalau bukan Pengerusi SPR?

Apapun, dibawah ini saya kepilkan salinan pengisytiharan pemboikotan yang ditandatangani oleh Presiden PAS dan PKR.

---

PEMBOIKOTAN PENGLIBATAN DALAM PILIHAN RAYA KECIL DUN O6 BATU TALAM

Pilihan raya bersih dan bebas merupakan satu asas utama dalam sebuah demokrasi yang sihat dan wibawa. Sistem pilihan raya adalah mekanisme penting untuk memberikan keabsahan dan mandat kepada kerajaan yang memerintah.

Kebebasan ini memberi ruang kepada pengundi untuk menunaikan hak asasi mereka dalam proses politik bagi menentukan calon-calon mereka dalam memilih kerajaan yang mereka kehendakki.

Berpandukan kepada pengalaman pahit dalam beberapa pilihan raya yang lalu dan khasnya Pilihan raya Umum ke-11, sesungguhnya kami meyakini bahawa pilihan raya yang telah dijalankan adalah sarat dengan penipuan, penyelewengan dan pembohongan yang sekali gus menjejaskan kredibiliti dan maruah kerajaan yang memerintah.

Serentak dengan itu, rakyat semakin resah dan bosan dengan ketempangan dan kecurangan proses demokrasi ini, yang kini dilihat adalah jauh dari memberikan keadilan dan persaingan serta pertandingan di padang yang sama-rata.

Kami senaraikan antara kepincangan dan ketempangan yang berlaku:

  1. Daftar Pemilih yang tidak tepat dan diragui.
  2. Pengundi Pos yang sering disalahgunakan bagi kepentingan kerajaan BN.
  3. Proses penjalanan pilihanraya yang tidak telus, prejudis dan bersifat berat-sebelah.
  4. Sikap dan pendirian Pengerusi SPR yang tidak konsisten dan memihak kepada kerajaan BN.
  5. Tindakan SPR dalam pengendalian persempadanan yang tidak mengikut semangat dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bersifat tidak adil.
  6. Sikap SPR yang rela diperkudakan oleh parti pemerintah sehingga menjejaskan maruah dan wibawa SPR sebagai Suruhanjaya bebas yang seharusnya memelihara proses pilihanraya.

Berlatarbelakangkan kesemua faktor yang digariskan di atas, maka kami meyakini pilihan raya kecil DUN 06 Batu Talam akan menyaksikan berulangnya penyelewengan yang merosakkan kesucian (sanctity) proses demokrasi. Kenyataan Pengerusi SPR yang menyebut bahawa daftar pemilih yang telah diwartakan pada 30 November 2006, berjumlah 10,748 telah dibersihkan menjadi 10,524 selepas daripada perwartaan itu kini menimbulkan kecurigaan.

Proses pembersihan tersebut tidak boleh dikatakan telah dijalankan secara telus kerana ianya dilakukan secara unilateral oleh SPR tanpa penyertaan parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Segala kecurigaan kami telah disahkan melalui kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR yang mengatakan baru-baru ini bahawa ”undang-undang dan peraturan pilihan raya yang telah berusia 50 tahun itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa ini dan tidak lagi memberi ruang kepada SPR untuk menjamin keadilan terus wujud bagi semua pihak memandangkan sosial yang telah berubah”.

Dengan ini, kami pimpinan BA, menegaskan pendirian untuk menolak dan memboikot penyertaan dalam pilihanraya kecil bagi DUN 06 Batu Talam.

Presiden Parti Islam SeMalaysia,
Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang,

Presiden Parti Keadilan Rakyat
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

---

Rujuk juga link-link berikut:
RAUB, 11 Jan (Hrkh) - "Biar masuk macam singa," begitulah ungkapan Naib Presiden PAS Haji Mohamad Sabu apabila ditanya tentang situasi dan keadaan yang sepatutnya untuk PAS dan BA bertanding dalam pilihan raya setelah memboikotnya.

Tindakan BA boikot pilihan raya disokong

~
KUALA LUMPUR, 11 Jan (Hrkh) - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju agar pembangkang tidak mudah terpedaya dengan kritikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman terhadap undang-undang dan peraturan pilihan raya di negara ini.

Jangan terpedaya dengan Pengerusi SPR
~
Ketahui olehmu bahawa dalam suasana penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Batu Talam pada 16 Januari 2007, Pengerusi SPR telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan ini:

Pencabulan sistem demokrasi berpilihan raya oleh BN
~
KUALA LUMPUR, 11 Jan (Hrkh) - Barisan Alternatif (BA) akan turun bersama rakyat untuk mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam proses pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara.

BA turun padang dedah kepincangan pilihan raya
~

No comments: